Ragnarok – Kiamat Dalam Mitologi Norse

847

Dalam mitologi Norse, Ragnarok merupakan serangkaian peristiwa apokaliptik yang berkemuncak dengan berakhirnya dunia, di mana ras gergasi beku dan gergasi api akan saling berganding-bahu memerangi dewa-dewi Norse dalam pertempuran muktamad yang bakal menghancurkan seluruh alam semesta.

Menurut legenda, alam semesta nantinya akan muncul kembali dari dasar laut dengan disusuli dewa-dewi yang terselamat. Kemudian, dunia bakal dihuni semula oleh dua orang manusia yang bertanggungjawab meramaikan bumi dengan zuriat keturunan mereka.

Menukil petikan terjemahan Prosa Edda oleh Dronke (1997:19) yang menggambarkan suasana Ragnarok, “Saudara sesama saudara akan saling bercakaran dan berbvnvhan, anak-anak akan merosak tali kekeluargaan. Kala dunia dipenuhi pancaroba, berleluasa juga noda zina – berlalu zaman kapak, zaman pedang – perisai-perisai habis hancur berkecaian – berlalu zaman angin, zaman serigala – sebelum semesta dunia menuju ke penghujung masa. Tiada lagi manusia yang punya belas kasih antara mereka.”

Ragnarok

LOKI SEMASA RAGNAROK

Pantheon Norse dibahagikan kepada dua dewa utama, iaitu dewa-dewa Aesir dan Vanir. Sebelum mereka wujud, wujud dahulu ras gergasi yang mendiami Jotunheimr, iaitu salah sebuah dari sembilan buah alam yang wujud dalam kosmologi Norse. Ras gergasi ini terpaksa menetap di alam tersebut lantaran dewa-dewa Aesir enggan membenarkan mereka mendiami alam Asgard. Dalam kisah-kisah mitos Norse, ras Gergasi disifatkan sering berp3rang dengan dewa-dewa Aesir dan Vanir.

Antara nama masyhur dalam mitologi ini adalah Loki, yang merupakan anak Gergasi dan dikenali sebagai dewa licik yang berupaya mengubah bentuk tubuhnya. Keterlibatannya dalam mitologi Norse agak unik, tersendiri, dan penuh kontroversi memandangkan pada satu-satu ketika, beliau dilihat banyak membantu dewa-dewa Aesir sambil pada ketika yang lain, beliau bertanggungjawab melengahkan pergerakan mereka. Loki diberi izin untuk menetap bersama Aesir di Asgard. Di sana, beliau dikurniakan ramai zuriat, termasuklah seekor kuda lapan kaki (Sleipnir) tunggangan Odin, seekor naga, dan anjing Fenrir yang peranannya dalam Ragnarok cukup signifikan.

Menurut legenda, Loki pernah memperdaya Hod (Hoor) si dewa musim sejuk yang buta. Tindakannya itu mengakibatkan kem4tian dewa Baldr, iaitu anak kepada dewi Frigg dan dewa Odin. Rentetan peristiwa tersebut, Loki dihukum dengan diiikat pada sebongkah batu yang bertempat di sebuah tebing yang terpencil sehinggalah tibanya Ragnarok.

Naratif sebegini agak mirip dengan hukuman yang ditimpakan ke atas Prometheus dalam mitologi Yunani, yang diikat pada sebongkah batu kerana melanggar larangan Zeus dengan mengurniakan keupayaan menyalakan api kepada umat manusia.

Loki dihukum dengan diikat pada sebongkah batu sambil ditemani seekor ular yang terus-menerus mematuknya sehinggalah datangnya Ragnarok

PETANDA-PETANDA RAGNAROK

Sama seperti peristiwa kiamat dalam kebanyakan agama di dunia, Ragnarok dicirikan dengan beberapa petanda. Petanda awal Ragnarok adalah berlalunya Fimbulvetr, iaitu suatu musim sejuk yang berpanjangan selama setahun. Kemudian, seekor ayam jantan merah bernama Fjalar akan berkokok memaklumkan kepada ras Gergasi bahawa Ragnarok sudah pun bermula. Hal yang sama turut disampaikan oleh ayam kedua kepada roh-roh yang telah m4ti, sebelum kemudiannya, khabar tersebut diberikan kepada dewa-dewi di Valhalla oleh ayam ketiga yang bernama Gullinkambi.

Selepas berlalunya kokokan ketiga-tiga ayam tersebut, dewa Heimdallir pula akan meniupkan sangkakalanya dan tiupan tersebut akan menghidupkan semula kesemua yang telah m4ti dan mereka itu kemudian diarak ke sebuah medan yang disebut sebagai Vigrid. Di medan itulah nanti berlaku pertempuran muktamad antara dewa dan ras gergasi.

Setelah itu, lautan-lautan dunia akan terbelah dan muncul dari dasarnya Ular Dunia, iaitu sejenis ular yang tubuhnya sangat besar hingga disifatkan mampu melingkari seluruh dunia. Bersama Ular Dunia, dewa Baldr dan Dewa Hod akan turun ke medan Vigrid untuk menyertai pertempuran tersebut.

Pertempuran antara Odin dan Fenryr, Freyr dan Surtr.

P3RANG AKHIR ZAMAN

Sambil itu, Loki dan gerombolannya akan menuju ke Vigrid untuk berhadapan dengan dewa-dewi Aesir sambil diikuti oleh ras Gergasi Beku yang berlayar menaiki sebuah kapal yang diperbuat daripada kuku mayat. Pasukan mereka ini turut dianggotai oleh bermacam-macam raksasa dan gergasi, antaranya seperti Surtr si gergasi api, Carm si anjing milik Hel, serigala Fenrir, dan Hrym si ketua ras gergasi. Legenda menceritakan betapa pertempuran tersebut bakal meragut nyawa Thor, Odin, dan hampir kesemua dewa-dewi Norse. Seluruh hidupan di bumi juga dihapuskan dek hembusan api naga.

Bagaimanapun, semesta Norse tidaklah berakhir begitu sahaja. Segalanya akan kembali seperti sediakala dengan kehadiran dunia baru yang kononnnya muncul dari dasar laut. Bumi sendiri nanti dihuni semula oleh manusia yang dikembang-biakkan oleh sepasang manusia pertama, iaitu Lif (wanita) dan Lifthrasir (lelaki).

Dewa-dewa yang terselamat dari pertempuran tersebut, seperti Valir, Vidar, dan anak-anak Thor dan Hoenir, masing-masing akan berkelana ke Idavoll yang kekal utuh menggagahi kedahsyatan Ragnarok. Begitu juga dengan dewa Baldr dan Hoder, yang turut terlibat dalam kitaran zaman baru.

DI SEBALIK KEHANCURAN DUNIA

Kisah Ragnarok menceritakan kepada kita tentang pertempuran antara dewa-dewi yang berkesudahan dengan hancurnya dunia dan tamatnya riwayat manusia. Terhapusnya umat manusia dalam mitologi Norse tidaklah semata-mata sebagai hukuman di atas keingkaran dan kekufuran mereka sebagaimana yang mendasari ajaran beberapa agama di dunia, tetapi mereka menjadi korban p3rang antara dewa-dewa persis seperti yang berlaku dalam mitologi Hindu.

Sejak zaman-berzaman, umat manusia memang tidak lari daripada kisah ‘pengakhiran zaman’ atau ‘pengakhiran dunia’. Misalnya, agama-agama Abrahamik dengan kepercayaan terhadap Hari Kiamat, Aztec dengan Legenda Lima Matahari, Hindu dengan Kalki, dan Buddha dengan Tujuh Matahari.

Bagi kebanyakan kepercayaan pagan, mereka meyakini bahawa sesudah dunia tempat manusia huni ini hancur, dunia baru akan dicipta. Sebahagian ilmuwan berpendapat naratif sebegini didasari oleh kitaran alam seperti pertukaran siang dan malam, pergantian musim dalam setahun, dan rantaian hidup-m4ti.

Ada juga yang mengandaikannya sebagai pengkisahan peristiwa sebenar yang pernah terjadi di zaman silam. Namun apa yang pasti, tiada yang dapat menyangkal bahawa kisah-kisah sebegini adalah peringatan buat umat manusia betapa kem4tian dan kiamat tidak pernah alpa dari mendekati kita.

TERJEMAHAN:

John Black. (25 Jun 2020). The Story of Ragnarok, The Ancient Norse Apocalypse. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends/story-ragnarok-and-apocalypse-001352

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.