Raja-Raja Melayu Yang Ditabalkan Oleh Pihak Jepun

0
2263
views

Pada awal tahun 1942, bermulanya pendudukan tentera Jepun ke atas negeri-negeri Melayu di Asia Tenggara termasuklah Tanah Melayu. Pendaratan tentera Jepun di pantai negeri Kelantan pada bulan Disember tahun 1941 seterusnya penaklukan Singapura pada bulan Februari tahun 1942 menandakan bermulanya sejarah hitam bagi penduduk Tanah Melayu. Sungguhpun, Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu ketika itu kekal memerintah dan berdaulat di negeri masing-masing, namun terdapat juga beberapa institusi Raja Melayu yang terkesan hasil pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu.

Sewaktu era pendudukan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu sekitar tahun 1941-1945, terdapat beberapa orang Raja Melayu ditabalkan oleh pihak Jepun, penyingkiran sementara pewaris takhta yang dilantik sebelum ketibaan tentera Jepun, tetapi kemudiannya dimakzulkan pula daripada takhta oleh pihak British sebelum ditabalkan kembali pewaris takhta yang disingkirkan sebelum itu. Perkara tersebut berlaku kepada tiga orang Raja Melayu di tiga buah negeri di Tanah Melayu. Dalam artikel ini, penulis akan membincangkan tentang tiga orang Raja Melayu yang ditabalkan oleh pihak Jepun sebelum dimakzulkan oleh British selepas kekalahan tentera Jepun.

Jetpack Langkawi

1. Sultan Musa Ghiathuddin Shah (Kesultanan Selangor)

Sultan Musa Ghiathuddin Shah atau nama asal baginda Tengku Musa Eddin (disebut juga Tengku Masauddin) merupakan putera sulung gahara kepada Sultan Selangor kelima iaitu Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Perihal berkenaan ketokohan dan kewarakan Sultan Alauddin Sulaiman Shah pernah penulis bincangkan dalam artikel penulis sebelum ini yang bertajuk “Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Berjiwa Ulama” siaran pada 15 Februari 2018. Tengku Musa juga merupakan kakanda sulung kepada Sultan Selangor keenam dan kelapan (menurut susunan sultan) iaitu Sultan Hisamuddin Alam Shah al-Haj.

Selepas kemangkatan Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada tahun 1938, putera ketiga Almarhum iaitu Tengku Alam Shah (Sultan Hisamuddin) ditabalkan sebagai Sultan Selangor keenam menggantikan ayahandanya. Pertabalan tersebut adalah melangkaui dua orang kakanda baginda (berlainan bonda) iaitu Tengku Musa Eddin dan Tengku Badar.

Sebelum itu, sebaiknya penulis menerangkan secara ringkas perihal Tengku Musa. Tengku Musa diputerakan pada bulan Disember tahun 1893. Baginda mendapat pendidikan di Institusi Victoria, Kuala Lumpur dan Kolej Melayu Kuala Kangsar di Perak. Baginda bukan sahaja pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, bahkan baginda juga merupakan anak Melayu terawal menyertai pasukan sukarelawan dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.

Pada tahun 1920, sebagai seorang putera sulung gahara, Sultan Alauddin Sulaiman Shah telah menabalkan puteranya sulungnya itu iaitu Tengku Musa sebagai Raja Muda Selangor. Pada tahun 1927, baginda dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu sebagai Ahli Majlis Persekutuan untuk menyusun semula Majlis Persekutuan. Baginda meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Persekutuan pada tahun 1933.

Pada tahun 1934, atas desakan Residen British di Selangor ketika itu iaitu T. S. Adam, kerajaan British telah memaksa Tengku Musa diturunkan daripada takhta Raja Muda Selangor kerana didakwa baginda berperangai buruk seperti suka berjudi dan banyak berhutang yang tidak melayakkan baginda kekal berada di atas takhta Raja Muda Selangor. T. S. Adam dikenali oleh orang awam sebagai seorang pegawai British yang suka bercampur gaul dengan masyarakat Melayu, tetapi beliau tidak suka melihat orang Melayu mengingkari perintahnya. Hal tersebut adalah sikap Tengku Musa yang tidak disukai oleh Residen Selangor itu. Disebabkan desakan kerajaan British, Sultan Alauddin terpaksa menurunkan puteranya itu daripada takhta Raja Muda walaupun keputusan tersebut tidak dipersetujui oleh baginda sendiri dan orang-orang besar istana.

Pada tahun 1936, Sultan Alauddin telah menabalkan puteranya yang ketiga iaitu Tengku Alam Shah sebagai Raja Muda Selangor menggantikan kakandanya, Tengku Musa. Ketika kakandanya memegang takhta sebagai Raja Muda Selangor, baginda ditabalkan sebagai Tengku Laksamana Selangor. Apabila baginda ditabalkan sebagai Raja Muda Selangor, kakandanya Tengku Musa dikurniakan gelaran Tengku Kelana Jaya Putera. Tengku Kelana Jaya Putera merupakan suatu gelaran dan kedudukan sebagai Timbalan Yang Dipertuan Muda dalam Kesultanan Riau-Lingga. Kesultanan Selangor juga merupakan kerabat diraja dengan Kesultanan Riau-Lingga. Tengku Badar pula ditabalkan sebagai Raja Bendahara Selangor. Sungguhpun begitu, tiada sebarang perselisihan antara mereka tiga beradik. Buktinya, Tengku Musa sendiri mengetuai persiapan majlis upacara adat-istiadat pertabalan sehingga majlis pertabalan tersebut berlangsung dengan jayanya.

Apabila Sultan Alauddin Sulaiman Shah mangkat dua tahun selepas itu, iaitu pada tahun 1938, Tengku Alam Shah ditabalkan sebagai Sultan Selangor yang keenam menggantikan almarhum ayahandanya dengan gelaran Sultan Hisamuddin Alam Shah. Pada awal tahun 1942, seluruh Tanah Melayu berjaya diduduki oleh tentera Jepun termasuklah negeri Selangor.

Atas desakan Gabenor Jepun di Selangor, kerajaan Jepun telah memakzulkan Sultan Hisamuddin secara paksa daripada takhta dan menabalkan kakandanya, Tengku Musa sebagai Sultan Selangor yang ketujuh dengan gelaran Sultan Musa Ghiathuddin Shah. Baginda bersemayam di Istana Mahkota Klang. Sepanjang pemerintahan baginda, baginda lebih banyak menumpukan perhatian dalam menjaga kebajikan kaum kerabatnya dari segi pemberian wang perbelanjaan, makanan dan pakaian yang diberikan oleh pihak Jepun kepada baginda. Ketika zaman pendudukan Jepun yang zalim, bukan rakyat sahaja menderita, bahkan kerabat diraja juga merasai penderitaannya.

Apabila pihak Jepun kalah dalam Peperangan Dunia Kedua, tentera British kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1945. Atas desakan pihak British, Sultan Musa dimakzulkan daripada takhta dan ditabalkan semula adindanya, Sultan Hisamuddin Alam Shah sebagai Sultan Selangor. Pihak British memerintahkan supaya Sultan Musa dibuang negeri ke Kepulauan Cocos Keling di Lautan Hindi (pada masa kini merupakan sebahagian daripada wilayah Australia). Selama hampir setahun baginda dalam buangan di kepulauan tersebut, Sultan Hisamuddin memperkenankan supaya kakandanya itu dibawa pulang semula ke Klang. Baginda diperkenankan untuk terus memakai gelaran Tengku Kelana Jaya Putera, dikurniakan kediaman di Klang, diberikan elaun bulanan sebagai Tengku Kelana Jaya Putera dan sebagai putera sulung Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah selain pelbagai elaun perbelanjaan hidup bulanan lain mengikut ketetapan kerajaan Selangor. Tengku Musa mangkat di Kuala Lumpur pada tahun 1955 dan dimakamkan di Makam Diraja Klang.

2. Sultan Ali Shah (Kesultanan Terengganu)

Tengku Ali merupakan putera sulung kepada Sultan Terengganu ke-13 iaitu Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Baginda diputerakan pada bulan Januari tahun 1914. Beberapa bulan sebelum kemangkatan Sultan Sulaiman, tentera Jepun telah berjaya menduduki seluruh Tanah Melayu termasuklah negeri Terengganu. Pada bulan Januari 1942, atas persetujuan Jemaah Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, Sultan Sulaiman berkenan menabalkan puteranya, Tengku Ali sebagai Yang Dipertuan Negeri dan bakal sultan. Pada bulan September 1942, Sultan Sulaiman mangkat ketika zaman pendudukan Jepun.

