Puteri Penguasa Lautan

0
1604
views

Nusantara kita sememangnya kaya dengan rahasia cerita-cerita lagenda yang sering berdenadang bibir ke bibir daripada satu generasi ke generasi yang lain. Cerita lagenda sering dikaitkan dengan seseorang yang masyhur pada sesebuah tempat. Masyarakat bertanggapan bahawa tokoh tersebut pernah hidup dan wujud dalam lembaran sejarah. Malah, ada sesetengah naratif yang mengaitkan lagenda ini dengan kuasa atau satu kebolehan luar biasa yang tidak ada pada manusia biasa.

Pada tulisan kali ini, saya akan cuba mengulas tentang satu cerita lagenda – bukan di Malaysia – tapi di tanah kelahiran kedua-dua orang tua saya iaitu di Indonesia. Disebabkan itu saya mendapatkan gelaran ‘Jawa’ di belakang nama. Jangan hairan.

Layaknya negara kita Malaysia, Indonesia juga sememangnya kaya dengan suku dan kepelbagaian budaya masyarakatnya. Jika anda pernah pergi ke Kepulauan Jawa atau Bali, masyarakat di sana semestinya tidak asing lagi dengan cerita lagenda Nyi Roro Kidul atau boleh juga disebut sebagai Nyai Roro Kidul. Ada juga yang mengenalinya dengan nama Nyai Blorong yang mempunyai tubuh separa manusia dan separa ular. Makamnya boleh dikunjungi terletak di Gunung Kramat Winarum tidak begitu jauh dari Pelabuhan Ratu, Sukabumi, Jawa Barat.

Nyi Roro Kidul merupakan satu sosok legendaris yang dikatakan sebagai Ratu Laut Selatan (Lautan Hindi) dan secara umumnya disamakan dengan Kanjeng Ratu Kidul walaupun sebenarnya kedua-dua sosok ini adalah berbeza.

Dalam mitologi Jawa, orang tua-tua kebanyakannya menceritakan bahawa Kanjeng Ratu Kidul merupakan ciptaan daripada Dewa Kaping Telu (Dewa Tiga Kali) yang mengisi alam kehidupan sebagai Dewi Padi (Dewi Sri) dan juga dewi dari alam-alam yang lain. Adapun Nyi Roro Kidul – pada awalnya – sebenarnya merupakan puteri Kerajaan Sunda yang dihalau oleh ayahnya disebabkan oleh perbuatan ibu tirinya.

Kedudukan Nyi Roro Kidul sebagai Ratu Lelembut di Tanah Jawa menjadi motif yang sangat kuat dalam cerita rakyat dan mitologi di samping sering dikaitkan dengan kecantikan cewek-cewek dari Sunda dan Jawa (Jangan selepas ini mencari pula ya!)

Walaubagaimanapun, kebenaran dan kesahihan tentang wujudnya Nyi Roro Kidul tidak dapat dibuktikan dengan bukti-bukti yang kuat dan kukuh lantaran kepelbagaian naratif berkaitan asal-usulnya. Justeru, saya akan cuba kongsikan kepercayaan masyarakat Jawa dan Bali tentang  penguasa ghaib Laut Selatan ini.

  • ANAK RATU BALQIS.
Gambar 2 : Keadaan di sebuah bilik yang digunakan untuk pemujaan (https://rebanas.com/gambar/images/cerita-legenda-nyi-roro-kidul-asli-foto-penampakan-gambar-hantu/)

Pendapat pertama adalah Nyi Roro Kidul merupakan anak kepada Ratu Balqis. Diriwayatkan bahawa seusai sahaja Ratu Balqis menjadi pasangan kepada salah seekor jin, mereka telah dikurniakan seorang puteri yang amat sangat jelita rupa parasnya. Namun, puteri ini tidak mempunyai sebarang jasad disebabkan oleh ayahnya merupakan seekor jin. Ratu Balqis berasa malu kerana mempunyai anak seorang jin. Justeru, Ratu Balqis mengambil inisiatif dengan membuang anaknya yang dinamakan Aurora ini ke sebuah pulau nun jauh dari kerajaannya.

