Rabuan Pit – Kisah Raja Pecut Asia 1982

18,750

https://bit.ky/kombowww

The Flying Doctor atau Tan Sri Dr. Jegathesan, pelari pecut negara pertama memenangi pingat emas di Sukan Asia Bangkok pada tahun 1966. Selepasnya, untuk lebih sedekad lamanya, tiada lagi mana-mana pelari pecut negara yang mampu untuk merangkul pingat yang sama dirangkul oleh The Flying Doctor di pentas kejohanan tersebut. Hanya 16 tahun kemudian pada tahun 1982, seorang lagi pecut negara berjaya merangkul pingat emas dalam acara 100 meter di temasya Sukan Asia New Delhi di India.

Datuk Rabuan Pit, nama yang jarang disebut-sebut pada masa kini dan jika adapun, liputannya tidaklah begitu meluas. Rabuan Pit atau nama sebenarnya Rabuan bin Pit yang kini berusia 63 tahun dilahirkan pada tanggal 26 April 1956 di sebuah pekan kecil bernama Merlimau yang terletak di dalam daerah Jasin, Melaka. Beliau merupakan anak yang paling bongsu daripada kesemua 8 adik beradiknya. Rabuan yang dibesarkan oleh kedua ibu bapanya yang bekerja sebagai penoreh getah pernah bertekad dan bermimpi untuk membuktikan yang sesiapapun boleh berjaya hatta dari mana mereka berasal dan bermula.

Impian Rabuan Pit menjadi kenyataan apabila beliau menjadi pelari pecut negara terbaik sepanjang keterlibatannya dalam sukan lari pecut. Nama Rabuan Pit ini mula melonjak naik apabila beliau memungut 2 pingat emas dan 1 pingat perak pada temasya Sukan Asia Tenggara Jakarta di Indonesia pada tahun 1979. Beliau juga menjadi ayam tambatan negara dengan membantu kontinjen negara untuk menjuarai edisi pertama Piala Suharto pada tahun berikutnya apabila beliau banyak mengumpul mata hasil daripada lariannya dalam acara 200m, 400m, dan 4x100m. Pencapaian Rabuan Pit yang membanggakan dalam Sukan Asia Tenggara Jakarta dan Piala Suharto membuatkannya dinobat sebagai Olahragawan Negara pada tahun 1980.

Sukan Asia 1982

Rabuan Pit yang pergi ke Sukan Asia New Delhi pada tahun 1982 tidak pernah terlintas untuk menjadi jaguh lari pecut Asia apatah lagi untuk mendapatkan gelaran Raja Pecut Asia. Beliau yang berjaya mara ke peringkat akhir acara 100 meter perlu menyaingi jaguh-jaguh Asia dari negara-negara seperti Thailand, Jepun dan Korea Selatan. Namun begitu, kita semua ketahui perkataan mustahil ‘tidak pernah wujud’ di dalam kitab kejayaan negara kita. Hasilnya, Rabuan Pit berjaya menjuarai acara 100 meter pada temasya Sukan Asia New Delhi tersebut dengan catatan masa 10.68 saat di hadapan pelari dari Korea Selatan, Chang Jae-keun di tempat kedua dan pelari dari Thailand, Suchart Chairsuvparb yang berada di tempat ketiga dengan catatan masa masing-masing 10.72 saat dan 10.76 saat. Kemenangan Rabuan Pit hanya berjaya ditentukan dengan kemasan foto kerana beliau hanya berada sedikit sahaja di hadapan pelari di belakangnya. Walaupun catatan masanya tidak berjaya memecahkan rekod yang dipegang oleh The Flying Doctor, pencapaian beliau yang berjaya merangkul gelaran Raja Pecut Asia sudah amat membanggakan buat kita rakyat Malaysia.

Kejayaannya pada acara 100 meter di Sukan Asia New Delhi tersebut tidak terhenti di situ sahaja, Rabuan Pit juga berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara 200 meter dengan catatan masa 21.25 saat di belakang Toshio Toyota dari Jepun di tempat kedua dan Chang Jae-keun dari Korea Selatan di tempat yang pertama. Untuk pengetahuan, beliau berlari dalam keadannya yang tidak cergas sepenuhnya hasil daripada kecederaan yang dialami semasa melakukan latihan sebelum berlangsungnya temasya Sukan Asia New Delhi tersebut. Tambahan pula, temasya Sukan Asia New Delhi itu merupakan temasya Sukan Asia yang pertama disertainya. Beliau sudah tentu boleh berlari jauh lebih baik jika beliau berada dalam keadaan yang sepenuhnya cergas. Pada tahun yang sama, beliau sekali lagi dinobatkan sebagai Olahragawan Negara hasil daripada pencapaiannya yang sungguh mengagumkan.

Rabuan Pit Selepas Sukan Asia 1982

Pemenang Pingat Emas Sukan Asia 1982 ini tidak berhenti berlari selepas temasya tersebut. 3 tahun selepas temasya tersebut, beliau kembali ke pentas Sukan Asia Tenggara Bangkok 1985 dan pada edisi tersebut, beliau berjaya memungut 3 pingat perak dalam acara 200m, 4x100m dan 4x400m. Walaupun tidak berjaya merangkul sebarang pingat emas pada edisi itu, pencapaiannya sudahpun cukup untuk membanggakan dan mengharumkan nama negara. Malang sekali, beliau terpaksa bersara hasil daripada kecederaan tumit yang dialaminya.

Beliau kemudian menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia dengan mendaftar sebagai pelatih di Pusat Latihan Polis sebelum ditempatkan di Battalion Ke-6, Pasukan Medan Polis yang kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am. Beliau bersara daripada pasukan polis dengan pangkat Asisten Komisioner Polis dan Penolong Pengarah Pengurusan (Kebajikan) Jabatan Pengurusan PDRM.

3 tahun lepas iaitu pada tahun 2016, Rabuan Pit telah menerima anugerah daripada kerajaan negeri Melaka atas kejayaannya sebagai atlet dan juga sebagai pegawai polis. Beliau telah menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang juga membawa gelaran Datuk. Raja Pecut Asia itu sudah pasti memang layak menerimanya atas sumbang baktinya dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dengan menjadi jaguh dalam acara yang disertainya.

RUJUKAN :

  1. Malay Mail (2015). Rubber tapper’s son realises his dream. https://www.malaymail.com/news/sports/2015/03/28/rubber-tappers-son-realises-his-dream/867761
  2. Legasi Lagenda (2017). Datuk Rabuan Pit. https://www.facebook.com/legasilagenda/posts/datuk-rabuan-pitsukansatukanmalaysiapengorbanankesabaranrabuan-pit-melakar-naman/729070797297107/
  3. Berita RTM (2018). SPM 2018: NOSTALGIA – 36 TAHUN KEMPUNAN PINGAT EMAS 100 METER SUKAN ASIA [25 OGOS 2018] [VIDEO]. https://www.youtube.com/watch?v=G0qVHLmcGdY
  4. PeKhabar (2015). Malaysia Pemenang Pertama Piala Suharto. https://pekhabar.com/h-i-d-s-malaysia-pemenang-pertama-piala-suharto/
  5. Harian Metro (2016). Rabuan, Chong Wei dapat Datuk. https://www.hmetro.com.my/node/173677
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.