Tidak ramai yang mengenali tokoh berjasa ini.

Tapi bagi kami pelajar jurusan undang-undang, nama beliau sangat dekat di hati.

Teringat ketika di awal pengajian dulu.

Walaupun kami menggunakan buku yang disediakan fakulti, tetapi buku Sistem Undang-Undang di Malaysia tulisan beliau dan Ahilemah Joned adalah rujukan wajib untuk subjek Sistem Perundangan di Malaysia.

Sama ada kami perlu membelinya, atau pinjam di perpustakaan, buku tersebut sangat penting kerana merangkumi aspek-aspek asas perundangan di Malaysia.

Nama ‘Ahmad Ibrahim’ sentiasa disebut-sebut dalam kelas kami sebagai tokoh undang-undang Islam tersohor di Malaysia.

Ini buatkan rasa ingin tahu saya meluap-luap.

Siapa sebenarnya Ahmad Ibrahim ni?

Siapa Ahmad Ibrahim?

“Allahyarham Prof. Ahmad seorang yang peramah, lemah lembut, suka senyum dan berhemah tinggi. Oleh sebab dia cepat mesra dengan sesiapa sahaja, saya tidak merasa kekok atau serba kekurangan bila berbual dengannya, hingga saya terlupa buat seketika bahawa orang yang saya temui itu adalah bukan sebarang orang.” – Prof Salleh Buang

Nama sebenar beliau adalah Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad bin Mohamed Ibrahim. Beliau lahir pada tahun 15 Mei 1916 di Singapura.

Keluarga beliau berlatar belakangkan pendidikan agama. Ayahnya sendiri adalah seorang doktor yang aktif dalam aktiviti sosial berkaitan umat Islam.

Pendidikan awal beliau:

  1. Sekolah Victoria Bridge, Singapura
  2. Institusi Raffles, Singapura
  3. Kolej Raffles, Singapura

Beliau dikatakan sangat bijak ketika dibangku sekolah.

Beliau sering mendapat tempat pertama di dalam kelas serta cemerlang bagi setiap subjek, sehinggakan pihak sekolah terpaksa menetapkan peraturan setiap pelajar hanya boleh menerima 3 anugerah sahaja setahun.

Ianya bagi mengelakkan beliau membolot kesemua anugerah akademik.

Beliau menamatkan pengajian di Institusi Raffles seawal umur 14 tahun. Dan kemudian beliau melanjutkan pengajian ke Kolej Raffles dan memperoleh Sarjana Muda Sastera.

Setelah tamat pengajian di Kolej Raffles, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Kolej St. John’s, Cambridge melalui biasiswa Queen yang diterima beliau.

Dikatakan bahawa, beliau adalah Melayu pertama yang menerima biasiswa berprestij tersebut.

Antara pencapaian terbaik beliau adalah memperoleh Kepujian Kelas Pertama dalam Economic Tripos I, George Long Prize dalam bidang Undang-Undang Rom dan juga Kepujian Kelas Pertama dalam Law Tripos II.

Disamping segala pencapaian dan kepandaian beliau dalam bidang akademik tidaklah menjadikan beliau seorang yang bongkak dan membangga diri.

Malah beliau digambarkan sebagai seorang yang sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain.

Beliau adalah seorang pendiam. Tidak suka berborak kosong. Beliau sentiasa dalam keadaan berwuduk. Daya ingatan dan pemikirannya sangat kuat walaupun berusia 80 an.

Ahmad Ibrahim di Singapura

“Ahmad Ibrahim sentiasa di belakang tabir namun beliau banyak membentuk Singapura.”

– Habib Syed Hassan Al-Attas, Imam Masjid Ba’ Alawim, Singapura.

Setelah tamat pengajian di Univerisity Cambridge, beliau kembali semula ke Singapura.

Beliau memulakan karier sebagai Majistret pada tahun 1946 dan kemudian menjadi Hakim pada tahun 1947.

Pada tahun 1948 beliau menjadi pensyarah di Kolej Raffles sebelum menjadi peguambela pada tahun 1949 hingga tahun 1955.

Pada tahun 1950, berlaku satu rusuhan yang sangat besar yang meliputi Singapura, Tanah Melayu dan Indonesia yang disertai oleh ramai umat Islam ketika itu.

Rusuhan tersebut diberi nama Rusuhan Natrah.

Tragedi ini bertitik tolak daripada keputusan mahkamah bahawa Natrah, anak kandung kepada pasangan warga belanda, perlu kembali kepada kedua ibu bapanya.

Dan bapanya pula diberi hak dalam menentukan agama anaknya yang sudah pun menganut agama Islam.

Prof Ahmad Ibrahim memainkan watak yang sangat penting ketika itu dengan menjadi peguambela bagi mak angkat Natrah, Che Aminah Mohamad, yang merayu untuk dikembalikan hak penjagaan dan Natrah tidak dimurtadkan.

Nama Prof Ahmad Ibrahim mula terkenal dan disanjung sebagai hero umat Islam ketika itu.

Pada tahun 1966, beliau dilantik sebagai Peguam Negara Singapura yang pertama.

Lantikan tersebut adalah bersandarkan pengalaman beliau yang luas dalam perundangan di Singapura dan pengetahuan yang mendalam tentang undang-undang sivil.

Ketika menjadi Peguam Negara, semangat beliau bagi memartabatkan undang-undang Islam sangat kuat.

Beliau telah menubuhkan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1966 (AMLA) yang merintis penubuhan Mahkamah Syariah di Singapura.

Dengan akta tersebut juga membolehkan wujudnya Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang berperanan menjaga kepentingan komuniti Muslim di Singapura.

(Jika anda ingin membuat carian internet mengenai Ahmad Ibrahim di Singapura, jangan terkeliru dengan seorang tokoh politik Singapura yang juga bernama Ahmad Ibrahim.

Jalan Ahmad Ibrahim di Singapura dinamakan bersempena nama tokoh politik tersebut, bukan Prof Ahmad Ibrahim yang kita bincangkan dalam artikel ini.)

Ahmad Ibrahim di Malaysia

“Beliau adalah seorang yang praktikal dan futuristik. Beliau bukan sahaja melihat masalah yang sedang berlaku, iaitu mengembalikan Islam dalam Sistem Perundangan Malaysia, beliau juga melahirkan graduan-graduan yang mampu mengamalkan undang-undang tersebut tanpa memberi kesan kepada pengamal dan sistem undang-undang.” – Prof Dr Abdul Aziz Bari

Setelah 22 tahun berkhidmat di Singapura, Prof Ahmad Ibrahim memohon kerakyatan Malaysia dan mula berkhidmat sebagai profesor bagi Pengajian Perundangan di Universiti Malaya.

Pengajian Perundangan di Universiti Malaya ketika itu masih lagi di bawah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran.

Pada tahun 1972, Fakulti Undang-undang ditubuhkan. Prof Ahmad Ibrahim dilantik sebagai dekan pertama fakulti tersebut dari tahun 1972 hingga 1983.

Prof Ahmad Ibrahim juga adalah pengasas kepada Kulliyyah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kemudiannya diberi nama sebagai Kulliyyah Undang Ahmad Ibrahim sempena nama beliau.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai dekan fakulti baru tersebut pada tahun 1983 hingga tahun 1999.

Kulliyah Undang-Undang ini berbeza dengan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya.

Kulliyah Undang-Undang ini menggabungkan pengajian undang-undang sivil dan undang-undang Islam yang wajib diambil oleh mahasiswa.

Idea ini dikemukakan sendiri oleh Prof Ahmad Ibrahim di awal penubuhan fakulti.

Hasil Kulliyyah ini, lahirlah ramai graduan yang menjadi pengamal undang-undang yang mempunyai semangat untuk memartabatkan Islam dalam perundangan di Malaysia.

Sumbangan beliau terhadap perundangan Islam di Malaysia tidak terhad di bidang akademik sahaja.

Beliau juga menjadi watak penting dalam penggubalan Perkara 121 (1A), Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988.

Penggubalan ini adalah bagi memastikan bidangkuasa Mahkamah Syariah tidak diganggu oleh Mahkamah Sivil. Penggubalan peruntukan ini memberi kesan yang sangat besar kepada sistem perundangan Islam di Malaysia.

Beliau juga pernah menjadi Hakim Mahkamah Rayuan bagi Mahkamah Syariah. Sehingga kini, kes-kes yang diputuskan beliau menjadi rujukan pengamal undang-undang Islam.

Prof Ahmad Ibrahim juga adalah antara tokoh yang bertanggungjawab menubuhkan Akta Bank Islam 1983.

Beliau bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang di bawah Jawatankuasa Pemandu Perbankan Islam Kebangsaan dalam memberi laporan kepada kerajaan bagi merangka akta tersebut.

Kesan akta tersebut adalah dengan tertubuhnya Bank Islam yang pertama iaitu Bank Islam Malaysia Berhad.

Pemergian Ahmad Ibrahim

“Bagi pemimpin negara ini, kematian Allahyarham adalah satu kehilangan yang besar. Bagi Mahkamah Syariah di negara ini, pemergiannya sudah pasti susah dicari ganti.

Bagi saya, jasadnya sahaja yang sudah tidak ada lagi. Tapi suara Allahyarham, buah fikiran Allahyarham, nasihat Allahyarham, tulisan Allahyarham, semua ini akan tetap kekal bersama saya hingga ke akhir hayat.

Allahyarham Prof. Ahmad tidak akan mati selagi ‘anak-anak muridnya’ masih hidup.”

– Prof Salleh Buang

Beliau adalah contoh pejuang agama Islam yang betul-betul komited mahu memperkasakan syariah Islam sehingga ke akhir hayat.

“Siap akhirnya buku saya.” – Kata beliau kepada setiausahanya ketika menyerahkan manuskrip buku terakhir beliau yang berjudul “Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia.”

Keesokkan hari, beliau disahkan meninggal dunia.

Hari duka tersebut jatuh pada tarikh 18 April 1999 bersamaan dengan 1 Muharam 1420 Hijri.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar bagi Malaysia.

Tapi, jasa dan bakti boleh kita rasai sehingga hari ini.

Al fatihah…

Rujukan:

http://www5.iium.edu.my/ar/aikol/profile-tan-sri-prof-emeritus-dr-ahmad-ibrahim-0

http://eresources.nlb.gov.sg/infopedia/articles/SIP_529_2005-01-07.html

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm

https://zulkiflihasan.files.wordpress.com/2008/06/microsoft-word-ahmad-ibrahim-dan-bank.pdf

Artikel adalah kiriman Halim Sallehuddin untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.