Rahsia Kejayaan Pedagang Minang

666

Budaya berdagang mengakar kukuh dalam tradisi suku Minang. Maka tidak hairanlah jika ramai dari orang-orang Minang dikenali sebagai pedagang yang berjaya. Antaranya ialah saudagar besar di Kuala Lumpur suatu ketika dulu iaitu Haji Muhammad Taib.

Haji Muhammad Taib yang berasal dari Batu Sangkar memiliki pelbagai rangkaian perniagaan termasuk perladangan dan perlombongan hingga namanya diabadikan pada sebatang jalan yang terkenal di Kuala Lumpur iaitu Lorong Haji Taib.

Antara rahsia kejayaan pedagang-pedagang Minang suatu ketika dulu adalah pegangan pada ajaran pepatah yang dikenali sebagai ‘Kato pusako’. Pepatah-pepatah yang menjadi pegangan para pedagang Minang adalah seperti berikut:-

1) Rajin beribadat, hindari maksiat

Iduik baraka, mati bariman (hidup mesti berkat, mati mesti beriman)

Hari sahari diparampek, malam samalam dipatigo (Siang sehari diperempat, malam semalam dipertiga). Maknanya siang mesti kuat bekerja, malam mesti kuat beribadat

2) Kerja keras dan rajin

Lauik ditimbo mungkin kariang, gunuang diruntuah mungkin data (laut kalau ditimba boleh kering, gunung kalu ditarah boleh datar)

3) Berjimat cermat

Katiko ado ditahan lah ndak ado baru dimakan (ketika ada disimpan, bila tak ada baru digunakan simpanan)

Campah ulu misikin, rang hemat ulu kayo (Boros membawa kemiskinan, berjimat membawa kekayaan)

4) Pakai apa yang ada/ rebut peluang

Ndak ado rotan aka pun jadi (Tak ada rotan gunalah akar)

5) Menepati janji

Nak kayo kuek mancari, nak mulio tapaki janji, nak pintar kuek balaja (nak kaya kuatlah berusaha, nak mulia tepatilah janji, nak pintar kuatlah belajar)

6) Jujur dalam perniagaan

Sakali lancuang ka ujian saumua hiduik urang indak picayo (Sekali tak jujur seumur hidup orang tidak percaya)

Bajalan luruih bakato bana (berjalan mesti lurus, bercakap mesti yang benar)

7) Menepati dan menghargai waktu

Sakali marangkuah dayuang, duo tigo pulau talampaui (Nak sampai dua tiga pulau gunakan sekali dayungan sahaja)

Duduak marauik ranjau, tagak maninjau jarak, (Bila duduk meraut ranjau, bila berdiri meninjau jarak). Maknanya jangan buang masa.

8) Mesti bangkit jika gagal

Takuruang nak dilua, taimpik nak di ateh (Yang terkurung mesti berusaha keluar, yang terhimpit ke bawah mesti berusaha naik ke atas)

9) Banyak bersedekah

Adaik hiduk tolong menolong (adat hidup itu tolong menolong)

10) Mesti berguru atau bermentor

Baraja ka nan manang, mancontoh ka nan sudah (Belajar dari mereka yang menang, mengambil contoh dari mereka yang lalu). Maknanya belajar dari orang yang sudah berjaya, mengambil pelajaran dari orang yang rugi

Di samping itu, pemuda-pemuda Minang digalakkan merantau untuk berdagang kerana mereka ada pegangan pepatah iaitu ‘malawan dunio urang’ (melawan dunia orang lain) di mana pemuda yang mampu bersaing dalam dunia orang lain dianggap pemuda yang kuat.

Namun falsafah malawan dunio urang ini wajib digandingkan dengan ajaran pepatah :-

1) Bakato di bawah-bawah, mandi di ilie-ilie (Berkata di bawah-bawah, mandi di hilir-hilir). Maknanya jangan bercakap besar dan jangan menunjuk hebat (mesti merendah diri)

2) Muluik manih kucindan murah, baso baik gulo di bibia (mulut manis mudah bergurah, bahasa baik gula di bibir). Maknanya di tempat orang jangan serius sangat, mesti pandai beramah mesra dan bergurau senda dengan penduduk setempat

3) Mano bumi di pijak, situ langik dijunjuang (Mana bumi dipijak, situlah langit di junung). Mesti ikut dan menghormati adat dan budaya setempat

Sebab itu orang Minang yang merantau jarang dimusuhi di tempat mereka berdagang. Inilah antara rahsia kejayaan pedagang Minang. Pegangan seperti ini mesti ada bagi peniaga-peniaga Muslim/ Bumiputera pada hari ini.

Gambar: Batu berbentuk orang sedang sujud yang berkaitan dengan cerita masyhur tempatan iaitu seorang pedagang Minang bernama Malim Kundang terkena sumpahan ibunya.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.