Setiap raja/pemerintah mempunyai cara tersendiri untuk menggambarkan pemerintahannya mendapat mandat Tuhan. Di negara-negara Barat, mandat ini penting sebagai cara mengesahkan keabsahan mereka sebagai raja/pemerintah. Kebiasaannya, mandat diberi kepada mereka semasa hari pertabalan dengan roh mereka diserahkan kepada Tuhan. Ini menjadikan mereka mempunyai kelebihan luar biasa termasuk berupaya menyembuhkan penyakit rakyat mereka.

Sentuhan yang boleh menyembuhkan penyakit ini dipanggil Sentuhan Diraja (Royal Touch). Ia diamalkan oleh raja-raja England dan Perancis sepanjang Zaman Pertengahan. Kebiasaannya, semua rakyat tanpa mengira status boleh memohon untuk menghadap raja dan menerima Sentuhan Diraja.

Sentuhan Diraja atau Sentuhan Raja yang dimiliki oleh raja yang mempunyai hubungan langsung dengan Tuhan berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Disebabkan keupayaan yang sebegitu rupa, ia menarik perhatian ramai orang sakit atau cacat untuk memohon sentuhan baginda agar penyakit atau kecacatan dialami mereka hilang atau sembuh.

Pada awalnya, Sentuhan Diraja digunakan untuk merawat skrofula. Berikutan keupayaannya merawat penyakit tersebut, ia turut diberi gelaran ‘Syaitan Raja’. Tetapi, ia tidak terhenti di situ saja.

Ramai orang memohon untuk menghadap raja agar dapat memberi Sentuhan Diraja untuk apa saja yang penyakit dialami. Daripada demam dan reumatisme hinggalah buta dan goiter, semua berharap sentuhan baginda dapat menyembuhkan kesakitan yang dihadapi. Ini didorong oleh kepercayaan kuat bahawa raja mempunyai kuasa pemulihan yang dikurniakan Tuhan kepadanya.

Tetapi dari segi propaganda, ia amat berguna untuk menonjolkan kehebatan raja. Dengan Sentuhan Diraja, sang raja bukan saja boleh menunjukkan kuasanya diiktiraf oleh Tuhan. Malah, ia menonjolkan baginda sebagai raja yang mempunyai belas kasihan dan menjaga kebajikan rakyat. Bagi raja-raja England dan Perancis, Sentuhan Diraja merupakan cara terbaik untuk mengekalkan keamanan dalam kerajaan mereka.

Satu sebab mengapa rakyat percaya dengan keajaiban Sentuhan Diraja ini ialah raja sentiasa kelihatan sihat semasa berada di luar istana. Ini boleh terjadi kerana gaya hidupnya yang sihat atau penampilannya diatur agar baginda kelihatan sihat bila bertemu dengan rakyat. Atas sebab itulah, rakyat percaya bila mereka mendapat Sentuhan Diraja, mereka akan sihat sama seperti raja mereka.

Antara pemerintah pertama yang mengamalkan perkara ini ialah Raja England abad ke-11, Edward the Confessor. Baginda menjadi terkenal selepas sentuhan baginda menyembuhkan penyakit skrofula dengan cara menyentuh tangan dan meletakkan cop pada leher rakyat yang menghadapnya.

Rajah 1: Raja Edward the Confessor memberi Sentuhan Diraja kepada seorang pesakit.

Disebabkan sentuhan ini, ia menjadikan pemerintahannya aman daripada sebarang kacau-bilau. Tetapi Sentuhan Diraja baginda bukan percuma dan perlu dibayar dalam bentuk derma kepada perbendaharaan diraja selepas mendapat sentuhan berkenaan. Malah, nama Edward the Confessor dan sentuhannya turut diabadikan dalam drama Macbeth oleh William Shakespeare.

Menariknya, konsep yang diperkenalkan Shakespeare semasa era pemerintahan Ratu Elizabeth I itu sebenarnya telah dibuat lebih awal oleh nendanya Raja Henry VII pada akhir abad ke-15. Bezanya, Sentuhan Diraja baginda mempunyai upacara yang rumit termasuk memberi wang kepada golongan miskin.

Setiap kali mereka selesai menerima Sentuhan Diraja, mereka akan menerima syiling emas yang dipanggil Angels yang memaparkan imej Malaikat Michael menewaskan seekor naga. Syiling ini bertujuan memberi kekuatan secara simbolik kepada penerimanya untuk melawan dan mengatasi penyakit mereka. Syiling ini biasanya dipakai sebagai azimat yang diharap memberi sumber kesembuhan berterusan.

Selain memberi Sentuhan Diraja, Henry VII turut mengadakan sesi doa bersama mereka. Kebanyakan bacaan doa penyembuhan diambil dari kitab Gospel of Mark dan John serta dibaca dalam upacara berkenaan.

Tetapi ini langsung tidak mengatasi raja-raja Perancis. Semasa era pemerintahan Raja Louis XIV, Sentuhan Diraja baginda berupaya menyembuhkan 1,600 orang dalam satu majlis Easter Ahad. Bagi raja-raja Perancis, ini bukan sesuatu yang asing kerana menjadi tradisi mereka memberi Sentuhan Diraja untuk hari-hari keraian Kristian. Dan ada juga yang percaya mereka boleh menyembuhkan orang sakit walaupun selepas mangkat.

Rajah 2: Raja Louis XIV memberi Sentuhan Diraja kepada rakyat yang menghadap

RUJUKAN

Dimri, Bipin. (2021, 18 Oktober). The Royal Touch: Could Medieval Monarchs Heal You With Their Hands?. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.