Atas perkenan istana dan pengiktirafan pihak tentera Jepun yang menguasai negeri Terengganu ketika itu, Tengku Ali ditabalkan sebagai Sultan Terengganu yang baharu menggantikan almarhum ayahandanya dengan memakai gelaran Sultan Ali Shah. Walau bagaimanapun, bukan semua pembesar negeri bersetuju dengan pertabalan tersebut. Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Dato’ Jaya Perkasa Che’ Da Omar Mohammad adalah antara pembesar negeri yang tidak mengiktiraf pertabalan tersebut. Menurut mereka, baginda tidak layak ditabalkan sebagai sultan kerana didakwa baginda mempunyai beberapa kelemahan dari segi fizikal dan keperibadian.

Walaupun Sultan Ali telah melantik Dato’ Jaya Perkasa sebagai Menteri Besar Terengganu, namun perlantikan tersebut tidak mengubah sikap prejudisnya terhadap Sultan Ali. Apabila tentera British kembali semula ke Tanah Melayu setelah kekalahan tentera Jepun pada tahun 1945, Dato’ Jaya Perkasa dan para pembesar pengikutnya yang lain meneruskan usaha mereka untuk cuba memakzulkan Sultan Ali daripada takhta. Mereka mengemukakan laporan kepada pihak pentadbiran tentera British mempertikaikan kedudukan Sultan Ali di atas takhta. Sultan Ali didakwa berkeperibadian buruk selain bersikap pro-Jepun. Mereka mencadangkan supaya adinda Almarhum Sultan Sulaiman iaitu Tengku Ismail yang bergelar Tengku Paduka Raja yang lebih dihormati oleh semua rakyat negeri Terengganu dan fasih berbicara dalam bahasa Inggeris ditabalkan sebagai sultan menggantikan anakanda saudaranya itu.

Akhirnya, pihak pentadbiran tentera British mengambil keputusan memakzulkan Sultan Ali daripada takhta dan menabalkan ayahanda saudaranya iaitu Tengku Ismail sebagai Sultan Terengganu yang baharu dengan gelaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Gelarannya kembali kepada Tengku Ali dan baginda diberi elaun perbelanjaan hidup bulanan.

Pihak British mengambil kesempatan atas situasi tersebut. Pada awal pertabalan lagi, Sultan Ismail telah didesak oleh pihak British supaya menandatangani surat persetujuan penubuhan Malayan Union. Pada mulanya, baginda tidak mahu menandatanginya, tetapi atas desakan pihak British dan pujukan Dato’ Jaya Perkasa, akhirnya baginda terpaksa menandatanganinya. Walaupun begitu, seperti Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu yang lain, Sultan Ismail turut memprotes rancangan Malayan Union dengan mengutus surat bantahan kepada pihak British.

Tengku Ali yang dimakzulkan daripada takhta terus memperjuangkan haknya untuk mendapatkan kembali takhtanya daripada pihak British. Walau bagaimanapun, usahanya itu tidak diendahkan oleh pihak British. Baginda mangkat pada tahun 1996 di Kuala Terengganu dan dimakamkan di perkarangan Masjid Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

3. Raja Syed Hamzah Jamalullail (Kesultanan Perlis)

Syed Hamzah Jamalullail merupakan putera ketiga kepada Raja Perlis ketiga iaitu Raja Syed Safi Jamalullail. Penulis ada membincangkan mengenai sejarah ringkas pengasasan Kesultanan Perlis dalam artikel yang lepas iaitu pada siaran 30 Mac 2018. Syed Hamzah diputerakan pada tahun 1895. Semasa pemerintahan kakanda sulungnya iaitu Raja Syed Alwi Jamalullail sebagai Raja Perlis keempat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis bersetuju untuk menabalkan anakanda saudara baginda yang bernama Syed Hassan ibni Syed Mahmud ibni Syed Safi Jamalullail sebagai Bakal Raja Perlis. Ini kerana Raja Syed Alwi tidak mempunyai zuriat dan adinda kedua baginda iaitu Syed Mahmud Jamalulluil telahpun mangkat pada tahun 1921.

