Rahmatan lil Alamin: Sumbangan Tamadun Islam Terhadap Sistem Perundangan Barat

584
views

Sayang sekali, istilah ‘Rahmatan lil Alamin’ yang ada dinyatakan dalam Al-Quran telah disalahgunakan sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka. Oleh itu, saya ingin mendedahkan pengertian sebenar istilah tersebut berdasarkan sejarah kegemilangan Tamadun Islam.

Illustrasi mozaik King Roger II

Buku ‘Syariah Di Hati King Roger II’ mendedahkan bagaimana Tamadun Islam memberikan sumbangan yang amat besar kepada sistem perundangan di Eropah. Sebelumnya, sistem perundangan di benua itu bersifat agak berat sebelah dan zalim.

Salah satu kepincangan sistem ini adalah meletakkan bebanan tuduhan terhadap yang tertuduh (defendan). Dalam hal ini, yang tertuduh perlu membuktikan dirinya tidak bersalah. Jikalau gagal untuk berbuat demikian, tertuduh akan dijatuhi hukuman.

Hal ini berbeza dengan hukum syariah yang meletakkan bebanan tuduhan terhadap yang menuduh (pendakwa). Yang menuduh perlu membuktikan bahawa tuduhannya adalah benar. Jikalau gagal berbuat demikian, tuduhan akan digugurkan atau pendakwa yang akan dikenakan hukuman seperti yang kita boleh lihat dalam hukum qazaf zina.

Selain itu, sistem perundangan Eropah masa itu terkenal dengan bentuk-bentuk hukuman yang kejam lagi menyeksakan. Antaranya ialah membakar hidup-hidup, merosakkan alat sulit, memecahkan kepala dan menyiat kulit orang hidup-hidup. Tidak kurang juga terdapat pengadilan dalam bentuk pertarungan sampai mati. Ngeri, bukan?

Illustrasi kejatuhan Kota Syracuse, Sicily kepada tentera Islam

Pada tahun 831 Masihi, tentera Islam Aghlabiyyah telah berjaya meluaskan kekuasaan wilayah Islam ke atas Kepulauan Sicily. Sepanjang penguasaan oleh kerajaan Islam, Kepulauan Sicily juga telah menjadi pusat peradaban yang maju di Eropah di samping Andalusia.

Hal ini berterusan sehinggalah pada tahun 1091 Masihi, apabila tentera Norman bawah pimpinan King Roger I telah berjaya menguasai seluruh kepulauan tersebut. Berbeza dengan nasib Andalusia selepas diperintah oleh Sepanyol, King Roger I amat bertoleransi dengan umat Islam Sicily dan masih mengekalkan banyak sistem dan gaya hidup umat Islam di sana.

Apabila King Roger II pula menaiki takhta, baginda telah menerapkan banyak unsur-unsur daripada sistem perundangan syariah ke dalam sistem perundangan wilayah Norman Sicily. Kemudian, beberapa orang pembesar Norman Sicily termasuk Thomas Brown telah memperkenalkan sistem perundangan Islam di England.

Atas inisiatif mereka bersama King Henry II of England, langkah penyeragaman pelaksanaan undang-undang telah dijalankan ke seluruh England. Dari situ, terciptanya sebuah undang-undang rasmi yang dikenali sebagai ‘Common Law’.

Ia tidak berakhir di situ sahaja, malah sistem ‘Common Law’ juga telah banyak diadaptasi oleh negara-negara Barat lain seperti Jerman, Perancis, Itali dan Sepanyol. Kemudian, pada zaman kolonial, sistem-sistem perundangan ini pula telah diadaptasi di wilayah-wilayah jajahan mereka di seluruh dunia.

Hari ini, sistem perundangan ‘Common Law’ telah kehilangan sebahagian daripada unsur-unsur sistem perundangan Syariah. Namun, sistem ini masih lagi mengekalkan proses perbicaraan yang ketat lagi rumit bagi memastikan pengadilan yang lebih adil dan telus. Hasilnya, masyarakat Eropah dan hampir seluruh dunia mempunyai kehidupan yang lebih terjamin bawah sistem perundangan yang jauh lebih baik.

Beginilah yang dimaksudkan oleh istilah ‘Rahmatan lil Alamin’ dalam Al-Quran. Islam menjadi rahmat buat seluruh alam apabila masyarakat sedunia menikmati keamanan dan kemakmuran hasil daripada implementasi keseluruhan syariat Islam. Bukan sebaliknya.

Rujukan:

  1. Hasanuddin Yusof. (n.d.). Syariah Di Hati King Roger II. Batu Caves, Selangor: AlHijrah Production.