“Nawaitu saoma ghadin
An ada i fardhi ramadhana
Hazihi sanati lillahi taala

Sahaja aku berpuasa esok hari
Untuk menunaikan fardhu ramadhan
Tahun ini kerana allah”

Sesiapa saja yang mendengar bait awal lagu Puasa Dulu Baru Raya oleh kumpulan Raihan pasti tahu ia amat sinonim dengan kehadiran bulan Ramadan. Tetapi pada tahun ini, kehadiran Ramadan agak berbeza apatah lagi dengan dunia sedang mendepani wabak Covid-19.

Dengan kes mencecah 2.9 juta dan kadar kem4tian kini mencecah 207,021 orang, banyak negara memilih melaksanakan pendekatan perintah berkurung atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bila perintah ini dilaksanakan, tiada lagi aktiviti perkumpulan ramai seperti solat tarawih atau berbuka puasa secara beramai-ramai seperti tahun-tahun sebelumnya.

Dan bagi yang merancang hendak pulang ke kampung bagi meraikan awal Ramadan, rancangan itu terbantut berikutan perintah berkurung/PKP menyekat perjalanan antara negeri sesebuah negara. Bagi ramai orang, ia sesuatu yang menekan perasaan seperti dialami Mohammad Faoury, pekerja pertubuhan pelarian di Jordan.

Faoury yang menetap di Amman, Jordan mengakui amat menantikan bulan Ramadan saban tahun kerana inilah bulan dia dapat pulang dan berkumpul bersama keluarga untuk satu tempoh yang lama bagi mengeratkan hubungan silaturahim.

Bersesuaian dengan perintah berkurung/PKP, masjid-masjid turut ditutup dan ini termasuklah tiga masjid utama dalam Islam iaitu Masjidil Haram di Makkah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis. Misalnya di Masjidil Aqsa, masjid tersebut ditutup kepada orang ramai dan hanya kakitangan masjid dan pengawal masjid saja dibenarkan bersolat di situ.

Rajah 1: Keadaan Masjidil Aqsa selepas ditutup kepada orang awam bagi mencegah penularan Covid-19.

Bagi imam dan pengarah masjid Sheikh Omar al-Kiswami, keputusan tersebut merupakan satu keputusan yang berat dan menyedihkan tetapi perlu demi menjaga kesihatan orang ramai. Beliau berkata, “Hati kami agak terseksa (dengan keputusan ini) dengan kesakitan pada bulan Ramadan. Ia merupakan satu detik yang sedih dalam sejarah Islam.”

Sementara Jamia Masjid di Kashmir yang selalunya menjadi tumpuan orang ramai pada bulan Ramadan turut ditutup sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19. Justeru, bagi umat Islam di Kashmir, melihat masjid ditutup pada Ramadan merupakan perkara yang tidak pernah berlaku dan kali pertama dibuat sepanjang kehidupan mereka.

Warga emas Srinagar, Fatima, 74, mendedahkan dia selalu bersolat di Jamia dan menyambut Ramadan di situ. Tetapi disebabkan ancaman Covid-19, perkara terbaik ialah duduk diam di rumah.

Di Indonesia yang kini merekodkan 7,775 kes positif dan 647 kes kem4tian Covid-19, pada awalnya Jakarta membenarkan penduduknya mudik atau balik kampung atas dasar ekonomi pada 3 April lepas. Tetapi dengan pertambahan kes dan kadar kem4tian Covid-19 serta mencegah penularan wabak, kerajaan pimpinan Joko Widodo melarang sebarang aktiviti mudik untuk Ramadan.

Rajah 2: Aktiviti mudik di Indonesia sempena Ramadan dilarang oleh Jakarta.

Di Turki pula, kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan enggan melakukan perintah berkurung kerana bimbang ia bakal menjejaskan kegiatan ekonomi negara tersebut. Tetapi Ramadan bakal disambut dengan tempoh perintah berkurung selama empat hari bermula malam Khamis lepas.

Dengan isu Covid-19, sudah pasti wujud persoalan yang mempengaruhi isu puasa. Misalnya, wujud persoalan apakah melakukan ujian saringan Covid-19 melalui ujian swab boleh membatalkan puasa.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan berdasarkan pegangan Mazhab Shafie, ujian berkenaan dibenarkan dan diberi kelonggaran kepada umat Islam yang berpuasa kerana ia menyentuh aspek kesihatan.

Rajah 3: Datuk Mohamad Shukri Mohamad

Sambil berkongsi pengalamannya yang perlu melakukan ujian swab setiap dua hari selama 16 hari selepas disyaki dijangkiti COVID-19, beliau mengakui ujian berkenaan disifatkan tidaklah sampai ke tahap membatalkan puasa.

“Berdasarkan pengalaman saya apabila disyaki dijangkiti COVID-19, ujian swab itu tidak masuk jauh ke dalam rongga hidung. Begitu juga untuk ambil sampel di rongga tekak. Saya tidak pasti dengan prosedur ujian dengan orang lain, tetapi bagi diri saya, ujian swab tidak membatalkan puasa. Jika ujian itu jauh ke dalam tekak atau kerongkong, barulah boleh jadi batal.”

Manakala Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman pula berpendapat ujian swab dalam pemeriksaan saringan COVID-19 tidak akan menyebabkan puasa Ramadan seseorang terbatal. Katanya, ia berdasarkan pemerhatian yang alat digunakan untuk melakukan ujian swab COVID-19 diakui tidak masuk jauh ke dalam rongga hidung atau kerongkong.

