Propaganda Berkembang Daripada Gereja Kepada Kuasa

0
365
views

Di zaman Yunani telah lahir para propagandis, seperti Plato, Corax, dan Aristotle, dan pada zaman Rom muncul pula ahli retorik seperti Livius Andronicus dan M. Tulius Cicero. Oleh sebab Empayar Rom yang sedang berkembang, maka propaganda jenis baharu muncul, iaitu pengembangan pengaruh agama.

Sekumpulan Hawari telah merantau ke beberapa tempat untuk mengajar agama dan menyebarkan ajaran Kristian. Cara mengajar seperti itu terbukti memberi kesan lansung yang sangat besar untuk kedua-duanya, iaitu melebarkan pengaruh dengan pendekatan agama. Sehingga kini pendekatan ini masih digunakan.

Pada akhir Zaman Pertengahan dan ketika Renaissance, kita menemui contoh propaganda bertujuan memujuk orang ramai supaya menyertai dan menyokong Perang Salib. Cerita kekejaman bagaimana orang Saracen memberikan layanan buruk kepada orang Kristian disebarluas. Propaganda kekejaman ini direka untuk merayu kesetiaan agama bertujuan melancarkan peperangan bersiri yang seterusnya.

Kisah tentang bangsa Philistines (suku Hun dan Vandal) dibesar-besarkan kekejamannya untuk menimbulkan kemarahan yang amat sangat sehingga membangkitkan semangat bangsa Eropah lain untuk mengalahkan suku bangsa tersebut.

Pada tanggapan umum, perkataan propaganda membayangkan sesuatu kegiatan yang meragukan atau yang menggunakan tipu helah, meskipun erti sebenarnya tidaklah sedemikian. Perkataan propaganda berasal daripada bahasa Latin, iaitu propagare yang bermaksud perluasan, penyebarluasan, pengembangan atau pemekaran.

Istilah propaganda berasal daripada nama Latin sebuah kumpulan kardinal Roman Katolik, iaitu Congregatio de Propaganda Fide (Jemaah Dakwah Kristian). Paus Gregory XV telah menubuhkan jawatankuasa ini dengan nama singkatan propaganda pada tahun 1622 bertujuan menyelia para mubaligh. Tugas jawatankuasa ini adalah untuk menyebarluas ajaran Gereja menerusi penggunaan mubaligh luar ke negara non Katolik.

Jabatan Pentadbiran Paus ini telah ditugaskan untuk menyebarkan agama Katolik di Itali dan mengawasi hal ehwal gereja dalam lingkungan wilayah mubaligh Kristian. Pada tahun 1627, Paus Urban VII menubuhkan Collegium Urbanum atau Kolej Propaganda yang menyediakan program latihan kepada para mubaligh Katolik untuk menyebarkan agama mereka.

Waqaf Saham

Propaganda secara tersusun bermula apabila para penulis berhadapan dengan Raja Louis XIV (1638 – 1715). Baginda memerintah Perancis selama lebih 72 tahun, satu tempoh yang paling lama jika dibandingkan dengan mana-mana raja Eropah. Bahkan baginda juga dijuluki sebagai Raja Matahari (Perancis: Le Roi Soleil) atau Louis yang Agung (Perancis: Le Grand Monarque).

Louis XIV telah meningkatkan kekuasaan Perancis di Eropah melalui tiga peperangan besar: Perang Perancis-Belanda (Franco-Dutch War), Perang Aliansi Besar (War of the Grand Alliance) dan Perang Rebut Takhta Sepanyol (War of the Spanish Succession) antara 1701-1714.

Pada tahun 1684, Gottfried Wilhelm Leibniz, ahli matematik dan ahli falsafah Jerman yang masyhur telah menulis risalah bertajuk ‘Mars Christianissimus (The Most Christian War-God)’. Penulisan ini yang diterjemah dari Bahasa Jerman merupakan kritikan satira terhadap Louis XIV terutama dasar-dasar agresif Perancis terhadap Empayar Rom.

Sebenarnya ramai penulis menggunakan nama samaran ketika berhadapan dengan kepimpinan Raja Matahari namun jika mereka menggunakan nama sebenar penulis itu bukanlah dikalangan ahli politik tetapi lebih dikenali dalam sumbangannya dalam matematik atau sastera seperti François-Paul de Lisola, seorang diplomat.

Pengarang risalah-risalah anti Louis XIV itu akhirnya bersatu dan bersetuju dengan gambaran negatif keseluruhan gaya kepimpinan Raja Matahari ditandai dengan penganiayaan dan penindasan. Kerajaan ini mesti ditolak kerana kekejamannya dan memunculkan imej kepimpinan yang ideal seperti François Fénelon.

Perancis merupakan negara tempat propaganda berkembang. Revolusi Perancis (1789–1799) mencipta senjata propaganda baharu, iaitu lagu revolusioner. “Marseillaise” (lagu kebangsaan Perancis), liriknya ditulis sarat dengan mesej propaganda. Lagu ini digubah pada tahun 1792 sebaik-baik sahaja selepas Perancis mengisytiharkan perang terhadap Austria. Impaknya terhadap pasukan tentera Perancis yang patah semangat kelihatan amat besar. Seorang jeneral Perancis dipetik sebagai berkata, “Berikan saya 1000 orang dan ‘Marseillaise’ dan saya akan jamin kemenangan”.

Perincian propaganda di Perancis adalah tidak lengkap jika tidak menghurai berkaitan Napoleon Bonaparte. Bagaimana propaganda beliau sehingga menjadi Maharaja Perancis yang paling terkenal?

Budiman Mohd Zohdi, penyelidik komunikasi dan politik berpusat di Jakarta, Indonesia

Previous articleAllahyarham Sarjan Rosdi Anggota MALBATT V Dalam Kenangan
Next articleFalsafah “Aku Adalah Segala-galanya.”
Budiman Mohd Zohdi adalah seorang ahli politik dan aktivis masyarakat Malaysia. Menekuni komuniti lawan miskin, memandaikan bangsa dan praktis berkongsi ekonomi. Beliau merupakan penyelidik komunikasi dan kempen politik berpusat di Jakarta, Indonesia.
SHARE