Protes Sebab Wassap Kena Cukai

751

Rasanya ramai sedang mengikuti perkembangan protes besar-besaran di Lubnan (Lebanon) bermula 17 Oktober lepas, yang dikatakan berpunca daripada cadangan kerajaan nak kutip cukai Whatsapp $0.20 USD sehari (lebih kurang 80 sen lah).

Apesal kerajaan rakus sangat Whatsapp pun nak caj? Sebab, pada April tahun lepas, PM Saad Hariri dapat pinjaman $11 billion daripada peminjam antarabangsa seperti Bank Dunia untuk membangunkan ekonomi Lubnan. Tapi pinjaman ada syarat iaitu kena kurangkan defisit belanjawan sebanyak 5% dalam 5 tahun. Jadi kerajaan terpaksa melaksanakan dasar “austerity” (kurangkan perbelanjaan, naikkan cukai).

Jadi cukai Whatsapp (yang juga dikenakan ke atas apps voice call lain) ni sebahagian daripada austerity plan. Tapi ekonomi Lubnan dah tak berapa bagus, jadi cukai ni akhirnya triggered kemarahan orang ramai terutamanya orang muda. Walaupun Hariri tarik balik cukai tersebut dan kata “okay tak per, kami potong gaji kami, jangan marah-marah” pun tak guna, sekarang protester nak kerajaan resign semua.

Sebenarnya tak ada apa yang menarik sangat pun, lebih kepada isu “bread and butter”. Macam kat Chile pun tengah protes pasal kenaikan harga Metro (bukan surat khabar, nama MRT diorang), kat Ecuador rakyat merusuh bantah penghapusan subsidi minyak. Tak macam protes di Hong Kong dan Catalonia yang melibatkan politik identiti.

Tapi ramai juga protester Lubnan anggap masalah ekonomi Lubnan berpunca daripada sistem politik “confessionalism” yang diamalkan selama ni.

Lubnan ni sebuah negara multi-etnik yang “deeply divided”. Secara kasar, populasi Lubnan boleh dibahagi kepada penganut Kristian (40%), Muslim (54%) dan Druze (5%). Muslim anggap diorang sebagai orang “Arab”, Kristian pula lebih cenderung melihat diri sebagai keturunan “Phoenician” yang membina bandar Tyre dan Sidon seperti yang diceritakan dalam Bible.

Kalau nak dibahagikan lagi, Kristian terdiri daripada Maronite Catholic (21%), Greek Orthodox (8%), Greek Catholic (5%), Armenian Catholic, Armenian Orthodox dan lain-lain. Muslim pula merangkumi Sunni (27%) dan Syiah (27%). Druze ni asal Syiah Ismailiyah tapi dah sesat jauh, tapi masih diambil kira sebagai Muslim dalam sifir politik Lubnan.

Setiap kaum ni sangsi sesama sendiri, dan masing-masing ada parti politik yang memperjuangkan kepentingan masing-masing. Maronite ada parti Free Patriotic Movement, Lebanese Forces, Kataeb, Marada. Sunni ada Future Movement (dipimpin oleh Hariri) dan Azm Movement. Syiah ada Hezbollah dan Harakat Amal. Druze ada Progressive Socialist Party dan Lebanese Democratic Party.

Demografi yang rumit menyukarkan pembinaan negara Lubnan sejak kemerdekaannya daripada Perancis pada tahun 1943. Jadi, dari hari pertama lagi Lubnan mengamalkan sistem pembahagian kuasa di mana jawatan Presiden akan diberi kepada Maronite, PM diberi kepada Sunni, dan Speaker Parlimen diberi kepada Syiah. Kalau nak detailed lagi, Maronite juga pegang tentera, Greek Orthodox jadi Timbalan PM dan Timbalan Speaker. Sampai tahap tu sekali.

Bukan saja jawatan, malah kerusi parlimen pun dibahagi ikut nisbah 6:5. Daripada 99 kerusi, 54 bagi kat Kristian (Maronite 20, Greek Orthodox 11, Greek Catholic 6, Armenian Orthodox 4, Armenian Catholic 1, Protestant 1, “Lain-Lain” 1), 45 bagi kat Muslim (Sunni 20, Syiah 19, Druze 6). Rigid, tapi formula itu juga memelihara keamanan dan kemakmuran Lubnan bagi at least 20 tahun yang pertama.

Keadaan berubah memasuki 1970-an, apabila populasi Muslim semakin meningkat, dari 40% jadi 75%. Kebanyakannya dari pelarian Palestin yang dihalau keluar dari Jordan. Jadi Muslim minta lebih banyak kuasa, membuat Kristian rasa terancam, maka meletus lah Perang Saudara Lubnan. Ia jadi semakin parah dengan campur tangan kuasa asing: Syria, Israel dan Iran masing-masing nak guna “faction” dalam perang ni untuk kepentingan geopolitiknya.

Lepas 15 tahun dan mengorbankan 150,000 nyawa, akhirnya kesemua faction menandantangani perjanjian perdamaian di Taif, Arab Saudi pada 22 Oktober 1989 untuk menamatkan Perang Saudara Lubnan. Agak ironik protest kali ini berlaku pada ulang tahun ke-30 Perjanjian Taif.

Nisbah 6:5 ditukar jadi 5:5. Dari tahun 1990-2005, keadaan masih stabil. Tapi sejak 2005, hubungan antara Kristian, Sunni dan Syiah mula nampak tak balance. Krisis demi krisis politik menyebabkan kerajaan hampir tak berfungsi, macam di Iraq juga.

Selepas PRU tahun lepas, Hariri mengambil masa 9 bulan baru dapat menubuhkan kerajaan akibat ada krisis antara Hariri dan puak Syiah (Hezbollah dan Amal) yang menjadi majoriti selepas PRU. Hariri ada hubungan yang bagus dengan Saudi, jadi Lubnan pun tempias dengan perseteruan Saudi-Iran.

Disebabkan populasi Syiah bertumpu di selatan, bersempadanan dengan Israel, peningkatan pengaruh Syiah dalam politik Lubnan membuat Israel tak dapat duduk diam, selalu exchange fire dengan Hezbollah.

In case korang tak tau, Malaysia ada hantar batalion tentera (MALBAT-850) untuk menyertai misi pengaman (peacekeeper) United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) selepas gencatan senjata Israel-Hezbollah tahun 2006.

Adakah protes kali ini akan merumitkan lagi hubungan etnik di Lubnan, atau ia akan membuka bab baharu sejarah negara, atau sekadar suam kuku? Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.