https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Rahsia Kejayaan Running Man Mampu Bertahan Lebih 10 Tahun

1,195

Bagi yang sudah biasa dengan gelombang Hallyu, pasti sudah masak dengan rancangan hiburan pelbagai bernama Running Man. Dan minggu lepas merupakan minggu istimewa di mana rancangan tersebut menyambut ulang tahun ke-10 pembentukannya dan meraikannya dengan mengadakan satu episod khas mereka bersama penonton. Tetapi bagaimana semua ini bermula?

Alkisah bermula…

Mengikut sinopsis rancangan, ia bermula sebagai rancangan kepelbagaian aksi urban di mana hos-hos dan para tetamu bersaing menyelesaikan tugasan di sesebuah mercu tanda bagi memenangi perlumbaan. Sejak itu, Running Man beralih kepada konsep kepelbagaian realiti hiburan dengan fokus utama ialah permainan sekaligus menambah lagi popularitinya dengan peminat.

Running Man pada asalnya bermula sebagai sebahagian daripada segmen Good Sunday terbitan Seoul Broadcast System (SBS) bermula 11 Julai 2010. Dan ia mempunyai rancangan sendiri pada Mac 2017 selepas Good Sunday ditamatkan siarannya. Sejak itu, Running Man merupakan program televisyen Korea ketiga paling lama dalam sejarah di mana ia hanya diatasi oleh Happy Sunday (KBS/17 tahun) dan Infinite Challenge (MBC/13 tahun).

Tidak ramai tahu semasa ia bermula, Running Man perlu bersaing dengan program-program yang berkongsi genre yang sama dengannya. Tetapi kebanyakan pesaingnya membuat rakaman di luar bandar sementara Running Man pula memanfaatkan persekitaran bandar bagi menghasilkan perlumbaan dan cabaran kepada hos dan tetamunya.

Namun, latar tempat perlumbaan tidak hanya berkisar di Korea Selatan sahaja. Ada ketikanya, Running Man turut mengadakan perlumbaan di negara-negara Asia yang lain sekaligus meningkatkan lagi profil mereka di luar negara.

Ah, sebut pasal hosnya. Bagi yang sudah biasa melihat perlumbaan mereka, pasti ada yang tak kering gusi melihat kerenah Lee Kwang-soo, HaHa, Yoo Jae-suk, Kim Jong-kook, Ji Suk-jin (sari kata menyebut namanya sebagai Seok-jin), Song Ji-hyo, Kang Gary, Song Joong-ki, Jeon So-min dan Yang Se-chan.

Kejayaan

Dan ini membawa kepada pendedahan sebab mereka berjaya oleh akhbar The Straits Times:

Sukar diramal. Walaupun sudah mencapai 510 episod, ada saja peraturan, ciri dan cabaran baru menanti para peserta dan mengejutkan para peminat. Dan ini ditambah menerusi kepelbagaian lokasi rakaman program sama ada di bandar kecil atau bangunan besar seperti bangunan-bangunan SBS.

Bagi Penolong Profesor Dr Liew Kai Khiun dari Universiti Teknologi Nanyang, Running Man dianggap berjaya kerana memanfaatkan ruang awam dan komersial sesebuah tempat sebagai ruang bermain yang menyegarkan. Tambahnya, “Running Man membawa penonton ke setiap pelosok bukan saja Korea Selatan tetapi di benua Asia.

“Dalam masyarakat bandar di Asia di mana segalanya dirasakan terlalu pantas, program ini membantu penonton melepaskan tekanan dari kehidupan seharian yang sentiasa dikaitkan dengan jalan-jalan dan bangunan-bangunan bandar.”

Tambah menarik, kadang-kadang hos Running Man cuba membuat peraturan mereka sendiri termasuk tikam belakang rakan sepasukan sendiri untuk menang. Selain itu, kehadiran tetamu yang berbeza turut menyuntik kesegaran dalam rancangan berkenaan.

Bagi setiap permainan yang ditonjolkan, jika sama sekalipun, peraturannya juga diubah bagi menambah keseronokan bermain. Pengarah produksi Running Man ketika itu, Cho Hyo-jin mendedahkan sekiranya mereka cuba mengulangi permainan sama dalam rancangan berkenaan, bersedialah dikecam ramai peminat!

Komedi. Ya, rencah program yang membezakan ia dengan program-program hiburan lain. Ada saja senario atau telatah hos/tetamu yang bikin penonton tak kering gusi. Boleh lihat contoh di bawah:

– Jong-kook! Ini penggaris mata kau ke?:

– Kenapa Kwang-soo berubah menjadi raksasa biru?:

– Jangan KETAWA! Lalui semua situasi lucu Bahagian 2:

Dr Kai Khiun menambah memandangkan kebanyakan ahli mempunyai paras rupa biasa-biasa, maka mereka tidak merasa rugi memperlihatkan diri mereka nampak lucu di televisyen. “Tidak seperti ahli-ahli kumpulan K-Pop yang dilihat lebih tertekan dalam mengekalkan ketenangan mereka, perkara sebegini yang membebaskan hos-hos Running Man dari sekatan ini, jadi mereka boleh bergolek dan bergusti antara satu sama lain macam kanak-kanak,” katanya.

Tetamu selebriti. Setiap minggu, ada saja selebriti dijemput untuk memeriahkan lagi program. Antara yang kerap dipanggil menyertai Running Man ialah pelakon Kang Han-na, pelakon Lee Sang-yeob dan pelawak Jo Se-ho. Ada ketikanya, mereka turut memanggil kumpulan atau ikon K-Pop popular seperti BigBang, 2PM dan Infinite.

Tatkala mereka berinteraksi dengan hos dan cuba memenangi cabaran, reaksi spontan mereka kadang-kadang bukan saja mengejutkan tetapi kelakar dan seronok ditonton. Misalnya:

– Jong-kook menantikan ZICO untuk peluang mencabut tag nama:

– Ryan Reynolds panggil Suk-jin bapak:

– Tom Cruise vs Jong-kook:

Bagi sesetengah penonton, penyertaan artis-artis kesayangan mereka dalam program ini merupakan punca mereka meminati Running Man. Dan secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada program tersebut menambah lagi bilangan pengikut setia mereka terutama di laman media sosial.

  • Keserasian. Selepas 10 tahun bersama dalam Running Man, keserasian hos boleh diibaratkan seperti rakan rapat dan keluarga sendiri. Bukan satu rahsia ada dalam kalangan mereka muncul dalam acara atau projek rakan hos sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi antara satu sama lain.

Misalnya pada tahun lepas semasa konsert solo Jong-kook, beberapa ahli Running Man dilihat bersama penonton bersorak semasa konsert berkenaan. Dan bila lelaki yang digelar Raja Harimau dalam kalangan peminat Running Man itu membuat kemunculan semula bersama kumpulannya, Turbo menerusi lagu Again pada tahun 2015, Jae-seok dan Kwang-soo terlibat dalam projek klip video mereka.

Bagi para peminat, keserasian ini timbul berikutan kesemua hos mempunyai personaliti yang berbeza. Dan bagi setiap cabaran atau perlumbaan, ia bukan dilihat sebagai satu pertandingan tetapi peluang mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.

Kontroversi

Tetapi bohonglah jika program hiburan yang menjadi bualan ramai ini tidak berdepan masalah. Pada tahun 2012, Kang Gary yang merupakan ahli asal Running Man memilih mengundur diri kerana mahu bertanggungjawab terhadap satu isu membabitkan syarikatnya. Namun selepas dipujuk pihak produksi dan rakan-rakan hos, beliau terus kekal bersama Running Man dan kekal sehingga 2017.

Gary memilih meninggalkan Running Man pada tahun tersebut kerana mahu memberi fokus kepada karier muziknya. Untuk beberapa bulan selepas itu, program tersebut mencari siapa penggantinya sebelum membawa masuk Se-chan dan So-min sebagai pengganti.

Sebelum pemergiannya pada tahun 2017, Running Man turut dilanda kontroversi apabila cuba menyingkirkan Ji-hyo dan Jong-kook tanpa pemberitahuan pada Disember 2016. Mengikut rancangan produksi, ahli-ahli asal akan bergandingan bersama ahli baru, Kang Ho-dong sebagai barisan hos terbaru program berkenaan.

Tetapi selepas kontroversi cubaan penyingkiran tanpa notis membabitkan Ji-hyo dan Jong-kook ditambah tindakan Ho-dong menarik diri akibat kontroversi itu, satu mesyuarat kecemasan diadakan pada 16 Disember 2016 dan hasilnya, semua pihak bersetuju menamatkan Running Man pada Februari 2017 dan satu program lain dicadangkan sebagai pengganti.

Namun pada 24 Januari 2017, SBS memutuskan untuk menarik balik rancangan menghentikan Running Man. Ini berikutan campur tangan Naib Presiden Hiburan SBS baru ketika itu, Nam Seung-yong yang juga perancang asal program berkenaan di mana beliau mengadakan perbincangan dengan semua ahli Running Man berkenaan masa depan program itu.

Dari situlah, selepas pihak SBS memohon maaf kepada Jong-kook dan Ji-hyo, barulah semua ahli bersetuju untuk kekal bersama Running Man. Sejak itu, Running Man terus popular dalam kalangan peminat sehingga hari ini. Malah, mereka turut menggondol pelbagai anugerah hiburan dengan 79 pencalonan pelbagai anugerah dan memenangi 56 anugerah.

RUJUKAN:

Ji-won, Choi. (2020). Running Man: A decade of celebs chasing each other. The Jakarta Post. https://www.thejakartapost.com/life/2020/07/12/running-man-a-decade-of-celebs-chasing-each-other.html

Jin-a, Lee. (2017). ‘Running Man’ will keep on running. Korea Times. http://www.koreatimes.co.kr/www/art/2017/02/688_222801.html

The Straits Times. (2014). 4 reasons for Running Man’s success. https://web.archive.org/web/20131029230143/http://stcommunities.straitstimes.com/tv/2013/10/26/4-reasons-running-mans-success

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.