Pada tahun 2016, dunia telah dikejutkan dengan berita tenggelamnya lima buah pulau kecil yang terdiri daripada gugusan Kepulauan Solomon akibat krisis perubahan iklim atau pemanasan sejagat ini (The Guardian 2016). Enam lagi pulau telah ditenggelami air selepas itu. Menurut kajian saintis Australia, keadaan paras air laut yang sedang naik dan hakisan tanah telah menyumbang kepada tragedi ini. Paras air telah meningkat kepada 10mm dengan perlahan-lahan sejak dua dekad ini.

Daripada 6 buah pulau yang ditenggelami oleh laut tersebut, dua daripadanya pernah diduduki manusia. Nasib baiknya, kerajaan Solomon telah menjangka tragedi ini untuk berlaku untuk sekian lama dan telah memindahkan para penduduk pulau-pulau tersebut dengan serta-merta. Salah satu pulau tersebut, pernah diduduki seramai 25 buah keluarga dan mempunyai 11 buah rumah. Kini, ia tidak lagi berpenghuni dan separuh daripada tanah pulau tersebut tidak sesuai untuk diduduki oleh manusia (The Guardian 2016).

Sekarang ini, menurut kajian saintis dan laporan terbaru aktivitis perubahan iklim, mereka mendakwa bahawa banyak lagi kepulauan atau pulau-pulau yang bakal ditenggelami laut akibat perubahan iklim. Menurut Bennet (2017), sejak 50 tahun yang lepas planet kita telah melihat kenaikan dramatik dalam paras laut. Antara kepulauan atau pulau-pulau yang bakal ditenggalami laut sekiranya krisis perubahan iklim ini tidak dihentikan serta-merta termasuklah:

Kepulauan Kiribati.

Gambar 1: Kepulauan Kiribati. Sumber gambar: NASA 2002, dipetik Wikipedia: https://en.wikipedia.org/wiki/Kiritimati#/media/File:Kiritimati-EO.jpg

Kiribati merupakan sebuah negara pulau, dan lebih dikenali sebagai ‘The Republic of Kiribati’, terletak di Oceania, Pasifik Tengah. Jumlah populasi mereka pada tahun 2013 adalah seramai 102,351 (Sustainability n.d) . Kepulauan ini mempunyai paras tinggi dari laut setinggi 3 meter sahaja, namun bahayanya, setiap tahun paras air laut akan meningkat sebanyak 1.2 cm, ini bermakna paras air laut di Kiribati meningkat 4 kali ganda lebih cepat berbanding paras air laut purata global (Sustainability n.d). Akibat kenaikan paras air yang mendadak ini, kerajaan Kiribiati telah mengisytiharkan darurat dan mengarahkan penduduk-penduduk di kawasan lagun Tebunginako, Pulau Abaiang untuk berpindah ke ibu kota mereka serta merta.

Memetik kata-kata Datuk Bandar Abaiang, Nauran Gano, beliau berkata:

Rakyat yang duduk di lagun Tebunginako telah berpindah ke tanah besar kerana 200 meter tanah mereka telah hilang [baca:tenggalam]…” (Gano, dipetik AJ+ 2014)

Sehingga kini, lagun Tebungkinako masih lagi ditenggelami air laut, jika ada orang datang melawat, mereka cuma akan nampak bangunan seperti gereja dan rumah yang musnah akibat air laut yang membanjiri bangunan-bangunan tersebut (AJ+ 2014). Air laut juga telah memusnahkan beberapa kebun dan ladang penduduk Kiribati sekaligus mencemar beberapa sumber air tawar mereka yang digunakan sebagai sumber minuman utama. Tragedi ini secara tidak langsung akan menjejaskan kehidupan seharian rakyat Kiribati.

Justeru, kerajaan Kiribati sedang mengambil langkah berjaga-jaga iaitu dengan membina benteng setinggi 1-meter untuk menghalang kenaikan paras air laut dan menghalang ombak laut yang semakin ganas. Selain itu, kerajaan Kiribati sedang mempersiapkan rakyat mereka dengan menghantar rakyat mereka belajar dan mencari kerja di negara Australia dan New Zealand sekiranya negara pulau mereka akan ditenggelami laut pada suatu hari nanti.

