Projek Mega Mahu Menukarkan Tanah Gersang Afrika Menjadi Hutan Amazon

1,337

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

The Great Green Wall of Africa, merupakan sebuah pelan mega pemulihan tanah sejauh 7000km, dari negara Senegal di barat Afrika hingga ke Djibouti yang nun jauh di timur Afrika. Pelan ini dibangunkan atas dasar memerangi kemarau dan penggurunan tanah di Afrika yang melibatkan hampir 45% tanah di benua Afrika yang terkesan.

Pelan ini sebenarnya telah lama dikemukakan. Pelan ini merupakan inisiatif bersama antara dua bekas pemimpin besar negara Nigeria dan Senegal, sejak 13 tahun. Dalam keindahan usaha murni ini, sering kali juga projek ini menghadapi kesukaran untuk mencapai matlamat asalnya.

Dianggarkan kurang daripada satu per lima daripada kawasan yang dirancang, berjaya dipulihkan. Bagi mereka, ini bukanlah suatu petanda yang baik bagi perkembangan projek mega ini.

Projek ini tidaklah mendapat sambutan yang menggalakkan dari para pemimpin lain di benua Afrika semasa di awal perlaksanaannya. Dari sudut  pandang African Union pada waktu itu, pelan ini bukanlah suatu keutamaan di benua tersebut.

Untuk pengetahuan pembaca, projek mega ini juga menerima dana dari komuniti antarabangsa. Mutakhir ini mendapati bahawa terdapat kelompok dari para penyumbang ini, yang mula enggan untuk  terus menyumbang dan memberikan dana. Perkara ini sekaligus membantutkan perkembangan projek.

Hakikatnya, usaha ini memerlukan kerjasama yang utuh dan kesepakatan antara sesama kementerian di sesebuah negara yang terlibat. Projek ini bertambah sukar apabila melibatkan dua ‘gergasi’ yang mempengaruhi kejayaan projek ini- Arican Union dan komuniti penyumbang antarabangsa.

Oleh sebab itu, fokus utama projek ini telah pun dikembangkan dari kaedah asal pelaksanaan projek ini-penghutanan semula.   Antara kaedah baru yang dikemuka ialah membina rizab alam semula jadi dan taman-taman komuniti. Walaubagaimanapun, penambahan cabang pelaksanaan ini telah membuatkan pelan  ini bertambah kompleks.

Win-Win Situation

Menurut laporan dari United Nations Convention to Combat Desetification (UNCCD) , terdapat 11 buah negara disepanjang kawasan ‘tembok hijau’ ini, telah berjaya memulihkan hampir 4 juta hektar tanah dan mewujudkan hampir 350 000 peluang pekerjaan.

Laporan ini juga mengesahkan bahawa terdapat lebih 21 buah negara di benua Afrika sangat komited untuk memulihkan semula hampir 100 juta hektar tanah gersang dan tandus sebelum tahun 2030. Projek ini sekaligus memanfaatkan ekonomi negara-negara yang terlibat dengan mewujudkan hampir 10 juta peluang pekerjaan.

Perlu diingatkan juga mengenai kos projek ini. Para penyumbang dan pihak kerajaan yang terlibat perlu menyediakan perbelanjaan yang mencecah hingga 4.3 bilion dollar setiap tahun bagi 10 tahun mendatang sekiranya mahu melihat matlamat 100 juta hektar tanah ini, subur dan menghijau dapat direalisasikan.

Laporan UNCCD ini juga mencadangkan agar sebuah badan dana amanah diwujudkan. Hal ini demi melancar dan memurnikan lagi pendanaan terhadap projek ini. Itupun kalau mereka bersetuju- penyumbang antarabangsa dan African Union.

Projek mega ini dilihat sangat penting bagi warga Afrika kerana mereka sangat bergantung  kepada sumber pertanian dan ternakan. Tambahan, perubahan iklim yang dijangka akan meningkat sehingga 3-6 darjah Celcius diakhir abad ini dan juga lebih banyak cuaca ekstrem akan berlaku sekaligus memeberi kesan terhadap hasil tanaman penduduk tempatan. Maka, projek tembok hijau inilah, menjadi solusi terbaik bagi seluruh warga benua Afrika.

Tumbuhan Mampu Berdikarilah

Idea yang timbul mengenai penghutanan semula, sudah pastinya menanam pokok. Namun, berbeza pula pandangan bagi beberapa ahli ekologi. Kelompok ini berpendapat, langkah terbaik untuk penghutanan semula adalah dengan membiarkan tumbuh-tumbuhan ini mekar dan membiak dengan sendirinya. Gambaran mudah, seperti lalang-lalang yang ada di halaman rumah-rumah kosong-tumbuhan itu sendiri yang membina ekosistemnya sendiri dan berkongsi dengan haiwan-haiwan yang lain.

Pada tahun 1980an, dua ahli biologi dari University of Pennsylvania, Daniel Janzen  dan Winnie Hallwachs telah melaksanakan pelan penghutanan semula di sebuah taman negara kecil di Costa Rica. Pada awalnya, kawasan tersebut merupakan sebuah ladang ternak. Ladang ini sebenarnya telah terbakar dengan sendirinya semasa musim kemarau.

Mereka berdua bersama-sama pihak kerajaan dan penduduk tempatan, telah berusaha memadamkan kebakaran tersebut dan memelihara tanah tersebut. Kawasan tanah ini yang menyerupai seakan-akan savana Afrika, telah menjadi hutan tropika yang dipenuhi dengan pokok-pokok seperti Samanea saman, guanacaste (Enterolobium cyclocarpum), hog plums (Spondias mombin) dan juga lain-lain tumbuhan.

Hari ini, kawasan tanah yang seluas 100 000 hektar ini, telah pun diiktiraf sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia. Kawasan ini dinamakan sebagai Guanacaste Conservation Area.  Kawasan ini dianggap sebagai salah satu contoh yang terbaik untuk rujukan mengenai regenerasi alam semula jadi. Walaubagaimanapun, regenerasi ini tidaklah mampu dilaksanakan di beberapa kawasan atas faktor nutrien tanah yang kurang.

Walau apapun, lalang depan rumah tu, seeloknya ditebas. Tanamlah satu, dua pokok dalam pasu dan letakkan di halaman depan atau belakang rumah. Bertambahlah seri rumah kalian. setidak-tidaknya tiadalah nampak seperti rumah terbiar. Pesanan terakhir, sayangilah alam, sayangi diri.

RUJUKAN:

Get Africa’s Great Green Wall back on track. (2020, November 04). Retrieved November 10, 2020, from https://www.nature.com/articles/d41586-020-03080-z

Cernansky, R. (2018, August 29). How to plant a trillion trees. Retrieved November 10, 2020, from https://www.nature.com/articles/d41586-018-06031-x

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.