Walau bagaimanapun, Syed Hassan mangkat pada tahun 1935. Puteranya, Syed Harun Putra Jamalullail kemudiannya ditabalkan sebagai Bakal Raja Perlis pada tahun 1938. Raja Syed Alwi mangkat pada tahun 1943 ketika zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Sebelum kemangkatan Raja Syed Alwi, pihak Jepun yang menguasai pentadbiran negeri Perlis telah menurunkan Syed Harun Putra sebagai Bakal Raja Perlis, seterusnya menabalkan Syed Hamzah menduduki takhta tersebut.

Ketika zaman pemerintahan kakandanya iaitu Raja Syed Alwi, Syed Hamzah begitu aktif membantu urusan pentadbiran negeri Perlis Naib Presiden Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Negeri Perlis. Apabila tentera Jepun menduduki negeri Perlis, pihak Jepun telah melantik Syed Hamzah sebagai Presiden Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang baharu yang dinaungi oleh Militari Jepun, memandangkan Raja Syed Alwi ketika itu berada di luar negeri Perlis. Apabila Raja Syed Alwi kembali ke negeri Perlis, baginda dilantik sebagai Presiden dan Syed Hamzah diturunkan sebagai Naib Presiden majlis tersebut. Pihak Jepun kemudiannya menurunkan Syed Harun Putra daripada takhta Raja Muda dan digantikan dengan nenda saudaranya itu iaitu Syed Hamzah.

Apabila Raja Syed Alwi mangkat pada bulan Februari tahun 1943, adindanya, Syed Hamzah, ditabalkan oleh pihak Jepun sebagai Raja Perlis kelima dengan gelaran Raja Syed Hamzah Jamalullail. Pemerintahan baginda begitu singkat iaitu hanya selama dua tahun sebelum tentera British kembali ke Tanah Melayu setelah kekalahan tentera Jepun. Pihak British enggan mengiktiraf kedudukan Raja Syed Hamzah sebagai Raja Perlis dan baginda dimakzulkan oleh pihak British. Pihak British kembali menabalkan Syed Harun Putra sebagai Raja Muda Perlis, sekaligus menabalkan baginda sebagai Raja Perlis keenam dengan gelaran Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail.

Syed Hamzah berpindah bersama keluarga baginda dari Istana Arau ke wilayah Setul (Satun) dan kemudiannya berhijrah ke Alor Star di Kedah sehingga baginda menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1958.

 

Sebelum merdeka, sungguhpun kedaulatan Raja-Raja Melayu berkekalan ketika zaman pendudukan kuasa-kuasa asing, namun ianya bergantung juga kepada pengiktirafan dan tekanan daripada kuasa-kuasa besar yang menaunginya. British, Jepun dan Siam merupakan tiga buah kuasa besar penjajah yang berpengaruh kuat dalam urusan pertabalan dan pemakzulan Raja-Raja Melayu di istana-istana negeri naungan mereka di Tanah Melayu. Kita dapat memahami bagaimana pada ketika itu urusan pertabalan seseorang bakal raja mengikut waris yang disukai oleh mereka sehingga mengenepikan adat dan undang-undang negeri.

Semoga Allah SWT merahmati sekalian Raja-Raja Melayu yang beragama Islam dan didoakan agar mereka semua dikurniakan kesihatan akal dan fizikal yang baik supaya dapat memerintah negeri, negara dan menaungi rakyat jelata dengan adil dan bijaksana.

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan perkara di atas, para pembaca boleh merujuk sumber-sumber rujukan berikut:

SUMBER RUJUKAN:

– Abdullah Zakaria Ghazali, “Risalah Keluaran Khas Sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj yang ke-70,” SelangorKini, 2015.

– Buyong Adil, Sejarah Selangor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1981.

– Nik Anuar Nik Mahmud, “Tengku Ali, British dan Takhta Terengganu,” dalam Jebat, 2001, hlm. 25-42.

– Yazid Mat & Hazman Hassan, “Menjelang 200 Tahun Kerajaan Perlis di Bawah Pemerintahan Tujuh Orang Raja: Institusi Raja Perlis, Antara Kesinambungan dengan Perubahan,” dalam Ramlah Adam et al., Pemerintahan Raja dan Kerajaan Perlis, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015, hlm. 3.