Raja Alaric: Individu Yang Bertanggungjawab Di Atas Kejatuhan Rom Barat

4,559

Penjarahan Kota Rome pada tahun 410 Masihi oleh Visigoth sering dianggap sebagai peristiwa yang menandakan bermulanya pengakhiran Empayar Rom Barat. Individu yang bertanggungjawab di atas penjarahan kedua kota Rome ini ialah Alaric, raja pertama Visigoth (penjarahan pertama berlaku 800 tahun yang lalu, iaitu pada 390 SM di tangan tentera Gaul yang dipimpin oleh Brennus).

Walau bagaimanapun, terdapat catatan yang mengatakan bahawa Raja Alaric tiada niat mahu menakluki Rome. Beliau sebenarnya hanya mahu mengadakan rundingan secara damai. Penjarahan ini juga dipercayai telah diisyaratkan menerusi ramalan yang mendakwa bahawa Alaric bakal menguasai Rome. Dalam puisi Claudian yang berjudul The Gothic War, kata-kata ini dituturkan sendiri oleh Alaric:

“Para dewa juga menggesaku. Bukan mimpiku mahupun burung, namun kedengaran jeritan jelas yang menuturkan dari ladang keramat: “Pergilah tanpa tangguh, wahai Alaric; pada tahun ini, rentasilah Banjaran Alps dengan penuh berani dan kamu akan tiba di kota.” Justeru, jalan sudah dibentangkan kepadaku. Setelah diberikan galakan sebegini, mengapa aku perlu kecut atau ragu untuk mentaati seruan Tuhan?”

PERTABALAN ALARIC SEBAGAI RAJA

Tidak banyak yang dapat kita ketahui tentang kehidupan awal Alaric, walaupun raja Visigoth ini diperkirakan lahir sekitar tahun 360 Masihi. Alaric juga dipercayai lahir dalam keluarga Balthi, yang menurut Jordanes, taraf kebangsawanannya “hanya dapat ditandingi oleh keluarga Amali”.

Jordanes juga menyebutkan bahawa Alaric ditabalkan sebagai raja Visigoth sesudah kemangkatan maharaj Rom, Theodosius I, yakni pada tahun 395 Masihi. Hal ini sebagai susulan kepada meningkatnya permusuhan orang Rom terhadap orang Goth dan ‘kekhuatiran masyarakat Goth terhadap kegagahberanian mereka yang bakal luntur akibat tempoh aman yang panjang.”

Ukiran besi yang menggambarkan Alaric I di usia muda


Kemangkatan Theodosius turut menandakan berakhirnya perjanjian damai yang dimeterai antara orang Rom dan Goth. Apapun, menurut sejarahwan Orosius, Alaric berusaha untuk mengadakan perdamaian dengan pihak Rom dan mendapatkan kawasan untuk dihuni oleh masyarakatnya.

Raja Alaric juga dipercayai berhasrat untuk mengajak masyarakatnya agar menjalinkan persekutuan dengan Empayar Rom Barat dalam menentang Empayar Rom Timur. Namun, hajat-hajat beliau ini tidak dapat dipenuhi.

RAJA ALARIC DAN PANGLIMA STILICHO DARI ROM

Sebagai susulan, Alaric pun memutuskan untuk menyerang Itali. Namun, s3rangannya berjaya ditangkis oleh seorang panglima Rom yang cekap, iaitu Stilicho. Panglima ini dilantik oleh maharaja terdahulu, Theodosius, sebagai pemangku Honorius, iaitu puteranya yang masih di bawah umur.

Walau bagaimanapun, pada tahun 408 Masihi, Honorius bertindak menjatuhkan hukuman bvnuh ke atas Stilicho dan keluarganya lantaran tersebar khabar angin yang mendakwa kononnya panglima itu merancang mahu mengangkat anaknya sebagai Maharaja Empayar Rom Barat dengan bantuan Alaric dan pasukan tentera Visigoth.

Ukiran yang menggambarkan Panglima Stilicho bersama isterinya, Serena dan anaknya, Eucherius


Kem4tian Stilicho melemahkan pasukan tentera Empayar Rom Barat. Tambahan lagi, menurut sejarahwan Zosimus, pasukan tentera Alaric diperkuatkan lagi oleh 30 000 orang tentera Goth yang berpaling tadah dari Rom. Dipercayai bahawa pemalingan tadah secara besar-besaran ini berlaku akibat arahan Oympius, seorang menteri Rom yang memerintahkan agar kesemua isteri dan anak para tentera itu dibvnuh. Menteri yang sama ini juga dikatakan bertanggungjawab di atas pembvnuhan Stilicho.

PENGEPUNGAN KOTA ROME

Raja Alaric menyerang Itali buat kali kedua, menjarah sejumlah kota di sana dan mengepung kota Rome sehingga penghujung tahun 408 Masihi. Menerusi pengepungan tersebut, beliau mahu penduduk kota Rome menyerah diri setelah mengalami kebuluran dan wabak penyakit. Dalam pada itu, maharaja Rome dan pegawai istananya berada di Ravenna (ibu kota Empayar Rome sejak tahun 402 Masihi), justeru mereka tidak terkesan secara langsung dengan pengepungan Alaric ini. Oleh hal yang demikian, mereka langsung tidak menghulurkan bantuan kepada penduduk Rome.

Pada tahun 409 Masihi, pengepungan dihentikan apabila penduduk Rome bersetuju untuk membayar pampasan p3rang kepada Alaric dan tentera-tenteranya. Menurut Zosimus:

Setelah perbincangan panjang antara kedua belah pihak, akhirnya dipersetujui bahawa kota itu dituntut supaya membayar lima ribu paun emas, tiga puluh ribu paun perak, empat ribu kain sutera, tiga ribu bulu biri-biri, dan tiga ribu paun lada.”

Selain itu, Raja Alaric juga berkesempatan untuk mengangkat seorang maharaja boneka di Rome, iaitu seorang senator yang bernama Priscus Attalus. Hal ini bagi memberikan tekanan lanjut kepada Honorius.

Syiling dari tahun 409-410 M yang menggambarkan Priscus Attalus, ‘maharaja boneka’ Alaric


Zosimus pula memberikan laporan yang lebih terperinci tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa tempoh ini. Misalnya dalam satu situasi, 6000 orang tentera yang ditempatkan di Dalmatia dikerahkan oleh Honorius agar melindungi kota Rome.

Sumber-sumber purba selain Zosimus tidak memberikan banyak maklumat tentang peristiwa-peristiwa yang berlakuu pada tempoh antara pengepungan pertama dan pengepungan kedua kota Rome. Misalnya dalam catatan Jordanes, peristiwa penjarahan Rome diletakkan sejurus selepas kehancuran pasukan tentera Stilicho yang dihantar untuk menyerang Alaric dan pasukannya di Pollentia.

Panglima mereka, iaitu Valens, merasakan bahawa tindakan ‘mara melalui jalan yang tidak dikawal oleh musuh’ itu sebagai suatu tindakan pengecut.

Justeru, beliau bertindak berhadapan dengan Alaric sekaligus mengakibatkan kekuatan pasukannya berkurang sekitar seratus orang. Rundingan antara Honorius dan Raja Alaric berlanjutan selama beberapa tempoh, sebelum pada akhirnya berjaya mencapai kata putus.

SER4NGAN KEDUA RAJA ALARIC KE ATAS ROME

Pada tahun 410 Masihi, Alaric menyerang kota Rome buat kali kedua. Namun malangnya, karya Zosimus tidak sepenuhnya terselamat. Kisah penjarahan kota Rome oleh Raja Alaric yang merpakan bahagian terakhir dalam karya beliau telah pun hilang.

Cuplikan yang diambil daripada seorang penulis zaman Renaisans mengemukakan bahawa Alaric mengepung kota Rome selama dua tahun, sebelum akhirnya menggunakan taktik ‘Kuda Trojan’ untuk menakluk kota berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau tidaklah menggunakan kuda kayu gergasi. Sebaliknya, hadiah yang diberikan oleh pihak Visigoth kepada golongan bangsawan Rome ialah ‘tiga ratus orang pemuda yang gagah berani’. Setelah memberikan hadiah tersebut, pasukan tentera Visigoth berpura-pura berundur.

