Punca JWW Birch Dibunuh

312
  1. Perbincangan masyarakat umum mengenai kes berdarah di Pasir Salak, Perak lebih berkisar kepada siapakah orang yang bertanggungjawab membunuh Residen Perak itu. Namun, punca mengenai mengapa orang Putih itu dibunuh tidak banyak dibincangkan. Kalau pun dibicarakan, ia tidak terlalu mendalam. Apa pun peristiwa di Pasir Salak ini telah membuka mata British. Ia juga telah memalukan pihak British. Dalam banyak kes kebangkitan rakyat menentang penjajah di Tanah Melayu. Orang-orang Peraklah dengan keberanian luar biasa telah membenam dan merodok pegawai British yang bertugas di tanah air ini.
  2. Antara pegawai British yang banyak menulis perihal Tanah Melayu terutamanya pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 ialah Frank Swettenham. Beliaulah yang sering dijadikan rujukan buat pengkaji sejarah Malaysia untuk meneliti segala hal yang berlaku pada waktu tersebut. Maka, tulisan ini juga menggunakan tulisan beliau dan dokumen perjanjian antara British dengan Raja Melayu untuk menyingkap peristiwa bersejarah di Pasir Salak itu.
  3. Birch atau nama sebenarnya James Wheeler Woodford Birch telah meninggal dunia pada 2 November 1875. Beliau adalah Residen Perak yang pertama selepas perjanjian Pangkor yang ditandatangani antara Sultan dan pembesar negeri Perak dengan Sir Andrew Clarke, Gabenor Negeri-negeri Selat. Fasal 6 isi kandungan perjanjian itu menyebutkan;
  4. “That the Sultan receive and provide a suitable residence for a British Officer to be called Resident, who shall be accredited to his Court, and whose advice must be asked and acted upon on all questions other than those touching Malay Religion and Custom”.
  5. Melalui fasal 6 inilah, Perak telah menerima seorang Residen British untuk menasihati Sultan dalam hal-hal pentadbiran. Kecuali agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sir Andrew Clarke telah melantik Birch untuk menjawat jawatan Residen Perak. Atas pengalamannya yang sebelum itu berkhidmat sebagai Setiausaha Jajahan Negeri-negeri Selat. Swettenham menyifatkan perlantikan ini sebagai “Tuan Birch menduduki tempat yang amat sukar”.
  6. Birch memulakan tugasnya pada hujung tahun 1874. Swettenham menganggap negeri Perak tidak sesuai sebagai tempat seorang Residen yang baru belajar. Ini kerana Perak merupakan negeri yang besar dan penduduknya mempunyai adat resam yang turun temurun. Apatah lagi Perak mempunyai ramai pembesar-pembesar yang ada keistimewaan dan kepentingan masing-masing. Amalan abdi-hutang juga sangat berleluasa di negeri itu. Maka adat-adat tersebut sangat janggal bagi orang Putih.
  7. Swettenham mengkritik Birch kerana lambat belajar dan tidak langsung menghormati orang-orang Melayu. Birch bukan sahaja tidak menghormati adat Melayu, tetapi juga tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Kata Swettenham;
  8. “Malang bagi Tuan Birch, walaupun dikatakan berpengalaman luas di dunia timur namun tidak mengenali orang Melayu dan boleh dikatakan tidak tahu langsung bahasa orang Melayu. Walaupun dia sentiasa membawa bersamanya jurubahasa Melayu yang pandai, disebabkan tidak boleh bercakap dengan secara langsung dengan orang Melayu.”
  9. Birch juga suka mencampuri urusan Sultan. Beliau dilihat cuba membuat banyak perubahan di Perak. Tetapi segala perubahan yang hendak dilakukannya sebenarnya membawa padah kepada dirinya sendiri. Kata Swettenham;
  10. “Maklumlah dia orang putih, dia juga beragama Kristian lagipun orang luar, dia sentiasa berjalan ke sana kemari, mendaki bukit dan menjelajah negeri, dia campur tangan dengan pekerjaan pembunuh-pembunuh dan orang-orang lain yang jahat, dia sentiasa menggangu Sultan tentang urusan kerja dan mendesaknya memperkenalkan pembaharuan, sedangkan setiap pembaharuan dianggap orang Melayu dengan syak dan wasangka.
  11. Disebabkan sikapnya yang begitu. Segala nasihat Birch tidak dipedulikan oleh Raja dan pembesar Perak. Ini menyebabkan hubungan antara Birch dengan Raja dan pembesar Perak menjadi tegang. Sehinggalah Gabenor Jajahan, Mejar Jeneral Sir W.Jervois turun ke Perak untuk melihat apa yang berlaku. Hasil daripada lawatan orang besar British itu, arahan diberikan kepada Sultan dan pembesar agar menyerahkan sepenuhnya pentadbiran negeri kepada pegawai-pegawai British. Segala tindakan pegawai-pegawai British akan dibuat atas nama Sultan Perak. Walaupun pada mulanya Sultan Perak berat hati untuk menerima arahan tersebut, tetapi melihat semua Raja Muda dan pembesar yang lain bersetuju. Maka baginda pun mengikut kata mereka.
  12. Kemudian dalam satu lawatan Sultan Perak ke Pasir Salak untuk memberitahu bahawa baginda telah menyerahkan kerajaan kepada British. Baginda telah memaklumkan kepada Dato’ Maharaja Lela mengenai hal tersebut. Maharaja Lela adalah pembesar ketujuh di Perak. Setelah diberitahu mengenai hal tersebut. Maka Maharaja Lela menjadi sangat marah. Kata-kata Maharaja Lela telah dirakamkan dalam catatan Swettenham;
  13. “Walaupun Tuanku telah berbuat begitu, patik tidak peduli. Patik tidak akan tunduk kepada kuasa Tuan Birch atau kuasa orang putih.. Patik tidak akan izinkan Tuan Birch menjejak kakinya ke kampung patik Pasir Salak. Sesungguhnya patik tidak akan berganjak walau sedikit pun daripada cara lama.”
  14. Akibat daripada ketegasan Maharaja Lela itu, akhirnya pakatan untuk membunuh Birch telah dibuat. Antara orang yang merancang bersama untuk membunuh Birch ialah Dato’ Sagor dan Pandak Indut. Pada 2 November 1875 Birch telah mati kerana telah dirodok dengan tombak oleh Pandak Indut. Akhirnya, ketiga-tiga mereka telah dijatuhkan hukuman mati. Manakala Sultan Perak yakni Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar yang lain dihukum dibuang negeri.
  15. Swettenham sendiri telah menjadi pendakwa raya bagi pihak kerajaan untuk kes tersebut bersama dengan Kolonel Dunlop, R.A. Manakala, Sultan Perak dan pembesarnya dibela oleh seorang peguam dari Singapura. Perbicaraan mengambil masa lapan hari.

RUJUKAN

  1. J. de V.Allen A.J Stockwell, L.R. Wright. A Collection of Treaties and Other Documents Affecting the States of Malaysia 1761-1963, Volume 1. London. 1981
  2. Swettenham. Perihal Melayu, diterjemahkan oleh Zubaidah Ibrahim. Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 2007

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.