Qin: Sejarah Kebangkitan Sebuah Daerah Yang Hina Menjadi Raksasa Penakluk Dataran China

0
1221
views

Qinshihuangdi merupakan sosok seorang maharaja China yang paling terkenal di dalam sejarah sebagai salah seorang penguasa yang menyatukan negara-negara kecil menjadi sebuah empayar yang luas setanding empayar Alexander the Great. Selain terkenalnya baginda di dalam lipatan buku sejarah sebagai seorang penguasa kuku besi yang membunuh ramai manusia dalam pengerahan pembinaan Tembok Besar China, baginda juga dikenali melalui makamnya yang didampingi oleh ribuan tugu batu askar Terracota. Sebelum kita memasuki coretan kisah hitam putih catatan hidup Qinshihuangdi, kita akan menelusuri dahulu perjalanan singkat penubuhan awal sebuah daerah yang terpencil di dataran besar China.

• Negeri Qin. Sebuah daerah terpencil, dibangunkan sebuah perkampungan di atas keluasan berekar-ekar padang rumput yang terletak di barat, iaitu di sebuah daerah bernama Qin (sekarang Tianshui di wilayah Gansu).

DAERAH JAJAHAN KE SEBUAH NEGARA.

• Kepulan asap bertebaran di ruang udara istana Haojing, pusat kekuasaan Dinasti Zhou Barat. Bangsa barbar Quanrong menyerang dan menduduki istana Raja You tanpa tentangan dari pihak pasukan Zhou Barat setelah mendapatkan bantuan kewangan, kelengkapan peperangan dari bangsawan Shen dan pemerintah negeri Zheng. Raja You menyalakan signal api kecemasan di salah satu menara istananya, tetapi tidak diendahkan oleh pasukan tenteranya (kerana sebelum serbuan ini terjadi, Raja You selalu memasang signal api palsu sebagai hiburan untuk dirinya sendiri atas permintaan gundik kesayangannya, Baosi).

• Kerana berasa isyarat bantuan kecemasannya tidak diterima oleh pasukan tenteranya, Raja You dan Baosi melarikan diri menggunakan lorong rahsia ke gunung Li namun usaha mereka untuk meneruskan hidup gagal apabila sebahagian tentera Quanrong mengejar lalu membunuh mereka di sana. Bangsawan Shen yang belot kepada Raja You mengemukakan syarat kepada bangsa barbar Quanrong sebelum serbuan itu berlaku iaitu, setelah mereka berjaya menggulingkan Raja You, mereka diwajibkan menarik tentera dari istana Haojing serta-merta.

• Tetapi kerana kejayaan mereka dalam merebut istana ibukota Zhou Barat dengan mudah tanpa tentangan, mereka mengingkari syarat perjanjian yang berlaku di antara sekutu mereka, bangsawan Shen. Bangsa barbar ini mengganas terhadap penduduk kota dengan merampas segala harta-benda istana, memperkosai gundik-gundik Raja You, membunuh penduduk kota dan membakar sebahagian rumah-rumah milik penduduk.

• Kekacauan yang berlaku selama beberapa tempoh yang lama ini di pusat ibukota Zhou Barat membuatkan penguasa (duke) Xiang dari negeri Qin menggerakkan pasukannya menuju ke sana untuk memberhentikan kekejaman bangsa Quanrong. Hubungan diplomatik di antara Dinasti Zhou Barat dan negeri Qin berlaku sebelum pemerintahan Raja You, iaitu Raja Feng menerima anak perempuan penguasa Zhuang dari negeri Qin sebagai salah seorang gundiknya.

Dengan bantuan dari para bangsawan dari Zhou Barat dan dari negeri Qin, maka pasukan bersekutu ini berhasil memukul mundur sepenuhnya bangsa Quanrong keluar dari ibukota Haojing. Anak Raja You iaitu Putera Yijiu ditemui dan diselamatkan oleh penguasa Xiang lalu serta-merta ditabalkan sebagai penerus kekuasaan Dinasti Zhou Barat dengan gelaran Raja Ping of Zhou.

