Pada Ahad lepas, kontinjen badminton India melakar kejutan tersendiri dalam kejohanan Piala Thomas. Mereka bergelar juara selepas berjaya mengatasi juara 14 kali, Indonesia. Lebih signifikan, ini final pertama India dalam kejohanan itu dalam tempoh 73 tahun penganjurannya.

Jika ditanya tentang rahsia kemenangan mereka, terdapat banyak elemen yang menyokong kejayaan mereka. Pertama, kemunculan generasi pemain baru yang lebih cemerlang di arena antarabangsa. Sebelum ini, sebut saja badminton India, ramai membayangkan bekas juara All England 2001 Pullela Gopichand.

Lakshya Sen ibarat Lee Chong Wei buat kontinjen India. Sumber: Getty Images

Tetapi sejak beberapa tahun ini, generasi pemain perseorangan dan beregu lelaki dan wanita mula menunjukkan taring mereka di gelanggang. Lakshya Sen misalnya pernah bergelar naib juara All England 2022 dan tampil di peringkat separuh akhir Kejohanan Dunia 2021. Sementara Prannoy H. S. pula bergelar pemain nombor lapan dunia pada 2018.

Advertisements

Oleh sebab itu, mereka tidak gentar berdepan lawan di gelanggang walaupun lawan mereka jauh lebih terkenal.  Sen tiada masalah menundukkan pemain kelima dunia Anthony Sinisuka Ginting pada pusingan pertama final. Sementara reputasi juara dunia tiga kali Mohammad Ahsan dan Kevin Sanjaya Sukamuljo menyemarakkan semangat Satwik Sairaj Rankireddy-Chirag Shetty untuk menundukkan lawan mereka.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Harapan Indonesia untuk menghidupkan sisa perjuangan final berakhir dengan kegagalan. Ini selepas perseorangan ketiga Shesar Hiren Rustavito mudah ditundukkan oleh bekas pemain nombor satu dunia, Srikanth Kidambi. Kemenangan 3-0 India menunjukkan mereka juga mempunyai pemain berbakat setaraf dengan pemain-pemain kuasa-kuasa badminton seperti China, Indonesia, Denmark dan Korea Selatan.

Kedua, kontinjen India tampil di Piala Thomas tanpa berdepan sebarang tekanan. Ini sama sekali berbeza dengan sesetengah negara yang diberi harapan sama ada menggondol kejuaraan (Denmark dan Indonesia) atau menamatkan kemarau kejuaraan (Malaysia).

Ini sama sekali berbeza dengan India yang tidak diberi sebarang harapan langsung dalam Piala Thomas. Dalam sejarah kejohanan, mereka hanya layak sebanyak 13 daripada 32 edisi kejohanan sejak dianjurkan pada 1948. Tetapi dengan kemenangan pada Ahad lepas, ini menjadikan mereka negara keenam menggondol Piala Thomas selepas Malaysia, China, Denmark, Indonesia dan Jepun.

Selain tidak diberi harapan, India juga sentiasa berusaha untuk tidak leka sepanjang kejohanan. Label pasukan pilihan kadang-kadang boleh membuatkan pihak lawan terlalu yakin dan memandang rendah keupayaan mereka. Dengan setiap kemenangan, pengurusan kontinjen sentiasa mengingatkan mereka bahawa aspek sebegini boleh saja menjejaskan mutu permainan mereka.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

Ketiga dan paling penting, keinginan kolektif untuk bermain dan menang sebagai satu pasukan. Bohonglah kalau tiada pemain menyimpan sasaran peribadi dalam kejohanan berprestij sebegini. Justeru, menjadi tanggungjawab pengurusan dan pemain senior seperti Srikanth dan Prannoy untuk memupuk semangat berpasukan dan sentiasa berusaha yang terbaik demi negara.

Prannoy sendiri mengakui beliau tidak pernah menjadi sebahagian daripada pasukan sebegini. Dengan ego kadang-kadang boleh menghalang perpaduan pasukan, hal itu perlu dicegah daripada belaku. Justeru, satu mesyuarat antara pemain diadakan dengan pemain diberi peluang meluahkan isi hati masing-masing. Setelah itu, semua diingatkan kemahuan masing-masing iaitu kemenangan dalam kejohanan tersebut.

Sebelum kejayaan Piala Thomas, pemain-pemain wanita India seperti Saina Nehwal dan PV Sindhu yang menonjol. Pemain-pemain lelaki India menyerlah tetapi tidaklah semasyhur rakan-rakan wanita mereka. Trend tersebut berubah dengan pencapaian cemerlang mereka di All England dan Kejohanan Badminton Dunia.

Malah, mengikut perancangan kontinjen Piala Uber India, mereka sepatutnya bertolak pulang ke India selepas tersingkir di peringkat suku akhir. Bagaimanapun, Persatuan Badminton India mengaturkan mereka pulang lewat untuk menyokong perjuangan kontinjen Piala Thomas India di final.

Kontinjen Piala Uber India turut meraikan kejayaan pasukan lelaki menggondol Piala Thomas. Sumber: Getty Images

Keputusan tersebut dianggap berbaloi kerana pada akhirnya, kontinjen badminton lelaki dan wanita India meraikan kejayaan mengejut itu. Bagi Prannoy, ia merupakan satu kejayaan bersejarah bukan saja kepada para pemain. Malah, ia merupakan manifestasi kecemerlangan India dalam mana-mana acara sukan dan tidak terhad kepada kriket semata-mata.

RUJUKAN

BBC News. (2022, 17 Mei). Thomas Cup: How cricket-crazy India scripted world badminton glory.

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply