Puak Sentinel: Terasing dan Terancam

13

Beberapa minggu lalu, dunia dikejutkan oleh berita kematian seorang mubaligh Kristian daripada Amerika Syarikat, John Allen Chau yang maut apabila beliau cuba memasuki Pulau Sentinel Utara untuk menyebarkan agama Kristian kepada penduduk pulau tersebut. Chau dipercayai dipanah setelah dibawa ke pulau berkenaan oleh sekumpulan nelayan yang diupahnya. Catatan diari Chau antaranya berbunyi “Lord, is this island Satan’s last stronghold where none have heard or even had the chance to hear your name?”

PUAK SENTINEL: KAUM PRIMITIF TERAKHIR DUNIA?

Pulau Sentinel Utara merupakan salah satu pulau kecil daripada Kepulauan Andaman yang mempunyai sekitar lebih 570 buah pulau. Kebanyakan daripada pulau-pulau ini terletak di bawah jajahan negara India, termasuk Pulau Sentinel Utara.

Adalah dipercayai bahawa puak Sentinel yang mendiami Pulau Sentinel Utara adalah keturunan daripada manusia yang berasal dari Afrika yang berhijrah ke Kepulauan Andaman sekitar 60 ribu tahun lalu. Faktor lokasi Pulau Sentinel Utara yang terpencil menyebabkan mereka terasing daripada dunia luar. Terdapat interaksi yang berlaku  tetapi ianya masih belum cukup untuk meyakinkan puak Sentinel untuk mengubah cara hidup mereka.

Tahap primitif puak Sentinel adalah dipercayai amat ketara, di mana dikatakan bahawa mereka masih belum mampu mencipta api. Jumlah mereka berkemungkinan tidak lebih daripada 50 orang.

Dikatakan bahawa penjajah British pernah cuba berinteraksi dengan puak Sentinel pada penghujung abad ke-19 tetapi ianya berakhir dengan kematian beberapa orang daripada puak tersebut. Pengalaman ini dipercayai menyebabkan puak Sentinel sangat agresif terhadap orang luar hinggakan mereka menyerang sesiapa saja yang dianggap ancaman, termasuk nelayan yang pernah memasuki kawasan Sentinel dan kelasi yang terdampar.

Menurut Survival International – sebuah badan yang berperanan melindungi puak-puak yang masih terpisah daripada modenisasi, puak Sentinel berisiko pupus sekiranya berinteraksi dengan dunia luar. Ini adalah kerana pengasingan ekstrem yang diamalkan mereka sejak sekian lama menyebabkan mereka mudah dijangkiti penyakit ekoran ketiadaan imunisasi seperti manusia lain. Kerajaan India juga telah melarang sesiapa daripada memasuki Pulau Sentinel Utara. Peristiwa pembunuhan John Allen Chau dikhuatiri bakal menarik lebih ramai orang untuk mendekati pulau tersebut meskipun dengan larangan yang telah dikenakan.

PUAK JARAWA DAN KEPUPUSAN PUAK TERPENCIL

Proses asimilasi pernah cuba dilaksanakan ke atas puak terpencil lain sebelum ini, antaranya terhadap puak Jarawa yang juga mendiami Kepulauan Andaman. Seperti puak Sentinel, puak Jarawa juga mengasingkan diri sebelum ini dan agresif terhadap orang luar. Pada sekitar penghujung 1990-an, puak Jarawa mula berinteraksi dengan dunia luar. Walau bagaimana pun, bukan sahaja mereka berdepan kesukaran menyesuaikan diri, malahan berlaku banyak kes eksploitasi ke atas puak Jarawa oleh penduduk tempatan dan juga pelancong.

Di Peru, puak Nahua kehilangan separuh daripada seluruh populasi mereka sebaik berlaku interaksi dengan dunia luar. Pada awal abad ke-20, puak Nambikwara di hutan Brazil yang asalnya berjumlah sekitar 5,000 orang berkurangan hingga lebih 500 orang sahaja. Adalah didapati bahawa kematian sebahagian besar populasi Nambikwara ini sekadar berpunca daripada penyakit biasa seperti selesema.

Perkara ini dikhuatiri turut berlaku ke atas puak Sentinel dan sekitar 100 lagi puak terpencil yang wujud di seluruh dunia ketika ini. Survival International memaklumkan bahawa selain daripada di kepulauan Andaman, kebanyakan puak terpencil ini berada di Bolivia, Brazil, Paraguay dan Peru. Terdapat juga puak sedemikian di benua Afrika yang memilih untuk terus terasing daripada dunia luar.

Kematian Chau menimbulkan pertembungan pendapat berkaitan sama ada puak-puak terpencil ini wajar dibiarkan terus hidup dengan cara mereka, atau pun dipaksa untuk menjadi sebahagian daripada tamadun manusia moden? Puak Sentinel diketahui memang telah lama menyedari kewujudan dunia sekeliling, tetapi tindakan mengasingkan diri adalah pilihan mereka sendiri.

Berdasarkan impak negatif yang terjadi akibat kolonialisme, banyak pihak berpandangan bahawa keputusan puak-puak terpencil ini untuk menjauhkan diri daripada dunia luar harus dihormati. Selama ratusan tahun, kuasa-kuasa kolonial dari Barat bukan sahaja menjarah hasil bumi tanah yang dijajah. Malah mereka memperhambakan penduduk tempatan dan menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk maju. Bahasa dan kebudayaan sesetengah komuniti yang dijajah hilang sama sekali bersama dengan komuniti tersebut.

Sekiranya kita melihat motivasi Chau yang begitu berkeyakinan tinggi dapat menyebarkan ajaran Kristian di kalangan puak Sentinel, seolah-olah terdapat Messianic complex yang mendorong beliau untuk menjejaki kepulauan Andaman. Ini mencetuskan persoalan sama ada puak Sentinel perlu “diselamatkan” seperti mana disangka oleh Chau. Apabila melihat segala kemusnahan yang kian menjadi-jadi di dunia, ianya lebih menimbulkan tanda tanya berhubung siapa yang sebenarnya perlu diselamatkan.

RUJUKAN

Diary reveals terror of John Allen Chau, US Christian killed by tribe. (2018, November 23). Retrieved December 3, 2018, from https://www.scmp.com/news/asia/south-asia/article/2174585/selfless-idealist-or-foolish-adventurer-who-was-john-allen-chau

Mazower, J. (2018, November 30). Why Uncontacted Tribes Like Sentinelese Should Be Left Alone. Retrieved December 3, 2018, from http://time.com/5466416/survival-international-india-sentinelese-john-allen-chau

Kluger, J. (2015, June 04). Uncontacted Tribes: Should We Leave Them Alone? Retrieved December 3, 218 ffrom http://time.com/3909470/tribes-uncontacted-ethics/ 

Gupta, K. (2018, November 26). Here’s Everything About The Sentinelese- ‘Uncontacted Tribe’ Living In Andaman & Nicobar Island.  Retrieved December 4, 2018, from https://www.indiatimes.com/news/india/here-s-everything-about-the-sentinelese-uncontacted-tribe-living-in-andaman-nicobar-island-357198.html

Artikel sumbangan Muhammad Ibn Nur untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.