Rahsia Agung Melaka: Perihal Pelabuhan Teragung Melayu

0
3301
views

1. Tanjung Bidara adalah salah satu pelabuhan Melaka yang terletak di bahagian utara Melaka. Pelabuhan ini menjadi pusat hentian kapal dagang dari utara untuk sementara waktu sebelum memasuki pelabuhan Melaka. Ia berfungsi sebagai pelabuhan transit kepada pelabuhan utama Melaka apabila berlaku kesesakan pedagang-pedagang yang membawa dagangan ke Melaka. Pelabuhan Melaka diakui sebagai pelabuhan antarabangsa tersibuk di dunia dengan nilai jumlah dagangan yang tinggi. Pelabuhan ini bukan sahaja mengendalikan urusan jual beli komoditi antara barangan pedagang timur dan pedagang barat, malah turut menguruskan transaksi perniagaan antara kerajaan yang terdapat dalam Kepulauan Melayu.

Melaka memiliki petempatan pedagang yang besar seperti Tanjung Keling, Lubuk Cina, Kampung Jawa dan sebagainya yang berfungsi sebagai kediaman untuk para pedagang utama di Melaka. Antara punca kesesakan di pelabuhan Melaka ialah majoriti pedagang menetap dengan lebih lama dari satu musim monsun ke musim monsun berikutnya bagi mendapatkan barangan komoditi yang lebih banyak dan murah. Kemudahan gedung penyimpanan barang yang baik dan berteknologi tinggi menyebabkan barangan dapat disimpan dengan lebih lama. Selain dari pedagang, hampir semua penduduk Melaka itu sendiri memiliki kapal-kapal peribadi sebagai pengangkutan mereka. Ini menyebabkan berlaku kesesakan di pelabuhan Melaka sehingga memerlukan pelabuhan-pelabuhan transit untuk menempatkan kapal dagang sebelum memasuki pelabuhan Melaka. (Sumber: Hang Tuah dari Perspektif Sejarah)

2. Melaka memiliki teknologi pembinaan gedung menyimpan barang dagangan. Gedung-gedung di Melaka dibina dari tanah dan disimen dengan batu kapur untuk mengelakkan kebakaran. Pembinaan gedung ini sebahagiannya dibina di atas tanah dan sebahagian lagi dibina di bawah tanah. Kaedah penyimpanan barang-barang dagangan di dalam gudang menunjukkan jumlah komoditi yang banyak. Oleh itu, perlindungan yang baik amat diperlukan bagi mengelakkan kerosakan dan juga bersistematik bagi mengatasi kehilangan barangan. Pembinaan gedung menggunakan bahan tidak mudah terbakar berbanding rumah penduduk Melaka itu sendiri menunjukkan keutamaan dalam hal keselamatan komoditi perdagangan. Barangan yang dibawa dari timur atau barat perlu menunggu tempoh masa monsun berakhir sebelum dapat sampai ke tangan pembeli. Gedung adalah salah satu rahsia kejayaan aktiviti ekonomi Melaka dalam memastikan barangan perdagangan dapat disimpan dengan lama dan dalam keadaan baik. (Sumber: Lendas da India)

3. Pelabuhan Melaka adalah pelabuhan tersibuk di dunia dan bertaraf pelabuhan antarabangsa semasa pentadbiran Kesultanan Melaka. Dalam satu masa biasanya terdapat 2,000 buah kapal akan berlabuh di Melaka untuk berdagang dan membeli barang dagangan baru. Bagi mengendalikan kesesakan kapal pedagang ini, pelabuhan Jugra di Selangor, pelabuhan Bentan di Indonesia dan pelabuhan Tanjung Bidara menjadi tempat lokasi kapalkapal dagang dari timur dan barat berlabuh sementara untuk menunggu giliran masuk ke pelabuhan Melaka.

Setelah mendapat kebenaran, barulah kapal dari pelabuhan perhentian ini akan belayar masuk ke pelabuhan Melaka untuk menjalankan urus niaga. Selain itu juga, pelabuhan Melaka menjadi lokasi pelbagai jenis kapal dari seluruh dunia berlabuh. Disebabkan pelabuhan ini berada di kawasan tengah laluan perdagangan lautan, pelbagai bentuk kapal dari tamadun timur dan barat boleh ditemui di pelabuhan ini. Keadaan ini kemudiannya menyebabkan berlaku pemindahan teknologi pembuatan kapal dalam kalangan para pelayar dan pedagang. Mereka mula meniru kaedah pembuatan kapal atau menggunakan istilah perkapalan dari tamadun yang berbeza untuk memajukan teknologi perkapalan masing-masing. Dari abad ke-16 sehingga abad ke-20, pelbagai jenis kapal yang digunakan di sekitar Tanah Melayu dipercayai mempunyai pengaruh pembuatan kapal-kapal dari tamadun luar dan juga sebaliknya. (Sumber: Duarte Barbosa)

