Qalupalik: Mitologi Masyarakat Inuit

189

Apabila bercerita mengenai masyarakat Inuit, pasti kita akan terbayangkan kehidupan mereka. Yang mana mereka akan tinggal di dalam binaan Igloo diperbuat daripada bongkah ais, serta memakai pakaian kot yang diperbuat daripada bulu-bulu haiwan.

Di sebalik cara kehidupan mereka yang jauh dari tamadun “moden”, tersembunyi sebuah kisah mengenai makhluk lagenda aneh yang dinamakan Qalupalik.

Lagenda Inuit menceritakan tentang Qalupalik yang digambarkan sebagai sejenis makhluk separuh manusia dan separuh hidupan laut.

Qalupalik ini menetap di bawah lapisan ais lautan Artik, dan sentiasa dalam perburuan untuk menghendap dan mencari kanak-kanak nakal yang tidak mendengar pesanan ibu bapa supaya jangan bermain berseorangan.

Masyarakat Inuit menggambarkan fizikal Qalupalik seperti berikut:

– Mempunyai rambut hitam yang panjang.
– Mempunyai kulit berwarna hijau.
– Makhluk itu turut dilengkapi dengan kuku yang sangat panjang.

Seterusnya Qalupalik dikatakan turut memakai pakaian tradisi Inuit yang dinamakan amautik. Pakaian tersebut mempunyai “pouch” atau poket pada bahagian belakang. Amautik dipakai oleh wanita Inuit untuk memudahkan mereka untuk membawa bayi. Cara yang sama digunakan oleh Qalupalik untuk membawa kanak-kanak yang diculiknya.

Masyarakat Inuit memberi pesanan kepada anak-anak mereka, contohnya jika mereka berada berdekatan dengan pantai atau berada dipinggiran bongkah ais, kemudian terdengar bunyi-bunyian seperti orang bergumam (humming), maka itu adalah tanda bahawa makhluk Qalupalik ada berdekatan sedang menghendap.

Bergumam itu adalah cara Qalupalik ini menarik perhatian kanak-kanak. Mereka yang berasa curiga, dan cuba pergi ke punca bunyi tersebut akan membuatkan Qalupalik timbul di permukaan dan menculik serta membawa kanak-kanak itu ke tempat persembunyiannya.

Sesetengah penceritaan mengatakan bahawa Qalupalik ini akan memakan kanak-kanak yang telah diculik itu. Namun kebanyakan kisah lain mengatakan bahawa Qalupalik ini bertindak membawa kanak-kanak tersebut ke tempat persembunyiannya dan menidurkan kanak-kanak itu selama-lamanya.

Perkara ini dikatakan dibuat Qalupalik kerana kanak-kanak ini adalah sumber tenaganya untuk kekal awet muda. Tenaga dari kanak-kanak tersebut akan membuatkan rambutnya berterusan cantik dan kekal hitam, manakala kulit berwarna hijau itu akan bersinar dan lembut. Semakin kanak-kanak itu membesar, semakin muda Qalupalik itu.

Terdapat sebuah kisah mengenai penculikan Qalupalik yang mana bapa kanak-kanak itu merupakan seorang pemburu yang hebat dan ternama. Pemburu tersebut berjaya menjejaki kesan-kesan ditinggalkan Qalupalik. Qalupalik yang takut akan kemungkinan tempat persembunyiannya bakal didedahkan, telah melepaskan kanak-kanak itu.

Kembali ke dunia realiti.

Bagi aku sendiri, kisah Qalupalik ini adalah sekadar rekaan untuk menakut-nakutkan serta memberi amaran kepada kanak-kanak supaya berkelakuan baik, dan tidak merayau berjauhan keseorangan.

Lebih-lebih jika mengambil kira faktor bahawa persekitaran masyarakat Inuit tinggal sangat berbahaya. Dengan risiko lapisan ais tersebut pecah dan kewujudan binatang buas seperti serigala, beruang dan sebagainya.

Seperti masyarakat melayu, kisah tentang Hantu Kopek itu, selalu kita dengarkan semasa zaman kanak-kanak dahulu. Mungkin kisah itu juga diceritakan sebagai amaran supaya jangan berjauhan dari keluarga terutama pada waktu malam.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.