Rabiah Al Adawiyah: Pelopor Tasawuf Berkonsep Mahabbah

553

Rabiatul Adawiyah
Serikandi yang tercipta
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi ikhtibar

Mesti siapa yang membaca senikata di atas dengan menyanyikan? Siapa yang tidak pernah dengar lagu Rabiatul Adawiyah nyanyian kumpulan nasyid InTeam. Setiap bait bait lagunya akan membuat pendengar terbayang seorang wanita dan muslimah yang mengabdikan dirinya demi agama tanpa ragu. Pada ketika ini, di mana para wanita memperjuangkan hak asasi bagi dirinya, maka Rabiatul Adawiyah ketika itu berjuang dalam keilmuan dan kebergantungannya pada Tuhan.

LATAR BELAKANG

Rabiatul Adawiyah telah dilahirkan pada 713 M di Basra di mana pada zaman pemerintahan Kerajaan Umayyah. Nama lengkap beliau ialah Rabiah binti Ismail al-Adawiyah al-Qissiyah. Beliau berasal dari keluarga yang miskin. Ayah beliau meninggal ketika beliau masih lagi kecil dan sejak itu beliau hilang perhatian dan kasih sayang.

Fariduddin Attar, seorang penyair mistik Parsi dalam menggambarkan keprihatinan Rabiah, menulis bahawa dia dilahirkan di rumah, di mana tidak ada satu pon yang dapat dimakan dan yang dapat dijual. Malam gelap gelita kerana minyak untuk menerangi rumah juga telah habis.

Pada suatu hari menjelang usia remajanya, ketika keluar rumah, beliau telah ditangkap oleh penjahat dan dijual dengan harga 6 dirham (RM 6.82). Orang yang membeli Rabiah menyuruhnya mengerjakan pekerjaan yang berat, memperlakukan dengan bengis dan kasar.

Pada siang hari, beliau melayani tuannya, dan pada malam hari beribadah kepada Allah s.w.t, terlalu inginkan redha-Nya. Pada suatu malam, tuannya terjaga dari tidur, dan melalui tingkap melihat Rabiah sedang berdoa, “Ya Allah, Engkau tahu bahawa hasrat hatiku adalah untuk dapat mematuhi perintah-Mu; jika aku dapat mengubah nasibku ini, nescaya aku tidak akan beristirehat walau sebentar pun dari mengabdikan kepada-Mu”.

Menyaksikan peristiwa itu, dia merasa takut, semalaman termenung sampai terbit fajar. Pagi pagi lagi dia memanggil Rabiah, bersikap lunak padanya dan membebaskannya. Setelah menikmati kebebasan, Rabiah menjalani kehidupan sufistik, beribadah dan berkhalwat (menyepi), lebih memilih kemiskinan daripada kemewahan kehidupan duniawi.

Beliau hidup menyendiri, tidak menikah, dan enggan menerima bantuan kebendaan daripada orang lain. Dengan sikap dan kesalihannya itu namaya sebagai orang suci dan pengkhutbah makin lama makin harum. Dia dihormati oleh orang orang zuhud di masanya dan sering dikunjungi untuk bertukar tukar pengalaman masalah kesufian. Para Sufi yang sering berkunjung antara lain Malik bin Dinar, Sufyan as-Sauri, Syaqiq al-Balkhi dan lain lain.

Rabiah memilih untuk menempuh jalan hidup sendirian tanpa nikah, hanya mengabdi diri kepada Allah. Pengalaman kesufian dia peroleh bukan melalui guru, melainkan melalui pengalamannya sendiri. Dia tidak meninggalkan ajaran tertulis langsung melalui tangannya sendiri, akan tetapi ajarannya dikenal melalui anak muridnya, dan baru dituliskan setelah beliau wafat.

KISAH BERSAMA HASAN AL BASRI

Sedia maklum bahawa Rabiatul Adawiyah memang tidak berkeinginan untuk berkahwin. Ramai lamaran lelaki yang bukan calang calang orang. Antaranya Abdul Wahid bin Zaid, seorang yang dihormat dalam kalangan masyarakat setempat. Selain itu, Muhammad bin Sulaiman al-Hasyimi juga pernah melamar. Beliau merupakan amir Abbasiyah dari Basrah. Kalau di Malaysia boleh anggap macam Menteri Besar Negeri. Pun ditolak oleh Rabiatul Adawiyah.

Akhirnya datanglah Hasan al Basri. Yang ni tahap Mufti Wilayah dah. Rabiatul Adawiyah terima tapi dengan syarat 4 soalan yang diberikan mampu dijawab tepat, maka beliau akan berkahwin dengan Hasan al Basri. Antara 4 soalan itu adalah:

1.  Apakah yang akan dikatakan oleh Hakim dunia ini saat kematianku nanti, akankah aku mati dalam Husnul Khatimah atau Suul Khatimah?

2. Apakah yang akan anda katakan, jika ragaku telah diletakkan di bumi pemakaman, dan telah ditanya oleh Munkar dan Nakir, apakah aku mampu menjawab pertanyaan darinya?

3. Jika manusia telah diarak, di akhirat kelak, masing-masing dari mereka menerima kitab amal perbuatannya. dan aku telah benar-benar menerima kitab amal-perbuatanku, ditangan mana aku menerimanya, apakah tangan kiri atau tangan kanan?

4. Pada saat Hari Perhitungan nanti, “Jika telah dipanggil manusia, beberapa diantara mereka ada yang di syurga, ada yang dineraka, dimanakah aku berada diantara dua golongan ini?”

Jawapan Hasan al Basri hanya satu, “Hanya Allah Maha Mengetahui”. Kemudian Rabiatul Adawiyah pun berkata, “Seseorang yang baginya ghaib bagi empat hal ini, bagaimana boleh sibukkan diri dengan penikahan”?

Beliau menyambung lagi, “Aku dianugerahkan kemampuan untuk menjaga sembilan nafsu dengan satu akal, bagaimana engkau yang ada sembilan akal tidak mampu menjaga satu nafsumu”?

Menangis Hasan al Basri kerana merasakan dirinya begitu kurang di hadapan Allah. Merasakan masih belum cukup untuk ‘membeli’ hati seorang hamba Allah yang sangat taat walaupun dengan ilmu yang cukup tinggi. Lalu beliau keluar dari kediaman Rabiatul Adawiyah.

KEHIDUPAN RABIATUL ADAWIYAH

Cinta Rabiatul Adawiyah kepada Allah swt telah memenuhi seluruh jiwa dan raganya. Ketika ditanya kepadanya mengenai cinta kepada Rasulullah, dia menjawab, “Aku, demi Allah sangat mencintai Rasul, akan tetapi cintaku kepada al Khaliq (Maha Pencipta) telah memalingkan perhatianku daripada sesama makhluk (segala ciptaan)”, dan beliau ditanya kenapa menolak perkahwinan sebagai salah satu sunnah Rasulullah saw maka beliau menjawab bahawa dirinya milik Allah yang dicintai-Nya; barangsiapa ingin memperisterikannya, maka hendaklah minta izin dengan Allah.

Rabiah telah meninggal dunia di Basra pada tahun 801 Masihi. Dia telah dimakamkan di rumah tempat dia tinggal. Ketika jenazahnya diusung ke perkuburan, orang-orang soleh, para sufi dan orang-orang Islam turut mengiringinya dalam jumlah yang luar biasa ramainya. Cintailah Allah kerana Dia mencintai kita, tunaikanlah perintah Allah kerana Dia akan mengadili kita, buatlah sesuatu yang dituntut semata-mata kerana Allah  sebab yang akan menilai setiap amal adalah Allah.

Banyak puisi mahabbah kepada Allah yang banyak diucapkan oleh para sufi yang dinisbahkan kepada diri Rabiatul Adawiyah, contohnya:

“Ya Allah, jika aku menyembah-Mu, kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka; dan jika aku menyembah-Mu kerana mengharapkan syurga; tetapi janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajah-Mu yang abadi padaku.”

RUJUKAN:

1. Hamka, Buya. 1953. Tasawuf dari Abad ke Abad. Halaman: 69-73. Jakarta: Pustaka Islam.

 2. Drs. H. A. Hafizah Dasuki, 1994, Ensiklopedia Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.