Rahim Tiruan Pertama Di Dunia Untuk Manusia

1,343

Idea rahim tiruan ini yang kita ketahui berada dalam dunia sains fiksyen sahaja. Bagi penggemar siri animasi Gundam terutama Gundam Seed, pasti sudah arif dengan rahim tiruan yang digunakan untuk menghasilkan Coordinator seperti Kira Yamato. Tetapi sekumpulan saintis di Belanda mengumumkan dalam tempoh 10 tahun, mereka akan menghasilkan rahim tiruan yang dapat menyelamatkan ramai bayi pra-matang yang dilahirkan.

Menurut Lisa Mandemaker, seorang pereka yang bekerjasama dengan Pusat Perubatan Maxima untuk menghasilkan prototaip rahim tiruan ini, sebarang rekaan rahim hendaklah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan bayi itu. Rekaan rahim tiruan mereka terdiri daripada lima belon besar di mana bayi ditempatkan di situ dan berenang dalam cecair mereka. Terdapat peredaran berbeza pada tiub yang diletakkan pada belon-belon ini seperti peredaran cecair dan darah untuk membantu bayi-bayi pra-matang ini lebih selesa.

Mandemaker mengakui rekaan yang dibuat agak rumit dengan tujuan mengelakkan ia dari ditiru oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana sekiranya rekaan ini terdedah kepada orang luar, ia sudah pasti akan mengundang rasa kurang percaya golongan ibu terhadap pihak berkuasa kesihatan yang ditugaskan menjaga kebajikan bayi mereka. Menurut pakar sakit puan dari Pusat Perubatan Maxima, Dr Guid Oei, beliau menganggap idea rahim tiruan ini sebagai sesuatu yang boleh dilakukan dan tidak mustahil seperti disangka ramai.

Ini kerana perbezaan antara rahim tiruan dengan inkubator ialah rahim tiruan dipenuhi dengan cecair sementara inkubator dipenuhi dengan udara. Menurut Dr Oei, inkubator boleh mencetuskan pelbagai masalah kepada bayi pra-matang teruk di mana udara boleh merosakkan paru-paru bayi. Justeru, apabila bayi sebegini lahir, ia akan terus diletakkan dalam rahim tiruan di mana ia telah diisi dengan air dan pelbagai jenis mineral. Bayi akan mendapat manfaat semua ini termasuk oksigen menerusi tali pusatnya dan selepas empat minggu dalam pemantauan, bayi ini akan dikeluarkan seperti dilahirkan buat kali kedua.

Menurut Dr Oei, ciptaan sebegini boleh menyelamatkan ramai nyawa bayi. Setiap tahun, dianggarkan 15 juta bayi dilahirkan dalam keadaan pra-matang dan separuh daripadanya mati tidak lama selepas dilahirkan. Tambahnya, beliau tahu berita kelahiran anak merupakan sesuatu yang dinanti oleh ibu bapa. Tetapi bila si bayi mengalami masalah kelahiran pra-matang yang teruk, sesetengah terpaksa diletakkan dalam inkubator sehinggalah mereka cukup sihat. Dengan menggunakan model rahim tiruan itu, bayi pra-matang seberat 400 gram boleh diletakkan di situ.

Sementara Mandemaker pula berpandangan rahim tiruan akan menjadi sebahagian daripada pilihan gaya hidup wanita pada masa hadapan. Tambahnya, rahim tiruan membolehkan wanita dapat mengelak pelbagai isu yang dihadapi semasa mengandung seperti mabuk waktu pagi dan pertambahan berat badan. Bagaimanapun, gagasan itu kurang dipersetujui Dr Oei kerana tidak diketahui apa impak rahim tiruan kepada bayi sekiranya idea itu direalisasikan. Ini kerana mereka perlu mengambil kira kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap bayi sebelum ianya diteruskan. Tambahnya lagi, projek ini sudah memakan masa lima tahun dan bila mereka sudah bersedia, mereka akan meletakkan bayi pra-matang dalam model rahim tiruan.

RUJUKAN

Devlin, Kayleen. (2019). The world’s first artificial womb for humans. BBC. https://www.bbc.com/news/av/health-50056405/the-world-s-first-artificial-womb-for-humans

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.