Raja Ali Haji: Cendekiawan Melayu Terulung

704

Raja Ali Haji. Apa yang boleh kita gambarkan tentang beliau melainkan seorang cendekiawan, pemikir ulung dan berprolifik. Nama penuhnya ialah Tengku Haji Ali al-Haj bin Tengku Haji Ahmad bin Raja Haji al-Syahid fi Sabilillah bin Opu Daeng Celak. Namun kebanyakkan masyarakat kini kebiasaannya akan terkeliru di antara beliau dengan datuk serta sepupunya kerana kesemua nama mereka hampir serupa.

Beliau lebih dikenali sebagai Raja Ali Haji yang pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Yang Dipertuan Muda Riau ke-8 Raja Ali bin Raja Jaafar (1845-1857) yakni sepupunya. Manakala, Raja Haji fi Sabilillah pula adalah datuknya yang masyhur sebagai seorang pejuang terkemuka yang syahid ketika menentang Belanda di Melaka pada tahun 1748.

Beliau lahir pada tahun 1809 di Pulau Penyengat yang terletak di kepulauan Riau hasil perkahwinan  Raja Ahmad dengan Cik Hamidah. Keluarga beliau terbina daripada susur galur yang terkemuka dan dihormati. Mana tidaknya, datuknya merupakan pejuang tanah air yang syahid manakala bapanya orang terkenal dek kerana keilmuannya. Buktinya, Raja Ahmad pernah menghasilkan  tiga buah karya: Syair Engku Putri, Syair Perang Johor dan Syair Raksi termasuk juga Tuhfat al-Nafis (Catatan Tuhfat Al-Nafis versi Sir William Maxwell) versi pendek.

Raja Ali Haji membesar dalam keluarga beristana namun tekun diendos dengan ilmu-ilmu agama kerana Pulau Penyengat ketika itu menjadi hub-hub para sarjana Islam. Di dalam lingkungan Pusat kebudayaan dan keagamaan ini, secara langsung beliau mendapat pendidikan dari tokoh-tokoh terkemuka seperti:

  1. Habib Syeikh al-Saqaf
  2. Syeikh Ahmad Jibrati
  3. Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minangkabawi
  4. Syeikh Abdul Ghaffur bin Abbas al-Manduri
  5. Tuan Haji Abdul Wahab

Raja Haji juga pernah keluar daripada lingkungan istana dengan mengikuti rombongan ayah beliau Raja Ahmad  ke Batavia (Jakarta) pada tahun 1822 dan memanfaatkan Jakarta sebagai pusat bagi beliau menimba ilmu. Keberuntungan juga bagi beliau kerana pernah berguru dengan ulama Tanah Melayu terkemuka di Tanah Suci Mekah iaitu Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatani.

Ini berlaku ketika beliau mengikuti Raja Ahmad dan sebelas kerabat yang lainnya untuk menunaikan ibadah Haji di Mekah pada tahun 1828. Bahkan mereka merupakan bangsawan Riau yang pertama mengunjungi Mekah. Raja Ali Haji dikatakan berkelana selama hampir setahun lebih untuk menuntut ilmu di Tanah Suci Mekah dan pernah bersahabat baik dengan anak Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, iaitu Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.

Beliau mula melibatkan diri dalam pentadbiran kerajaan Riau-Lingga dalam lingkungan tahun 1830-an iaitu selepas bapanya bersara dan setelah sekembalinya beliau daripada Mekah. Sama seperti bapanya, beliau memberi perkhidmatan yang membanggakan untuk kerajaan. Malahan menjalankan fungsi sebagai penasihat, guru agama, pakar undang-undang, dan teman kepada Yang Dipertuan Muda Riau ke-8 Raja Ali bin Raja Jaafar.

Dikatakan juga bahawa Raja Ali pernah membuat lawatan ke pulau-pulau jajahan Riau bagi menghapuskan aktiviti perlanunan yang sering mengganggu perairan kerajaannya. Selain itu, Raja Ali Haji turut bertanggungjawab membawa masuk tokoh-tokoh islam misalnya Syed Abdullah Bahrain dengan tujuan untuk mengajar para pegawai kerajaan tentang ilmu agama dan Quran di tanah airnya.

CENDEKIAWAN PROLIFIK

Prolifiknya beliau terbukti apabila menghasilkan pelbagai karya seperti buku nahu Melayu “Bustan Al-Katibin” serta sebuah karya ketatanegaraan sebagai panduan para pemerintah iaitu “Thammarat Al-Muhimmah”. Karya ini kemudiannya diikuti dengan penghasilan karya bergenre serupa iaitu “Intizam Al-Wazaif Al-Mulk” yang ditujukan bagi memperingati sepupunya Yang Dipertuan Muda Raja Ali yang mangkat pada Jun 1857.

Selain mengarang panduan kepada pemerintah, beliau turut masyhur dengan teguran dan nasihat dalam “Gurindam Dua Belas”. Gurindam ini terbukti merupakan suatu usahanya untuk  melahirkan seorang manusia Melayu yang beradab sopan, berakal, berbudi bahasa serta berilmu. Raja Ali turut mengarang sebuah buku peraturan pernikahan “Syair Hukum Nikah” dan sejarah kegiatan keturunannya “ Silsilah Melayu dan Bugis” (1865) dan “Syair Awai” (1868/9).

