Raja Hsinbyushin: Raja Perang Burma

168

Raja Hsinbyushin menjadi terkenal dalam sejarah dunia apabila mampu menghancurkan Empayar Siam iaitu Kerajaan Ayutthaya dalam Perang Siam-Burma 1765-1767 dan mengalahkan Dinasti Qing yang ketika itu diperintah oleh maharaja agungnya iaitu Maharaja Qianlong dalam Perang Qing-Burma.

Kejayaan baginda dalam mengalahkan Siam dan China merupakan satu keajaiban yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Burma sejak Raja Bayinnaung. Dengan itu baginda di gelar the Greatest Military King of Burma. Selain itu, baginda turut terkenal sebagai seorang penakluk yang unggul Dinasti Konbaung apabila turut berjaya meluaskan Empayar Burma semasa fasa pertama penaklukan baginda (1764-1770).

Kemudian ketika fasa kedua (1770-1776) merupakan fasa kemerosotan Burma selepas di serang hebat oleh China dan baginda sendiri menderita diserang penyakit sehingga membawa kepada kemangkatan baginda pada 10 Jun 1776.

Raja Hsinbyushin merupakan anak kedua Aung Zeya atau Raja Alaungpaya yang merupakan pengasas kepada Dinasti Konbaung. Baginda merupakan raja ketiga Dinasti Konbaung yang memerintah selama 12 tahun 6 bulan dari tahun 1763 hingga 1776. Baginda menaiki takhta kerajaan selepas menggantikan abangnya iaitu Raja Naungdaugyi (nama asalnya Maung Lauk) yang hanya memerintah selama 3 tahun sahaja selepas mangkat di serang penyakit.

Sejarah Awal

Raja Hsinbyushin di lahirkan dengan nama asal Maung Ywa pada 12 September 1736 di Kampung Moksobo (Shwebo sekarang) iaitu perkampungan Diraja tempat lahirnya Dinasti Konbaung. Maung Ywa di besarkan ketika Burma berada dalam keadaan kacau bilau akibat pergolakan politik dalaman dan serangan daripada pihak luar. Ketika itu Burma di perintah oleh Dinasti Toungoo pimpinan Raja Maha Dharmaraja Dhipati yang merupakan raja terakhir Dinasti Toungoo.

Pada tahun 1740, puak Mon berjaya mengembalikan semula Kerajaan Hanthawaddy di Burma Hilir dan menjadi musuh politik utama kepada Burma. Akibat kelemahan dan pergolakan politik Toungoo menyebabkan Hanthawaddy pimpinan Raja Binya Dala berjaya menakluk ibu kota Toungoo iaitu Kota Inwa (atau Ava) pada tahun 1752, dalam masa yang sama Aung Zeya (ayahanda Raja Hsinbyushin) menubuhkan Dinasti Konbaung di Kampung Moksobo dan memakai gelaran Raja Alaungpaya, manakala Raja Toungoo iaitu Raja Maha Dharmaraja Dhipati di tangkap oleh Raja Binya Dala dan dijatuhi hukuman bunuh 2 tahun kemudian.

Selepas kejatuhan Toungoo, seluruh bangsa Burma berada dalam ketakutan mengenai ancaman Kerajaan Hanthawaddy yang berbangsa Mon. Oleh itu, ramai orang-orang Burma menyertai Aung Zeya bagi menentang kemaraan puak Mon daripada terus menguasai negara Burma. Ketika itu Maung Ywa baru sahaja berumur 15 tahun bersemangat dengan seruan ayahandanya supaya bangsa Burma bangkit menentang puak Mon.

Penglibatan Dalam Ketenteraan

Maung Ywa memakai gelaran Thado Minsaw ketika menjadi komander perang penting kepada Konbaung. Raja Alaungpaya memberikan kepercayaan kepada Maung Ywa dalam kempen ketenteraan menawan semula kota Inwa yang tumbang ke tangan puak Mon. Pada awal tahun 1754, Maung Ywa dan tentera Burma berjaya menakluk Inwa menyebabkan askar Mon berundur ke Burma Hilir.

Puak Mon sekali lagi menyerang Burma dengan kira-kira 20,000 orang tentera melawan Maung Ywa dan abangnya Maung Lauk dan Burma mengalami kekalahan di Myingyan. Burma terpaksa berundur ke Inwa, dan mempertahankan kota tersebut daripada jatuh sekali lagi kepada puak Mon, akhirnya beliau berjaya mempertahankannya.

Pada tahun 1755, Raja Alaungpaya serta dua orang anaknya iaitu Maung Ywa dan Maung Lauk yang bertindak sebagai komander perang melancarkan serangan secara besar-besaran yang di sertai kira-kira 30,000 orang tentera ke atas Kerajaan Hanthawaddy yang menguasai Burma Hilir. Pada tahun 1757, ibu negara Kerajaan Hanthawaddy iaitu Bago akhirnya jatuh ke tangan Burma dan Konbaung berjaya menyatukan kembali Burma Hulu dan Burma Hilir.

Dalam Perang Siam-Burma 1759-1760, Maung Ywa turut mengikuti jejak langkah ayahandanya Raja Alaungpaya dalam menguasai Siam sehingga serangan terhenti akibat Raja Alaungpaya terkena serangan penyakit secara tiba-tiba dan mangkat pada 11 Mei 1760. Takhta kerajaan Konbaung di serahkan kepada abang Maung Ywa iaitu Maung Lauk yang kemudiannya memakai gelaran Raja Naungdawgyi. Ketika abangnya menjadi Raja Burma, Maung Ywa menjadi pewaris Diraja Burma.

PEMERINTAHAN RAJA HSINBYUSHIN

Pada November 1763, Raja Naungdawgyi tiba-tiba mangkat akibat terkena serangan penyakit scofula, penyakit sama yang membunuh Raja Alaungpaya. Dengan kemangkatan Raja Naungdawgyi, Maung Ywa di tabal sebagai Raja Konbaung ketiga dengan memakai gelaran Raja Hsinbyushin atau nama penuh dirajanya iaitu Sri Suriya Dharma Mahadhammaraja Rajadhipati.

Gambar 1: Gambaran Raja Hsinbyushin

Pemindahan Ibu Negara

Sebaik sahaja ditabalkan menjadi raja bagi Empayar Burma, langkah pertama yang dilakukan oleh Raja Hsinbyushin ialah dengan membina semula Kota Inwa yang telah hancur di serang oleh puak Mon iaitu Dinasti Hanthawaddy. Tujuannya ialah untuk memindahkan ibu negara Konbaung dari Sagaing ke Inwa. Pada 27 November 1765, baginda telah mengumumkan secara rasmi Inwa sebagai ibu negara Konbaung melalui satu perintah diraja.

Kebudayaan

Mengikut sejarah, Raja Hsinbyushin juga menititberatkan soal kesusasteraan dan falsafah. Hal ini di buktikan pada tahun 1765 apabila baginda menugaskan para penterjemah Brahmin untuk menterjemahkan kitab Hindu yang di tulis dalam bahasa sanskrit iaitu Kitab Analisis atau Vyakarana, sebuah kitab yang mengandungi pelbagai ilmu falsafah kuno. Selain itu, baginda juga mengarahkan pegawainya untuk mengubahsuai kitab undang-undang lama dan menjadikannya lebih baru mengikut situasi semasa yang di kenali sebagai Manusara Shwe Min Dhammathat. Baginda juga seorang yang meminati puisi dan syair.

KEMPEN KETENTERAAN

Kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh Raja Hsinbyushin boleh di bahagikan kepada dua fasa iaitu fasa kemuncak dan fasa kemerosotan. Ketika fasa kemuncak, Empayar Burma berjaya membina saiz empayar yang sangat luas hingga mencapai Laos, menghancurkan Kerajaan Ayutthaya dan menakluk kawasan pergunungan Timur Laut India. Fasa kemerosotan pula berlaku akibat serangan besar-besaran Dinasti Qing ketika pemerintahan maharaja agungnya iaitu Maharaja Qianlong menyebabkan ramai tentera yang berpengalaman Burma terkorban dan semakin lemah. Selain itu, baginda juga diserang penyakit menyebabkan fokus dalam peperangan tergendala buat sementara.

1. Fasa Kemuncak (1764-1770)

Matlamat utama Raja Hsinbyushin ialah ingin menguasai Siam. Siam merupakan musuh tradisi Burma yang sudah berperang sejak tahun 1547 lagi antara Dinasti Toungoo (Burma) menentang Kerajaan Ayutthaya (Siam). Siam juga pernah di takluk oleh Burma pada tahun 1563 kemudian berjaya membebaskan semula negaranya daripada cengkaman Burma. Ayahandanya iaitu Raja Alaungpaya juga ingin menguasai Siam dalam Perang Siam-Burma 1759-1760 tetapi hajat tidak kesampaian apabila Alaungpaya mangkat secara mengejut ketika mengepung Kota Ayutthaya. Kini, anaknya Raja Hsinbyushin menanam semula impian untuk menakluk semula Siam. Oleh itu, baginda mula mengumpulkan tenteranya dan menyusun strategi sebelum menyerang Siam.