• Ibukota Zhou Barat, Haojing dan istana milik pemerintah hancur sepenuhnya menjadikan pemandangan kota ini seperti kota mati yang pasti mengambil waktu yang lama untuk membangunkannya kembali. Dengan titah Raja Ping, maka pusat pemerintahan Dinasti Zhou Barat dipindahkan ke Luoyi berdekatan dengan sungai Luo. Ibukota baru Dinasti Zhou dinamakan Luoyang secara rasmi dan perubahan peta pemerintahan dinasti ini berubah dari barat ke timur.

Bermulanya zaman pemerintahan Dinasti Zhou Timur.

• Keberanian penguasa Xiang dalam mematahkan serangan bangsa Quanrong dan menyelamatkan nyawa Raja Ping serta dinasti Zhou menyebabkan baginda memutuskan negeri Qin yang sebelum ini hanya menjadi wilayah jajahan Dinasti Zhou, menjadi sebuah daerah feudal setaraf dengan negara-negara lain. Selain itu, Raja Ping juga memberikan sebuah wilayah tanah yang luas di sebelah barat Qishan kepada penguasa Xiang.

• Lahirnya era pemerintahan daerah Qin yang dahulunya adalah sebuah wilayah yang tandus tanpa penghuni, infrastruktur yang lengkap, akses perhubungan perdagangan dan percaturan dunia politik lalu perlahan-lahan berubah menjadi sebuah kuasa besar yang kelak menjadi negara tunggal memerintah tanah besar China!

• Penerus kekuasaan negara Qin diteruskan oleh beberapa orang penguasa seperti penguasa Wen, Xian, Wu, De dan Xian meneruskan usaha Duke Xiang of Qin dalam memperkukuhkan empayar mereka daripada serangan para musuh sehinggalah negara ini memasuki ke zaman pemerintahan penguasa Mu yang mula bijak menyusun strategi dalam pentadbirannya untuk memperluaskan kuasa politik empayar Qin.

MEMBURU PENASIHAT AGUNG NEGARA YU.

655 SM.

• Tahun kelima pemerintahan penguasa Duke Xiang of Qin. Beliau menghantar anaknya, putera Zhi ke negara Jin untuk melamar puteri kepada Duke Xian of Jin. Dalam tahun ini juga, Duke Xian of Jin menakluk negara Yu dan menawan beberapa orang cendekiawan penting negara Yu, salah seorangnya, Bai Lixi. Sebelum ini, Duke Xian memohon dan memaksa Bai Lixi untuk menjadi penasihat negaranya, tetapi segala usahanya gagal kerana Bai Lixi tetap berkeras tidak mahu mengabdikan dirinya kepada negara Jin. Oleh kerana pelbagai desakan tidak diterima oleh Bai Lixi, Duke Xian mengambil kata putus dengan menitahkan Bai Lixi dijadikan pengiring anak perempuannya ke negara Qin. Namun dalam perjalanan ke negara Qin, Bai Lixi melarikan diri menuju ke negara Chu.

• Duke Mu of Qin yang menyedari kehilangan Bai Lixi setelah melihat daftar nama para pengiring menantunya terus menitahkan pasukannya untuk mencari Bai Lixi kerana beliau tahu, Bai Lixi bukannya orang biasa sehinggakan penguasa Xian pernah mendesaknya menjadi penasihat utama untuk negara Jin.

• Bai Lixi yang melarikan diri ke negara Chu berpura-pura menjadi seorang rakyat pelarian dari negara Yu memulakan kerjaya baharunya sebagai seorang pengembala lembu sehinggakan beliau digelar oleh penduduk Chu sebagai ‘Raja Penggembala Lembu’ kerana lembu-lembu gembalanya gemuk dan sihat belaka. Keberhasilan Bai Lixi dalam mengembala lembu-lembunya membuatkan Raja Cheng, pemerintah negara Chu memanggilnya ke istana Nanhai untuk menjadi pengembala khusus kuda milik baginda.

