Qarun: Manusia Pertama Yang Menayangkan Harta Secara “Live”

2,005

“Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dibawa oleh sejumlah orang yang kuat-kuat (gagah) (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.

Qarun atau Korah (panggilan nama di dalam kitab Bible).

Beliau adalah sepupu Nabi Musa a.s dan juga merangkap ahli baiah Firaun Ramses II. Sesiapa yang menentang Firaun, maka Qarun akan ‘backup’ rajanya ini seiring dengan moto hidup yang dipegangnya, ‘Samiqtu wa Atoqtu’.

Kekayaannya bukan sahaja hanya memiliki barangan kemas setaraf Poh Kong atau Habib Jewels, bahkan harta simpanan miliknya setaraf kekayaan 1/3 perbendaharaan Firaun. Qarun memiliki gedung-gedung yang menyimpan para kekasihnya, seperti emas, batu permata, rubi, mahkota dan ‘geran-geran’ pemilikan tanah seluas beribu-ribu hektar. Qarun tak perlu ‘bodyguard’, cukuplah dirinya dikelilingi oleh pasukan tentera elit sendiri serta beliau juga didampingi oleh beratus-ratus hamba abdi.

Qarun nak tunjuk bukti yang dia ni ‘billionaire’ bukannya secara ‘live’ dalam FB mahupun Instagram melempar wang kertas, tetapi beliau melakukan ‘live’ turun padang dengan para pasukan tenteranya bertujuan menunjukkan ‘kunci-kunci’ gedung yang menyimpan bergunung-ganang hartanya di hadapan penduduk kota Mesir pada setiap hari.

Ya, setiap hari, bukan setiap awal bulan sekali.

Kunci gedung sahaja. Itu pun dah cukup membuatkan para penduduk kota iri hati dengan kekayaan yang dimiliki oleh si Qarun. Bukan macam jemaah zaman sekarang, hanya menayangkan jam tangan dua ketul berjenama atau beg tangan jenama Supreme, sudah mula terbit bibit-bibit bisikan syaitan:’Aku paling kaya-raya’ dan serta-merta melupakan peringatan yang telah diturunkan olehnya, melalui surah al-Qashah ayat 81, iaitu:

“Maka Kami (Allah swt) benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya (menyelamatkan Qarun) terhadap (ditimpa) azab Allah. Dan tiadalah dia termasuk (dalam kalangan) orang-orang (yang dapat) membela (dirinya)”.

Sekarang, jika anda mahu melihat di mana lokasi ditenggelamkan insan riak yang pernah menentang Tuhan ini, anda boleh menziarahi Bahirah Qarun yang terletak di dalam daerah al-Fayyum, Mesir. Asalnya, tasik ini dahulu bernama Munkhafazh al-Laahun dan sangat kecil sebelum ianya menjadi sebuah tasik yang besar berikutan kejadian gempa bumi yang ‘menelan’ segala istana-istana dan gedung simpanan harta Qarun sehingga terbentuknya lagi keluasan tasik ini.

Menurut Dr. Rusydi al-Badrawy, dalam bukunya ‘Qashash al-Anbiya’ wa al-Tarikh’ (Kisah Para Nabi dan Sejarahnya), Bahirah Qarun ini dulu pernah dikaji oleh ahli geologi dari Eropah Barat.

Adakah kajian ini membuahkan hasil?

Ya, para pengkaji dari Eropah ini berkesimpulan bahawasanya, di zaman dahulu (zaman Nabi Musa a.s), di lokasi sekitar ini (al-Fayyam) pernah terjadi sebuah bencana berupa gempa bumi yang sangat besar, terutama di bahagian selatan tasik Qarun.

Bukankah bukti ini sudah dinyatakan oleh Allah swt di dalam firmanNya, ayat 81 surah al-Qashah?

_____________________________________

Jadi tuan-tuan dan puan-puan sekalian, cukuplah dengan pelbagai azab serta bala yang Allah swt turunkan ke atas golongan atau manusia tertentu pada zaman dahulu supaya ianya menjadi sebuah sejarah iktibar kepada kita semua. Walaupun kau seorang yang membenci ilmu sejarah, maka ingatlah bahawasanya, sejarah tetap akan berulang-ulang tanpa henti berikutan sikap segolongan manusia yang sudah melupakan kewujudan makna tersirat disebalik isi suci kitab kalamullah, al-Quran.

Quran bukan sahaja sebagai pembimbing umat manusia akhir zaman, tetapi juga ianya berfungsi sebagai buku yang memuatkan amaran-amaran yang pernah diturunkan olehNya.

Sekian, sebelum menutup bebelan, saya sertakan firman Allah swt yang pendek, tetapi jadikanlah ia sebagai sebuah ayat utama apabila anda sudah merasakan diri sendiri mencapai fasa ‘Super Saiyan Qarun’:a

“…wa la tamsyi fil ardhi marohan…”.

“Dan janganlah kamu berjalan di bumi ini dengan sombong..”

(al-Isra ayat 37).

Wallahualam.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.