  • Kempen Manipur Pertama (1764-1765)

Raja Hsinbyushin yang bersemangat mengumpul tentera bagi melawan Siam di kejutkan dengan berita pemberontakan di Manipur. Kerajaan Manipur yang merupakan negeri naungan Burma ketika itu di perintah oleh Raja Bagya Chandra bertindak menyerang pos-pos tentera Burma menyebabkan Raja Hsinbyushin bertindak menyerang Manipur dan berjaya menawan ibu negaranya iaitu Imphal  dengan mudah. Raja Bagya Chandra bertindak melarikan diri ke negeri Assam yang diperintah oleh Kerajaan Ahom. Kemudian Burma mengundurkan semula ramai tenteranya bagi menghadapi Siam.

  • Kempen ke atas Laos (1765)

Strategi pertamanya ialah dengan menakluk negeri Laos terlebih dahulu yang ketika itu di perintah oleh Kerajaan Vientiane, Kerajaan Luang Prabang, dan Kerajaan Champasak. Baginda melantik Ne Myo Thihapate sebagai komander perangnya. Dengan mudah pasukan tentera Burma berjaya menguasai Vientiane tanpa peperangan dan mengalahkan tentera Luang Prabang, dan mereka bersetuju menjadi negeri naungan kepada Burma. Burma tidak menyerang negeri Champasak kerana jarak negeri tersebut yang berada jauh di selatan Laos. Dengan penyerahan kalah kedua negeri Laos tersebut memudahkan lagi Burma untuk menakluk Siam dari arah utara.

  • Perang Siam-Burma 1765-1767

Perang Siam-Burma 1765-1767 merupakan kempen ke 11 daripada 19 siri kempen dalam Perang Siam-Burma 1547-1855 yang memakan masa lebih daripada 300 tahun!. Siam dan Burma merupakan musuh tradisi sejak Dinasti Toungoo (Burma) lagi menentang Siam yang diperintah oleh Kerajaan Ayutthaya, dan seterusnya Siam di ganti oleh Kerajaan Thonburi dan Rattanakosin. Kempen ini telah mengangkat nama Raja Hsinbyushin sebaris dengan legenda Burma seperti Raja Anawrahta, Raja Bayinnaung, dan Raja Alaungpaya.

Dalam Perang Siam-Burma 1765-1767 sebenarnya merupakan sinambungan daripada Perang Siam-Burma 1759-1760 yang di lancarkan oleh Raja Alaungpaya tetapi peperangan tidak dapat diteruskan di sebabkan kemangkatan Raja Alaungpaya. Pengganti Raja Alaungpaya iaitu Raja Naungdawgyi tidak dapat meneruskan misi menakluk Siam akibat berlaku masalah dalaman berkaitan perebutan takhta antara baginda dengan jeneral perang utama Burma iaitu Minkhaung Naurahta. Selepas kemangkatan Raja Naungdawgyi, misi ini di teruskan oleh anaknya iaitu Raja Hsinbyushin dalam usaha menakluk Siam yang merupakan musuh tradisi Burma.

Peperangan ini tercetus akibat pertikaian di wilayah Tanah Sari (atau Thanintharyi) antara Burma dan Siam, dan tindakan Siam yang menyokong puak Mon yang membentuk Kerajaan Hanthawaddy menimbulkan lagi kemarahan Siam. Dalam serangan pertama Burma dalam Perang Siam-Burma 1759-1760, Burma berjaya menguasai wilayah Tanah Sari. Dalam serangan kedua dalam Perang Siam-Burma 1765-1767, Burma memecahkan pasukannya kepada dua bahagian iaitu bahagian utara pimpinan Ne Myo Thihapati, manakala bahagian selatan pimpinan Maha Nawrata. Serangan tersebut berjaya meruntuhkan Empayar Siam dan ibu negaranya iaitu Kota Ayutthaya hancur di musnahkan secara rakus dan kejam oleh tentera Burma. Raja Siam iaitu Raja Ekkathat di bunuh, manakala kaum kerabatnya di tangkap dan di hantar ke Burma. Dengan kehancuran tersebut menandakan berakhirnya Kerajaan Ayutthaya yang merupakan kerajaan agung Siam yang telah memerintah lebih 400 tahun.

Gambar 2: Gambaran Artis Kota Ayutthaya
Gambar 3: Saiz Empayar Burma Ketika Kemuncak
  • Perang Qing-Burma 1765-1769

Perang Qing-Burma 1765-1769 merupakan salah satu daripada siri 10 Kempen Besar Qing ketika pemerintahan Maharaja Qianlong iaitu maharaja teragung Dinasti Qing. Peperangan ini tercetus akibat perbalahan di sempadan antara negeri Shan (Burma) dengan wilayah Yunnan (Qing/China). Perbalahan berlaku apabila Dinasti Toungoo (Burma) mengalami kejatuhan menyebabkan Burma hilang penguasaan ke atas negeri Shan, hal ini menyebabkan Qing mengambil kesempatan ke atas negeri Shan dengan menjadikan negeri tersebut tunduk kepada Qing.

Selepas penyatuan semula Burma oleh Raja Alaungpaya yang membina Dinasti Konbaung, baginda ingin menguasai semula bekas wilayah jajahan Dinasti Toungoo termasuk negeri-negeri Shan. Serangan Burma ke atas Shan menyebabkan penguasa Shan melarikan diri ke Yunnan dan memohon bantuan Dinasti Qing. Sebagai tindak balas, Maharaja Qianlong melancarkan invasi ke atas Burma bagi meruntuhkan Dinasti Konbaung, sebanyak empat siri invasi telah di lakukan oleh China ke atas Burma.

Dalam invasi pertama, pada tahun 1765 ketika Burma memulakan serangan ke atas Siam, China bertindak menghantar sebilangan kecil tenteranya seramai 6,000 orang tetapi di serang hebat oleh tentera pertahanan Burma dan China berjaya di kalahkan. Dalam invasi kedua,

China menghantar 27,500 orang tentera Green Standard pimpinan Yang Yinju, tetapi di sebabkan faktor cuaca yang panas dan serangan penyakit, China berjaya di kalahkan dengan mudah.

Dalam invasi ketiga tahun 1767, Maharaja Qianlong telah mengerahkan 50,000 orang tentera pimpinan Ming Rui dengan sebilangan besarnya ialah tentera elit Manchu Bannerman mara ke atas Burma. Raja Hsinbyushin terpaksa mengundurkan ramai tenteranya dari Siam melawan Qing dan berjaya mengalahkan tentera Qing dalam pertempuran Maymyo, dan puluhan ribu tentera elit Qing di bunuh beramai-ramai.

Dalam invasi keempat pula, setelah terkejut dengan kekalahan mengejut Qing, Maharaja Qianlong mengerahkan 60,000 orang tentera elit Manchu Bannerman pimpinan jeneral berpengalaman iaitu Fuheng. Ketika itu Burma sudah berjaya menakluk Siam tetapi kemenangan bergaya tersebut tidak kekal lama apabila puluhan ribu tentera Qing memasuki Burma. Raja Hsinbyushin terpaksa mengundurkan 40,000 orang tenteranya dari Siam bagi menghadapi ancaman China. Baginda hanya meninggalkan sedikit sahaja tentera di Siam. Pertempuran berlaku dan Burma sekali lagi berjaya mengalahkan China setelah ramai tenteranya di serang penyakit ketika musim monsun melanda wilayah Burma.

Jeneral Qing dan Burma membuat genjatan senjata tanpa pengetahuan Maharaja Qianlong dan Raja Hsinbyushin menyebabkan kedua-duanya marah dengan tindakan jeneralnya. Peperangan tidak di tamatkan secara rasmi tetapi kedua-duanya mengambil langkah berjaga-jaga di sempadan antara kedua negara.

  • Penyatuan Semula Siam

Selepas kehancuran dahsyat Kota Ayutthaya, Empayar Siam mula berpecah dan beberapa wilayahnya membebaskan diri daripada Kerajaan Ayutthaya. Selepas pengunduran ramai tentera Burma dari bumi Siam bagi melawan Qing, negeri-negeri Siam tersebut bertempur sesama sendiri bagi menyatukan dan membina kembali Empayar Siam. Salah sebuah wilayah iaitu Chantaburi yang ketika itu di ketuai oleh Chao Tak berjaya meyatukan negeri-negeri Siam dan mengalahkan tentera “garison” Burma di Siam. Chao Tak memakai gelaran Raja Taksin selepas memindahkan ibu negaranya ke Thonburi dan kerajaannya di kenali sebagai Kerajaan Thonburi.

  • Kempen Manipur Kedua (1770)

Pergolakan kembali tercetus di Manipur yang di manfaatkan oleh rajanya selepas Burma sibuk berperang dengan China. Tentera dan pegawai Burma yang terlibat dengan peristiwa genjatan senjata dengan China tidak berani untuk pulang ke Inwa akibat kemarahan Raja Hsinbyushin. Mereka bertindak menggempur Manipur dan mengalahkan pemberontak. Selepas kemenangan dengan pemberontak, kemarahan baginda semakin reda. Raja Bagya Chandra sekali lagi melarikan diri ke Assam.

2. Fasa Kemerosotan (1770-1776)

Fasa kemerosotan Dinasti Konbaung bermula selepas tamatnya Perang Qing-Burma. Raja Hsinbyushin tidak mampu lagi untuk menyerang Siam buat kali kedua dalam masa terdekat kerana telah mengerahkan ramai tenteranya ketika menentang China, di samping berlaku pemberontakan wilayah dalam jajahannya. Siam juga semakin kuat selepas penyatuan semula negara Siam oleh Raja Taksin the Great.

Gambar 4: Raja Taksin The Great

Selain itu, baginda telah kehilangan kawalan ke atas komander dan pegawainya yang memerintah di beberapa daerah dan negeri di dalam empayarnya. Komander dan pegawainya sering melakukan tindakan sendiri tanpa mengikut arahan baginda dan sering bertindak kejam ke atas rakyat di bawah penguasaannya hingga menyebabkan rakyat di kawasan tersebut bangkit menentang Burma.

Keadaan lebih buruk pada tahun 1774 apabila baginda di serang penyakit hingga menderita kesakitan dan tidak mampu untuk mengarahkan mana-mana operasi ketenteraan. Sejarawan berpendapat penyakit tersebut ialah scrofula yang turut membunuh abangnya Raja Naungdawgyi dan ayahandanya Raja Alaungpaya. Dengan keadaan tersebut menyebabkan keadaan politik negara semakin kucar kacir apabila pegawai-pegawainya mula bertindak bersendirian dan timbul cakap-cakap mengenai waris pengganti kepada raja.

  • Pemberontakan Mon (1774) dan Lan Na (1774-1775)

Pemberontakan Mon dan Lan Na tercetus akibat perangai komander dan pegawai kerajaan Burma yang memerintah di wilayah tersebut yang bertindak kejam ke atas puak Tai Yuan (Lan Na) dan Mon. Akibat perangai tersebut yang menimbulkan kemarahan puak tersebut menyebabkan mereka memberontak melawan Burma. Pemberontakan di Mon berjaya di patahkan oleh Burma dan raja terakhir puak Mon iaitu Raja Binnya Dala yang di tangkap pada tahun 1757 yang sebelum ini sudah di ampunkan oleh Raja Alaungpaya akhirnya di jatuhi hukuman bunuh oleh Raja Hsinbyushin kerana baginda berpendapat, puak Mon memberontak kerana mahukan semula raja mereka.

Sebaliknya berlaku di Lan Na apabila ketua puak Tai Yuan bekerjasama dengan Siam yang ketika itu di bawah pimpinan Chao Phraya Chakri (yang kemudiannya menubuhkan Dinasti Chakri yang membentuk Kerajaan Rattanakosin), dan Chao Phraya Surasi sudah menguasai negeri Lampang yang bersempadan dengan Lan Na. Kerjasama tersebut berjaya menguasai Chiang Mai pada 15 Januari 1775, kemudian Raja Siam iaitu Raja Taksin the Great tiba di Chiang Mai. Sebagai tindak balas, Burma melancarkan peperangan ke atas Lan Na dan Siam, dengan itu bermulanya Perang Siam-Burma 1775-1776.

  • Perang Siam-Burma (1775-1776)

Perang Siam-Burma (1775-1776) merupakan siri ke 12 dalam 19 siri Perang Siam-Burma. Peperangan ini merupakan sinambungan daripada pemberontakan Lan Na. Selepas pemberontak Lan Na dan Siam berjaya menguasai Chiang Mai pada Januari 1775, Raja Hsinbyushin menghantar 5,000 orang tentera awal ke Chiang Mai tapi berjaya di kalahkan Siam.

Kemudian pada bulan Oktober 1775, Raja Hsinbyushin yang masih lagi menderita akibat serangan penyakit telah mengarahkan Ketua Tentera Burma iaitu Maha Thiha Thura dan di bantu oleh Ne Myo Thihapate bersama kira-kira 35,000 orang tentera mara untuk menakluk Siam. Di pihak kem Burma, pelbagai masalah dalaman melanda yang menyebabkan serangan kali ini begitu suram dan lemah.