• Penguasa Mu yang mendapat informasi maklumat dari pasukan perisiknya mengenai keberadaan Bai Lixi di negara Chu terus menyusun agenda untuk menarik Bai Lixi keluar dari negara Chu tanpa dicurigai oleh orang ramai, terutama Raja Cheng.

• Penguasa Mu berhasrat ingin menukarkan Bai Lixi dengan pelbagai hadiah sebagai tukaran ke atasnya kepada Raja Cheng, tetapi hasrat penguasa Mu ditolak oleh salah seorang penasihatnya iaitu Gongsun Zhi dengan alasan persembahan hadiah tersebut tidak akan menjadi dan akan menyebabkan Raja Cheng mencurigai helah yang berlaku di dalam pertukaran ini. Gongsun Zhi menasihati penguasa Mu supaya menukarkan Bai Lixi dengan hanya lima lembar kulit kambing biri-biri kepada Raja Cheng. Dengan nilai tukaran yang rendah dan tidak terlalu megah boleh mengurangkan kecurigaan Raja Cheng ke atas hadiah penguasa Mu.

• Pertukaran ini berlangsung tanpa masalah di antara para utusan penguasa Mu dengan Raja Cheng. Dengan membawa surat permohonan kepada Raja Cheng untuk menyerahkan kembali salah seorang pelayannya, Bai Lixi yang melarikan diri dari negara Qin ke negara Chu melalui tukaran lima lembar kulit kambing biri-biri.

Raja Cheng yang tidak mengetahui identiti asal Bai Lixi menerima tukaran ini tanpa sebarang keraguan. Bai Lixi dikurung di dalam sebuah sangkar kayu dalam keadaan tangan dan kakinya dirantai oleh para utusan negara Qin. Bai Lixi yang sudah mengetahui muslihat penguasa Mu hanya berdiam diri sahaja sepanjang perjalanan ke negara Qin.

• Sesampainya Bai Lixi ke negara Qin, penguasa Mu terkejut dengan penampilan usianya yang tua sehingga membuatkan beliau kecewa. Bai Lixi yang berasa direndahkan kemampuannya mengatakan kepada penguasa Mu:

“Tuanku, memang hamba sudah lanjut usia, kalau disuruh berlari mengejar burung sehingga ke langit atau berburu binatang buas, hamba akan menolaknya. Tetapi jika tuanku mengajak hamba berbicara soal seputar masalah negara, hamba sama sekali terus menerimanya”.

Mendengar ucapan Bai Lixi, penguasa Mu menarik kembali kata-kata hinaannya. Beliau bertanya kepada Bai Lixi:

“Bagaimana menjadikan Qin sebagai negara yang kuat?”.

Bai Lixi hanya menjawab dengan ringkas:

“Memanfaatkan segala kemampuan negara Qin dan menunggu saat yang tepat melancarkan serangan ke atas negara yang lain”.

• Salah seorang sahabat Bai Lixi iaitu Jian Shu diundang menjadi menteri dan penasihat negara Qin setelah Bai Lixi mencadangkan nama sahabatnya tersebut kepada penguasa Mu. Apabila Jian Shu tiba di istana, penguasa Mu bertanya soalan yang sama untuk menguji kecekapan pandangan darinya, iaitu:

“Bagaimana cara menguatkan negara Qin?”.

Jian Shu hanya menjawab:

“Negara Qin tidak akan maju dan kuat selagimana penguasanya tidak cekap memimpin dan kurangnya kebijaksanaan. Untuk mewujudkan kedua hal tersebut, peraturan wajiblah tegas, barulah negara lain tidak berani menganggu gugat negara Qin dan bermurah hatilah kepada rakyat jika mahu para rakyat mendukung serta melindungi negara”.

• Penguasa Mu tertarik dengan ucapan dan pandangan Jian Shu lalu serta-merta beliau mengangkatnya sebagai menteri utama berdampingan dengan Bai Lixi. Anak lelaki Jian Shu iaitu Xi Qishu dan Bai Yibing serta anak Bai Lixi iaitu Meng Mingshi dilantik menjadi ketua panglima angkatan tentera negara Qin.

