Ramses II secara umum dipandang sebagai salah seorang firaun paling menonjol dalam sejarah Mesir Purba. Pemerintahannya berlangsung selama lebih 60 tahun dan ditandai dengan pelbagai pencapaian yang sukar ditandingi mana-mana firaun baik sebelumnya mahupun sesudahnya. Bahkan 3000 tahun selepas kematiannya, sosok Ramses II terus diselubungi keanehan yang ketara apabila mumia beliau menjadi satu-satunya yang pernah mempunyai passport.

RAMSES II SECARA RINGKAS

Ramses II merupakan firaun dari Dinasti Ke-19, iaitu dinasti kedua yang berkuasa pada era Kerajaan Baru. Beliau dilahirkan sekitar 1302 Sebelum Masehi dan mengambil-alih kedudukan bapanya, Seti I, pada lewat usia remaja atau awal 20an. Ramses memerintah selama 66 tahun sekaligus menjadikannya salah seorang firaun yang paling lama memerintah. Rekodnya ini hanya dapat ditandingi oleh Pepi II, firaun dari Kerajaan Lama yang memegang tampuk kekuasaan selama 94 tahun.

Selain tempoh pemerintahan yang panjang, Ramses II juga dikenang atas pelbagai pencapaian yang diperolehnya. Antara lain, beliau menggerakkan kempen ketenteraan yang sukses ke atas bangsa Het di Anatolia dan bangsa Nubia di selatan Mesir. Beliau juga membangunkan banyak monumen yang antaranya masih berdiri sehingga ke hari ini, seperti Abu Simbel dan Ramesseum.

Tugu Ramses II di Kuil Luxor

MUMIA DIPINDAHKAN DARI LEMBAH RAJA-RAJA KE DEIR EL-BAHRI

Seperti kebanyakan firaun dari Kerajaan Baru, Ramses II disemadikan di Lembah Raja-Raja yang terletak di tebing barat Sungai Nil, di seberang Thebes. Pada mulanya, mumianya disimpan di dalam sebuah makam yang kini dikenali sebagai KV7. Namun pada suatu tempoh kemudian, ia dipindahkan oleh pendeta-pendeta Mesir ke makam Deir el-Behri dan terus berada di sana sehingga ditemui pada tahun 1881.

Setelah mumia Ramses II dijumpai, ia ditempatkan di Muzium Mesir, Kaherah pada 1885. Menjelang 1974, kurator muzium berkenaan menyedari keadaan mumia yang kian lama kian terjejas, justeru mengambil keputusan untuk menghantarnya ke Perancis bagi menjalani pemeriksaan. Walau bagaimanapun, undang-undang Mesir menuntut supaya mana-mana individu yang mahu keluar dari negara termasuklah yang telah meninggal dunia sekalipun perlu mempunyai dokumen yang sah. Hal ini bertujuan untuk menjamin kepulangannya semula ke Mesir, kerana pihak berkuasa tempatan khuatir kalau-kalau nanti sesudah mumia Ramses II sampai di Perancis, ia tidak dibenarkan pulang ke Mesir.

Kiri: Kepingan cartouche Ramses II. Kanan: Kulit depan passport Mesir

PASSPORT UNTUK KE PERANCIS

Rentetan itu, Ramses II pun diberikan passport sekaligus menjadi mumia pertama (dan mungkin yang terakhir) pernah menerimanya. Selain gambar wajah Ramses II, passport berkenaan turut menyatakan pekerjaan beliau sebagai ‘Raja (telah mangkat)’. Mumia Ramses II berangkat dari Mesir pada tahun 1976 dan sebaik sahaja di Perancis, ia disambut di Lapangan Terbang Paris – Le Bourget dengan gilang-gemilang sesuai dengan statusnya sebagai seorang raja.

Passport mumia Ramses II

Mumia tersebut kemudian dibawa ke Muzium Etnologi Paris bagi menjalani pemeriksaan. Hasil penelitian mendapati keadaan mumia itu terjejas akibat jangkitan kuman, justeru ia diberikan rawatan bagi menghindari berlaku pereputan secara total. Setelah selesai menerima rawatan, pemeriksaan-pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas mumia Ramses II dan didapati bahawa ia memiliki ukuran ketinggian 1.7 meter (5 kaki 7 inci), berkulit putih dan rambutnya pula kemerah-merahan.

Pihak penyelidik juga mendapati Ramses II pernah menghidapi penyakit radang sendi (artritis), bengkak gigi, dan radang pencantuman tulang belakang (ankylosing spondylitis) yang mengakibatkannya bongkok pada tahun-tahun terakhir hayatnya.

Setelah analisis-analisis ke atas mumia selesai dijalankan, ia pun diterbangkan pulang ke Mesir dan ditempatkan kembali di Muzium Kaherah.

Mumia Ramses II

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (3 November 2018). Mummy of Pharaoh Ramesses II Issued a Passport to Travel to France. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/mummy-passport-0010944


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.