Selama sedekad, bekas Presiden Kiribati, Anote Tong (berkhidmat dari 10 July 2003 sehingga 11 March 2016) telah cuba mencari jalan dengan melobi dan memujuk negara-negara maju dan negara-negara membangun untuk mengurangkan kadar karbon yang dikeluarkan oleh industri-industri mereka. Hal ini demikian kerana, kenaikan kadar karbon ini menyumbang kepada perubahan iklim dan pemanasan sejagat yang secara langsung menyumbang kepada kenaikan paras air laut secara mendadak. Fenomena ini juga telah disebut oleh Andrew Teem, Penasihat Kanan Polisi Perubahan Iklim:

“The basic physics of climate change is very clear and very simple: If the whole ocean expands, and if the whole ocean increases in temperature, the volume will expand. The other part of the story is that if the whole ice in the both the northern and southern mountain areas actually melt, all the volume of that ice will end up as water in the oceans. So if this turns out to be true, then maybe we wouldn’t have more than the rest of this century to stay here.”– (Teem, dipetik AJ+ 2014).

Tambahan pula, Mooney (2018) melaporkan bahawa benua Antartika telah kehilangan ais sebanyak 219 billion tan dari tahun 2012 sehingga 2017.

Gambar 2: Data menunjukkan paras air sedang meningkat dengan mendadak (NASA, dipetik Climate Institute 2017). Link: http://climate.org/rising-sea-levels-and-indigenous-communities/

Namun begitu, tidak ada banyak tindakan serius yang telah diambil oleh negara-negara yang dipujuk Presiden Anote Tong, seakan-akan rayuan dan pujukan Anote Tong telah diendahkan. Dalam satu wawancara, beliau telah menyatakan kerisauannya bukan untuk cucu-cicitnya sahaja tetapi untuk rakyat Kribati secara keseluruhannya juga. Memetik kata-kata beliau:

“Saya mempunyai anak-anak dan saya mempunyai cucu yang ramai, scenario ini [perubahan iklim] merupakan suatu bahaya kepada mereka [rakyat Kiribati], dan kita tidak boleh megendahkan perkara ini. Jika tiada tindakan yang akan diambil untuk mengatasi masalah ini, maka kami tiada ada lagi pilihan kecuali untuk memindahkan rakyat kami ke tempat lain…” – (Tong, dipetik AJ+ 2014)

Persoalannya, sekiranya rakyat Kiribati berpindah ke tanah besar New Zealand dan Australia, adakah mereka akan diiktiraf sebagai rakyat di sana? Realitinya, kedua-dua negara ini akan mengiktiraf mereka sebagai pelarian atau “refugees”. Status ini akan menyusahkan rakyat Kiribati untuk mencari tempat tinggal dan pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga mereka (AJ+ 2014).

Kepulauan Maldives

Gambar 3: Malé, ibu kota kepulauan Maldives. Sumber gambar: Wikipedia 2004: https://en.wikipedia.org/wiki/File:Male-total.jpg

Kepulauan Maldives terkenal sebagai salah satu tempat perlancongan dan tempat berbulan madu yang terbaik di dunia. Namun, tanpa diketahui ramai, kepulauan Maldives merupakan satu lagi kepulauan yang bakal ditenggalami air laut (Schmidle 2009 dan Sustainability n.d).

Disebabkan ketinggian aras tanah mereka yang begitu rendah, Maldives dianggap sebagai negara ketiga yang paling terancam akibat perubahan iklim. Presiden Maldives, Mohammad Nasheed telah memberi amaran bahawa sekiranya tidak ada tindakan tegas yang diambil untuk mengurangkan kadar karbon, Maldives akan tenggelam dalam beberapa tahun (Schmidle 2009).

Kepulauan Samoa

Gambar 4: Kepulauan Samoa. Sumber gambar: Wikipedia 2002: https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Samoa_islands_2002.gif

Kebanyakan penduduk Samoa terdiri daripada bangsa Polynesia.  Seperti negara-negara Polynesia yang lain, mereka mempunyai sejarah dan budaya yang sangat kaya yang telah diamalkan sejak zaman-berzaman. Sejarah dan budaya adalah warisan rumpun Austronesia.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, Kepulauan Samoa sedang menghadapi krisis kenaikan paras air laut dan krisis perubahan iklim (Mimura 1999).

Menurut kajian, terumbu-terumbu karang di sekitar Kepualaun Samao sedang mati akibat pelunturan yang diakibatkan oleh peningkatan suhu air laut. Peningkatan suhu air laut ini juga diakibatkan oleh pemanasan sejagat dan telah menjejaskan kesihatan terumbu-terumbu karang di sekeliling kepulauan Samoa. Fenomena ini juga boleh diperhatikan di Terumbu Sawar Besar atau The Great Barrier Reef yang terletak di Australia. Terumbu Sawar Besar di Australia diiktiraf sebagai habitat terumbu karang terbesar di dunia dan telah diberikan status Warisan Dunia PBB, namun ia juga diancam oleh perubahan iklim dan pemanasan sejagat (GBRMPA 2014 dan UNESCO 2018). Terumbu karang amat penting untuk menjaga ekosistem kehidupan marin seperti ikan, plankton dan spesis krustasea. Kemusnahan ekosistem ini akan memberi kesan kepada kehidupan laut sekaligus menjejaskan sumber pendapatan penduduk tempatan yang berkisarkan aktiviti kelautan dan maritim sahaja (GBRMPA 2014 dan UNESCO 2018).

Gambar 5: Keratan laporan tahunan UNESCO yang membincangkan rancangan mereka untuk mencipta masa depan yang cerah untuk lautan  (UNESCO 2018).

Selain itu, terumbu-terumbu karang ini penting kerana ia berfungsi sebagai satu tembok atau benteng semula jadi untuk menghalang dan memperlahankan ombak  laut yang ganas.  Justeru, tanpa terumbu karang, ombak laut ini mampu menghakis tanah dan akan mengecilkan kawasan tanah milik sesebuah pulau. (AJ+ 2014 dan Sustainability n.d).

Gambar 6: Terumbu karang di Terumbu Sawar Besar Australia yang mati akibat pelunturan. Sumber gambar: Wikipedia: https://en.wikipedia.org/wiki/File:Keppelbleaching.jpg

Akibat kematian terumbu-terumbu karang ini, kerajaan kepulauan Samao perlu membina banteng atau tembok untuk memperlahankan atau menghalang ombak laut daripada menghakis tanah mereka.

Paras air laut bakal meningkat lagi?

Menurut kajian National Oceanic and Atmosphere Association (NOAA), jika kita tidak berjaya menurunkan kadar karbon sebelum tahun 2050 dan jika ais di kedua-dua kutub terus cair, paras air laut global akan meningkat sebanyak 2.5 meter pada tahun 2100 (Sheridan 2017). Manakala menurut Mooney (2018), negara-negara di seluruh dunia mempunyai kurang daripada sedekad untuk mengurangkan kadar karbon untuk mengelakkan impak negatif perubahan iklim. Malah negara yang tidak terletak berdekatan laut pun akan terjejas. Hal ini demikian kerana, krisis perubahan Iklim ini bukan sahaja tentang paras air laut atau pemanasan sejagat, tetapi ia juga melibatkan cuaca yang ekstrim dan tidak menentu arah (Doyle 2015 dan Mooney 2018). Walaupun terdapat negara-negara yang telah menuruti Perjanjian Iklim Paris 2015, tindakan ini menurut Mooney (2018) tidak dapat menghentikan perubahan yang sedang berlaku tetapi cuma mampu mengawalnya.

Apa yang sedang dibuat?

Selain daripada Perjanjian Iklim Paris 2015, negara-negara Kiribati, Samoa, Australia, dan lain-lain yang mempunyai persisiran pantai telah melancarkan beberapa rancangan untuk cuba mengawal kenaikan paras laut, memelihara habitat terumbu karang sekaligus memelihara ekosistem laut mereka. Antara langkah-langkah yang diambil termasuklah:

  1. Mewujudkan atau menambah lagi kawasan paya bakau.

Selain daripada terumbu karang, pokok Bakau atau Mangrove trees dapat berfungsi sebagai benteng atau tembok semula jadi untuk memperlahankan dan memecahkan ombak laut yang ganas. Fenomena ini dipanggil sebagai proses pemecahan ombak atau Wave Breaking (AJ+ 2014). Habitat pokok bakau juga mampu menjadi benteng semula jadi untuk melindungi persisiran pantai daripada ribut atau cuaca ekstrem (GBRMPA 2014).

Tambahan pula, dengan mewujudkan atau memelihara ekosistem pokok bakau, kerajaan sekaligus dapat melindungi ekosistem laut. Hal ini demikian kerana, habitat pokok bakau sering menjadi tempat perlindungan atau pembiakan untuk pelbagai jenis spesis haiwan laut dan burung.

Selain itu, akar-akar pokok bakau berfungsi sebagai pengutip sampah semula jadi. Contohnya, apabila air laut pasang, sampah-sarap yang dibawa oleh laut akan terperangkap di antara akar-akar pokok bakau. Perkara ini akan memudahkan aktiviti gotong-royong dan kempen membersihkan pantai.

Gambar 7: Habitat Pokok Bakau di Pulau Damas, Costa Rica tahun 2007. Sumber gambar: Michelle Reback, dipetik Wikipedia: https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Damas_Island_Mangrove_Estuary.jpeg

Penduduk-penduduk Kiribati yang tinggal berdekatan pantai telah mengalakkan anak-anak muda mereka untuk menanam beratus-ratus bijih benih pokok bakau di sepanjang pantai bagi melindungi pesisiran pantai mereka daripada dihakis air laut (AJ+ 2014).

  1. Mewujudkan dan melindungi kawasan terumbu karang

Terumbu Karang dikenali sebagai “hutan hujan lautan”. Menurut laporan AJ+ pada tahun 2016, Terumbu Sawar Besar di Australia sedang nazak, dan jika tindakan yang betul tidak diambil dengan serta merta maka taman terumbu karang ini akan musnah sebelum tahun 2100. Dianggarkan sebanyak 35 peratus terumbu karang dalam ekosistem Terumbu Sawar Besar di Australia telah mati atau berada dalam keadaan nazak (AJ+ 2016). Oleh kerana hal yang demikian, kerajaan Australia telah mengambil langkah-langkah drastik untuk memelihara Terumbu Sawar Besar mereka.

Contohnya, kerajaan Australia telah melancarkan rancangan jangka panjang mereka bertajuk Reef 2050 Long-Term Sustainability Plan yang bertujuan untuk memelihara, memperbaiki, dan meningkatkan kesihatan Terumbu Sawar Besar agar ia mampu menyesuaikan diri dan mengendali tekanan yang diakibatkan oleh perubahan iklim (What Australia is doing to manage the Great Barrier Reef 2015).

Gambar 8: Laman web rasmi Kementerian Alam Sekitar dan Tenaga Australia. Sumber gambar: http://www.environment.gov.au/marine/gbr

Selain itu, kerajaan Australia telah mengharamkan aktiviti pendalaman pelabuhan atau dredging di beberapa kawasan. Apabila pelabuhan menjadi cetek, aktiviti mengorek perlu dilakukan untuk mendalamkan pelabuhan. Biasanya, kebanyakan bahan korek atau buangan yang dikorek akan dibuang semula ke dalam laut. Akibatnya, sedimen-sedimen yang dibuang ini akan menghalang kemasukan cahaya matahari yang diperlukan oleh sesetengah spesis terumbu karang untuk proses fotosintesis (Science Alert 2012). Melihat ancaman ini, kerajaan Australia telah bertindak mengharamkan aktiviti mengorek untuk membina pelabuhan atau mendalamkan pelabuhan di beberapa kawasan.

Di Sabah, kerajaan telah bekerjasama dengan Tropical Research and Conservation Centre (TRACC) untuk melindungi taman terumbu karang di sekitar Sabah. Kerajaan Sabah juga telah menggariskan beberapa peraturan kepada industri perlancongan dan kepada para pemaju untuk tidak membina berdekatan persisiran pantai terutamanya di sesetengah kawasan yang diikitiraf sebagai taman terumbu karang seperti Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Tunku Abdul Rahman (RCM 2016).

Menurut laporan Reef Check Malaysia (RCM), pada tahun 1998 sebanyak 40 peratus terumbu karang di seluruh Semenanjung Malaysia telah mati akibat pelunturan. Sebelum terumbu karang ini sempat pulih semula, satu lagi pelunturan secara besar-besaran berlaku pada tahun 2010. Walau bagaimanapun, ia tidaklah seteruk yang berlaku pada 1998 (RCM 2016).

De Silva (2016) pula melaporkan bahawa perubahan iklim dan fenomena El-Nino mengancam 90 peratus populasi terumbu karang di seluruh Malaysia.

Bagaimana terumbu karang boleh mati akibat pelunturan?

Kebanyakan keluaran CO2 yang diakibatkan oleh industri atau pencemaran akan berubah kepada H2CO3 (carbonic acid) yang akan meningkatkan tahap asid dalam laut. Keadaan laut yang asid ini akan melunturkan terumbu karang sekaligus membunuhnya (AJ+ 2016, RCM 2016, dan Vox 2017).

Apa lagi yang boleh membunuh terumbu karang?

