Ramai berangan nak jadi perisik hebat seperti yang dipaparkan di layar perak. Cakaplah siapa yang nak ditiru, nama-nama ini amat popular di hati ramai. Kita sudah biasa dengan Ethan Hunt (Mission: Impossible), Jason Bourne (siri filem Bourne) dan James Bond (siri filem Bond). Bagi agensi-agensi perisikan, filem-filem sebegini sememangnya membantu memberi publisiti percuma kepada mereka. Tetapi pada masa sama, ia turut menyukarkan usaha merekrut mana-mana individu yang mahu menjadi perisik.

Untuk menjadi perisik bagi sesebuah negara bukanlah sesuatu yang mudah. Pertama sekali, seseorang itu merupakan warganegara sesebuah negara dan mempunyai ibu atau bapa yang ada kerakyatan sama seperti yang ditetapkan dalam syarat proses pengambilan perisik bagi Perkhidmatan Perisikan Rahsia (SIS/MI6). Jika ada calon yang gagal dari aspek ini, mereka akan disingkirkan dan bukan sedikit yang gagal akibat syarat ketat ini. Mungkin ada yang menganggap syarat sebegini sebagai keras dan tidak bertimbang rasa. Tetapi bagi penggubal syarat ini, ini bagi memastikan mana-mana individu yang diambil benar-benar setia kepada negara. Ketika ini, wujud usaha untuk melonggarkan syarat berkenaan di Britain bagi membolehkan MI6 dan agensi keselamatan dalam negeri MI5 merekrut lebih ramai warga Britain dari pelbagai latar belakang bangsa, negara atau agama.

Kedua, proses perekrutan hampir sama dengan proses perekrutan yang dijalankan oleh syarikat-syarikat besar. Bekas pegawai operasi CIA Zachary Wyatt mendedahkan CIA melakukan perkara sama dilakukan majikan di luar sana dengan mencari ciri-ciri seperti kemahiran komunikasi yang baik, integriti, cekap bertindak, bijak menilai situasi, bijak menggunakan logik akal dan pastinya semangat patriotisme itu sendiri. Semua ciri ini amat digemari perekrut kerana menunjukkan bukan saja latar belakang calon tetapi juga mendedahkan kemahiran mental dan fizikal mereka untuk melihat sama ada mereka sesuai atau tidak berada dalam agensi.

Ketiga, usah tertipu dengan aura yang dibawa ejen-ejen fiksyen layar perak seperti Bond, Bourne dan Hunt. Hakikatnya, agensi-agensi perisikan bukan saja mencari individu-individu untuk menjadi pegawai kes (nama lain bagi perisik atau ejen) tetapi juga untuk jawatan-jawatan penting lain dalam agensi. CIA misalnya mencari individu yang fasih bertutur dalam pelbagai bahasa sebagai pengajar bahasa kepada pegawai-pegawai mereka. Mereka juga turut merekrut pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu bagi membantu agensi menangani ancaman-ancaman hari ini seperti serangan siber dan perang saraf.

Dan bagi mematikan terus ilusi bahawa orang seperti yang dinyatakan di atas boleh menjadi perisik, hayati komen ketua MI6 Alex Younger berkenaan Bond. Dalam satu temubualnya bersama akhbar The Guardian, Younger berkata, “Orang yang bersikap cuai dan tidak bermoral seperti Bond tidak akan dialu-alukan menyertai MI6.” Walaupun mengakui tarikan yang dibawa siri filem berkenaan sehingga mempopularkan nama akronim agensi berkenaan, itu tidak bermakna standard pegawai yang dimahukan mereka sama seperti dipaparkan dalam filem Bond. Younger menambah, “Sudah terlalu lama – berkemungkinan kerana stereotaip fiksyen yang saya sebutkan, orang merasakan satu-satunya kualiti yang mendefinisikan seorang pegawai MI6 sama ada berkelulusan dari Oxbridge atau mahir dalam seni mempertahankan diri. Hakikatnya, semua itu tidak benar. Setahu saya, tidak wujud sama sekali pegawai standard MI6.”

Apa yang dibangkitkan Younger ini bukanlah yang pertama. Sentimen bahawasanya agensi-agensi perisikan perlu mempunyai kelainan dari segi keanggotaan turut dikongsi oleh rakan sejawatnya di MI5 dan GCHQ (agensi pengumpulan maklumat perisikan berbentuk isyarat Britain) yang melihat ia sebagai satu keperluan dalam menangani pelbagai ancaman yang wujud hari ini. Sentimen ini turut dikongsi oleh beberapa pegawai CIA yang melihat ini sebagai satu evolusi dalam dunia yang dianggap bayang-bayang oleh pihak di luar sana. Jika tidak, mengapa pada tahun ini, Amerika Syarikat memecah tradisi dengan melantik Gina Haspel sebagai pengarah baru mereka menggantikan Mike Pompeo yang dilantik menggantikan Rex Tillerson sebagai Setiausaha Negara Amerika. Seorang pegawai CIA yang menyamar bernama Mary mendedahkan sebelum serangan 11 September 2001, dia merasakan dia merupakan sebahagian kecil daripada beberapa pegawai yang bukan lelaki dan berketurunan Caucasia yang berada di Langley ketika itu. Kini, bilangan wanita yang menyertai agensi juga semakin ramai dan bilangan individu yang datang dari pelbagai latar belakang turut bertambah.

Mary yang boleh bertutur beberapa bahasa dan sudah menghabiskan masa sebanyak 20 tahun di tempat-tempat bergolak (masih dirahsiakan atas sebab keselamatan) bercerita pengalamannya. Dia berkata, “Saya sedang menjalani latihan (latihan perisikan di The Farm) semasa serangan 11 September berlaku dan ia merupakan satu kejutan kepada kelas saya bahawa kami tidak akan berseronok di Paris seperti dibayangkan. Tetapi itu bermakna pergi ke tempat-tempat yang dianggap merbahaya.” Tugasnya sebagai pegawai yang menyamar untuk tempoh masa lama memerlukan dia untuk melakukan pelbagai pengorbanan dan mengehadkan apa yang boleh dan tidak boleh berkenaan aspek kehidupannya. Mary menambah, “CIA menggalakkan anda mengehadkan bilangan orang yang boleh dipercayai dan boleh diberitahu tentang tugas anda seperti ahli keluarga atau beberapa kawan rapat. Tetapi saya memilih untuk tidak memberitahu sebahagian besar tugas saya kepada keluarga kerana mereka bimbang.”

Walaupun mereka amat berahsia tentang peranan dan tugas mereka, CIA tidak pula merasa segan melancarkan kempen merekrut individu sebagai pegawai perisikan mereka terutama di sekolah-sekolah dan universiti-universiti. Pada Disember 2017, semasa berucap pada satu persidangan, Pompeo berkata, “CIA-dot-gov ialah tempat di mana anda harus memohon. Kami sentiasa mencari lelaki dan wanita yang berkemahiran.” Tetapi berbeza pada tahun 70-an dan 80-an, kehadiran CIA di universiti-universiti tidak dialu-alukan oleh ramai pelajar. Bagi yang tertanya-tanya mengapa sentimen ini wujud, jawapannya ialah Watergate dan skandal Iran-Contra. Dua skandal ini bukan saja mencetuskan keributan dalam kalangan rakyat Amerika tetapi juga menconteng arang pada maruah CIA. Kini, boleh dikatakan ramai menunjuk minat dan ada juga yang memohon menyertai agensi setiap kali mereka berada di universiti-universiti dan pesta komuniti.

Bagi MI6 pula, untuk keluar dari bayangan Bond yang dilihat menjejaskan usaha merekrut pegawai kes baru, mereka turut melakar kejutan dengan mengeluarkan iklan televisyen mereka di saluran Channel 4. Iklan ini menggunakan imej bayang-bayang Bond tetapi mengubahnya kepada imej bayang-bayang seorang ibu menenangkan anaknya. Iklan sebegini merupakan iklan pertama ditayangkan di televisyen tetapi pernah diaplikasikan di pawagam beberapa tahun sebelumnya. Semasa ditemubual ketika sesi pra-tonton iklan berkenaan di Vauxhall (markas operasi MI6), Younger berharap iklan ini membantu memadamkan mitos pegawai standard MI6 dan menambah bilangan ejen dan pegawai menyertai mereka. Berdasarkan data 2016, MI6 mengalami ketidakseimbangan dari segi gender di mana dari 2,500 pegawai dan ejen, 38% sahaja terdiri daripada wanita dan mengisi jawatan-jawatan senior. Dan dari jumlah sama, hanya 7% saja yang mempunyai latar belakang Asia, berkulit hitam yang menjadi pegawai dan kumpulan ini tidak diwakili dalam kepimpinan teratas.

Dan sedikit amaran kepada yang berangan nak jadi perisik tetapi tak dapat kawal diri di laman sosial. Berikut beberapa tips yang dikongsikan ketua pengambilan CIA Ron Patrick:

1. Tidak tekan butang ‘like’ pada laman media sosial rasmi agensi atau nyatakan minat secara terbuka menyertai Agensi. Alasannya ialah ia boleh saja memakan diri pada masa akan datang lebih-lebih lagi sekiranya ditugaskan di kawasan-kawasan bergolak.

2. Kekalkan kewujudan dalam laman media sosial. Menurut Patrick, ia amat membantu melaksanakan misi dan objektif CIA kerana kebanyakan sasaran atau orang tumpuan banyak berada di laman media sosial.

3. Jangan umum hasil temuduga. Menurut Patrick, dalam sesetengah kes, mereka terpaksa menolak sesetengah calon kerana tidak dapat mengawal keghairahan mereka berkongsi perkara berkenaan di media sosial. Beliau menambah, perkara ini amat berkait dengan soal integriti dan kepercayaan. Jika mereka boleh saja berkongsikan perkara ini walaupun ditegah, maka sukarlah bagi agensi mempunyai ejen yang mempunyai sifat mulut tempayan.

4. Jangan kongsikan tips perisikan. Perkara ini dilakukan oleh seorang calon yang berjaya menjadi ejen. Tetapi semua itu berubah bila penyiasat agensi yang curiga dengan latar belakangnya dan mahukan ejen itu menjalani sesi poligraf. Menurut Patrick, lelaki itu cuba menggunakan rangkaiannya untuk membantunya menewaskan poligraf. Sebaik perkara itu diketahui, lelaki tersebut dianggap tidak layak dan disingkirkan.

5. Jangan tag nama rakan perisik pada hantaran laman media sosial. Ia satu peraturan tidak bertulis CIA di mana jika ia dilakukan, ia berpotensi membocorkan samaran pegawai berkenaan dan memudahkan agensi perisikan asing mengesan mereka.

6. Bila sudah dilantik, jangan menghilangkan diri. Kekalkan kehadiran di laman media sosial kerana ia membantu mengekalkan samaran terutama semasa berada di khalayak.

SUMBER

1. MacAskill, Ewen. (2016). The Guardian. James Bond would not get job with real MI6, says spy chief. https://www.theguardian.com/uk-news/2016/dec/08/james-bond-would-not-get-job-with-real-mi6-says-spy-chief

2. MacAskill, Ewen. (2018). The Guardian. MI6 advert seeks to ditch ‘mythical’ James Bond image. https://www.theguardian.com/uk-news/2018/may/24/mi6-recruitment-advert-james-bond-image-shark-aquarium

3. Myre, Greg. (2018). NPR. CIA Recruiting: The Rare Topic The Spy Agency Likes To Talk About. https://www.npr.org/sections/parallels/2018/03/26/594909193/cia-recruiting-the-rare-topic-the-spy-agency-likes-to-talk-about

4. Rogers, Kate. (2018). CNBC.com. The CIA is hunting for its next generation of talent. https://www.cnbc.com/2018/04/05/the-cia-is-hunting-for-its-next-generation-of-talent.html

5. Pagliery, Jose. (2015). CNN. Want to be a CIA spy? Be careful on Facebook. https://money.cnn.com/2015/03/13/technology/security/cia-facebook-rules/index.html

6. Hopkins, Nick. (2017). The Guardian. What you really need to join MI6: emotional intelligence and a high IQ. https://www.theguardian.com/uk-news/2017/mar/02/mi6-tells-minorities-we-need-you-why-are-you-not-thinking-about-us


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.