(Gurindam Dua Belas: Fasal 9).

Gerak kerjanya yang “phenomenal” dihasilkan pada tahun 1858 dengan mengarang “Kitab Pengetahuan Bahasa” yang menyerupai kamus malahan dalam masa yang sama beliau turut terlibat dalam penghasilan kamus Melayu-Belanda. Ini berlaku kerana Raja Ali membantu Von De Wall membina sebuah kamus pertama Melayu-Belanda sehingga huruf ‘g’.

Cintanya terhadap keindahan Bahasa Melayu terzahir bersama-sama dengan harapan sucinya untuk anak muda Melayu dalam intipati surat yang dikirimkan kepada Von De Wall (1872).

“Bermula adapun kamus yang hendak diperbuat itu, iaitu bukannya seperti kamus seperti paduka sahabat kita itu. Hanyalah yang kita hendak perbuat bahasa Melayu yang tertentu bahasa pada pihak Johor dan Riau-Lingga jua. Akan tetapi dibanyakkan bertambah dia dalam kisah-kisah cerita-cerita yang meumpamakan dengan kalimah yang mufrad, supaya menyukakan hati orang muda-muda mutalaahnya, serta syair sedikit-sedikit. Di dalam hal itu pun memberi manfaat jua kepada orang-orang yang memikirkan perkataan dan makna bahasa Melayu pada orang-orang yang bukan ternak Johor dan Riau-Lingga”.

Tahun 1862 menyaksikan sebuah pesantren kecil di Pulau Pengujaan (tidak jauh dari Penyengat) didirikan Raja Ali sebagai bukti ketulusannya untuk menyebarkan ilmu kepada anak muridnya serta menjadi tempat untuk mengasingkan diri. Kesibukkan adalah suatu rutin harian beliau semenjak mengajar murid-murid setempat (bermula lingkungan 1860-an) dan digambarkan dalam suratnya bertarikh 27 Mac 1867 kepada Von De Wall.

“…maklumlah tuan bukannya satu pekerjaan saya, sebab sepeninggalan tuan balik ke Betawi itu maka datanglah anak-anak saya hendak mengaji ilmu fikih, ada yang hendak mengaji nahu. Jadi dibukalah pula semula pengajian seperti adat sehari-hari. Maka jadi banyaklah waktu saya di dalam pekerjaan. Maka adalah waktu yang saya tentukan untuk pekerjaan tuan pada waktu malam. Maka jikalau tiada uzur, daripada pukul delapan sampailah pukul sebelas lebih kurang sedikit”.

Menariknya, karya agung sejarah berjudul “Tuhfat Al-Nafis” yang bermaksud anugerah bernilai turut menjadi bukti keilmuannya kerana ia merupakan kitab sejarah Melayu yang paling kompleks. Dengan pengkaedahan sejarah tersendiri meliputi abad 17-19 dengan menerapkan elemen multi-lokus.

Tambah takjubnya adalah kemampuan beliau untuk menghubungkan cerita daripada pelbagai kumpulan dan berkembang luas merentasi ruang serta zaman adalah sesuatu yang luar biasa sehingga semua pengisahan sejarah terdahulu selain “Tuhfat Al-Nafis”, tidak ada satu pun yang mampu menandingi ukuran,luas serta tertib susunannya.

“Piawainya, pendekatannya dan kemampuannya menyediakan asas bagi tradisi kesarjanaan Melayu moden. Sikapnya menghargai kebudayaan Melayu tradisional dan memanfaatkan kaedah yang tepat dan teratur menandakan beliau sebagai orang tengah di antara dunia tradisi dan dunia moden”.

(Virginia Matheson Hooker, “Tuhfat Al-Nafis”, 1998, xxvi).

RUJUKAN:

  1. Virginia Matheson Hooker. Tuhfat Al-Nafis. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan DBP, 1998.
  2. Hashim Musa & Rozita Che Rodi, “Raja Ali Haji: A Prominent Malay Intellectual Throughout the Ages”. International Journal of the Malay World and Civilisation (Iman) 5(2), 2017: 13 – 28.
  3. Raja Hisyamudin bin Raja Sulong & Bharuddin Che Pa. “Penggunaan Ayat-Ayat Al-Qur’an oleh Raja Ali Haji di dalam Karya Beliau Thamarat al-Muhimmah”. (Prosiding: The 2nd Annual International Qur’anic Conference 2012).
  4. Ayu Nor Azilah Mohamad, Mohamed Ali Haniffa & Wayu Nor Asikin Mohamad. “Perjuangan Raja Ali Haji Dalam Bidang Keagamaan Pada Abad Ke-19: Satu Sorotan”. (Kertas Kerja Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2019 di Hotel Grand Blue Wave Shah Alam, Selangor. 22 Oktober 2019).
  5. Mardiana Nordin. Raja Al1 Haji Dan Tuhfat Al-Nafis. Persatuan Sejarah Malaysia. https://myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1327/1/MDSS_2001_Bil29_05.pdf
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.