Sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan masalah bekalan global. Macam-macam hal terjadi. Jadi Rafizi Ramli pun mencadangkan kita buat “stok penimbal” iaitu beli dan simpan keperluan rakyat secara pukal. Tak kisahlah apa keperluan tu – makanan, petrol, diesel dan sebagainya.

Kemudian kita dikejutkan dengan tindakan berani dan kurang popular kerajaan yang telah menarik kembali subsidi minyak. Situasi itu membuatkan rakyat terasa seperti dipijak-pijak kerana kenaikan harga minyak akan memberikan kesan secara langsung kepada kos sara hidup. Walau bagaimanapun, kerajaan pantas merespon bahawa minyak paket 1kg masih lagi diberikan subsidi. Bagi minyak botol pula, kerajaan telah menarik balik subsidi yang telah diberikan ketika PKP dulu. Jadi rakyat masih lagi boleh menikmati subsidi minyak dengan membeli minyak paket.

Tapi masalahnya sekarang, minyak paket selalu habis dan minyak botol pula mahal sangat hingga mencapai RM40 untuk 5kg.

Advertisements

Di pihak kerajaan, mereka telah membekalkan 45000 tan minyak masak paket setiap bulan bagi meringankan beban rakyat. Ada yang cakap masih tak cukup tetapi secara matematiknya, setiap rakyat Malaysia akan dapat 1.5kg minyak masak paket untuk seorang. Bagaimana pula dengan peniaga dan beberapa sektor yang mengguna pakai minyak sawit? Jawapannya mereka perlu beli minyak botol kerana akan digunakan dalam kuantiti yang banyak. Secara tidak langsung, kita sebagai rakyat akan turun terkesan.

Apabila harga minyak masak semakin naik, harga barangan terutamanya makanan secara keseluruhannya akan meningkat. Jadi peningkatan itu akan membuatkan kos sara hidup semakin tinggi dan kita tidak miliki wang yang cukup untuk bertahan sehingga ke gaji seterusnya. Untuk meringankan beban rakyat, kerajaan wajib memberikan subsidi.

Kenapa kita sangat bergantung kepada subsidi? Boleh ke alam sebalik mata ke kalau tak ada subsidi?

Pemberian subsidi adalah bertujuan untuk meringankan beban rakyat. Sebagai contoh kembalinya subsidi petrol terhadap ron95 telah membuatkan kita semua menarik nafas lega disaat harga minyak mentah naik melambung. Ditambah pula negara kita adalah car oriented country dan turun naik harga petrol terus akan memberikan kesan. Bayangkan jika harga petrol diapung seperti sebelum ini, pasti kita akan terkejut beruk kerana ron95 boleh mencapai RM4 untuk 1 liter.

Bukan itu sahaja, pelaksanaan subsidi melalui pertanian dapat membantu para petani berkembang daripada ekonomi sara diri kepada komersial. Bahasa mudahnya, subsidi akan dapat memudahkan petani untuk mengeluarkan hasil pertanian dengan lebih banyak dan pantas. Lebihan hasil pertanian itu boleh dipasarkan lantas meningkatkan ekonomi penduduk. Kesannya, negara pula tidak akan berdepan dengan masalah food security.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Bagi golongan nelayan pula, subsidi memang sangat diperlukan bagi membantu mereka mendapatkan bot dan peralatan yang lebih canggih. Sepertimana yang kita tahu, pendapatan nelayan adalah tidak menentu dan tidak cukup untuk dapatkan peralatan terkini. Dengan adanya subsidi daripada kerajaan, para nelayan dapat menangkap lebih banyak ikan lantas pendapatan mereka meningkat. Secara tidak langsung, peningkatan pendapatan membuatkan kehidupan lebih ceria.

Senang cerita, subsidi dan rakyat Malaysia ini bagaikan aur dengan tebing kerana kedua-duanya saling memerlukan. Walau bagaimanapun, kerajaan ada pandangan tersendiri terhadap pemberian subsidi. Kerajaan menyatakan subsidi tidak dapat dinikmati secara sepenuhnya oleh golongan sasaran. Betul ke macam gitu?

Kebiasaannya, minyak bersubsidi seperti ron95 akan diisi oleh golongan B40 yang menggunakan kereta kompak seperti Axia dan Saga. Masalahnya sekarang golongan kaya yang pakai Mustang sewa dan Honda ketam turut nikmati ron95 setelah harga ron97 naik. Kereta golongan kaya ini miliki tangka yang besar dan pasti mereka akan lebih banyak isi minyak. Bermakna subsidi minyak banyak dinikmati golongan kaya berbanding B40.

Di samping itu, kerajaan telah mengeluarkan begitu banyak duit untuk menyerap segala kos subsidi. Antaranya adalah kerajaan telah membelanjakan RM14.4 bilion setahun hanya untuk subsidi ron95 sahaja. Manakala bagi minyak masak, kerajaan terpaksa membelanja sekitar RM4 bilion.

Dengan duit sebanyak itu dan ketidaksampaian subsidi kepada yang layak, itu kelihatan seperti sebuah kerugian. Jadi kerajaan ni kejamlah, bantu rakyat pun dikata rugi. Sebenarnya dengan jumlah sebanyak itu kerajaan boleh berikan lebih banyak bantuan kepada yang layak. Malah kemudahan infrastruktur boleh dibina dan dinaiktaraf dengan mudah.

Namun macam biasa, kerajaan belum cukup gila untuk tarik segala subsidi seperti dibuat oleh negara-negara maju. Kita pula beranggapan subsidi adalah cinta sejati. Tanpa subsidi, kita akan sepi.

RUJUKAN:

Bernama. (2022, Jun 25). Subsidi 2022, RM77.3 bilion terbesar dalam sejarah, menurut menteri kewangan. Free Malaysia Today. Dipetik daripada https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/25/subsidi-2022-rm77-3-bilion-terbesar-dalam-sejarah-menurut-menteri-kewangan/

Iwan Shu-Aswad Shuaib. (2019, Oktober 19). Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini. Mstar. Dipetik daripada https://www.mstar.com.my/klik/2019/10/17/kpdnhep-subsidi

Nurhazwani Mohd Ali, Mustazar Mansur & Hazrul Izuan Shahiri. (2022). Kesan kos input pengeluaran terhadap perubahan harga minyak masak sawit di Malaysia. Jurnal Dunia Pengurusan, 4(1), 85-96. https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpg

Wai Tee. (2022, Mac 29). Siapa sebenar nikmati barangan bersubsidi? Sinar Harian. Dipetik daripada https://www.sinarharian.com.my/article/195211/BERITA/Nasional/Siapa-sebenar-nikmati-barangan-bersubsidi

Zaimah Ramli & Nurul Anisya Mohd Rabani. (2017). Kepuasan terhadap subsidi dan kesejahteraan hidup komuniti nelayan. Geografi, 5(3), 41-45. http://ojs.upsi.edu.my/index.php/GEOG

Share.

Seorang marhaen dari UITM Puncak Perdana yang meminati sejarah, sastera, falsafah, sukan, muzik dan ekonomi. Mata pena lebih tajam daripada mata keris dan menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa sahaja.

Leave A Reply