Pulau ini kemudiannya mendapat nama al-Jawi yang kini dikenali dengan nama Pulau Jawa. Puteri Aurora membesar dalam kalangan jin yang ada di sekitar pulau tersebut. Darah biru yang mengalir dalam pembuluh darahnya membuatkan dia dilantik menjadi pemimpin bagi kawanan jin di kawasan tersebut.

Seiring berjalannya waktu, terjadi sebuah migrasi atau perpindahan besar-besaran golongan Yunan (China) ke Indonesia lalu mereka menduduki pulau Jawa. Disebabkan oleh ketidakselesaan dan rasa terganggu, Puteri Aurora dan para pengikutnya berpindah ke kawasan selatan kerana tidak mahu bergumul dengan hiruk-pikuk manusia. Bermula dari sini, Puteri Aurora dan para pengikutnya mula menyebarkan payung kuasa dan jajahan. Maka, banyaklah kerajaan jin di sekitarnya tunduk dan akur dengan kekuatan Nyi Roro Kidul.

Ada seperkara lagi. Disebabkan oleh masyarakat Jawa yang sukar untuk menyebut nama Aurora, maka mereka menukar nama sang puteri dengan nama Roro dan disebabkan Nyi Roro menguasai pantai selatan, maka ditambah lagi ‘Kidul’ di belakang namanya yang bermaksud ‘Selatan’ dalam Bahasa Jawa. Oleh yang demikian, dapatlah nama lengkapnya Nyi Roro Kidul.

Gambar 3 : Ilustrasi Nyi Roro Kidul bersama dengan kereta kudanya (https://m.jitunews.com/read/18233/wah-serem-mau-ke-istana-ratu-kidul-ini-jalan-penghubungnya/)
  • DEWI NAWANGWULAN.

Pendapat seterusnya mengatakan bahawa Nyi Roro Kidul itu ialah Dewi Nawangwulan. Dewi Nawangwulan merupakan isteri kepada Jaka Tarub. Pasti anda familiar dengan nama Jaka Tarub, bukan? Dewi Nawangwulan dipercayai telah kehilangan selendangnya dan dia tidak dapat pulang ke kerajaan langit. Maka, daripada peristiwa inilah dikatakan asal kepada Nyi Roro Kidul. Di samping kehilangan selendang, dia dicemuh dan dipinggirkan oleh kerajaan langit kerana dengan beraninya berkahwin dengan seorang manusia. Perkara ini haram hukumnya bagi golongan mereka. Justeru, dia disumpah menjadi sebahagian bangsa jin dan diperintahkan untuk menjaga Pulau Jawa agar tidak tenggelam dek garangnya ombak di Lautan Hindi.

Namun demikian, naratif yang kedua ini kurang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Jawa dan mereka lebih menerima dan percaya pendapat yang pertama tadi.

  • KISAH DI JOGJA

Menurut buku cerita rakyat di Jogjakarta, Nyi Roro Kidul merupakan seorang puteri raja yang sangat cantik rupa parasnya bernama Kadita. Dia mendapat gelaran Dewi Srengenge (Dewi Matahari yang Indah) kerana begitu cantik orangnya. Ayahnya bernama Munding Wangi merupakan seorang raja yang sangat terkenal. Pada awalnya, sang ayah berasa agak kecewa kerana beliau tidak mengharapkan anak perempuan. Jadi, sang raja berkahwin sekali lagi dengan Dewi Mutiara lantas lahirlah seorang zuriat laki-laki. Akhirnya, Raja Munding Wangi membesarkan kedua-duanya dengan kasih sayang yang adil.

Rambut boleh sama hitam tetapi hati lain-lain. Rupanya dalam diam, Dewi Mutiara sebenarnya tidak berapa senang dengan kehadiran Kadita. Dewi Mutiara mengharapkan anak lelakinya yang mengambil alih tampuk kepimpinan bapanya. Sudah berkali-kali Dewi Mutiara menghalau Kadita keluar dari istana dan ini membuatkan Raja Munding Wangi murka kepadanya.

Sehingga sampailah pada suatu hari, dek kerana kedengkian dan dendam yang terlanjur membara, Dewi Mutiara pergi berjumpa seorang dukun (bomoh) untuk menyihir Kadita. Kemudian, di keesokan harinya Kadita mendapati bahawa tubuhnya dipenuhi dengan kudis dan gatal-gatal yang sangat parah sehingga menyebabkan tubuh badannya berbau busuk.

Lalu, sang raja mula menyedari bahawa puterinya terkena buatan orang kerana segala macam usaha dan cara yang dilaksanakan menemui jalan buntu. Menyedari perkara ini, Dewi Mutiara lekas mengarahkan Raja Munding Wangi untuk menghalau Kadita keluar dari istana kerana dia dianggap telah mengundang sial kepada kerajaan bapanya. Sang ayah yang kasihan akan keadaan puterinya menawarkan untuk menghantarkan Kadita namun pelawaan itu ditolak. Kadita memilih untuk menyeberangi lautan seorang diri.

Perjalannya seorang diri memakan masa hampir tujuh hari dan tujuh malam sehingga Kadita sampai ke Laut Selatan. Di situ, dia termangu sendirian dan kagum dengan keindahan lautan yang biru dan jernih. Disebabkan ketakjuban itu, dia nekad untuk terjun ke dalam air laut yang membiru.

Tiba-tiba, ada satu keajaiban yang berlaku atas dirinya. Pada saat kulitnya mula bersentuhan dengan air, kudis dan gatal-gatal di badannya perlahan-lahan menghilang. Lalu Kadita berubah menjadi seorang yang jelitawan kembali. Setelah sekian lama Kadita memendam rajuk di Laut Selatan, dia mendapat gelaran Nyi Roro Kidul atau Ratu Pantai Selatan lantaran kuasa yang dimilikinya.

Naratif versi ini adalah penceritaan yang paling hampir dengan masyarakat di sekitar Pulau Jawa dan Bali.

AMALAN SESAJEN.

Disebabkan oleh kepercayaan sesetengah masyarakat bahawa Nyi Roro Kidul ialah seorang yang sangat rupawan dan merupakan penguasa ghaib yang mampu memenuhi bermacam-macam keinginan, maka dia menjadi pujaan ramai. Bagi masyarakat pesisir pantai di sekitar Laut Selatan, pemandangan membawa sesaji (sesajen) bukanlah menjadi sesuatu yang tabu lagi. Mereka bertanggapan bahawa ‘tetamu-tetamu’ yang membawa sesajen ini datang dengan maksud melakukan ritual bagi mendapatkan hajat tertentu.

Ritual dan sesaji yang dibawa juga pelbagai. Bergantung kepada hajat yang diinginkan oleh seseorang. Malah, tempat yang mereka jadikan tumpuan untuk ritual ini juga sangat banyak. Tidak berfokus kepada satu bahagian pantai sahaja.

Ritual ini bukan sembarangan ritual. Bukan seperti kita memanggil sahabat untuk keluar lepak di kedai mamak. Adapun ritual untuk memanggil dan berkomunikasi dengan Ratu Pantai Selatan ini ada ‘prosedur’ yang khas. Kepada sesiapa yang ingin mempersembahkan sesajen kepada Nyi Roro Kidul, dia haruslah memilih malam Jumaat Kliwon. Bahkan, ritual ini juga ada meletakkan beberapa pra-syarat yang harus dipatuhi. Antaranya adalah mandi bunga tujuh rupa, memberikan sesaji kembang setaman, dupa, apam jawa dan kelapa muda. Terdapat juga beberapa syarat yang mewajibkan ‘hadiah’ tumbal seperti seekor ayam sampailah seorang manusia.

APA KATA ISLAM?

Islam tidak menafikan bahawa memang wujud makhluk-makhluk ghaib seperti jin, syaitan dan iblis. Malah menjadi salah satu tuntutan dalam rukun iman untuk kita mempercayai perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka dan malaikat.

Amat banyak sebenarnya ayat di dalam al-Quran yang membahaskan tentang penciptaan jin. Dalam surah al-Hijr misalnya pada ayat yang ke-26 dan ke-27, Allah berfirman mafhumnya,

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat yang kering (yang berasal) daripada lumpur hitam lalu diberikan bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas.

Ayat ini sudah terang lagi bersuluh mengatakan kepada kita bahawa memang ada makhluk-makhluk ghaib seperti jin di sekeliling kita. Jika melihat kepada kesemua penceritaan yang telah saya kongsikan, dapat disimpulkan bahawa Nyi Roro Kidul ini banyak berkait rapat dengan air.

Pelbagai kitab dan hadis yang membincangkan perihal kerajaan iblis yang letaknya di atas air. Antaranya ialah,

Telah bercerita kepada kami Abu Ahmad telah bercerita kepada kami Sufyan daripada Abu az-Zubair daripada Jabir daripada Rasulullah SAW bersabda, “ Singgahsana iblis adalah di tengah laut. Disanalah dia mengirimkan para tenteranya. Tenteranya yang paling tinggi ialah yang paling besar kejahatannya.” (Musnad Ahmad 14027)

Telah bercerita kepada kami Abu Mu’awiyah telah bercerita kepada kami al-A’masy daripada Abu Sufyan daripada Jabir berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Iblis meletakkan istananya di atas air kemudian mengutus pasukannya. Singgahsana paling rendah di air dihuni oleh yang peling besar kejahatannya. Iblis mendatangi satu per satu anggotanya dan ada yang menjawab, “Saya telah melakukan ini dan itu.” Maka (Iblis) berkata, “Kamu belum berbuat apa-apa. Kemudian dia mendatangi yang lain. Lalu yang lain berkata, “Saya tidak meninggalkan dia sampai saya boleh memisahkan dia dengan isterinya.” Maka (Iblis) tersebut menjadikan anggotanya yang berhasil memisahkan sepasang suami dan isteri itu dengan dengannya.” (Musnad Ahmad 13858)

Sebagai seorang umat Islam yang beriman dan muslim, kita tidak sewajarnya mencontohi sikap masyarakat Jahiliah zaman dahulu. Apabila mereka singgah di sesuatu tempat, mereka akan berlindung pada penunggu yang ada di tempat itu dan ini merupakan salah satu bentuk keyirikan. Hal ini demikian kerana, kita memohon pertolongan dan mencari keselamatan selain daripada Allah SWT dengan cara memberikan sesaji atau apa-apa bentuk ‘persembahan’ dan ini merupakan salah satu bentuk dosa besar.

Sebenarnya, memang sudah menjadi sifat jin ini untuk menimbulkan rasa takut dalam diri manusia. Di dalam al-Quran Allah ada menceritakan,

Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki daripada golongan jin , maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (al-Jin, ayat ke-6)

Mengapa dikatakan sedemikian rupa? Kerana apabila seseorang itu melakukan ritual memberikan sesajen atau tumbal dengan tujuan meminta perlindungan atau pertolongan, memang benar jin tersebut akan memenuhi permintaan kita. Namun jika kita berhenti memberikan tumbal, apakah yang bakal terjadi? Jin tersebut akan mula menimbulkan rasa takut kepada orang itu lantas dia kembali melakukan amalan kesyirikan tersebut. Akhirnya, perkara ini tiada titik noktahnya. Nauzubillahi minzalik.

KESIMPULAN.

Seorang muslim yang mukmin sewajarnya mempunyai pegangan akidah yang kukuh. Kita sewajarnya kembali kepada yang Maha Esa kerana Dia satu-satunya kuasa yang paling besar dan tiada tandingannya. Kita dituntut untuk belajar akidah yang betul, akidah ahli Sunnah wal-Jamaah agar tidak tersesat dengan ajaran nenek moyang kita yang sebahagiannya bercanggah dengan hukum-hakam Allah.

Sewajarnya kita meletakkan sepenuh keyakinan dan pengharapan kepada Allah kerana pertolongan dan rahmat-Nya bersifat meluas dan kekal selamanya. Adapun pertolongan manusia hanya bersifat lemah dan sementara. Akhir sekali, kita harus ingat bahawa kita dan ‘mereka’ sama-sama makhluk Allah. Namun, siapa yang lebih mulia? Allah SWT telah menjawab persoalan ini di dalam al-Quran,

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (al-Isra’, ayat ke-70)

Mungkin jin yang tinggal di air? Atau mungkin memang wujud?

Wallahu Ta’ala A’lam.

SUMBER BACAAN :