Profesor Emeritus Khoo Kay Kim – Sejarawan Negara Terbilang

477

Negara dikejutkan dengan pemergian tokoh ilmuan dan figura bidang sejarah yang dihormati ramai Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim pada 28 Mei 2019. Mungkin bagi khalayak awam, nama yang dinyatakan ini bersifat biasa-biasa. Tetapi bagi pencinta ilmu terutama ilmu sejarah, beliau amat dihormati kerana banyak melontar pandangan yang bernas dan jujur dalam pelbagai isu walaupun kadangkala ia mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah pihak. Tetapi ketokohan Prof Kay Kim menjadikannya sebagai figura dihormati dalam dunia ilmu negara ini.

Anak jati Kampar, Perak ini dilahirkan pada 28 Mac 1937 dan datang dari keluarga Cina Peranakan. Semasa kecilnya, beliau tidak kekok bergaul dengan rakan-rakan yang datang dari pelbagai latar belakang kaum dan agama, satu perkara yang memberi impak kepada usaha kerjanya sebagai cendekiawan sejarah negara untuk tahun-tahun kemudian. Prof Kay Kim mendapat pendidikan rendah di Sekolah Methodist Anglo-Chinese di Teluk Intan (ketika itu dikenali sebagai Teluk Anson) sebelum menyambung pendidikan menengah di St. Michael’s Institution di Ipoh. Semasa di situ, beliau pernah bersekolah bersama bekas pengerusi Parti Gerakan, mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik dan aktif dalam sukan bola sepak.

Tidak ramai tahu, minat Prof Kay Kim terhadap bola sepak sudah membara sejak kecil lagi dan ia diteruskan semasa di bangku sekolah. Dan pada satu ketika, beliau pernah menimbang untuk menjadikan ia sebagai satu karier. Tetapi tidak seperti pemain hari ini yang mendapat gaji dan imbuhan lumayan, pemain-pemain bola sepak ketika itu hanya mendapat gaji kecil dan perlu mendapatkan pekerjaan sambilan untuk menampung kehidupan. Justeru, Prof Kay Kim mengambil keputusan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi bukan saja untuk mendapatkan jaminan kehidupan yang lebih baik tetapi juga mengisi kekosongan yang ditinggalkan British pasca-kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Pada awalnya, wujud kebimbangan beliau tidak dapat berbuat demikian kerana kekurangan wanita tetapi kerisauan itu hilang selepas bapanya yang juga seorang kakitangan kerajaan mendapat kenaikan pangkat. Prof Kay Kim menyambung pengajian di Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1959 sebelum mendapat ijazah Master dalam bidang sejarah dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1967. Pada tahun 1974, beliau merupakan orang Malaysia pertama yang berjaya mendapat gelaran Doktor Falsafah (PhD) menerusi tesis yang bertajuk The Beginning of Political Extremism in Malaya 1915-1935.

Pada tahun 1967 juga, Prof Kay Kim dilantik sebagai pensyarah selepas menjadi tutor selama dua tahun dan beliau mencipta rekod tersendiri sebagai pensyarah bukan Melayu yang boleh memberi syarahan dalam Bahasa Melayu. Jadi bagaimana beliau boleh berbuat demikian? Sebenarnya, Prof Kay Kim mempelajari Bahasa Melayu melalui inisiatifnya sendiri berikutan ia tidak diajar di sekolah rendah. Kebetulan pula, beliau merupakan peminat setia karya-karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan melalui filem dan lagu seniman agung Melayu itu, Prof Kay Kim dapat bertutur dengan fasih dalam Bahasa Melayu. Kefasihannya dalam bahasa ini juga menyebabkan beliau amat rapat dengan pelajar-pelajar Melayu. Prof Kay Kim masih ingat semasa menjadi tutor, beliau kadangkala dipanggil sebagai ‘bomba’ untuk meredakan kekecohan pelajar yang dicetuskan pemimpin pelajar seperti bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak lama selepas insiden 13 Mei, wujud usaha daripada pihak kerajaan untuk menyuburkan perpaduan kaum di negara ini. Salah satu gagasan yang direalisasikan ialah Rukun Negara hasil buah fikiran Tun Ghazali Shafie yang diinspirasikan daripada Pancasila. Bagi memastikan rukun berkenaan bersesuaian dengan latar belakang sosial negara, satu panel dibentuk dengan salah seorang anggota panel ialah Prof Kay Kim sendiri. Proses pendrafan Rukun Negara berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Walau bagaimanapun, adakalanya ia juga mencetuskan perdebatan dalam kalangan anggota panel berkenaan prinsip rukun seperti kepercayaan kepada Tuhan. Di sini, perdebatan ini berkenaan soal kelompok ateis (kelompok yang menolak kewujudan Tuhan) sama ada perkara itu boleh dibenarkan atau kelompok ini terpakai kepada undang-undang negara sedia ada. Tetapi pada akhirnya, mereka merasakan ia bukan sesuatu isu kerana di Malaysia, hampir semua orang mempunyai agama. Dan apabila ia diumumkan, tiada sebarang penentangan yang timbul.

Namun, satu kekesalan Prof Kay Kim ialah melihat Rukun Negara tidak dijelaskan dengan sebaik-baiknya bermula dari bangku sekolah lagi. Ini kerana sistem pendidikan negara masih lagi berorientasikan peperiksaan dan hanya berminat mengetahui keputusan ujian berbanding pembinaan sahsiah dan keperibadian pelajar. Ini mengakibatkan mereka membesar dengan menjadi orang asing antara satu sama lain dan merasa tidak selesa kerana gagal memahami unsur agama dan budaya sesebuah bangsa. Keadaan ini akan terus berlaku melainkan ia dimulakan dari peringkat sekolah lagi.

Prof Kay Kim berkhidmat di UM selama lebih 50 tahun dari pensyarah pada tahun 1967 kepada mendapat jawatan profesor dan pengerusi Sejarah Malaysia pada tahun 1974 hinggalah persaraannya pada tahun 1992. Dan walaupun sudah bersara, beliau masih mempunyai pejabat di sana. Selain itu, Prof Kay Kim terus gigih berbakti kepada masyarakat melalui buku-buku dan esei-esei untuk mencerahkan minda masyarakat. Bukan sekali dua karya-karyanya menjadi sumber rujukan kurikulum sejarah negara dengan karyanya yang paling dikenali ialah The Western Malay States 1850-1873 yang diterbitkan pada tahun 1972. Melihat kepada semua ini, maka tidak hairanlah anekdot ini sangat sesuai dengan soal pendidikan hari ini. Beliau pernah berkata, “Pendidikan itu bukan berdasarkan teori. Ia mesti dipelajari dengan keluar dari bilik darjah. Ianya bukan sekadar lulus dalam peperiksaan tetapi ia melangkaui lebih daripada itu.”

Walaupun usianya sudah mencecah tahun 80-an, itu bukan alasan baginya untuk mengurangkan aktiviti. Tetapi sebaliknya, ia memarakkan lagi semangat Prof Kay Kim untuk mengkaji sejarah dan menjadi sebahagian daripada lingkungan sosial awam. Sejak beberapa tahun ini, beliau selalu dijemput sebagai panel forum akademik, speaker jemputan atau panel penilai sebarang penerbitan sejarah. Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian dalam satu temubual bersama akhbar The Star pada Mei 2017, Prof Kay Kim berkata, “Saya tidak pernah menganggap diri saya bersara! Saya masih melakukan penyelidikan dan menjumpai banyak perkara tentang Malaysia yang masih tidak diketahui umum. Negara ini merupakan sebuah negara yang menakjubkan. Anda tidak boleh melihat sesetengah perkara dan menjangka orang untuk memahami sepenuhnya.” Salah satu projek yang sedang diusahakan beliau pada akhir hayatnya ialah penerbitan sebuah buku berkenaan sejarah bola sepak negeri Selangor hasil cetusan idea Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dijangka diterbitkan pada akhir tahun ini.

Pada April 2017, beliau turut menerbitkan sebuah buku autobiografi yang bertajuk I, KKK – The Autobiography of a Historian yang menceritakan sejarah hidup beliau dari era pra-kemerdekaan hinggalah menjadi figura ilmu yang menjadi kesayangan ramai. Majlis perlancaran buku disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di mana buku itu didedikasikan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama orang muda agar mempunyai pengetahuan sejarah negara ini. Dan pada tahun lepas, Prof Kay Kim turut mendapat anugerah Merdeka Award 2018 bersama Profesor Dr Raja Rasiah untuk kategori Pencapaian Kecendekiawanan Terbilang.

Tetapi manusia hanya merancang, Tuhan lebih mengetahui segala-galanya. Tatkala masih banyak cerita terutama sejarah negara masih terus dikaji, Prof Kay Kim pergi buat selama-lamanya pada usia 82 tahun akibat masalah paru-paru dengan meninggalkan isteri tercinta, Puan Sri Rathi Khoo dan tiga cahaya mata iaitu Eddin, Rubin dan Mavin. Bila ditanya tentang bapanya, Eddin melihat Prof Kay Kim sentiasa menitikberatkan soal pembinaan negara bangsa di mana ia bersifat berterusan dan tidak pernah akan berhenti. Proses pembinaan negara bangsa juga turut membabitkan soal sejarah di mana ia merupakan satu komponen penting. Menurut beliau lagi, bapanya melihat sekiranya sejarah terutama pengajaran silam gagal diambil kira, maka masa depan sesebuah negara itu akan menjadi kelam.

Bagi memastikan segala hasil bapanya tidak hilang begitu saja, Eddin kini sedang mengusahakan projek pengumpulan semua hasil penulisan Prof Kay Kim membabitkan 35 penerbitan buku membabitkan tulisannya di akhbar dan projek berkaitan riwayat hidup mendiang. Projek ini dijangka dapat memastikan akses kepada setiap buah fikiran mendiang terus wujud dan mewujudkan generasi seterusnya yang mencintai sejarah.

RUJUKAN:

1. Adnan, Ahmad Suhael dan Pillay, Suzanna. (2018). Six Malaysians receive 2018 Merdeka Award in recognition for their contributions and achievements. New Straits Times. https://www.nst.com.my/news/nation/2018/09/407922/six-malaysians-receive-2018-merdeka-award-recognition-their-contributions

2. Jay, Beatrice Nita. (2019). (UPDATE) Historian Khoo Kay Kim passes away. New Straits Times. https://www.nst.com.my/news/nation/2019/05/492022/update-historian-khoo-kay-kim-passes-away

3. Bernama. (2017). Sultan Nazrin launches Khoo Kay Kim’s autobiography. New Straits Times. https://www.nst.com.my/news/nation/2017/04/229794/sultan-nazrin-launches-khoo-kay-kims-autobiography

4. Goh, Daryl. (2019). Historian Khoo Kay Kim, 82, passes on from lung failure. https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/05/28/historian-khoo-kay-kim-82-passes-on-from-lung-failure/

5. Loh, Deborah. (2011). “We were not an ordinary country”. The Nutgraph. http://www.thenutgraph.com/khoo-kay-kim-we-were-not-an-ordinary-country/

6. Zainol, Fadzli. (2019). Legasi Kay Kim terpahat dalam sejarah Malaysia. Utusan Malaysia. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/legasi-kay-kim-terpahat-dalam-sejarah-malaysia-1.909592

7. Muhamad, Hasimi. (2019). ‘Tanah air ini nyawanya’ – Anak kongsi kenangan terakhir dengan mendiang Khoo Kay Kim. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tanah-air-ini-nyawanya-anak-kongsi-kenangan-terakhir-dengan-mendiang-khoo-kay-kim-208783

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.