Rahasia Ilmu P.Ramlee

0
2965
views

Apabila memperkatakan tentang P.Ramlee, masyarakat hari ini akan merujuk kepada keberhasilan karya seni beliau. Tidak dinafikan P.Ramlee sememangnya mempunyai bakat anugerah Allah yang sangat luar biasa dan mempunyai satu sentuhan yang ajaib kepada sesuatu perkara yang dilakukan berkaitan dengan kerjayanya sebagai pengarah filem, pelakon, penyanyi, penulis lirik, penggubah lagu dan pelawak.

Hari ini masyarakat sering menyamakan filem P.Ramlee dengan apa yang berlaku di dalam kehidupan dunia sekarang. Saya tidak menafikan perkara itu, sememangnya filem-filem P.Ramlee mempunyai kritikan sosial dan nilai sindiran yang tinggi bersangkutan dengan kehidupan manusia hari ini. Tetapi jangan sesekali mengatakan P.Ramlee itu sebagai peramal masa depan seperti Nostradamus. Apa yang kita perlu kaji adalah dari mana datangnya ilham dan ilmu sehingga beliau boleh berfikiran sedemikian. Adakah ianya secara kebetulan? Mari kita bincangkan dengan penuh berhemah tentang perkara ini yang memungkinkan kita juga beroleh menfaatnya dari apa yang dibincangkan.

Semasa P.Ramlee bersekolah di Penang Free School, beliau adalah seorang pelajar yang mempunyai tulisan paling cantik sekali. Tidak kira tulisan itu dalam bentuk rumi atau jawi. Kenyataan ini kita boleh rujuk kepada tandatangan P.Ramlee yang seringkali berubah-ubah dari satu gaya ke satu gaya lebih kreatif dan unik. Menurut guru sekolah beliau iaitu Cikgu Hashim (bapa seniman Ahmad Daud), beliau sering meminta bantuan P.Ramlee untuk membawa buku sekolah murid-murid pulang ke rumahnya untuk disemak. Apabila sampai dirumah, isteri Cikgu Hashim akan menjamu P.Ramlee makan tengahari bersama. P.Ramlee sentiasa senang hati makan tengahari dirumah gurunya dan tidak payah lagi beliau makan dirumah.

Semasa di zaman persekolahan P.Ramlee tidak suka membuang masa. Selepas makan tengahari beliau akan pergi belajar agama. Menurut beberapa sumber, P.Ramlee pernah menuntut ilmu agama dengan Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi). Beliau adalah seorang Ulama besar yang terkenal di zaman itu. Syeikh Abdullah Fahim adalah individu yang dirujuk oleh Tunku Abdul Rahman dalam menetapkan tarikh bagi hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kerana beliau mempunyai pengetahun yang tinggi dalam ilmu Falak. Selain itu beliau juga cenderung mengajar ilmu agama berkaitan dengan ilmu Usuluddin, Fiqh, Tauhid, Tasawuf dan Al-Quran.

Selepas selesai belajar agama, P.Ramlee akan membuat aktiviti sukan. P.Ramlee sangat gemar bermain sepak raga dan badminton bersama rakan-rakan sekolahnya. P.Ramlee juga sangat aktif bersukan dan berpesatuan semasa di sekolah. Selepas selesai solat Isyak, P.Ramlee akan berlatih muzik bersama kumpulan pancaragam Sinar Bintang Sore. Setelah beberapa lama bersama pancaragam itu beliau sertai pula pancaragam Teruna Sekampong sebagai pemain biola, penyanyi dan pencipta lagu. Sebenarnya bakat seni P.Ramlee ini telah terlihat dari beliau remaja lagi. P.Ramlee juga pernah belajar bermain biola bersama dengan Cikgu Kamaruddin seorang guru biola terkenal di Pulau Pinang.

Apabila diadakan pertandingan menyanyi anjuran Radio Malaya pada tahun 1945, P.Ramlee telah mencuba nasibnya sebagai penyanyi. Tetapi pada tahun itu P.Ramlee hanya mendapat tempat ketiga. Setelah tiga tahun mencuba akhirnya P.Ramlee berjaya mendapat johan pada tahun 1947. Semenjak itu nama P.RAMLEE dan pancaragam Teruna Sekampung telah mula dikenali di kawasan utara Malaya. Perkara ini telah membuatkan pengarah B.S Rajhans berminat akan bakat yang ada pada P.Ramlee sehingga meminta beliau ke Singapura seperti yang kita semua tahu.

Apabila P.RAMLEE sampai ke Singapura, beliau banyak juga menuntut ilmu dengan beberapa orang guru dan tokoh muzik. Antara tokoh muzik yang P.Ramlee pernah berguru ialah Zubir Said, Osman Ahmad, Alfonso Soliano, Yusof B dan Ahmad Jaafar. P.Ramlee juga pernah balajar cara mengendalikan muzik dengan Fred Libio dan LB Ventura. Moral dari kisah P.Ramlee ini yang kita boleh dapat adalah dengan berguru. Kerana segala ilmu di dunia ini perlu ada guru. Bukan hanya sekadar menadah kitab tetapi ianya juga perlu bimbingan dan rujukan guru. Seperti P.Ramlee kita tahu bahawa beliau sememangnya dianugerahkan bakat dari Allah, tetapi P.Ramlee juga berguru dan menuntut ilmu. Kerana guru tidak kira dalam apa bidang sekalipun perlu kita mendatangi bukan guru mendatangi kita.

TABIAT P.RAMLEE

Waqaf Saham

P.Ramlee mempunyai beberapa tabiat. Beliau memiliki kepandaian berbual dan bercerita secara spontan. Ini membuatkan beliau menjadi seorang periwayat yang baik untuk filem-filem arahannya.

Satu tabiat P.Ramlee ketika beliau duduk sambil bercerita atau berbual, sebelah kakinya tidak berhenti terhenjut-henjut dengan cepat, ini menandakan yang otaknya sedang berfikir. P.Ramlee suka duduk berbual bersama rakan-rakannya di kedai kopi Siput berdepan dengan Studio Nombor 8 di Jalan Ampas. Kebiasaannya ketika beliau sedang rancak berbual atau bercerita mesti ada segelas kopi dan sebungkus rokok Lucky Strike di hadapannya. Antara pelakon pelakon yang selalu menjadi pendengar setia ketika P.Ramlee bercerita ialah seperti S.Sudarmaji, Ahmad C, A.Rahim, Aziz Sattar, S.Shamsudin dan beberapa lagi yang lain.

Apabila kita menonton filem Seniman Bujang Lapok, kita semua telah disajikan dengan keadaan dan suasana sebenar di Studio Jalan Ampas. Jikalau tidak ada filem itu, maka kita semua tidak akan tahu bagaimanakah keadaan dan suasana yang sebenarnya di studio itu ketika zaman gemilang filem Melayu klasik di Singapura. Kita semua bangsa Melayu di seluruh nusantara patut berterima kasih kepada P.Ramlee dan juga semua pemain watak di dalam filem itu kerana telah memberikan gambaran yang sebenar keadaan di Jalan Ampas. Walaupun tidak keseluruhannya, tetapi ada. Ini kerana, hanya filem Seniman Bujang Lapok satu satunya yang memberikan gambaran tersebut.

Sumber :

Gagak Di-Rimba – SN Datuk Abdullah Hussain

Erti Yang Sakti – Tun Ahmad Sarji

Kacha Permata – Jamil Sulong

Bulanan Gelanggang Filem

Dato’ Ahmad Fauzee Samad

Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik