Raja Afrika Beragama Islam Ini Temui Benua Amerika Sebelum Columbus

948

Pra-tempah hanya di Shopee

500 tahun lalu, seorang penjelajah laut Itali bernama Christopher Columbus telah menempa nama sebagai penjelajah Eropah pertama tiba dan meneroka benua Amerika atau ‘Dunia Baru’.

Atas jasa beliau dalam dunia penjelajahan Eropah, ramai penjelajah Eropah terutamanya Sepanyol dan Portugal berpusu-pusu ke benua tersebut, kemudian wujud empayar kedua-dua entiti bangsa ini sebagai usaha mengeksploitasi sumber untuk kemajuan negara mereka.

Inilah sejarah yang kita amat kenal yang telah dicatat dalam buku teks sejarah dan disiar dalam setiap laman web sejarah. Namun, tahukah kalian bahawa terdapat seorang tokoh penjelajah pernah menemui benua Amerika sebelum Columbus?

Ya, tokoh seumpama ini wujud dan namanya ialah Mansa (Raja) Abubakari II, abang Mansa Musa yang terkenal sebagai raja Afrika terkaya dunia. Sebenarnya Columbus telah mengetahui kehadiran dunia di sebalik Lautan Atlantik melalui catatan dua penjelajahan Abubakari II ini oleh ahli akademik Mesir bernama Ibn Fadi Al-Umari pada 1342.

Pada abad ke-14 Masihi, semasa pemerintahan Abubakari II ke atas Empayar Mali yang terletak di barat Afrika, baginda teringin tahu adakah wujud penghujung dunia di sebalik Lautan Atlantik. Kerana perasaan inkuiri ini, baginda memulakan ekspedisi laut sebanyak dua kali.

Pertama, Abubakari menghantar 200 buah kapal jelajah untuk memperoleh maklumat tentang hujung Lautan Atlantik. Selesai menjelajah, hanya sebuah kapal saja kembali ke empayar Mali. Kapten kapal melaporkan bahawa kapal-kapal lain telah karam oleh ombak laut.

Jika diikutkan, ekspedisi ini dikira gagal kerana kemalangan yang disebabkan oleh fenomena semula jadi. Tetapi Abubakari tidak berpuas hati akan laporan kapten itu, baginda harus tahu akan kewujudan hujung Lautan Atlantik.

Abubakari harus mencari penyelesaian supaya ekspedisi seterusnya tidak akan mengalami kemalangan yang sama. Empayar Mali pada waktu itu berada dalam kemuncak peradaban sehingga kota Timbuktu mempunyai universiti kedua tertua dunia.

Dengan ilmu matematik, geografi, sejarah, astronomi, kimia, dan pengajian Islam yang berkembang penat serta Mali menjadi pusat perdagangan laut, Abubakari mampu berinteraksi dengan pembuat kapal Mali dan Mesir dan membina sebanyak 2000 buah kapal jelajah yang diubahsuai di pantai Senegambia.

Tahun 1311, Abubakari menyerahkan takhtanya kepada Mansa Musa. Dan memulakan ekspedisi kedua dengan 1000 buah kapal dipenuhi dengan kelasi, doktor, buruh, dan ahli navigasi manakala 1000 buah kapal lain diisi dengan sumber makanan, minuman, dan ubat-ubatan yang bertahan selama 2 tahun.

Ekspedisi laut Abubakari dikatakan tiba di penghujung Lautan Atlantik pada 1312 dan mereka menemui apa yang mereka gelar sebagai Dunia Baru. Jadi, bagaimana ekspedisi kedua Abubakari ini mampu mengelak kemalangan yang sama berlaku?

Sebenarnya Abubakari telah memerhati lama akan keadaan Lautan Atlantik terutamanya aliran-aliran semula jadi yang berbahaya kepada para penjelajah. Terdapat dua aliran yang tidak berubah walaupun monsun berlaku: Aliran Canary dan Aliran Guinea. Kedua-dua aliran ini teramat kuat sehingga mampu menarik kapal dari barat Afrika hingga Amerika.

Aliran sebeginilah Abubakari mengambil manfaat dengan mempercepatkan ekspedisinya.
Columbus praktikkan ilmu yang Abubakari peroleh dan beliau berjaya menyeberangi Lautan Atlantik dengan bantuan ahli navigasi Afrika bernama Pedro Alonso Nino yang biasa dengan keadaan lautan tersebut.

Ramai sejarahwan Eropah meragui ekspedisi Abubakari ini kerana kononnya tiada sebarang artifak dari empayar Mali dalam benua Amerika. Namun catatan-catatan Columbus sepanjang penjelajahan ke Amerika mengubah pemikiran para sejarahwan ini.

Columbus menemui bangunan berupa masjid di tengah Amerika. Orang Mali adalah muslim jadi bangunan-bangunan sebegini adalah bukti kehadiran orang Afrika muslim menetap bersama orang asal Amerika. Columbus juga menemui kapal yang dipenuhi dengan barangan dari perairan Guinea dibawa ke Amerika, berkemungkinan sebagai harta pemberian atau dagangan untuk orang asal Amerika.

Al-Umari yang mencatatkan ekspedisi Abubakari juga adalah bukti kukuh akan keaslian ekspedisi ini. Beliau menulis ketika bertemu dengan Mansa Musa yang tiba di Mesir untuk menunaikan haji. Mansa Musa menyatakan bahawa baginda telah diberi takhta dari Abubakari kerana ketaksuban abangnya mengetahui hujung Lautan Atlantik.

Tambahan pula, kehadiran pokok pisang dan manga yang bukan berasal dari Amerika adalah salah satu bukti bahawa orang Mali sememangnya pernah menetap di Amerika dan hidup aman di tanah asing.

Dengan kewujudan ekspedisi ini, sejarah penemuan Amerika ditulis semula bagi membetulkan apa yang telah hilang ditelan zaman. Sejarah ini juga menjadi kepentingan kepada pihak tertentu terutamanya warga Afrika muslim itu sendiri kerana moyang mereka adalah yang pertama tiba di Dunia Baru, bukan Columbus.

RUJUKAN:

Austen, Ralph A.; Jan A. M. M. Jansen (1996). “History, Oral Transmission and Structure in Ibn Khaldun’s Chronology of Mali Rulers”. History in Africa. Waltham, MA: African Studies Association. 23 (1): 17–28.

African King, Mansa Abubakar II discovered Americas in 1312. 180 years before Columbus. The African History. Retrieved from 17 January 2020. https://theafricanhistory.com/1099

Afrika, E. (11 August 2019). Africans Discovered America Around 1292 BC, Not Columbus. Enlightenment Africa. Retrieved from 17 January 2020.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.