Apapun, penumpuan lebih banyak dicurahkan kepada kelakuan pihak Visigoth semasa menjarah kota Rome. Sebagai contoh, Jordanes menulis bahawa, “Sebagaimana yang diperintahkan oleh Alaric, mereka hanya menjarah sahaja kota Rome tanpa membakar kota itu, tidak seperti yang lazim dilakukan oleh orang gasar. Mereka juga tidak membenarkan sebarang kerosakan serius ditimpakan ke atas tempat-tempat suci.”

‘Penjarahan Kota Rome’ pada 410. Oleh Evariste-Vital Luminais


Hal ini juga senada dengan tulisan Orosius, di mana Alaric digambarkan sebagai seorang raja Kristian yang taat. Sebuah kisah menarik dalam karya Orosius adalah kisah pertemuan tentera Visigoth dengan seorang andartu, yang merupakan penjaga bekas-bekas keramat milik Peter Si Hawari.

Tatkala berita ini diketahui oleh Alaric, beliau langsung sahaja mengarahkan agar bekas-bekas tersebut dipulangkan ke basilika St. Peter dan membenarkan si andartu dan penganut-penganut Kristian lain untuk menyertai perarakan yang dilakukan jika mereka berminat.

LOKASI RAHSIA PENGEBUMIAN DAN HARTA KARUN ALARIC

Alaric mangkat pada tahun 411 Masihi, iaitu beberapa bulan selepas menjarah kota Rome. Kisah pengebumian Alaric yang dipetik di bawah ini diambil daripada catatan Jordanes:

Rakyatnya meratapi pemergian beliau dengan penuh kesedihan. Kemudian, mereka mengalihkan haluan sungai Busentus (Busento) yang terletak berhampiran kota Consentia – kerana sungai ini mengalir sepenuhnya dari kaki gunung yang terletak tidak jauh dari kota itu – lalu mengarahkan sekumpulan banduan untuk menggali tempat penyemadian Alaric.

Di dalam lubang inilah mereka semadikan Alaric, bersama dengan sejumlah besar harta kekayaan, dan kemudian mengembalikan aliran sungai ke haluan asalnya. Tiada siapa yang mengetahui di manakah lokasi tersebut, lantaran mereka membunuh setiap seorang penggali kubur Alaric.”

Ilustrasi pengebumian Alaric di dasar sungai Busento

Lebih daripada itu, sejarahwan turut berteka-teki tentang punca kemangkatan Raja Alaric. Kebelakangan ini,Francesco Galassi dan rakan-rakan penyelidiknya mengkaji kesemua sumber sejarah, perubatan dan epidemiologi yang dapat mereka temukan berkenaan kemangkatan Alaric. Mereka meyakini bahawa punca kemangkatan beliau ialah malaria.

Galassi dan rakan-rakan penyelidiknya menjelaskan bahawa “individu-individu dengan semi-imuniti di kawasan-kawasan endemik dan endemik-hiper boleh bebas daripada parasite secara spontan.” Namun, penduduk dari kawasan bebas-malaria yang berkunjung ke Itali terdedah kepada bahaya yang sangat besar.

Mereka melaporkan, “Beberapa kes kem4tian mengejut dalam kalangan para pengembara yang datang dari kawasan bebas-malaria pernah dilaporkan di Afrika” dan “malaria falciparum boleh membawa maut dalam tempoh beberapa jam atau beberapa hari sejak kemunculan simptom, dengan komplikasi-komplikasi ketaranya adalah seperti kemerosotan serebrum, sembap paru-paru, kegagalan ginjal dan anemia.”

Harta kekayaan yang dipercayai oleh ramai sejarahwan dikebumikan bersama Alaric telah menggamit ramai pemburu harta karun untuk mencarinya. Sebahagian daripada pemburu termasyhur ini termasuklah seorang penulis dan pengembara yang bernama Alexandre Dumas, serta Adolph Hitler dan Heinrich Himmler.

Walau bagaimanapun, tidak seorang pun dapat menemukan lokasi pengebumian Raja Alaric. Pun begitu, baru-baru ini terdapat dakwaan bahawa sepasukan ahli arkeologi telah menemui petunjuk berkenaan harta karun Raja Alaric di Cosenza.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (26 September 2018). Raja Alaric: His Famous Sacking of Rome, Secretive Burial, and Lost Treasure. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/king-alaric-his-famous-sacking-rome-and-secretive-burial-004630

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.