“Bagi saya, ujian swab tidak akan membatalkan puasa kerana alat berkenaan tidak sampai jauh ke dalam rongga hidung atau sehingga ke halkum atau kerongkong. Ia berbeza dengan penggunaan ‘inhaler’ kerana ia akan masuk ke dalam rongga perut yang ternyata membatalkan puasa mengikut hukum syarak,” katanya.

Begitu juga soal puasa bagi pesakit Covid-19. Pesakit di bawah siasatan (PUI) COVID-19 yang masih menjalani kuarantin di pusat kuarantin atau di rumah mahupun yang disahkan bebas wabak itu tetap diwajibkan menjalani ibadah puasa.

Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu kenyataan berkata, kewajipan berpuasa tidak gugur semata-mata dengan andaian bahawa seseorang sudah atau akan dijangkiti penyakit COVID-19. Katanya, hukum itu diambil berpandukan kaedah fiqh seperti diterangkan oleh Mustafa Ahmad Zarqa dalam kitabnya, Sharh al-qawa’id halaman 363.

Beliau berkata, bagi individu yang sedang dikuarantin dan tidak menunjukkan sebarang gejala sakit COVID-19, mereka tetap diwajibkan berpuasa seperti biasa memandangkan ia kewajipan yang diperakui melalui dalil yang qat’ie (pasti). Bagaimanapun, terdapat beberapa perincian wajar diperhalusi untuk membolehkan kewajipan berpuasa gugur ke atas golongan itu termasuk atas nasihat doktor yang merawat bagi tujuan berjaga-jaga (ihtiyati).

“Sekiranya ada tanda tidak pasti seperti demam, batuk, dan sebagainya sehingga seseorang PUI khuatir dengan kesihatannya, dia dibolehkan untuk tidak berpuasa dan mengambil langkah sepatutnya seperti memperbanyakkan minum air atau mengambil vitamin bagi menguatkan imunisasi badan.

“Kebolehan ini cukup didasari oleh kekhuatiran yang mencapai tahap zhan (sangkaan) atau zhan al-ghalib (sangkaan yang didokong oleh bukti atau mana-mana petunjuk yang kuat) di mana majoriti dari hukum feqah turut terbinadi atas zhan al-ghalib,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan hari ini.

Kenyataan tersebut turut menambah, pesakit COVID-19 yang tidak menampakkan gejala atau menunjukkan gejala yang tidak ketara dibenarkan berpuasa namun wajib berbuka (membatalkan) puasa sekiranya dinasihatkan doktor yang amanah untuk berbuat demikian sekiranya khuatir datangnya mudarat jika meneruskan puasa.

“Terdapat tiga golongan pesakit COVID-19 iaitu sebagaimana disebutkan sebelumnya (gejala tidak ketara) di samping dua lagi golongan iaitu pesakit di tahap kritikal yang membawa kepada kematian serta sakit kuat, namun tidak kritikal. Bagi kategori sakit tanpa atau sedikit gejala dan pesakit dalam kadar kuat, namun tidak kritikal, mereka hanya perlu menggantikan puasa.

“Bagi pesakit kritikal, mereka tidak perlu menggantikan puasa, namun cukup dengan membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan,” katanya. Pesakit yang tidak berpuasa juga perlu menghormati Ramadan dengan menjaga adab tertentu seperti tidak makan dan minum di khalayak ramai melainkan terpaksa di samping makan sekadar mengikut keperluan.

Bagi umat Islam yang berpuasa di negara-negara bergolak, situasi sebegini bukan sesuatu yang baru bagi mereka. Abu Ibrahim, 32, dari Daraa, Syria menganggap situasi ini perkara biasa bagi mereka. Dia sekeluarga kini menetap di Jordan menyifatkan Covid-19 tidak membimbangkan dirinya kerana sekurang-kurangnya dia masih boleh menyediakan makanan dan bersama keluarganya pada bulan Ramadan.

Tetapi ada sesetengah negara yang memilih tidak melakukan penjarakan sosial atau terpaksa berkompromi. Di Pakistan misalnya, aktiviti solat berjemaah termasuk solat tarawih dibenarkan dengan syarat masjid tidak membentangkan permaidani, kanak-kanak dan warga emas tidak dibenarkan hadir, jemaah memakai topeng muka dan menjarakkan kedudukan sebanyak enam kaki.

Yang pasti bagi ramai ulama, Ramadan kali ini dilihat satu peluang bagi umat Islam untuk mengamalkan semangat Ramadan yang sebenarnya iaitu rasa syukur dengan nikmat yang diberi dan peluang untuk beramal termasuk membantu golongan yang susah.

RUJUKAN:

McKernan, Bethan et al. (2020). Ramadan in a time of plague: ‘The best thing is to stay home, stay quiet’. The Guardian. https://www.theguardian.com/world/2020/apr/22/ramadan-in-a-time-of-plague-coronavirus-the-best-thing-is-to-stay-home-stay-quiet

Patho Rohman, Mohd Anwar. (2020). COVID-19: Ujian swab tidak membatalkan puasa – Mufti Kelantan. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/680018/covid-19-ujian-swab-tidak-membatalkan-puasa-%E2%80%93-mufti-kelantan

Sufian Suri, Muhammad Zulsyamini. (2020). PUI, individu dikuarantin wajib puasa Ramadan. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/04/678765/pui-individu-dikuarantin-wajib-puasa-ramadan

Reuters. (2020). Indonesia bans Ramadan ‘balik kampung’ to curb virus spread. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2020/04/21/indonesia-bans-ramadan-balik-kampung-to-curb-virus-spread/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.