Moving Forward As One

Raja Samaratungga: Pembina Candi Borubudur Di Indonesia

941

Rakai Garung Dyah Samaragriwa atau Raja Samaratungga merupakan Raja Medang merangkap Raja Sriwijaya dari Dinasti Sailendra yang berkuasa sekitar tahun 812-833. Bagindalah orang yang bertanggungjawab membina Candi Borobudur yang merupakan salah satu keajaiban dunia.

Ada yang menyatakan Samaratungga sebagai anak kepada Raja Dharanindra (775-800) tetapi Slamet Muljana berpendapat sebaliknya. Menurut beliau, Raja Samaratungga ialah anak kepada Raja Samaragrawira yang memerintah sekitar tahun 800-812.

Raja Samaratungga telah berkahwin dengan Dewi Tara iaitu anak kepada Raja Dharmasetu. Hasil perkahwinan ini mereka memperolehi 2 orang anak iaitu Pramodawhardani dan Balaputradewa. Tetapi ada yang berpendapat Balaputradewa merupakan bapa saudara kepada Pramodawhardani.

Selepas kematian Raja Samaratungga, berlaku perang antara Balaputradewa dengan Rakai Pikatan iaitu suami kepada Pramodawhardani untuk menguasai Dinasti Sailendra. Namun malangnya, Balaputradewa telah tewas dan kemudiannya telah diangkat sebagai Raja Sriwijaya yang baharu. Rakai Pikatan kemudiannya telah mengembalikan kekuasaan Wangsa Sanjaya sebagai kuasa unggul di Jawa.

Slamet Muljana pula berpendapat, Raja Samaragrawira telah membahagikan Sriwijaya kepada 2 bahagian iaitu Samaratungga menguasai Jawa manakala Balaputradewa telah menguasai Sumatera (Sriwijaya).

Berbanding dengan Raja Dhanindra yang giat meluaskan kuasanya, Raja Samaratungga telah menumpukan pemerintahan kepada pembangunan budaya dan agama. Contoh jelas ialah pembinaan Candi Bhumisambhara atau Borobudur.

Arkitek candi ini ialah Gunadharma. Selain itu, beberapa orang lagi turut dilibatkan dalam pembinaan candi ini seperti Kumarabacya dari Bangalore dan Visvawarman iaitu seorang Buddha dari Kashmir.

Candi ini dibina di kawasan bukit yang dikelilingi oleh Gunung Sundoro-Sumbing dan Gunung Merbabu-merapi. Selain itu, candi ini juga dibina berdekatan dengan sumber air iaitu Sungai Progo dan Sungai Elo.

Candi Borobudur menggambarkan falsafah ajaran Buddha Mahayana, konsep alam semesta serta tingkatan pemikiran dalam ajaran Buddha. Selain itu, candi ini juga menggambarkan 10 tingkatan Bodisattva yang harus dilalui untuk mencapai kesempurnaan sebagai Buddha.

Candi Borobudur memaparkan keajaiban binaan kuno masyarakat nusantara. Di candi ini, terdapat banyak arca Buddha dalam keadaan bersila serta posisi teratai.

Pembinaan Candi Borobudur ini juga telah membuktikan kepada kita bahawa Sriwijaya merupakan sebuah kerajaan yang beragama Buddha bukannya Hindu sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Selain itu, anak Samaratungga iaitu Pramodawardhani juga merupakan penganut Buddha walaupun beliau berkahwin dengan Rakai Pikatan yang beragama Hindu.

Sebenarnya tidak banyak sejarah Raja Samaratungga yang kita ketahui tetapi tinggalan Candi Borobudur yang bina semasa era baginda telah menjadikan nama baginda cukup terkenal di antara nama raja-raja Sriwijaya yang lainnya.

—-

Anda sebenarnya sedang membaca sebahagian daripada petikan buku terbaru kami, iaitu RAHSIA EMPAYAR MELAYU SRIVIJAYA. Ayuh beli sempena pra-tempah dan masih ada harga diskaun ini. Jom beli di shopee kami: Srivijaya: http://t.ly/9z3K

Ruangan komen telah ditutup.