4. Pelabuhan Melaka lazimnya dilawati 60 pedagang dari kerajaan berbeza dalam satu masa. Pelabuhan ini dikunjungi oleh pedagang dari barat, timur dan Asia Tenggara. Pada abad ke-15 hingga 16, antara pedagang yang biasa berdagang di Melaka ialah Mesir, Mekah, Aden, Habsyah, Kilwa, Malindi, Hormuz, Parsi, Rom, Turki, Turkmen, Armenia, Gujerat, Chaul, Dabhol, Goa, Dekkan, Malabar, Kalinga, Orissa, Sri Lanka, Bengal, Arakan, Pegu, Siam, Kedah, Pahang, Pattani, Kemboja, Champa, Cochincina, China, Taiwan, Brunei, Lucoes, Tanjung Pura, Laue, Bangka, Lingga, Maluku, Banda, Bima, Timor, Madura, Jawa, Sunda, Palembang, Jambi, Tongkal, Inderagiri, Kappata, Minangkabau, Siak, Arkat, Aru, Batak, Negeri Tamiang, Pasai, Pedir dan Maladewa (Maldives). Jumlah pedagang yang ramai dari pelbagai kerajaan adalah berpunca dari dua faktor. Pertama, pedagang-pedagang ini sedang menunggu perubahan angin monsun sebelum belayar kembali ke negara mereka. Manakala faktor kedua adalah kerana pedagang berkenaan sengaja tinggal lebih lama di Melaka bagi menunggu hasil dagangan dari timur mahupun barat terkumpul di Melaka dalam jumlah yang banyak. Tujuannya adalah untuk membolehkan mereka mendapat barangan berkenaan dengan harga yang murah dan dalam jumlah yang banyak. (Sumber: Tome Pires dalam Suma Oriental)

Waqaf Saham

5. Terdapat 84 bahasa yang dituturkan di Melaka. Ia berpunca dari kepelbagaian latar belakang pedagang dan penduduk Melaka itu sendiri. Walau bagaimanapun, mereka akan menggunakan bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan pedagang dan juga pentadbir Melaka. Kesemua bahasa tersebut sebahagiannya dipelajari oleh pembesar dan Syahbandar Melaka untuk memudahkan urusan perdagangan yang dijalankan. Setiap syahbandar biasanya berkebolehan untuk bertutur lebih dari satu bahasa untuk memudahkannya berinteraksi dengan para pedagang. Disebabkan terdapat kepelbagaian bahasa pertuturan di Melaka, ia akhirnya telah mempengaruhi kosa kata bahasa Melayu itu sendiri. Dalam bahasa Melayu moden hari ini, terdapat banyak perkataan yang dipinjam dari bahasa pedagang-pedagang asing di Melaka. Antara bahasa yang banyak mempengaruhi bahasa Melayu di Melaka ialah bahasa Arab, bahasa Jawa, bahasa Tamil, bahasa Urdu, bahasa Parsi, bahasa Cina, bahasa Portugis dan juga bahasa Belanda. (Sumber: Tome Pires dalam Suma Oriental)

6. Melaka ialah salah satu pengeksport emas dunia. Setiap tahun, Melaka mengeksport sembilan atau sepuluh bahar emas. Lombong emas Melaka terletak di Pahang dan mengambil masa antara tujuh hingga lapan hari untuk tiba di lombong emas berkenaan. Galian emas yang dikeluarkan di Pahang akan dibawa ke Melaka melalui jalan darat. Satu lagi lombong emas Melaka terletak di Minangkabau dan ia mengambil masa perjalanan antara lapan hingga sembilan hari melalui jalan laut dan sungai. Emas di Melaka adalah dalam bentuk butiran dan dikenali sebagai emas urai. Emas ini dilombong secara tradisional menggunakan peralatan yang ringkas. Kegiatan mendapatkan emas ini dijalankan di kawasan sungai dan dinamakan mencebak emas. Terdapat pantang larang dalam aktiviti mencari emas dalam kalangan orang-orang Melayu seperti tidak mengunakan kasut dan juga payung semasa melakukan aktiviti berkenaan. Terdapat juga kepercayaan tentang ibu emas yang mana ia boleh berpindah randah dan menyebabkan emas di sesuatu kawasan akan berkurangan akibat dari perpindahan ibu emas. Kawasan lombong emas Kesultanan Melaka hari ini telah dijadikan kawasan perlombongan emas di negeri Pahang. (Sumber: Document on the History of the Portuguese Patronage in the Far East)

7. Di Melaka, terdapat empat syahbandar utama. Mereka menguruskan kapal yang berlabuh dalam kawasan seliaan masing-masing. Syahbandar biasanya akan mengendalikan beberapa kumpulan pedagang yang memahami bahasa yang sama. Para syahbandar kemudiannya akan berjumpa dengan bendahara untuk memaklumkan ketibaan pedagang-pedagang dan membahagikan gedunggedung untuk pedagang menyimpan barang-barang dagangan. Penginapan dan keperluan lain untuk para pedagang turut disediakan oleh syahbandar. Mereka juga bertanggungjawab untuk menentukan lokasi untuk setiap kapal dagang berlabuh.

Pedagang diwajibkan mematuhi arahan syahbandar bagi mengelakkan pergaduhan dalam urusan perniagaan. Syahbandar pada zaman Sultan Mahmud Syah Melaka adalah salah satu individu yang mengambil inisiatif dengan sekumpulan pedagang dan nakhoda bagi mewujudkan Kanun Laut Melaka. Pihak syahbandar telah membawa perkara ini kepada pengetahuan Bendahara Seri Maharaja bagi mempersembahkan cadangan dan penambahbaikan sistem pengurusan pelabuhan Melaka. Peranan Syahbandar dalam membantu memperkemaskan urusan pentadbiran pelabuhan menjadikan lebih ramai pedagang berminat untuk menjalankan urus niaga di Melaka. (Sumber: Suma Oriental)

Untuk membaca lebih banyak rahsia-rahsia hebat mengenai PELABUHAN MELAKA, bolehlah mendapatkan buku keluaran kami iaitu TASJIL ANIS SALATIN: RAHSIA AGUNG MELAKA tulisan FARAHANA SUHAIMI. Pembelian boleh dibuat di portal kami. 

Pautan (KLIK LINK YANG DIBERIKAN): http://patriotspublication.com/product/tasjil-anis-salatin-rahsia-agung-melaka/


 

Previous articleBermulanya Empayar Safavid Di Bumi Iran
Next articlePulau Paling Aneh Di Dunia
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE