Rahsia “Infinity Stones” Dalam Al-Quran

3,636

Al-Quran banyak menceritakan tentang kisah yang mencarik adat (khariqul adah). Ianya menyanggahi hukum alamiah. Perkara yang mencarik adat boleh dilakukan sama ada melalui mukjizat, karamah, sihir dan beberapa perkara lagi. Berikut merupakan beberapa perkara mustahil adat dalam al-Quran yang bertemakan jenis-jenis batu dalam filem Avengers : Endgames.

💚TIME STONE
Time stone mempunyai kuasa memanipulasi dimensi masa seperti melihat masa hadapan atau masa lalu bahkan membolehkan kita kembali ke masa lalu (time travel).

Tiada konsep time travel diceritakan dalam al-Quran. Tetapi, kisah ajaib berkaitan masa dalam al-Quran adalah mengenai Biological Clock. Beberapa orang pemuda bersama ar-Raqim pergi berlindung di dalam sebuah gua demi menyelamatkan iman dan nyawa mereka dari dimurtadkan atau dibunuh oleh seorang raja yang zalim.

Mereka ditidurkan Allah dengan nyenyak dan apabila mereka bangun, mereka menyangka mereka baru tidur selama setengah hari atau semalaman. Pemuda Ashabul Kahfi dipelihara keadaan tubuh mereka hingga tidak dimamah usia walaupun mereka telah hidup selama 309 tahun.

• “Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua selama tiga ratus tahun tambah sembilan” (Al-Kahfi 18:25)

💜POWER STONE
Infinity Stone ini boleh menguasai semua bentuk tenaga.

Raja Zulqarnain mempunyai kuasa dan kerajaan yang besar mencakupi dari wilayah Barat hingga ke Timur dunia. Dengan kehebatan yang ada, beliau boleh menghukum atau membantu sesuatu wilayah tersebut. Di sebuah wilayah pergunungan, entah dengan teknologi dan kekuatan apa di zaman itu, beliau mampu membina sebuah dinding yang amat kukuh bagi menghalang kemaraan Yakjuj Makjuj. Tembok yang dibina dari cairan tembaga dan kepingan besi yang dipanaskan itu hanya akan runtuh apabila hampir kiamat kelak.

• “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Zulqarnain kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya” (Al-Kahfi 18:84)

💛MIND STONE
Infinity Stone ini mampu menguasai minda seseorang serta menguatkan mental dan fizikal. Ia juga merupakan punca intelektual.

Khidir yang hidup di pertemuan dua laut memiliki dimensi minda yang berlainan. Beliau dikurniakan ilmu Ladunni dan Hikmah kebijaksanaan. Kesabaran yang tinggi diperlukan untuk memahami rahsia ilmu yang terkandung dalam minda Khidir. Beliau merosakkan kapal, membunuh anak muda dan membina tembok pelindung di perkampungan yang tidak menyambut kedatangannya. Setiap perbuatan aneh beliau ada hikmah dan sebab disebaliknya. Dengan kekuatan minda sahajalah seseorang itu mampu menyelesaikan banyak perkara di dunia ini.

• “Lalu mereka dapati seorang dari hamba Kami (Khidir) yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami “ (Al-Kahfi 18:65)

❤️REALITY STONE
Infinity Stone ini boleh memanipulasi realiti. Apa sahaja yang diingini boleh berlaku walau bertentangan dengan hukum saintifik.

Ahli Sihir Firaun menyihir orang sekeliling mereka agar berilusi atau berkhayal melihat tali dan tongkat yang mereka campakkan menjadi ular. Namun, Nabi Musa mencampakkan tongkatnya lalu betul-betul secara realiti menjadi ular yang besar dan menelan ular khayalan mereka. Ahli Sihir Firaun tahu bahawa perkara yang dibuat oleh Nabi Musa itu bukanlah sihir lalu mereka tunduk kepada baginda.

Tongkat Nabi Musa juga membelah laut Merah secara realiti. Selain itu, air di Mesir bertukar menjadi darah, muncul katak, kutu, belalang dan taufan juga secara realiti sebagai bukti jelas kepada kaum Firaun. Nabi Musa membina peti Tabut bagi menyimpan tongkat baginda.

Peti ini disimpan dari satu generasi ke satu generasi. Bani Israel akan memenangi peperangan selagimana Tabut ini bersama mereka. Namun kini peti Tabut tersebut sudah hilang. Oleh itu, Bani Israel cuba mencari semula peti Tabut ini agar mereka memenangi Perang Akhir Zaman bersama Raja Penyelamat yang ditunggu-tunggu oleh mereka.

• “Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Kemudian tali dan tongkat mereka dikhayalkan padanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka” (Taha 20:66)

💙SPACE STONE
Infinity Stone ini membolehkan perubahan ruang dan pergi ke mana-mana tempat (teleport).

Nabi Sulaiman mampu menguasai alam Jin, alam haiwan, menguasai angin yang membawa baginda ke mana sahaja dan menguasai lautan sehingga memiliki penyelam yang mengumpul batu-batu permata dari dasar laut. Suatu hari, baginda menyatukan alam Jin dan alam Manusia bagi menguji rakyat dari alam mana yang lebih hebat. Baginda meminta agar Singgahsana Ratu Balqis dipindahkan dari Yaman ke Jerusalem dengan segera.

Jin Ifrit iaitu pemimpin kalangan jin yang paling gagah berkata dia mampu memindahkannya sebelum Nabi Sulaiman bangun dari takhtanya. Namun, seorang manusia yang memiliki sebuah ilmu yang juga merupakan menteri dan murid Nabi Sulaiman berkata dia mampu memindahkannya dalam sekelip mata. Orang tua dulu memanggil ilmu ini sebagai Ilmu Lipat Bumi.

Nabi Sulaiman meminta agar Singgahsana ini diubah suai. Kemudian, Nabi Sulaiman menjemput Ratu Balqis memasuki sebuah istana yang diperbuat dari kaca yang berkilat sehingga Ratu Balqis menyangka lantai istana itu merupakan kolam air.

Nabi Sulaiman memiliki sebentuk cincin yang menjadi lambang cop mohor pemerintahan kerajaannya. Kaum jin pernah mencuri cincin ini lalu memerintah dunia dan menyebarkan ilmu Sihir buat seketika sebelum cincin ini diambil semula oleh Nabi Sulaiman. Setelah kewafatan baginda, tidak diketahui dimana keberadaan cincin Nabi Sulaiman ini.

• “…Aku akan pindahkan singgahsana Ratu Balqis dari Yaman ke Jerusalem kepadamu dalam sekelip mata!…” (An-Naml 27:40)

🧡SOUL STONE
Infinity Stone ini mampu menghidupkan semula orang mati serta mengawal dan memanipulasi nyawa seseorang.

Nabi Isa al-Masih hidup tanpa pengantara seorang bapa. Ruhul Qudus iaitu Jibril meniupkan ruh ke dalam rahim Maryam lalu lahirlah baginda. Baginda boleh bercakap sejak bayi, mampu sembuhkan penyakit, membentuk tanah liat menjadi burung yang hidup bahkan mampu menghidupkan semula orang yang telah mati.

Baginda sendiri belum wafat sebaliknya diangkat ke langit dan dipelihara jasadnya agar tidak dimamah usia. Baginda akan turun semula ke dunia bagi melawan al-Masih palsu iaitu Dajjal dan Yakjuj Makjuj pada akhir zaman. Ketika itu juga akan muncul Dabbatul Ardh yang memakai cincin Nabi Sulaiman dan tongkat Nabi Musa.

• “…Dan ingatlah wahai Isa al-Masih ibni Maryam ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu…” (Al-Maaidah 5:110)

KESIMPULAN

Sememangnya filem ini sangat memberi impak besar kepada penonton. Minda kita bagaikan ‘tersihir’ melihat filem fantasi ini. Kita rasa macam teknik CGI itu adalah realiti dan jiwa kita turut berada dalam ruang cerita tersebut. Bahkan ketika menonton filem ini di panggung, kita dapat kekal bertenaga dan fokus bagi memahami serta menghayatinya hingga tidak sedar 3 jam telahpun berlalu.

Hubungan Infinity Stone dengan kisah dalam Quran ini tiada perkaitan secara langsung pun. Pengunaan jenis-jenis batu Infinity Stone ini hanya sekadar untuk menarik minat pembaca bagi mengetahui kisah-kisah dalam al-Quran sahaja. Banyak lagi kisah-kisah ajaib yang benar-benar berlaku diceritakan dalam al-Quran.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.