Dalam perjalan ini
Menuju destinasi
Berbagai lebuhraya dilalui
Perjalananku terhenti
Di lebuhraya ini
Terpandang pusara diam menyepi

Terbayanglah kisah lalu
Bila kau disampingku
Bagaikan temasya dalam hidupku
Kini cinta tiada lagi
Berkubur dalam sepi
Dan pusara ini menjadi bukti

Betapa aku lemah di sini
Melihat cinta ini pergi
Di sini bermula bicara
Terpedaya
Dan bicara itu membunuhnya

Kini engkau tiada lagi
Yang tinggal hanya mimpi
Dan cintaku yang telah bersemadi
Ku teruskan perjalanan
Ku tinggalkan impian
Ke arah tujuan cinta abadi

Kepada mereka yang meniti usia remaja sekitar tahun 90-an, lagu ini antara yang menjadi siulan. Nyanyian kumpulan Ekamatra, ia pernah menjadi antara lagu hit ketika itu. Kini, ia hanya sesekali kedengaran di corong radio, dimainkan oleh stesen-stesen yang fokus pada memainkan lagu-lagu lama (kira lamalah tu, dah 20 tahun lebih). Kepada adik-adik yang baru menginjak usia, mungkin lagu ini pernah terdengar semasa satu babak kemalangan dalam cerita Rock Bro arahan Mamat Khalid, di mana watak utamanya – Jijo Alfonso Pereira Abdullah meninggal dunia.

Di kalangan peminat dunia mistik dan seram, lagu ini ada ceritanya sendiri, yang masih meremangkan bulu roma sehingga sekarang. Kepada peminat dunia pertahanan pula, kisah yang terkandung di sebalik lagu ini, membawa satu kenangan pahit yang meruntun jiwa – tentang pengorbanan anak bangsa yang sering disalaherti dan diperlekehkan.

Pagi 28 Februari 1990 itu menyaksikan anggota-anggota daripada Terup 4B dan 4C Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berpengkalan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur menjalankan tugas mereka seperti biasa. Ada di antara anggotanya baru saja pulang daripada bercuti bersama keluarga tersayan. Ada pula yang mengisi waktu pagi itu dengan beriadah melalui permainan persahabatan bola tampar. Sebaik saja selesai permainan, tiba-tiba Terup 4C dipanggil oleh Timbalan Ketua Unit untuk diberikan penerangan – mereka akan menjaankan latihan masa ke Terengganu, dipanggil Op Musang. Latihan ujian masa adalah bertujuan untuk menguji kemampuan dan kepantasan sesebuah trup boleh sampai ke destinasi tertentu dalam tempoh yang ditetapkan, dan ketika itu, ia adalah kali ketiga pernah diadakan oleh unit FRU. Sedang anggota-anggota Terup 4C bersiap-siap, pada jam 1230, siren pula berbunyi. Masing-masing tertanya-tanya kerana isyarat tersebut menandakan kesemua anggota perlu berkumpul untuk menerima taklimat sekiranya ada sesuatu tugas yang perlu dilaksanakan. Rupa-rupanya, telah berlaku kesilapan jadual. Bukan Terup 4C yang akan terlibat dalam Op Musang kali ini, sebaliknya Terup 4B. terup 4C sebaliknya akan berjaga untuk kes kecemasan di dalam Kuala Lumpur.

Meski mendapat maklumat dalam keadaan kesuntukan waktu, anggota-anggota Terup 4B seramai 57 orang, tidak merungut atau membuang waktu. Sudahmenjadi adat tugas mereka sebegitu – sedia untuk diaturgerak pada sebilang masa. Dalam tempoh 30 minit, kesemuanya sudah bersiap. Tepat jam 1300 (1.00 tengahari), 5x kenderaan terdiri daripada 2x kenderaan `command vehicle’, 1x trak tiga tan, 1x trak kecil jenis Volvo dan 1x Land Rover bergerak meninggalkan PULAPOL melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak untuk menuju ke destinasi yang ditetapkan.

Mohd. Azhari Chik (54 tahun) ketika itu berpangkat Konstabel. Beliau berada di dalam kenderaan command vehicle kedua. Di hadapan kenderaan itu adalah trak 3 tan yang membawa 22 anggota pasukan tersebut. Perjalanan itu lancar seperti biasa. Laluan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur itu seperti biasa dialiri trafik pelbagai kenderaan yang tidak putus-putus. Ketika jam menunjukkan 1410 (2.10 petang), mereka sudah pun berada di kilometer 30.9, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 dekat Hulu Gombak, Selangor – kira-kira 5 kilometer daripada Terowong Genting Sempah. Tanpa diduga, tiba-tiba kednegaran satu dentuman kuat – betul-betul di bahagian hadapan kenderaan yang dinaikinya. Azhari tergamam. Apa sudah jadi? Fikirnya. Dalam keadaan mereka tertinjau apa yang berlaku daripada dalam kenderaan yang mereka naiki, Azhari dan rakan-rakan yang lain dikejutkan pula dengan bunyi jerita. Tidak betah untuk menunggu, kenderaan itu segera dihentikan. Sebaik terjun daripada kenderaan itu, pemandangan yang menyambut mereka membuatkan jantung Azhari terhenti sebentar.

Di hadapan mereka, trak yang membawa rakan-rakan mereka itu terperosok di bawah bas ekspres yang nampaknya datang daripada arah bertentangan. Tidak cukup dengan itu, 10 buah kenderaan lain termasuk enam buah kereta awam, sebuah lori tangki minyak, teksi, lori sayur dan treler Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut berselerak di situ. Jeritan kesakitan kedengaran daripada segenap arah. Darah segar yang merah pekat kelihata memercik dan mengalir di sepanjang laluan. Segalanya kelam-kabut, seakan sebuah medan peperangan. Antara jeritan yang diengari Azhari datangnya daripada trak yang membawa 22 rakannya itu. Luruh segala sendinya mengenangkan segala kemungkinan. Adakah yang terkorban?

Sementara itu, Terup 4C yang masih berada di PULAPOL mula menerima perkhabaran buruk itu. Jiwa masing-masing digoncang hebat apabila mendapat tahu ada di antara rakan-rakan mereka, yang bersama-sama bergelak ketawa dengan mereka pada pagi itu, telahpun kaku tidak bernyawa. Di antara yang terkesan adalah Sarjan Mejar Roslan Aris yang ketika itu juga berpangkat Konstabel. Mendung yang berarak semakin kelam bila satu persatu butiran singgah ke pengetahuan mereka – 15 orang terkorban. 11 daripadanya adalah rakan-rakan mereka sendiri – 5 meninggal di tempat kejadian manakala 6 orang lagi di Hospital Kuala Lumpur. Di antaranya adalah rakan karibnya sendiri.

Keratan akhbar memaparkan peristiwa tersebut
Sumber : https://www.facebook.com/blogjalanrayamalaysia/photos/pcb.881970778564621/881970741897958/?type=3&theater (Blog Jalan Raya Malaysia)

Siasatan kejadian mendapati kemalangan itu berpunca daripada masalah brek yang dihadapi bas ekspres dari Temerloh-Kuala Lumpur itu ketika menuruni terowong tersebut. Dalam keadaan laju dan gagal dikawal, ia telah terbabas dan merempuh dua buah kereta sebelum bertembung dengan trak FRU berkenaan. Pertembungan itu telah menyebabkan trak FRU itu terperosok ke dalam bas, sebelum dihentam di bahagian badannya oleh lori tangki minyak yang cuba mengelak perlanggaran tersebut. Dalam keadaan trak tersebut tersepit di antara bas dan lori tangki, impak perlanggaran ditambah pula oleh beberapa kenderaan lain yang turut gagal mengelak mereka. Empat orang awam turut terkorban. Anggota-anggota FRU yang meninggal pula adalah :

1) Kpl 40385 Saad Bin Hassan
2) Kpl 56567 Mohd Hilmi Bin Ismail
3) L/Kpl 50546 Shahimi Bin Lazim
4) L/Kpl 88880 Mohd Som Bin Putih
5) PC 66754 Wan Mazland Bin Sitam
6) PC 74443 Mohd Razali Bin Bidin
7) PC 89111 Sazali Bin Hussin
8) PC 97225 Mohd Samsudin Bin Hamid
9) PC 97347 Abd Razak Bin Sharif
10) PC 110462 Mohd Lazim Bin Admin
11) PC 111406 Gua Kok Kiong

Nahas tersebut mencatat sejarah sebagai antara yang terburuk dalam sejarah negara sejak Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 dibuka pada tahun 1978. Kesesakan teruk berlaku di kedua-dua arah, dan pasukan penyelamat terpaksa berusaha keras selama hampir 6 jam untuk usaha menyelamat dan mengalihkan kenderaan-kenderaan yang terlibat. Perkara yang paling memilukan bagi anggota-anggota pasukan FRU ketika itu adalah apabila terpaksa menerima hakikat gugurnya 11 rakan mereka dalam keadaan tidak sepatutnya. Gugur mereka bukan dalam pertempuran, sebaliknya kerana kemalangan yang mungkin berpunca daripada kecuaian manusia. Turut merasa kesayuan itu adalah Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Haniff Omar (ketika itu Tan Sri).

Peristiwanya sudah 27 tahun berlalu, namun parutnya masih pedih dan terasa, terutamanya apabila ada suara-suara sumbang yang menceritakan bagaimana laluan tersebut masih kekal angker sehingga sekarang. Tidak kurang ada yang menceritakan bagaimana pada watu-waktu tertentu, kelihatan penampakan jelmaan yang dikatakan adalah anggota-anggota tersebut yang telah meninggal dunia, dikatakan masih berada di situ dan malah menjalankan sekatan jalanraya dalam keadaan mengerikan. Bagi saya, kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat kewujudanmakhluk-makhluk atau spektrum dan dimensi lain di alam ini, tetapi apabila ia dikaitkan sebagai jelmaan mereka yang telah terkorban ketika dalam perjalanan melaksanakan tugas demi tanah air, ia sesuatu yang sangat menyedihkan. Adakah sebegitu sepatutnya mereka ini dikenang?

Al-fatihah buat yang Muslim. RIP kepada yang bukan Muslim. Semoga mereka semua mendapat ganjaran sewajarnya di Sana..=WRA=


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply