Bila menyebut berkenaan pembunuhan J.W.W Birch dan Perang Perak, nama-nama tokoh seperti Dato Maharajalela, Dato Sagor dan Seputum sentiasa meniti di bibir kita. Dan kita juga sedia maklum sesetengah pihak cuba menyalahkan pembunuhan Birch atas sebab cuba menghapuskan perhambaan yang wujud ketika itu dan meletakkan kesalahan ke atas orang Melayu kerana enggan menerima perubahan yang dibawa beliau. Namun hakikatnya, perangai dan tindakan Residen British pertama di Perak ini hanyalah sekelumit daripada pelbagai faktor yang membawa kepada pembunuhannya, Perang Perak dan kekacauan dalam hierarki pemerintahan negeri Perak.

DAKWAAN ‘PEREBUTAN KUASA’ MENURUT TEKS BIASA

Kita sudah biasa dengar versi kisah ini sama ada dalam buku teks atau catatan orientalis Barat. Britain masuk campur di negeri Perak atas alasan berlakunya perebutan takhta antara Raja Abdullah (Raja Muda), Raja Ismail (Raja Bendahara) dan Raja Yusof (Raja Di Hilir). Menurut versi British, Gabenor Negeri-Negeri Selat (NNS), Sir Andrew Clarke menyifatkan Raja Abdullah sebagai orang yang layak menduduki takhta selepas kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Clarke mendakwa baginda mendapat sokongan daripada Orang-Orang Besar Perak semasa pemeteraian Perjanjian Pangkor 1874.

Figure 1: Sir Andrew Clarke, Gabenor Negeri-Negeri Selat (NNS).

terutama Orang Kaya Larut, Ngah Ibrahim yang dikatakan bertanggungjawab membantu Raja Ismail menaiki takhta mengatasi Raja Abdullah. Dari situ, beliau boleh meletakkan dirinya sebagai orang seterusnya untuk menduduki takhta. Namun kita perlu ingat, dakwaan yang saya anggap mengarut ini datang dari seorang pegawai British bernama C.J Irving dalam satu memorandum pada tahun 1872. Dan kita juga takkan dapat lari dari situasi Perang Larut yang tercetus antara dua kongsi gelap Cina, Ghee Hin dan Hai San. Perang dua kongsi gelap ini dikatakan mencetuskan kekacauan dalam negeri sehingga menjejaskan urusan pentadbiran dan menakutkan orang ramai terutama golongan pedagang. Atas sebab itulah, pada tahun 1870-an, ‘Sultan Perak’ menulis surat memohon campur tangan Britain dalam menyelamatkan negeri dan membantu baginda mentadbir Perak.

Figure 2: Sultan Abdullah Muhammad Shah II

Sebelum saya teruskan, ingin saya ingatkan kebanyakan rekod kolonial yang kita sudah baca dan hafal ini kebanyakannya bersifat mengelirukan dan hanya mengetengahkan peranan mereka saja serta cuba merosakkan imej raja dan pembesar-pembesar Melayu saja. Cerita sebenar jauh lebih rumit dan perlu diteliti secara objektif, bukannya bersifat bias.

PERMULAAN KRISIS: KEMANGKATAN SULTAN ALI & PERTABALAN RAJA ISMAIL

Permulaan sebenar krisis Perak bermula selepas kemangkatan Sultan Ali di Sayong pada tahun 1871. Mengikut adat istiadat Melayu Perak, menjadi tanggungjawab Raja Bendahara, peranan yang diisi oleh Raja Ismail, yang menjadi pemangku sultan dan penjaga alat kebesaran diraja, untuk menjemput Raja Muda untuk ditabalkan sebagai sultan baru dalam tempoh tujuh hari. Malangnya, Raja Abdullah yang mengisi peranan Raja Muda, gagal menghadiri upacara pemakaman dan pertabalan baginda sebagai sultan.

Baginda mempunyai sebab kukuh untuk tidak berangkat ke Sayong. Pertama, hubungan baginda dengan Sultan Ali yang dikatakan keruh dan mempunyai sejarah pertikaian yang panjang. Jika ada yang kata ini sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan, sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang asing kerana pihak-pihak yang bertelagah tidak akan menziarahi sultan yang gering dan upacara pemakaman baginda tanpa menjejaskan proses pemilihan pengganti (Raja Muda). Kedua, Raja Abdullah mengalami krisis kredibiliti selepas isteri baginda, Raja Tipah berkahwin dengan seorang putera Selangor bernama Raja Daud selepas diceraikan baginda. Kegagalan Raja Abdullah mendapatkan semula Raja Tipah merupakan satu detik memalukan bagi pembesar-pembesar Perak dan ini menjejaskan kedudukan baginda sebagai pemerintah negeri yang sah. Namun sebab sebenar ketidakhadiran baginda di Sayong ialah mengelak dari bertemu dengan Raja Yusof. Ini kerana Raja Yusof mengugut sekiranya Raja Abdullah berani menjejakkan kaki di Sayong, baginda tidak teragak-agak membunuh Raja Muda Perak tersebut.

Walau apapun, pembesar-pembesar negeri tetap mahukan Raja Abdullah menaiki takhta menggantikan Sultan Ali berbanding dua pencabar lain, Raja Ismail dan Raja Yusof. Raja Yusof ditolak kerana bersikap pendendam dan kejam terutama selepas Raja Ali merampas kuasa daripada bapanya, Sultan Abdullah dan ditabalkan sebagai Sultan Ali. Sementara Raja Ismail pula ditolak kerana bukan dari keturunan diraja dan dikatakan bersubahat dengan Panglima Perang Semaun untuk membunuh Dato Shahbandar. Ini dikukuhkan lagi semasa perlantikan Raja Muda, Sultan Ali tidak memilih Raja Ismail, sebaliknya baginda memilih Raja Abdullah untuk mengisi posisi tersebut. Sebulan selepas kemangkatan Sultan Ali, pembesar-pembesar Perak sudah hilang sabar dengan ketidakhadiran Sultan Abdullah dan memutuskan mencari calon lain. Pada mulanya, mereka mencadangkan putera Sultan Ali, Raja Usman sebagai pemerintah yang baru tetapi ditolak baginda atas alasan baginda tidak berminat memerintah negeri. Sebaliknya baginda mencadangkan nama Raja Ismail untuk dipertimbangkan mereka.

Jika ada yang mengada-ada kata Raja Ismail segera rebut kesempatan ini, jawapan anda salah. Ini kerana selepas ditawarkan posisi tersebut, baginda menolak permintaan mereka dan mahu mereka mempertimbangkan calon lain. Namun selepas dipujuk, akhirnya baginda bersetuju dan baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak yang baru dengan gelaran Paduka Seri Sultan Mu’abidin Shah. Proses perlantikan berjalan lancar dan tidak mendapat sebarang tentangan sebaik saja berita pertabalan baginda keluar. Buktinya, salah seorang sekutu Raja Abdullah, Dato Laksamana menerima perlantikan baginda dan melaksanakan semua tanggungjawab yang diamanahkan termasuk sebagai Shahbandar. Justeru, sebarang dakwaan yang mengatakan wujud ‘perebutan kuasa’ di Perak hanyalah mitos semata-mata kerana status Raja Ismail diiktiraf semua pihak termasuk pihak Britain, Raja Yusof dan Raja Abdullah sendiri. Selepas baginda ditabalkan sebagai sultan, Sultan Ismail bersemayam di Sayong.

REAKSI RAJA ABDULLAH

Bagi Raja Abdullah sendiri, dengan pertabalan Raja Ismail sebagai sultan, baginda tidak menunjukkan apa-apa tanda untuk mencabar Sultan Ismail. Sebaliknya, baginda meneruskan kehidupan seperti biasa di Hilir Perak dan tidak cuba mencabar hak baginda. Ini kerana Raja Abdullah sedar pengaruh baginda terhad dan sokongan yang ada juga dilihat lemah. Pembesar-pembesar Perak yang cuba menabalkan baginda sebagai sultan juga sedar pertabalan Sultan Ismail harus dihormati dan dilindungi. Dan mereka tidak teragak-agak mengkritik baginda kerana memalukan adat istiadat diraja dan sama sekali tidak layak menduduki takhta.

Namun semua itu berubah apabila baginda ditimpa masalah kewangan yang serius akibat gaya hidup baginda sendiri yang bermewah-mewah. Pada masa inilah, timbul tokoh-tokoh tertentu menawarkan bantuan kewangan kepada baginda sebagai pertukaran kepada menerima tuntutan mereka. ‘Tangan-tangan ghaib’ ini melihat inilah peluang mereka mengeksploitasi hasil bumi Perak dengan menjadikan baginda sebagai boneka. Mereka menawarkan bantuan kewangan dan sokongan politik diperlukan Raja Abdullah untuk mendapatkan ssemula hak baginda.

Tatkala inilah, baginda mencabar kedudukan Sultan Ismail dan menulis surat kepada Britain untuk mendapatkan sokongan mereka atas alasan pertama, perlantikan Sultan Ismail berlawanan dengan adat istiadat Perak. Kedua, jemputan tidak dibuat dengan sebaiknya. Ketiga, mendakwa Sultan Ismail menipu semasa proses menaiki takhta. Keempat, menuduh baginda merampas kuasa dari orang sebenar kerana peranannya sebelum ini sebagai pemangku sultan dan kelima, enggan mencabar Sultan Ismail atas alasan mengelak kekacauan yang boleh menggugat perdagangan Britain dan keselamatan warganya.

‘TANGAN-TANGAN GHAIB’

Peranan ‘tangan-tangan ghaib’ ini sebenarnya penting dalam menceritakan kisah sebenar di sebalik krisis Perak tetapi jarang disentuh secara panjang lebar oleh sejarawan sama ada orientalis atau sejarawan hari ini. Siapa individu-individu yang berniat jahat ini? Individu-individu ini ialah kapitalis-kapitalis Cina-Eropah dan pemimpin-pemimpin kongsi gelap di NNS dan mereka mempunyai hubungan dengan tokoh-tokoh berpengaruh seperti W.H Read, Edward Bacon dan Tan Kim Ching. Merekalah bertanggungjawab mencetuskan ketidakstabilan di negeri Darul Ridzuan itu dan menggunakan situasi tersebut untuk mengundang campur tangan Britain.

Figure 3: Kapitan Tan Kim Ching. Sumber: http://tiongbahruestate.blogspot.my/2007/08/tan-kim-ching-1829-1892.html

Dengan Raja Abdullah sebagai boneka, individu-individu ini juga turut merancang memonopoli hasil bumi dan ekonomi negeri Perak. Dan antara sasaran utama mereka ialah Larut di mana Raja Abdullah sedia menyerahkan daerah tersebut kepada mereka dengan harga yang tinggi. Pada masa sama, baginda terus melobi Britain untuk mengiktiraf baginda sebagai sultan yang sah walaupun tahu ini akan menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Perak.

Baginda yang semakin terdesak turut bekerjasama dengan kongsi gelap Ghee Hin di mana mereka telah mengalahkan kumpulan kongsi gelap Hai San yang disokong Ngah Ibrahim dalam Perang Larut Kedua. Buktinya, pada Januari 1873, baginda bersama Dato Laksamana, Dato Shahbandar dan Raja Idris melawat Pulau Pinang dan memeterai kerjasama dengan pemimpin Ghee Hin, Ho Gui Siu. Perjanjian itu dimeterai pada 28 Februari 1873 di mana antara isi perjanjian ialah mengiktiraf pembabitan Ghee Hin dalam Perang Larut dan baginda membiayai separuh dari belanja perang kumpulan tersebut. Pada masa sama, Raja Abdullah cuba menjual konsesi Kerian-Larut kepada Bacon tetapi digagalkan oleh Britain melalui Gabenor NNS ketika itu, Sir Harry Ord. Ord bertindak demikian kerana menyokong kedudukan Ngah Ibrahim.

Figure 4: Potret Ngah Ibrahim. Sumber: http://laman-seri.blogspot.my/2008/12/ngah-ibrahim-pejuang-pemikir-melayu.html

Melihat semua usaha baginda berakhir dengan kegagalan, harapan baginda untuk bergelar sultan nampak kabur. Tetapi selepas baginda diperkenalkan dengan seorang ahli perniagaan Cina bernama Tan Kim Cheng, masih ada harapan untuk menduduki takhta. Kim Cheng bukan calang-calang orang kerana beliau ada kaitan dengan Ghee Hin dan mahu memonopoli kekayaan Larut. Jika itu bermakna menjadikan Raja Abdullah sebagai sultan, maka Kim Cheng melihat ianya boleh dicapai. Atas sebab itu, Kim Cheng berhubung dengan tokoh-tokoh di NNS dan Pejabat Koloni seperti Read dan Thomas Scott. Kedua-dua individu ini bertanggungjawab membawa tuntutan baginda itu kepada Sir Harry Ord dan penggantinya, Sir Andrew Clarke. Kedua-dua individu ini dengan bakal residen British di Selangor, J.G Davidson turut bertanggungjawab mendraf satu surat bertarikh 30 Disember 1873 menggunakan nama, tandatangan dan cap mohor baginda. Surat inilah yang digunakan mereka untuk memohon campur tangan Clarke berkenaan ‘perebutan kuasa’ di Perak dan mahukan bantuan British dalam soal pentadbiran negeri. Ini yang membawa kepada campur tangan Clarke, sekaligus membawa kepada perlantikan Sultan Abdullah dan pemeteraian Perjanjian Pangkor 1874.

ANTARA PERANG LARUT, KONGSI GELAP & ‘PEREBUTAN KUASA’

Antara mitos yang disebarkan berkenaan krisis Perak sehingga ada di antaranya disebut dalam buku teks ialah pembabitan pembesar-pembesar Melayu terutama Orang Kaya Larut, Ngah Ibrahim dalam Perang Larut. Namun sebenarnya, perang ini hanya melibatkan dua kongsi gelap iaitu Ghee Hin dan Hai San sebelum beberapa individu lain seperti Ngah Ibrahim dan Raja Abdullah terlibat. Penglibatan mereka ini pun atas sebab nak merampas Larut (Raja Abdullah) atau mempertahankan Larut dari dirampas (Ngah Ibrahim).

Perlu diingat, kebanyakan konflik membabitkan dua kongsi gelap ini hanya terhad di Larut saja dan berhampiran dengan kawasan lombong, sama sekali berlawanan dengan dakwaan yang dinyatakan dalam surat yang didraf sebelum ini. Buktinya, kawasan Hulu Perak di mana majoriti penduduknya ialah orang Melayu, tidak wujud sebarang tanda pertempuran merebak ke kawasan situ. Malah, konflik antara dua kongsi gelap ini sudah bermula di Tanah besar China sebelum peralihan abad ke-19. Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang pegawai-pegawai British terutama yang bersekongkol dengan Kim Ching seperti Read dan Scott cuba mengaitkan perang ini dengan ‘perebutan kuasa’ di Perak termasuk menyalahkan Ngah Ibrahim dan menganggap beliau sebagai gila kuasa.

Hakikatnya, Ngah Ibrahim ialah mangsa yang terperangkap antara dua kongsi gelap ini. Berikutan kekecohan yang timbul membabitkan mereka, beliau terpaksa memilih antara kedua-duanya dan memilih kongsi gelap mana yang berpotensi untuk menang. Beliau percaya perang tersebut tidak akan berpanjangan dan Larut akan kembali aman. Sejak tahun 1862, Ngah Ibrahim menyokong Hai San di mana mereka pelombong terawal bijih timah di Larut dan membantu beliau mendapatkan sokongan kewangan. Namun satu dekad selepas itu, di mana Ghee Hin berjaya mengalahkan Hai San, ini meletakkan Ngah Ibrahim dalam dilema. Bimbang akan kehilangan kuasa dan sumber pendapatan, beliau beberapa kali menyokong Hai San atau Ghee Hin selagi mana kumpulan tersebut ada potensi untuk menang dan sumber pendapatannya tidak terjejas.

Dan jika ada menyangka Perang Larut ini tidak ada campur tangan dari kapitalis Cina-Eropah, jawapannya salah. Mereka bertanggungjawab memarakkan lagi api peperangan sehingga ke tahap sudah tidak boleh dibendung lagi dengan membawa masuk senjata api dan terus melobi Raja Abdullah menuntut haknya. Dan mereka tidak teragak-agak mempengaruhi tokoh-tokoh dalam pentadbiran Britain termasuk Pejabat Koloni untuk mendorong campur tangan Britain di mana ia sudah bermula sejak tahun 1857 lagi. Mereka menggunakan alasan korupsi, aktiviti lanun, perang dan kekejaman Raja-Raja Melayu untuk memastikan campur tangan berlaku.

CAMPUR TANGAN BRITAIN

Pada abad ke-19, Britain mencapai zaman kegemilangan imperalismenya dan bertanggungjawab secara langsung terhadap kekacauan di Perak dan negeri-negeri Melayu lain. Pengaruh mereka ini membolehkan ramai orang terutama kapitalis Cina-Eropah, ketua kongsi gelap dan pembesar Melayu menjadikan mereka sebagai tempat mengadu dan melobi bantuan. Mana-mana pihak yang mendapat bantuan Britain dianggap berpeluang lebih besar dalam apa-apa konflik yang dihadapi mereka. Buktinya, kejayaan Tengku Dhiauddin atau Tengku Kudin, seorang putera raja Kedah merangkap menantu Sultan Abdul Samad mengalahkan Raja Mahdi dalam Perang Klang.

Perlu diingat, Britain hanya akan campur tangan sekiranya ia menguntungkan mereka atau sikap kepala angin pegawainya. Mana-mana pemerintah yang dirasakan menyokong mereka atau berhadapan dengan konflik akan disokong. Sebaliknya, mana-mana pemerintah yang enggan menyokong akan disingkirkan dan digantikan dengan pemerintah yang bersikap pro-Britain. Dan inilah apa yang berlaku di Perak pada tahun 1870-an.

Semasa penggal Sir Harry Ord sebagai Gabenor NNS, campur tangan Britain bersifat tidak secara langsung namun ada ketikanya, Britain menunjukkan kekuatan mereka. Buktinya, cubaan Raja Abdullah menjual konsesi Kerian-Larut kepada Bacon digagalkan oleh Ord atas arahan kerajaan Britain. Dan sebelum tuntutan Raja Abdullah timbul, London sebenarnya mengiktiraf kedudukan Sultan Ismail sebelum segera menarik balik pengiktirafan tersebut selepas tuntutan baginda naik. Ord turut menolak tuntutan Raja Abdullah untuk diiktiraf sebagai sultan yang sah dan cubaan pertemuan yang diatur antara kapitalis Cina-Eropah turut ditolak. Malah semasa Perang Larut berlaku, beliau menyokong Ngah Ibrahim dan kumpulan Hai San serta mengaturkan bantuan ketenteraan diketuai Kapten Speedy untuk membantu mereka menang.

Figure 5: Sir Harry Ord, Gabenor Negeri-Negeri Selat

Namun semua itu berubah selepas Sir Andrew Clarke dilantik sebagai Gabenor NNS menggantikan Ord dan mengubah semua polisi yang diamalkan beliau. Ini berlaku bukan saja akibat perubahan dasar yang dibawa Clarke tetapi juga lobi oleh firma-firma British yang mahukan campur tangan secara langsung di Semenanjung Tanah Melayu. Buktinya, 248 pedagang Cina berpangkalan di NNS menghantar petisyen campur tangan secara langsung Britain bagi mengatasi situasi anarki di Tanah Melayu. Ini dikuatkan lagi menerusi satu surat oleh Setiausaha Koloni, Earl of Kimberley yang mahukan situasi anarki di Tanah Melayu dihentikan, mengembalikan semula keamanan dan mempertimbang perlaksanaan sistem residen di negeri-negeri Melayu.

Selepas perlantikan Clarke pada November 1873, Kim Ching dan Read segera mengatur pertemuan dengan Clarke dan menyerahkan tuntutan Raja Abdullah kepada beliau. Ini disusuli tuntutan ketua kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San yang mahukan sistem residen dilaksanakan di Perak di mana residen boleh bertindak sebagai pendamai kepada pertelagahan mereka. Clarke melihat inilah peluang terbaik Britain melancarkan dasar campur tangannya di Perak. Malah, Raja Abdullah turut berjanji menuruti semua tuntutan mereka termasuk melaksanakan semua sistem baru yang dilihat diperlukan dan menerima kehadiran seorang residen.

Sebagai tanda bermulanya campur tangan Britain di Perak, Clarke memujuk Raja-Raja Melayu dan pembesar-pembesar Perak untuk menghadiri pertemuan di Pulau Pangkor pada Januari 1874. Tanpa diberi peluang secukupnya untuk mempertimbang semua fakta dan perbincangan sesama mereka, Gabenor NNS itu memaksa mereka menandatangani Perjanjian Pangkor 1874. Perjanjian ini tidak disokong oleh majoriti pembesar Melayu lain terutama di Hilir Perak walaupun Clarke mendakwa sebaliknya. Jika ada yang enggan, mereka akan diancam dengan kekerasan oleh tentera British. Maka atas sebab itu, tidak hairanlah mengapa perjanjian tersebut dimeterai di atas kapal HMS Pluto, sebuah kapal tentera British.

BIRCH: BENCANA BUATAN SENDIRI

Selepas termeterainya Perjanjian Pangkor, Raja Abdullah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang baru sementara Sultan Ismail disingkirkan dari takhta dan diarah mengambil posisi Raja Muda. Sementara Ngah Ibrahim disingkirkan dari jawatan Orang Kaya Larut dan akan dilayan sama seperti pembesar-pembesar Melayu lain. Perjanjian ini turut membawa perlantikan J.W.W Birch sebagai Residen Perak yang pertama. Namun, jika Britain menyangka perjanjian ini menyelesaikan kemelut, lupakanlah. Ia memang menyelesaikan kemelut Ghee Hin-Hai San tetapi mengakibatkan kemelut politik Melayu bertambah parah.

Figure 6: Residen Perak pertama, J.W.W Birch

Jika Britain menyangka mereka boleh mempergunakan Sultan Abdullah sebagai boneka, mereka telah ditewaskan oleh kapitalis Cina-Eropah. Sebaik saja baginda menduduki takhta, Raja Abdullah membuat perjanjian dengan Chee Ah Him, seorang peniaga dan ketua kongsi gelap di Pulau Pinang untuk membangunkan beberapa kawasan lombong di Perak. Baginda turut mengadakan perjanjian sama dengan Lee Cheng Tee, ejen kepada Tan Kim Ching untuk mengutip cukai di Kuala Sungai Perak dengan bayaran $13,000. Semua perjanjian ini dibuat tanpa izin Gabenor NNS membabitkan sebarang keputusan besar kerana bagi Raja Abdullah, baginda perlu memenuhi semua janji yang dibuat semasa kempen menjadikan baginda sebagai sultan.

Kemelut politik Perak bertambah parah apabila Sultan Ismail enggan menerima Perjanjian Pangkor atas alasan perjanjian dimeterai tanpa izin dan rundingan dari Orang-Orang Besar Perak. Ini menyebabkan wujud dua Sultan Perak, satu dilantik oleh Orang-Orang Besar Perak sementara satu lagi dilantik melalui Perjanjian Pangkor. Britain cuba meraih sokongan orang Melayu dengan mengadakan upacara pertabalan rasmi Sultan Abdullah tetapi pembesar-pembesar Melayu enggan bekerjasama dan mengiktiraf perjanjian tersebut. Pengikut-pengikut Sultan Ismail menyifatkan perlantikan Sultan Abdullah tidak sah dan majoriti rakyat masih menyatakan taat setia mereka terhadap Sultan Ismail. Selagi mana alat kebesaran diraja tidak diserahkan kepada Raja Abdullah, selagi itu status baginda sebagai sultan terus dipertikai sementara Sultan Ismail dianggap masih pemerintah sah. Dan ini juga bermakna Britain tidak boleh menggunakan baginda sebagai alat untuk melaksanakan polisi mereka, satu perkara yang tidak diketahui Birch dan pegawai-pegawai atasannya. Ini ditambah pula dengan kegagalan Birch memahami budaya dan tradisi politik Melayu menyebabkannya sukar menjadi orang tengah antara dua sultan ini. Walaupun sudah dipujuk dan diugut untuk menyerahkan alat kebesaran diraja, Sultan Ismail masih enggan berganjak.

Jika bab budaya dan tradisi politik sahaja sudah menunjukkan kebodohan Birch, begitu juga dasar-dasar ekonomi yang dibawanya. Kebanyakan dasar yang dilaksanakan bersifat eksploitasi dan tidak digemari oleh pembesar-pembesar Melayu terutama di Hulu Perak. Pengikut Sultan Ismail turut menyifatkan Birch tidak mempunyai hak melaksanakan dasar-dasar di bawah nama Sultan Abdullah sedangkan Sultan Ismail masih lagi dianggap pemerintah yang sah. Sementara pendukung-pendukung Sultan Abdullah turut mengambil pendirian sama menyebabkan baginda serba-salah memenuhi setiap permintaan yang dibuat oleh Birch. Jujurnya, baginda bukanlah anti-British tetapi tanda-tanda menunjukkan semakin ramai yang menentang dasar-dasar mereka di Perak. Ini dikuatkan lagi dengan sikap Birch yang memarakkan lagi api kemarahan rakyat.

Antara tuntutan Birch kepada Sultan Abdullah ialah menyerahkan hak kutipan cukai, hak yang selama ini dipegang oleh pembesar-pembesar Melayu. Sekiranya baginda memenuhi tuntutan tersebut, pasti baginda akan kehilangan sokongan kerana kebanyakan mereka menjadikan ini sebagai sumber pendapatan utama dan mereka melihat baginda sebagai pengkhianat. Maka atas sebab itulah, baginda teragak-agak menerima tuntutan tersebut kerana itu menjadikan baginda lagi tidak popular terutama di Hulu Perak. Tekanan hebat ini juga menyebabkan Sultan Abdullah sedar baginda hanyalah alat untuk Britain mengawal negeri Perak. Tidak tahan dengan tekanan Birch, baginda memberi amaran kepada Sultan Ismail untuk tidak menandatangani Perjanjian Pangkor atau menyerahkan alat kebesaran diraja kepada baginda. Baginda sedar sekiranya itu berlaku, itu sebenarnya memberi lebih banyak ruang untuk Birch lebih berkuasa. Keengganan Sultan Abdullah ini menimbulkan kemarahan Clarke dan beliau mendesak semua terma Pangkor dihormati. Sultan Abdullah cuba menerangkan mengapa baginda tidak menerima tuntutan kutipan cukai Birch tetapi penjelasan baginda tidak dilayan oleh Clarke. Begitu juga dengan cubaan baginda menghantar wakil ke Singapura untuk menjelaskan situasi sebenar tetapi menerima nasib sama. Bagi Clarke, tidak ada ruang untuk kompromi.

Jika Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar Melayu menyangka pemergian Clarke dari jawatan Gabenor NNS dapat mengurangkan ketegangan, salah. Apabila Sir William Jervois dilantik sebagai pengganti Clarke, beliau segera mengatur pertemuan dengan Sultan Abdullah, Sultan Ismail dan pembesar-pembesar Melayu lain. Dalam pertemuan tersebut, Jervois cuba memaksa mereka menerima semua polisi yang dibawa Birch tetapi ditolak oleh semua. Sikap keras Jervois menyebabkan beliau menyimpulkan, Sultan Abdullah dan Sultan Ismail ialah halangan kepada Britain untuk berkuasa di Perak. Atas sebab itu, Jervois mengarahkan Birch untuk memaksa Sultan Abdullah melepaskan takhta dan menyerahkan kuasa kepada kerajaan Britain sebagai pertukaran dengan elaun sara hidup $2,000 sebulan tetapi tidak dilayan oleh baginda. Jervois kemudian menghantar tiga pucuk surat, dua kepada Sultan Abdullah dan satu kepada Raja Yusof. Jervois mengugut sekiranya baginda enggan memindahkan kuasanya kepada pihak Britain, baginda akan disingkirkan dan digantikan oleh Raja Yusof.

Figure 7: Sir William Jervois, Gabenor Negeri-Negeri Selat

Selepas bertahan beberapa lama, akhirnya baginda memenuhi tuntutan mengutip cukai yang dibuat Birch. Namun ibarat diberi betis, mahukan peha, Britain tidak mahu berhenti di situ saja. Satu lagi tuntutan yang menambah api kemarahan mereka ialah tuntutan Britain yang mahu Residen diklasifikasikan sebagai Ketua Hakim Negeri, yang memberi kuasa melantik pegawai-pegawai dan mengutip cukai negeri tanpa perlu melalui sultan. Tuntutan ini dianggap tidak munasabah oleh Sultan Abdullah dan ini menimbulkan kemarahan Birch. Birch mengancam Sultan Abdullah dengan mengingatkan baginda kini bergantung kepada belas kasihan Britain dan mereka tidak memandang ringan tindakan baginda. Situasi semakin tegang apabila Birch juga melindungi hamba-hamba berhutang, kebanyakannya wanita yang melarikan diri dari tuan-tuan mereka dan diberi perlindungan di kediaman rasminya di Bandar Baru. Tindakan beliau dianggap menyalahi terma Perjanjian Pangkor dan Birch dianggap bukan saja tidak tahu adab tetapi juga dicurigai dari segi motif dan niat. Siri insiden yang berlaku di Perak membawa api kemarahan dalam kalangan rakyat dan pemimpin Perak. Walau bagaimanapun, Sultan Abdullah dan pembesar-pembesarnya cuba menggunakan saluran diplomatik untuk mengendurkan ketegangan dan mahu pihak British bertimbang rasa dalam melaksanakan polisi mereka tetapi tidak dilayan.

Tambah membimbangkan, provokasi Jervois dan Birch sudah melampaui batas. Jervois misalnya menegaskan Britain seharusnya menggunakan pendekatan ketenteraan berbanding diplomasi untuk penjajahan di Perak. Kebiadaban dan kesombongan Britain mencampuri urusan pentadbiran Perak akhirnya membawa kepada pembunuhan Birch di Pasir Salak dan Perang Perak meletus pada tahun 1875. Bagi Jervois, pemberontakan ini merupakan alasan terbaik untuk menghalau keluar semua yang dianggap batu halangan kepada penjajahan mereka di Perak. Ramai yang ditahan dan dihukum bunuh membabitkan pembunuhan Birch termasuk Dato Maharajalela, Dato Sagor dan Seputum. Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim dan beberapa pembesar lain dibuang negeri ke Pulau Seychelles sementara Sultan Ismail pula dibuang negeri ke Johor dan di bawah jagaan Maharaja Abu Bakar. Raja Yusof dilantik sebagai pemangku sebelum ditabalkan sebagai Sultan.

Figure 8: Pengganti Sultan Abdullah, Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah

Pendudukan British di negeri Perak menandakan bermulanya penjajahan mereka ke atas negeri-negeri Melayu. Namun mereka juga terpaksa mengubah pendekatan mereka untuk mengelak insiden Birch berulang. Selepas kematian Birch, Britain melantik residen-residen di mana mereka yang dilantik memahami adat resam dan tradisi politik Melayu seperti pengganti Birch, Sir Hugh Low dan Sir Frank Swettenham di Selangor. Dan jika mereka cuba melaksanakan perubahan dasar atau polisi seperti menghapuskan perhambaan, mereka memastikan mana-mana individu yang terlibat mendapat bayaran ganti rugi bersesuaian seperti yang dilaksanakan oleh Low di Perak. Dan kesilapan bapanya tidak diulangi oleh anaknya, Sir Ernest Woodford Birch yang dua kali berkhidmat sebagai Residen Perak, pertama sebagai pemangku selepas Swettenham bercuti pada tahun 1894 dan kedua, mengisi jawatan itu secara tetap pada tahun 1904.

SUMBER

Arifin, Azmi. (2012). Universiti Sains Malaysia (USM). PERAK DISTURBANCES 1871-75: BRITISH COLONIALISM, THE CHINESE SECRET SOCIETIES AND THE MALAY RULERS.

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.