Ketika saya berada di Jolo, Kepulauan Sulu beberapa tahun lepas yang terletak di Selatan Filipina. Saya berkenalan dengan Mr. Sheradz Said, guru di Hadji Elementary School Laud, Jolo. Kami dipertemukan ketika rakaman pendidikan di Sulu sempena Dokumentari Majalah Islam – Islam di Sulu terbitan Tv Al Hijrah dengan kerjasama NgO yang saya wakili iaitu Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM).

Dalam temu ramah bersama beliau, beliau menegaskan: “Hanya pendidikan sahajalah yang mampu menamatkan konflik di Jolo, supaya kemiskinan di sini dapat ditangani demi keamanan Jolo”. Mr Sheradz, pemegang Ijazah sarjana Sains Sosial menabur bukti di Bandar Jolo meskipun berpeluang mendapat pekerjaan lebih baik di tempat lain. Beliau mengambil tanggungjawab mendidik anak tempatan kerana keyakinan pendidikan sangat penting demi masa depan Jolo.

Bersama Mr Sheradz

Pada mulanya kami hanya berbual biasa sehingga saya melihat suatu buku menarik di tangan beliau, Sign Of The Unseen – The Discourses of Jalaluddin A Rumi. saya bertanya kepada beliau, “kamu peminat sufi?”, dia menjawab, ‘ya, sangat minat’..

Maka, disitu perbualan kami terus rancak hingga membawa pertemuan beberapa kali. Dia suka mendengar ilmu ini yang menurut beliau sudah sebati dalam masyarakat suluk, ya kesufian. Menurut beliau, ulama-ulama’ yang datang membawa Islam kepada kami adalah Ulama Sufi. Antara Ulama yang datang berdakwah di Sulu ialah Sayyid Abu Bakar yang datang dari Johor. Bersama Sayyid Abu Bakar (keturunan Rasulullah) ialah kitab Ad Duur al Manzum (Untaian Mutiara).

Pada tahun 1450M, Sayyid Abu Bakar diangkat sebagai Sultan Sulu pertama oleh masyarakat tempatan setelah kewafatan Rajah Baginda (pemimpin adat sebelum) dengan gelar Paduka Maulana Sultan Shariful Hashim. Keturunan pemerintah  masih kekal disana. Ahlul bait disini menggunakan predikat Syarif (loghat setempat Salip) untul lelaki dan syarifah untuk perempuan. Mereka rata-rata keturunan Sultan dan juga pendakwah-pendakwah berketurunan Rasulullah yang datang ke Sulu.

Kitab Ad Duur al Manzum ialah kitab yang membicarakan hal-hal ketuhanan, zat, sifat dan afaal menurut kupasan tauhid tasauf. Ia dikarang oleh seorang Ulama’ besar iaitu Syaikh Abu Ishak As Syirazi.

Tambah beliau lagi, sejak akhir-akhir ini, ilmu ini teruk ditentang oleh suatu kumpulan yang membawa slogan kembali ke Quran dan Sunnah. Bukan itu sahaja, mereka turut menentang amalan warisan kami seperti tahlilan, sambutan maulid Nabi dan seumpama. Saya rasa para pembaca boleh meneka siapa yang Mr. Sheradz (M.A Social Science) maksudkan. Saya tidak mahu melabel kumpulan itu yang sudah maklum ‘style’ mereka di mana-mana termasuk Negara kita sendiri.

Dalam perjalanan ke Pulau Patikul

Sedih saya mendengarnya, sudahlah konflik berlaku antara orang Sulu sendiri, perpecahan beberapa kumpulan bersenjata dan tekanan dari Kerajaan Filiphina sendiri, umat Islam di Jolo (98%) dipecahkan lagi dengan konflik perbalahan perkara khilafiah. Soalnya sekarang siapa yang tidak berlapang dada?

Modus operani yang sama berlaku di Selatan Thailand. Menurut Baba Wan Abdul Qadir al Fathani, Kami di Fathani dulu tak pernah gaduh-gaduh walaupun terdapat tekanan dari Bangkok, sehinggalah datang golongan baharu yang menyesatkan kami hanya kerna kami mengadakan maulid Nabi. Akhirnya umat Islam lupa perjuangan asal menuntut hak mereka. Walaupun golongan baru itu menafikan, namun buktinya jelas dan maklum. Walaupun mereka mengajak berlapang dada, hakikatnya mereka yang cetuskan dahulu.

Saya ingis tegaskan, golongan baru ini ditentang bukan sebab mereka tidak membaca qunut, usolli, tidak mengadakan perayaan maulid, menolak sufi dsb tetapi mereka ditentang oleh ulama-ulama’ tua kerana mereka berkeras dan hanya mereka betul yang lain dari mereka adalah pelaku bidaah, ahlul hawa dsb. Pada kita, itu hal khilafiah, pada mereka sebenarnya tidak. Walaupun saya tidak bersetuju dengan puak baru ini, saya berpesan kepada diri saya dan sahabat-sahabat semua agar tidak terikut pendekatan mereka. Pendekatan keras jangan sampai hilang adab.

Baik, itu hanya sampingan dalam perbualan kami. Terus kami berbual lebih panjang tentang tauhid, tasauf, kesufian dan sejarah. Perbualan kami 100% dalam bahasa Inggeris kerana saya tidak pandai bercakap bahasa suluk dan beliau pula tidak boleh bercakap bahasa melayu. Benar, penguasaan banyak bahasa membantu dakwah lebih luas.

Sebelum bersurai, beliau meminta tolong kepada saya jika datang lagi ke Jolo, tolong bawakan Buku baru Prof Syed Naquib al Attas yang berjudul ‘On Justice and the Nature Of Man’ dan karya Prof yang lain. Terkejut saya mendengarnya, yalah di Sulu… line internet sangat slow dan akses mendapat info luar sangat terbatas tetapi beliau kenal, kagum dengan Prof Naquib yang anak bangsa melayu di tanah air saya pun masih ramai belum mengenali beliau. Sempat Saya bertanya, bagaimana kamu kenali Prof? Beliau hanya tersenyum dan masa pula mencemburui kami ketika itu untuk saya bertanya lanjut.

Sambutan Maulid di Jolo

Oleh kerana kedatangan kami di bulan Rabiuawal, kami turut berpeluang menyambut mawlidul rasul di sini. Di Kepulauan Sulu, Sambutan Mawlid di sini sangat unik dan penuh kekeluargaan. Apa jua upacara atau majlis kaum Suluk, mesti ada kenduri atau ‘rewang’. Secara beramai-ramai penduduk dari segenap lapisan bergotong-royong memasak, menjamu dan memeriahkan. Bahkan setiap ahli keluarga akan membawa makanan terbaik yang mereka ada untuk dijamu hidang bersama-sama. Jelas dapat dilihat di sini, para ibu sibuk membawa dulang yang berisi makanan dari rumah masing-masing ke masjid.

Sebelah malam pula, bacaan maulid dimulakan dengan Kitab Maulid Barzanji sebagai teras utama. Kitab Maulid Barzanji adalah kitab yang masyhur dibaca di seluruh dunia termasuk nusantara karangan Imam Sayyid Jaafar al barzanji. Kitab ini adalah himpunan syair-syarir dalam bahasa arab yang indah bermula detik kelahiran Rasulullah s.a.w, Hijrah, akhlak, sehingga kewafatan Baginda s.a.w.

Terkejut juga pada awalnya, tak sangka hingga di ufuk timur kitab Maulid ini dibaca. Paling menarik, di Sulu, bacaannya sudah menjadi tradisi. Paling menarik lagi, majlis maulid di sini akan dibaca barzanji itu sehingga khatam. “huh lama la kan?”. Dari Isya’ membawa ke Subuh, baru selesai majlis maulid.

Para pembaca Maulid terdiri dari 12 orang, 6 Imam tua lelaki dan 6 tua wanita. mereka membaca secara bergilir-gilir dalam rentak dan dengung kaum mereka. Para 12 pembaca akan duduk mengelilingi ‘Pokok Jenal’. Pokok Jenal ini berasal dari Tandan Pisang yang digubah sempena majlis maulid sebagai simbol hadiah kepada Rasulullah s.a.w. Nampak ‘rare’ kan.

Apa yang diterangkan kepada kami bahawa di Sulu, bulan Rabiuawal adalah ‘bulan kesusahan’ bagi kaum Suluk maksudnya, kaum Suluk akan bersusah payah meskipun keadaan dhaif menjamu atau menghidang makanan terbaik, mengadakan jamuan, majlis mawlid dan sebagainya sebagai mengenang kesusahan dan pengorbanan Rasulullah s.a.w. Maka pada bulan ini, tidak mengapa susah sikit menjamu orang makan walaupun sendiri tak cukup makan demi mendapat kegembiraan Rasulullah s.a.w hasil menjamu kepada mereka yang lebih memerlukan.

Terkenang peristiwa para sahabat r.anhum yang syahid, mati kehausan demi saudara mereka dalam peperangan Yarmuk lantaran ingin mendahulukan air kepada sahabat lain. Para sahabat lain turut bersikap yang sama, saling mendahulukan sehingga semuanya syahid walhal air masih tidak di minum sesiapa! termenung seketika apabila mendengarnya.

Di Malaysia, masih ramai yang senang dan mewah, tapi masih berkira-kira mengadakan maulid walaupun dalam skala kecil di rumah. Dustanya cinta kami Ya Rasulallah. Setelah selesai bacaan maulid Nabi s.a.w pada subuh hari, disusuli majlis Akikah. Kami belajar bagaimana memahami adat budaya disini dan menyantuninya. Setiap acara ada tradisi termasuk falsafah berpakaian. Ternyata, hebat para Ulama’ dahulu, mereka tidak menghapuskan ada tradisi, cuma memurnikan perkara yang patut dimurnikan dengan nilai tauhid.

Universiti Mindanao

Kami turut berpeluang mengadakan kunjungan ke Mindanao State Universiti (MSU) cawangan Jolo. dalam misi mencari sesuatu yang sepatutnya dicari. Alhamdulillah, kami bertemu dan menemu ramah dengan Canselor MSU, seorang profesor sejarah dan politik Islam, Dr Adjarail Hapas Ph.D. Kami berbual dan beramah mesra seperti keluarga. Tanpa dipinta, Canselor menawarkan diri membawa kami berjalan-jalan di sekitar MSU. Saya secara peribadi, pertemuan kali ini merupakan pertemuan kedua selepas bertemu beliau sebelum ini. Sebulan sebelum perjalanan dokumentari ini, saya sendiri bersama sahabat-sahabat HaRUM lain telah ke Sulu lebih awal untuk memaklumkan dan menguruskan logistik, gambaran segmen dan sebagainya.

Di situ lah bermula pertemuan dengan Prof. Antara perkataan beliau yang saya ingat sampai sekarang, menurut Prof, keamanan total yang paling penting diusahakan sekarang. Apabila sepenuhnya aman, maka para pelabur akan berani membuka perniagaan, peluang pekerjaan dalam pelbagai industri. Prof menyebut lagi, semua maklum bahawa wilayah Sulu adalah sangat kaya dengan hasil bumi dan galian minyak. Namun, tiada siapa berani melabur akibat ketidakamanan yang berlaku. Katanya lagi, bila kondisi sudah aman dan rakyat ada mata pencairan, nescaya mereka tidak akan menjadi ganas. Tak perlu guna jalan kekerasan mendapat hak dan sesuap nasi. Insya Allah, Sulu masih aman.

Ada banyak daerah di Sulu, yang panas di satu dua (terutama Patikul) kawasan yang tidak mewakili keseluruhan Sulu. Orang suluk juga baik-baik, mereka mahukan keamanan. . Kami tegaskan, peristiwa serangan orang suluk di Lahad Datu 2013 tidak mewakili dasar perjuangan orang suluk.

Terdapat 88 orang penuntut pengajian Islam di MSU cawangan Jolo. Paling menarik dewan pengajian fakuliti Islam di sini dinamakan ‘Rajah Baginda Hall’. Dewan Rajah Baginda sangat lusuh, perlukan renovasi. Prof pernah meminta bantuan dari Islamic Development Bank (IDB) akan tetapi sampai sekarang belum ada jawapan. Mindanao State Universiti (MSU) cawangan Jolo – Sulu kalau kita lihat dari segi fasilitinya ibarat sekolah rendah zaman 80an Malaysia. Internet pun tiada lantaran signal internet sangat lemah di Sulu. Paling ketara, bila kami minta emel Prof, beliau jawab, “di Sulu, tak perlu emel sebab takkan sampai. Hantar message melalui telefon bimbit sahaja”. (situasi ketika tulisan ini ditulis)

Dewan Rajah Baginda

Sukar nak dibayangkan pelajaran dan pentadbiran universiti tanpa internet. Dalam buku yang kecil ini, saya tidak mahu memanjangkan lagi coretan ini.

Keamanan Selatan Filipina adalah penyelesaian

Apa yang dapat kami simpulkan, Sulu memerlukan bantuan kita dan umat Islam semua. Pelbagai faktor geopolitik, sejarah dan perjuangan mewarnai rentetan Sulu dan umat Islam disana. Saya percaya, Sulu yang dahulunya sebuah empayar Islam yang hebat kini terpencil menyimpan rahsia, sumpahan, episod duka, perang yang sangat panjang. Saya juga percaya apa yang berlaku di sana bukan suatu kebetulan.

Dalam politik, tiada kebetulan melainkan semua di rancang. Presiden Rooservelt pernah berkata:

“In Politics, nothing happen by accident. If it happen, it was planned that way.”

“Dalam politik, tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Jika terjadi, ianya telah dirancang untuk menjadi demikian”.

Suasana di Bandar Jolo, Kepulauan Sulu

Tanpa menuding jari kepada sesiapa, ia suatu persoalan yang sama sama boleh kita fikirkan. Kemiskinan dan konflik yang belum selesai telah menyebabkan rakyat Sulu berhijrah dan menjadi pelarian di negeri jiran terutama Sabah, Malaysia.

Pada 28 Mei 2008, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata menurut anggaran, kini terdapat 440,000 orang asing di Sabah dan daripada jumlah itu, 230,000 adalah orang asing yang bekerja secara sah, 130,000 pendatang asing tanpa izin, manakala selebihnya (80,000) adalah pelarian dari Filipina. Data ini adalah 8 tahun lepas. Pelarian Filipina itu majoritinya dari Selatan Filipina, mencari rezeki di Sabah.

Dari segi geografi, Sabah negeri paling berdekatan. Kata orang, hanya 2-3 jam sudah sampai jika naik bot laju. Sudah pasti, situasi lambakan pelarian mengundang kebimbangan dari segi keselamatan dan rasa tak senang hati penduduk Sabah. Oleh kerana itu, sangat benar perkataan Menteri Pertahanan Negara, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein:

“Proses damai Selatan Filipina penting bagi keselamatan Sabah, Kalau sekiranya tidak dapat dipertahankan proses damai itu, saya bimbang mungkin berlaku pergolakan di Lautan Sulu dan ia sedikit sebanyak akan membawa kesan kepada kita di Sabah”

Datuk Seri Hishamuddin juga berkata Malaysia sendiri memain peranan yang besar (dalam proses damai itu) dan kerajaan akan memastikan keselamatan rakyat Negara ini khususnya di Sabah adalah terjamin dari segala ancaman pihak luar.

Kata orang, keamanan mereka akan diperolehi hanya dengan satu cara, yakni berikan hak mereka. Mereka tidak pernah dijajah, mereka mahukan pemerintahan sendiri. Dari sebuah kesultanan Islam, akhirnya dipaksa berada di bawah tunduk kerajaan Kristian Katolik Filipina setelah pelbagai perjanjian dari penjajah barat.

Menjadi sebuah empayar yang hebat di ufuk timur telah mengundang kuasa besar untuk menjarah dan menjajah. Bermula Sepanyol,  Perancis, Great Britain dan Amerika Syarikat. Ironinya, mereka tidak benar-benar berjaya. Mereka berjaya di Utara tetapi mereka gagal menguasai sepenuhnya Selatan Filipina (baca : Mindanao).

Strategi yang sama, apabila tiada mampu menggunakan jalan perang, penjajah menggunakan jalan Perjanjian antara mereka dengan pihak yang bukan wakil sepatutnya. Perjanjian yang kabur telah digunakan mereka. Jika Palestin ‘selamba’ diserahkan oleh British kepada Zionis melalui Deklarasi Balfour (1917), Pattani diserah ke Bangkok dalam perjanjian Siam-Bangkok (1909) oleh Inggeris dan Sulu pula diserah Sepanyol kepada Amerika Syarikat melalui perjanjian Paris (1898). Amerika Syarikat pula menghilangkan kedaulatan Kesultanan Sulu melalui tipuh helah perjanjian Carpenter (1915). Perjanjian yang saya sebutkan di atas semuanya boleh dicabar.

Terkini, sekumpulan ahli perundangan dari Malaysia dan hasil kerjasama ahli perundangan negara Islam lain akan mencabar Deklarasi Balfour yang disifatkan tidak sah. Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAqsa, Dr Noorazman Mohd Samsuddin, berkata pihaknya akan mencabar Perjanjian Balfour yang tidak lebih daripada satu penipuan dan retorik politik. Katanya, perjanjian itu tidak terikat dengan mana-mana undang-undang, kebertanggungjawaban dan melanggar peraturan dunia serta kemanusiaan.

Sulu Darul Salam, Patani Darul Salam dan Aceh Darul Salam. Tiga kerajaan Darul Salam di Nusantara ini telah berkongsi epik, episod, duka, kekayaan, semangat luar biasa yang sangat mirip Ketiga-tiganya adalah kerajaan berdaulat dan terus berdaulat. Itu kepercayaan mereka. Mereka tidak mahu berada di bawah NKRI, Bangkok atau Manila. Terjadinya banyak konflik hingga perang kerna mereka hanya meminta hak mereka. Mereka dituduh pengganas kerana menyuarakan hasrat mereka berdiri sendiri.

Apabila mereka mempertahankan hak mereka, mereka dituduh pengganas. Apakah pilihan yang mereka ada demi sesuap nasi dan hak kemanusiaan mereka. Yang ganas sungguh itu memang ada, akan tetapi tidak semua boleh dipukul rata sebagai pengganas. Pihak yang menindas mereka itu sebetulnya lebih pengganas.

Sebenarnya, sebahagian Kesultanan Islam di Nusantara memiliki ketenteraan yang tak terkalah. Hanya mereka dikatakan kalah kerana perjanjian. Mereka (penjajah) mengecut untuk berlawan secara anak jantan. Lalu buat perjanjian yang bersifat kabur dan penuh tipu helah.

Kalau mahu dikisahkan dari awal, ceritanya sangat panjang. Pelbagai suka duka, pahit maung dalam misi di Sulu. Saya telah mencoret lebih panjang pengalaman saya di sana di dalam buku terbaru saya yang akan diterbitkan dalam masa terdekat. Nantikan!

Buku terbaru saya (Angah Sunan) adalah travelog sejarah, dakwah, cinta dan kemanusiaan berdasarkan pengalaman sebenar. Kembara patriots meredah pelbagai plot sejarah, meratah payah, menghadam mistikal dan hikmah. Menelusuri jejak Nusantara demi sebuah kebangkitan, menghurai pemakmaan sendi kekuatan.

 

Untuk akhirnya, para pembaca dijemput tonton Dokumentari Merah Laut Sulu di youtube. Dokumentari ini adalah kerjasama bersama Ngo Pertubuhan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) dan TV Al Hijrah.

Berikut adalah link channel : https://www.youtube.com/watch?v=Opg3kPnmiLo

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua para pembaca yang sudi membaca penulisan saya selama ini. Syukran !

Sekian,

Angah Sunan LFO

Ex Project Manager Dokumentari di Sulu

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.