Raja berada dalam keadaan tenat akibat penyakit, para pegawai dan bangsawan mula berbalah untuk mencari pengganti, penyelewengan mula berlaku, manakala komander yang menjaga negeri mula bertindak bersendirian dan turut bertindak kejam ke atas rakyatnya. Semangat pasukan tentera Burma tidak seperti 10 tahun lalu ketika menakluk Kerajaan Ayutthaya, kali ini dengan jumlah yang kecil berbanding dahulu, serta pelbagai masalah yang melanda menyebabkan mereka bertempur dengan Siam dalam keadaan moral yang rendah. Di pihak Siam, mereka begitu bersemangat untuk mengalahkan Burma dan ingin membalas dendam di atas kekejaman Burma 10 tahun dahulu yang telah menghancurkan kota agungnya iaitu Ayutthaya.

Serangan kedua Burma di pecahkan kepada pasukan utara dan selatan. Utara di ketuai oleh Ne Myo Thihapate, manakala selatan di ketuai oleh Maha Thiha Thura. Pada peringkat awal, Burma berjaya menguasai Chiang Mai (pasukan Ne Myo Thihapate), dan mnguasai tengah Siam (pasukan Maha Thiha Thura). Akibat kekurangan makanan, Burma tidak bertahan lama dan mengundurkan semula tenteranya dari bandar Phetchabun pada Mac 1776.

Berita menyedihkan diterima oleh kem Burma apabila Raja Hsinbyushin telah mangkat pada 10 Jun 1776 (ketika baru berusia 39 tahun) yang menyebabkan semangat tentera Burma terus jatuh. Maha Thiha Thura menamatkan operasi ketenteraan melawan Siam bagi memberi laluan kepada menantunya iaitu Singu Min sebagai pengganti kepada Raja Hsinbyushin. Siam kembali menguasai semula wilayah Lan Na dan kota Chiang Mai dari Burma. Peperangan di tamatkan. Dengan itu, Chiang Mai kekal di bawah Siam hingga sekarang.

PENUTUP

Raja Hsinbyushin merupakan antara raja yang terkenal dalam sejarah Burma, terutamanya kemenangan menakjubkan dalam dua peperangan besar yang berlaku serentak iaitu Perang Siam-Burma 1765-1767, dan Perang Qing-Burma 1765-1769. Sejarawan berpendapat, Perang Qing-Burma 1765-1769 merupakan sejarah gemilang bagi Burma yang tidak pernah berlaku sebelum itu iaitu kemenangan Burma ke atas China yang merupakan gergasi Asia.

Pemerintahan Raja Alaungpaya dan Raja Hsinbyushin terkenal dengan dasar ketenteraan yang agresif menakluk negeri-negeri luar hingga menimbulkan perasaan kurang senang rakyatnya sendiri. Dengan kempen-kempen ketenteraan tersebut menobatkan baginda sebagai Raja Perang Agung Burma.

RUJUKAN

Burney, Col. Henry (August 1840). Four Years’ War between Burmah and China. The Chinese Repository. 9. Canton: Printed for Proprietors.

Dai, Yingcong (2004). “A Disguised Defeat: The Myanmar Campaign of the Qing Dynasty”. Modern Asian Studies. Cambridge University Press

Buyers, Christopher. “The Royal Ark: Burma – Konbaung Dynasty”

Charney, Michael W. (2006). Powerful Learning: Buddhist Literati and the Throne in Burma’s Last Dynasty, 1752–1885. Ann Arbor: University of Michigan.

James, Helen (2004). “Burma-Siam Wars”. In Keat Gin Ooi. Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor, Volume 2. ABC-CLIO. ISBN 1-57607-770-5.

Min Zin (August 2000). “Ayutthaya and the End of History:Thai views of Burma revisited”. The Irrawaddy. The Irrawaddy Media Group. 8 (8).

Aung Lwin Oo (13 October 2005). “The Shadow of 1767: Old enmities still weigh on Thai-Burmese relationship”. The Irrawaddy. The Irrawaddy Media Group.

Ba Than (1951). History of Burma (in Burmese). Yangon: Sarpay Beikman.

Baker, Chris, Christopher John Baker, Pasuk Phongpaichit (2009). A history of Thailand (2 ed.). Cambridge University Press. ISBN 9780521767682.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.