• Setelah perlantikan ini dengan menyeragamkan pentadbiran dalaman, maka penguasa Mu menyusun langkah seterusnya dalam membuka pintu gerbang Qin menyusuri beberapa penaklukan pertama dalam pengembangan negara Qin.

DIHULURKAN PERTOLONGAN, DIBALASNYA PERMUSUHAN.

Negara Jin.

• Kekacauan politik terjadi di istana. Gundik Liji mengambil peluang untuk menyingkirkan segala musuhnya melalui hubungannya dengan Duke Xian of Jin. Gundik Liji menyusun strategi untuk menjatuhkan putera mahkota Jin, Yiwu. Putera Yiwu melarikan diri ke wilayah Liang dan menjadi pelarian di sana selama 14 tahun. Setelah penguasa Xian mangkat dan gundik Liji mengambil peluang untuk mengambil tampuk pemerintahan negara Jin, tetapi hasratnya gagal apabila beliau dibunuh melalui komplot salah seorang menteri negara Jin iaitu Li Ke. Li Ke mengundang kembali putera Yiwu ke istana untuk diangkat menjadi pewaris sah memimpin negara Jin. Bimbang dengan muslihat Li Ke, putera Yiwu memohon bantuan daripada penguasa Mu membantu mengiringi pemergiannya ke negara Jin dengan melalui beberapa perjanjian diantaranya, putera Yiwu berjanji akan memberikan beberapa wilayah negara Jin kepada penguasa Mu. Penguasa Mu mengerahkan sepasukan tentera khusus dipimpin oleh Bai Lixi untuk mengiringi putera Yiwu ke negara Jin. Setelah berjaya menaiki takhta dengan selamatnya, dengan memegang gelaran Duke Hui of Jin.

• Penguasa Hui mengingkari perjanjian yang disepakati antara penguasa Mu. Penguasa Mu tidak mengambil apa-apa tindakan.

Empat tahun kemudian.

• Bencana kelaparan melanda negara Jin. Penguasa Hui meminta bantuan untuk menghantar bekalan makanan ke negaranya. Penguasa Mu yang dikecewakan sebelum ini menyanggupi permintaannya.

Tahun berikutnya, bencana kelaparan melanda pula negara Qin. Penguasa Mu menghantar utusannya menemui penguasa Hui memohon bantuan. Penguasa Hui mengendahkan permohonan penguasa Mu sekaligus mengambil kesempatan ini dengan menghantar pasukam tenteranya menyerang wilayah-wilayah negara Qin.

• Penguasa Mu yang sudah tidak menahan murkanya, menghantar kembali pasukan tenteranya memukul mundur pasukan negara Jin. Pasukan Jin berjaya dikalahkan dalam pertempuran Hanjiao dan penguasa Hui ditangkap hidup-hidup lalu dibawa ke hadapan penguasa Mu.

• Penguasa Mu mahu membunuh penguasa Hui, tetapi isterinya yang juga kakak kepada penguasa Hui memohon belas ihsan daripada suaminya supaya tidak membunuh Hui. Penguasa Mu membatalkan hasratnya lalu membuat perjanjian melalui persekutuan dengan negara Jin. Penguasa Hui dihantar semula pulang ke negara Jin.

Beberapa tahun kemudian.

• Penguasai Hui yang sudah menyesal di atas perbuatannya sebelum ini mengirimkan anaknya, putera Yu ke negara Qin sebagai jaminan kesetiaanya kepada penguasa Mu. Penguasa Mu lalu mengahwinkan anak perempuannya dengan putera Yu.

MENCABUT DURI BERACUN TIMUR DAN BARAT.

Tahun 638 SM.

• Penguasa Hui jatuh sakit dan putera Yu mengambil kesempatan ini untuk melarikan diri dari negara Qin melalui bantuan isterinya.

Putera Yu mengambil alih tampuk pemerintahan Jin dengan gelaran Duke Huai of Jin.

• Penguasa Mu yang berasa maruahnya dihina memaksa puterinya menceraikan suaminya, penguasa Huai dan mengahwinkan pula puterinya itu dengan bapa saudara bekas suaminya, iaitu Chong’er of Jin. Bekas penguasa Jin, Hui berasakan abangnya ini, Chong’er akan menggugat kekuasaanya di Jin, lalu mengambil peluang untuk memanggilnya pulang ke negara Jin untuk dibunuh.

Chong’er bertahan di negara Qin di bawah perlindungan penguasa Mu.

• Penguasa Mu mengatur strategi lain untuk menggulingkan kekuasaan penguasa Huai dengan menghantar sepasukan tentera Qin mengiringi Chong’er ke negara Jin. Penguasa Huai berjaya dibunuh dan Chong’er menaiki takhta sebagai penguasa Jin dengan gelaran Duke Wei of Jin.

• Penguasa Wei menggubal sistem pemerintahannya dengan membahagikan wilayah kekuasaanya yang luas kepada beberapa orang menteri utamanya iaitu:

1. Zhao Zhi.
2. Wei Si.
3. Shi Yang.
4. Zhao Wuxue.
5. Zhi Yao.
6. Han Qi.
7. Luan Shu.
8. Zhong Xingyan.
9. Zhao Yang.

(Sebab pembahagian kuasa inilah punca kepada perpecahan negara besar Jin menjadi negara kecil Zhao, Han dan Wei).

• Penguasa Wei yang berasa terhutang budi dengan bantuan penguasa Mu, mengikat janji setia dengan bersekutu dengan negara Qin melalui beberapa perjanjian.

• Penguasa Wei meninggal dunia dan tempatnya digantikan oleh Duke Xiang of Jin. Penguasa Xiang yang angkuh berani memutuskan hubungan persekutuan dengan negara Qin. Penguasa Xiang membentuk angkatan tentera yang besar mengalahkan pasukan Qin di dalam dua pertempuran iaitu, pertempuran Gunung Yao yang berlaku pada tahun 627 SM dan pertempuran Pengya berlaku pada tahun seterusnya iaitu, 625 SM.

Disebabkan pengkhianatan penguasa Xiang, kemaraan pasukan tentera negara Qin lumpuh seketika untuk menguasai wilayah di timur.

• Penguasa Mu memimpin pasukan tenteranya secara langsung keluar daripada negara Qin untuk menakluk negara Jin. Kapal-kapal perang yang mengangkut tentera Qin dibakar di sungai Kuning setelah mereka mendarat di perbatasan wilayah negara Jin. Penguasa Mu menunjukkan pemandangan ini supaya terwujudnya semangat berjuang tenteranya untuk bermati-matian mempertahankan maruah Qin dan membalas dendam kepada negara Jin.

• Moral pasukan tentera Qin terubat kembali dan hasilnya, beberapa buah kota besar dan wilayah penting negara Jin jatuh ke tangan penguasa Mu. Pasukan tentera Jin tidak berani menghadapi amukan badai pasukan tentera Qin sehingga penaklukan Qin ke atas wilayah Jin menjadi mudah tanpa tentangan.

• Setelah menziarahi bekas medan peperangan pasukan tentera Qin yang gugur di Gunung Yao bertujuan untuk memberikan penghormatan terakhir, penguasa Mu pun memimpin pasukannya beransur pulang ke negara mereka semula untuk menyusun atur strategi semula untuk perluasan kuasa ke barat.

• Di barat negara Qin pada masa ini didiami oleh suku barbar Xirong. Suka ini berpecah-belah mendirikan pelbagai kerajaan masing-masing dan diantara kesemua kerajaan ini hanya ada tiga yang paling terkuat pada masa itu iaitu suku Mianzhu, Yiqu dan Dali. Pekerjaan utama puak barbar pada masa itu hanyalah menjarah wilayah, desa dan kota-kota yang wujud di perbatasan negara Qin. Selain merampas bahan makanan penduduk, mereka juga memperkosa wanita dan menculik kanak-kanak untuk dijadikan hamba.

• Berita tentang kemenangan pasukan negara Qin mengalahkan pasukan negara Jin tersebar meluas di tanah China, sehingga diketahui oleh beberapa pemerintah kerajaan suku barbar Xirong. Raja Mianzhu yang tertarik dengan peribadi kepimpinan penguasa Mu menebus maruah Qin dengan menawan beberapa kota dan wilayah milik negara Jin mendapat perhatiannya sehingga beliau menghantar utusan ke istana penguasa Mu iaitu You Yu. Penguasa Qin yang melihat dengan saksama perilaku utusan Raja Mianzhu, You Yu yang lemah lembut tidak seganas dan sekasar seperti sifat puak barbar yang lain, mengatur muslihatnya untuk mempergunakan You Yu menggulingkan kerajaan Mianzhu.

• Penguasa Mu menghidangkan pelbagai makanan yang enak, menyediakan wanita-wanita yang cantik sebagai pemuas nafsunya sehinggakan You Yu yang khayal dilayan baik oleh penguasa Mu memberikan segala informasi penting tentang keadaan letak geografi di sekitar kerajaan Mianzhu dan kekuatan serta kelemahan pasukan mereka. Selain mempergunakan khidmat You Yu, penguasa Yu ingin menjatuhkan kewibawaan pemerintah mereka secara perlahan-lahan dengan menghantar pelbagai hadiah dan wanita cantik kepada Raja Mianzhu. Akibat dengan belaian manja bersama kesenangan setiap hari yang ditemani dengan tegukan arak dan pelukan para wanita, Raja Mianzhu mula mengabaikan tanggungjawab ke atas kerajaannya. Apabila kerajaan Mianzhu mula jatuh sedikit demi sedikit akibat perilaku sang raja yang mabuk kepayang dengan nikmat hiburan, maka penguasa Mu menghantar You Yu kembali ke kerajaan Mianzhu. Apabila You Yu sampai di sana, beliau terkejut dengan suasana porak peranda negaranya yang diabaikan oleh pentadbiran Raja Mianzhu.

• Nasihat You Yu untuk Raja Mianzhu tidak diendahkan, tambahan pula Raja Mianzhu menempelak You Yu yang sudah lama berada di negara Qin dan menuduh tujuan kedatangan beliau datang ke sini adalah sebagai seorang perisik dari kalangan mereka. You Yu yang sedih dilemparkan dengan tuduhan tersebut pulang dengan amarah ke negara Qin dan akan berjanji akan mengabdikan dirinya pada negara Qin selamanya. Muslihat penguasa Mu yang ingin melihat pertelingkahan di antara penasihat You Yu dan Raja Mianzhu akhirnya membuahkan hasil.

• Setelah menyiapkan strategi serangan berkat kerjasama You Yu untuk menggempur kerajaan Mianzhu, tepat pada tahun ke-37 pemerintahan penguasa Mu, beliau memimpin pasukan Qin menyerbu masuk mengalahkan kerajaan-kerajaan lain dan menggulingkan kerajaan Mianzhu. Raja Mianzhu ditawan dan 20 kota milik puak barbar ini diduduki oleh pasukan negara Qin yang meliputi wilayah di Guanzhong, menuju ke arah selatan sampai ke pergunungan Qinling, ke arah barat sampai ke Didao, ke arah utara sampai Quyanrong dan sayap penaklukan ini berhenti sehingga ke arah timur iaitu ke tepian sungai Kuning.

• Dengan penaklukan sebahagian besar wilayah negara Jin dan kejatuhan kerajaan puak barbar di barat mengalahkan ancaman-ancaman terdekat, maka secara tidak langsung penguasa Mu membuktikan kekuasaannya yang berlangsung selama 39 tahun kekuasaanya berjaya meluaskan jajahan Qin yang daripada hanya sebuah daerah terpencil menjadi sebuah negara yang besar menandingi negara besar dan maju seperti Zhao, Jin, Wei, Chu dan Qi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here