Qutb Minar – Menara Kemenangan Kesultanan Islam Di India

350

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Kebudayaan Islam di India meninggalkan jejak sejarah yang tidak mungkin dapat dipadam, terutamanya dalam warisan seni bina. Salah satu contoh seni bina Islam yang paling mengagumkan adalah Qutb Minar, yang turut dikenali sebagai Menara Kemenangan.

Ia merupakan minaret tertinggi di dunia yang dibina dengan batu-bata. Monumen ini juga merangkumi demikian banyaknya binaan menakjubkan yang didirikan oleh Kesultanan Delhi dan secara khusus, ia membentuk sebahagian daripada kompleks Qutb yang sudah pun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

SEJARAH QUTB MINAR, NEW DELHI

Pada kurun ke-9 hingga awal kurun ke-11 Masihi, sub-benua India diperintah oleh sejumlah dinasti Hindu, sebelum kemudiannya bangsa Arab dan seterusnya bangsa Turk-Muslim merebut hegemoni di sana. Mohammad al-Ghori, iaitu raja bagi Kesultanan Ghuri, menyerap wilayah-wilayah India ke dalam kekuasaannya pada kurun ke-12.

Seorang panglimanya yang bernama Qutbuddin Aibak juga berhasil menewaskan sejumlah kerajaan Hindu. Sejurus selepas kemangkatan Sultan Mohammad, Aibak bertindak memerdekakan diri dan menubuhkan sebuah kerajaan yang kemudiannya dikenali sebagai Kesultanan Delhi.

Beliau membangunkan sejumlah monumen bagi tujuan memperingati kemenangan-kemenangannya di India, selain untuk mengabsahkan kekuasaan Dinasti Mamluk di bawah pemerintahannya. Beliau memulakan projek pembinaan Qutb Minar pada 1190an, tidak lama selepas projek Masjid Quwwat al-Islam di kawasan berhampiran dimulakan.

Monumen Alai Minar yang tidak siap dalam kompleks Qutb Minar di New Delhi. Monumen ini pada mulanya dijangka bakal dibina lebih tinggi berbanding Qutb Minar

Qutb Minar merupakan salah sebuah minaret terawal yang dibina di India. Aibak sempat menyiapkan pembinaan tingkatnya yang pertama, namun tiga tingkat yang berikutnya dibina oleh penggantinya, Shams al-Din Iltutmish.

Minaret ini dikenali sebagai Menara Kemenangan Qutb Minar kerana ia bukan hanya sebuah bangunan keagamaan, malahan ia juga dibina bagi tujuan memperagakan kebesaran Kesultanan Delhi. Minaret ini kemudian ditambah-baik oleh Firoz Shah Tughlaq yang membina satu lagi tingkat pada kurun ke-14.

Dinasti Lodi pada kurun ke-16 bertanggungjawab membina semula sebahagian besar menara ini yang mengalami kerosakan akibat gempa bumi dan disambar petir. Sher Shah Shuri, yang merebut Delhi dari Mughal buat sementara waktu, sempat membangunkan sebuah gerbang masuk ke menara berkenaan.

Qutb Minar juga dimanfaatkan sebagai menara peninjau bagi mengesan kehadiran pasukan musuh. Pada kurun ke-19, sebuah cupola ditambah oleh seorang pegawai British. Namun, cupola berkenaan kemudiannya diturunkan dan kini ia dipamerkan di halaman bawah sahaja.

Pada tahun 1981, berlaku lintar pintas pada menara berkenaan dan kejadian ini menjejaskan 379 anak tangganya sekaligus mengakibatkan kem4tian 45 orang, terutama kanak-kanak sekolah yang sedang melawat monumen bersejarah tersebut. Pada hari ini, Qutb Minar merupakan monumen yang paling masyhur di India dan ia dikunjungi oleh jutaan manusia.

KEINDAHAN QUTB MINAR

Qutb Minar yang terletak di Delhi merupakan sebahagian daripada kompleks Qutb. Kompleks tersebut merangkumi sejumlah bangunan yang dibina pada era Kesultanan Delhi. Sebahagian besar struktur Qutb Minar dibina dengan menggunakan batu pasir dan ia didirikan di sebuah taman yang luas.

Menara ini berukuran 237 kaki (72m) tinggi dengan diameternya mencecah 47 kaki (14m). Strukturnya dihiasi dengan lekuk-lekuk berbucu, alur-alur yang diukir rapi, dan inskripsi-inskripsi yang didedikasikan kepada Sultan Mohammad al-Ghuri.

Ukiran indah di Qutb Minar

Bahagian lain menara ini berbentuk bulat dan dihiasi ringkas dengan seni geometrik dan ukiran ayat-ayat al-Quran, di mana mahakarya ini diabadikan dalam seni kaligrafi Islam. Tingkat ketiga juga dihiasi dengan alur-alur berbucu, sementara tingkat keempat pula diperbuat daripada marmar dan tidak banyak inskripsi dipahat padanya. Tingkat kelima dibina daripada gabungan marmar dan batu pasir, juga tanpa banyak ukiran. Menara ini mempunyai empat loggia (balkoni) yang dilengkapi dengan pendakap yang diukir teliti.

Sehingga kini, minaret tersebut masih digunakan dan setiap kali masuk waktu untuk menunaikan solat, seruan daripada minaret ini akan menggamit orang Islam setempat untuk memenuhkan masjid Quwwat al-Islam yang terletak berhampiran.

MENGUNJUNGI QUTB MINAR DI NEW DELHI, INDIA

Qutb Minar terletak di tengah-tengah New Delhi dan tidak jauh dari stesen metro utama. Sejumlah bayaran dikenakan untuk memasuki tapak ini dan ia dibuka untuk kunjungan awam bermula dari terbit hingga terbenam matahari. Semenjak berlakunya tragedi tahun 1981, pengunjung tidak lagi dibenarkan memasuki ruangan dalam Qutb Minar tanpa keizinan.


Tiang besi, yang masyhur dengan komposisi kalis-karat

Tidak ketinggalan juga terdapat tiang besi di kompleks ini yang dipercayai dibna oleh Chandragupta II pada kurun ke-4. Tiang tersebut meraih kemasyhuran yang tersendiri lantaran cirinya yang kalis karat.

Memandangkan Qutb Minar memegang signifikasi sejarah dan keagamaan bagi kebanyakan masyarakat tempatan, pengunjung dinasihatkan supaya menjaga tatasusila semasa mengunjungi Qutb Minar.

TERJEMAHAN: 

Ed Whelan. (25 Ogos 2020). Qutb Minar, the Incredible Victory Tower of the Mamluk Dynasty. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/qutb-minar-0014164

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.