Selain daripada itu, pengunaan bahan letup untuk menangkap ikan, aktiviti perlancongan berlebihan, dan penangkapan ikan secara berlebihan mampu menjejaskan kesihatan terumbu karang dan boleh juga membawa kepada kematian terumbu karang secara besar-besaran (RCM 2016 dan National Geographic 2016). Hal ini demikian kerana terumbu karang amat sensitif terhadap apa-apa perubahan di persekitaran mereka. Malah, pada tahun 2016, di dalam surat khabar The Star yang bertajuk “GM: Reduce tourists, save our corals”, dilaporkan bahawa jumlah pelancong yang meningkat dan sikap pelancong yang tidak mempedulikan undang-undang yang sedia ada juga merupakan salah satu sebabnya terumbu karang di Pulau Redang dan di seluruh Semenanjung Malaysia sedang terancam (De Silva 2016).

Beliau kemudian memetik kata-kata pengurus Reef Watch Malaysia, Julian Hyde yang berkata kebanyakan terumbu karang mengalami stress akibat sesetengah sikap pelancong yang tidak reti mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dan dengan sewenang-wenangnya menyentuh, memijak dan mematahkan terumbu karang (De Silva 2016). Beliau menambah dan berkata terumbu karang amat sensitif terhadap apa-apa perubahan terhadap persekitaran mereka dan jika tidak berhati-hati, terumbu karang boleh mati akibat stres. Julian Hyde kemudian mengajukan rayuan beliau kepada pentadbiran Pulau Redang untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

  1. Pendidikan dan kempen kesedaran.

Salah satu perkara yang dicadangkan oleh Julian Hyde untuk memelihara habitat terumbu karang di Pulau Redang termasuklah mendidik pelancong yang ingin melakukan aktiviti menyelam atau snorkel untuk menghormati dan tidak menyentuh terumbu-terumbu karang (De Silva 2016).

Seterusnya, kempen-kempen kesedaran yang dianjurkan oleh NGO atau agensi-agensi kerajaan seperti Project Lautan ingin mendidik masyarakat tentang bahanya penggunaan bahan letupan untuk memancing.

Kerajaan Malaysia berancang untuk memperkenalkan pendidikan alam sekitar ke dalam silibus sekolah-sekolah Malaysia seawal tahun 2019 (MalayMail 2017). Silibus ini akan mengajar generasi muda tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan akan membantu memberi perhatian terhadap isu-isu pencemaran yang berlaku di sekeliling mereka. Selain itu, agensi PBB seperti United Nations International Children’s Emergency Fund (UNICEF), yang banyak melancarkan dan melaporkan rancangan untuk menyedarkan masyarakat tentang masalah kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak telah juga melancarkan beberapa aktiviti untuk menyedarkan generasi muda tentang perubahan iklim dan pemanasan sejagat serta impaknya kepada komuniti global. Persoalannya kenapa kanak-kanak sering menjadi sasaran pendidikan dan kempen kesedaran?

Antara jawapan yang dikemukan oleh Deschênes dan Currie (2016) termasuklah: kanak-kanak di negara yang membangun atau mempunyai institusi yang lemah akan menghadapi risiko dan impak terbesar perubahan iklim. Selain itu, generasi muda dan seterunysa kini bakal menyandang tanggungjawab kita untuk mengawal perubahan iklim dan pemanasan sejagat yang boleh memberi impak kepada komuniti global. Akhir sekali, fenomena perubahan iklim dan pemanasan sejagat ini juga boleh memberi impak kepada kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak yang ternyata lebih mudah terjejas berbanding golongan dewasa.

Kesimpulan

Sudah terang lagi bersuluh bahawa perubahan iklim dan pemanasan sejagat merupakan ancaman utama terhadap pulau-pulau yang dinyatakan di atas. Walau bagaimanapun, sebenarnya terdapat banyak pulau lagi yang tidak ditulis di dalam artikel ini yang juga diancam ditenggalami laut. Selain itu, kajian-kajian lain juga telah menjelaskan bahawa negara-negara yang mempunyai persisiran pantai juga akan terjejas oleh perubahan iklim dan pemanasan sejagat. Dianggarkan beberapa kota-kota besar seperti Osaka, Hong Kong, Shangai, Rio de Janeiro, Miami dan lain-lain akan diancam oleh kenaikan paras laut dan mungkin akan ditenggelami laut pada satu hari nanti (Holder, Kommenda dan Watts 2017). Persoalannya, selepas termeterainya Perjanjian Paris pada tahun 2015, adakah akan adanya lagi satu rancangan besar untuk menangani perubahan iklim dan pemanasan sejagat sekiranya keadaan menjadi semakin kritikal?

Rujukan

AJ+ (2014) Kiribati: The Islands Being Destroyed By Climate Change [online] available from < https://youtu.be/9P7jXveokDY> [10 May 2017]

AJ+ (2016) The Death Of The Great Barrier Reef [online] available from <https://www.youtube.com/watch?v=cZDHMNTWGWQ> [10 May 2017]

Deschênes, O. and Currie, J. (2016) ‘Children and Climate Change: Introducing the Issue’ The Future of Children [online] 26 (1) 1-182. available from <https://futureofchildren.princeton.edu/> [31 August 2018]

De Silva, J. (2016) ‘GM: Reduce tourists, save our corals’ The Star [online] 5 March 2016.  available from <https://www.thestar.com.my/news/nation/2016/03/05/gm-reduce-tourist-save-our-corals/> [10 May 2017]

Department of the Environment and Energy (2015) What Australia is doing to manage the Great Barrier Reef. Queensland: Department of the Environment and Energy

Great Barrier Reef Marine Park Authority (2014) Great Barrier Reef: Outlook Report 2014. Queensland: Australian Government

Holder, J., Kommenda, N., Watts, J. (2017) ‘The three-degree world: the cities that will be drowned by global warming’. The Guardian [online] 3 November 2017. available from <https://www.theguardian.com/cities/ng-interactive/2017/nov/03/three-degree-world-cities-drowned-global-warming> [1 September 2018]

MalayMail (2017) ‘Govt aims to introduce environmental education in 2019’. MalayMail [online] 12 September 2017. available from <https://www.malaymail.com/s/1463243/govt-aims-to-introduce-environmental-education-from-2019> [31 August 2018]

Mimura, N. (1999) Vulnerability of island countries in the South Pacific to sea level rise and climate change [online] 12, 137-143.  available from < https://www.int-res.com/> [28 August 2018]

Mooney, C. (2018) ‘Antarctic ice loss has tripled in a decade. If that continues, we are in serious trouble’.  The Washington Post [online] 13 June 2018. available from < https://www.washingtonpost.com/news/energy-environment/wp/2018/06/13/antarctic-ice-loss-has-tripled-in-a-decade-if-that-continues-we-are-in-serious-trouble/?utm_term=.6f27c2f110d0> [31 August 2018]

National Geographic (2016) Fishing With Dynamite Is Harmful—Why Does It Persist? [online] available from <https://www.youtube.com/watch?v=1Y_8x4TGm3A> [10 May 2017]

Reef Check Malaysia (2016) Status of Coral Reefs in Malaysia, 2016. Kuala Lumpur: Reef Check Malaysia

Science Alert (2012) How dredging affects corals [online] available from <https://www.sciencealert.com/offshore-dredging-severely-impacts-coral-reefs> [10 May 2017]

Schmidle, N. (2009) ‘Wanted: A New Home for My Country’. The New York Times [online] 8 May 2009. available from <https://www.nytimes.com/2009/05/10/magazine/10MALDIVES-t.html> [29 August 2018]

Sheridan, K. (2017) US scientists raise bar for sea level by 2100 [online] available from < https://phys.org/news/2017-01-scientists-bar-sea.html> [10 May 2017]

Sustainability (n.d) Countries At Risk Of Dissapearing Due To Climate Change [online] available from <https://www.activesustainability.com/climate-change/countries-risk-disappearing-climate-change/> [10 May 2017]

The Guardian (2016) ‘Five Pacific islands lost to rising seas as climate change hits’. The Guardian [online] 10 May 2016. available from <https://www.theguardian.com/environment/2016/may/10/five-pacific-islands-lost-rising-seas-climate-change> [10 May 2017]

Vox (2017) How dead is the Great Barrier Reef? [online] available from <https://www.youtube.com/watch?v=BO44JlAElXM> [10 May 2017]

Bibliografi

Department of Environment (2007) Environmental Impact Assessments: Procedure And Requirements In Malaysia. Putrajaya: Ministry of Natural Resources and Environment

National Ocean Service (n.d) What is coral bleaching? [online] available from <https://oceanservice.noaa.gov/facts/coral_bleach.html> [27 August 2018]

Davies, P., Francais, P., Wyatt, T. (2014) Invisible Crimes and Social Harms. Basingstoke: Palgrave Macmillan.

SAYS Malaysia (2016) ‘Some Tourists Are Destroying Malaysia’s Corals And Nothing Is Being Done About It’ Says Malaysia [online] 11 October 2016. available from <https://says.com/my/news/tourists-posing-with-endangered-corals-on-a-beach-in-malaysia> [10 May 2017]


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.