Prodigi Piano Malaysia Berusia 6 Tahun

345

Beberapa hari lepas, seorang prodigi muzik mengharumkan nama negara dengan memenangi Grand Prize Virtuoso 2019 di Vienna, Austria. Menurut akhbar Sin Chew, adik Olivia Lim Ling dari Petaling Jaya, Selangor berjaya mengalahkan semua pesaingnya dengan bermain piano berdasarkan lagu Waltz in E-Flat Major (Sostenuto) ciptaan Frederic Chopin dan memukau para juri.

Komposisi Chopin yang turut dikenali sebagai Grande valse brilliante merupakan komposisi piano solo Waltz pertama yang dihasilkan oleh komposer kelahiran Poland itu. Datuk dan neneknya merasa bangga dengan pencapaian cucu mereka menerusi ucapan tahniah dalam Facebook sambil menambah dia telah mengharumkan nama Malaysia dengan menduduki tempat pertama.

Untuk memenangi pertandingan itu bukan sesuatu yang mudah bagi Olivia kerana perlu bersaing dengan ramai prodigi piano dari seluruh dunia seperti Brazil, Perancis, Jerman dan Jepun. Selepas berjaya mengalahkan ramai peserta dalam pertandingan itu, pihak penganjur menjemputnya mengadakan persembahan dalam Upacara Grand Prize Virtuoso. Upacara yang diadakan sebelum ini pada 3 September berlangsung di Dewan Konsert Wiener Musikverein, Vienna di mana ia merupakan antara dewan konsert terbaik di dunia.

Olivia yang sudah mula bermain piano sejak berumur empat tahun mengadakan persembahan di Glass Hall dengan pemenang-pemenang pertandingan dari negara-negara lain. Bagaimanapun, ini bukan pertandingan muzikal pertama yang dimenanginya dengan memenangi pelbagai pertandingan muzikal dalam dan luar negara. Olivia juga pernah dijemput untuk mengadakan persembahan di dewan-dewan konsert berprestij seperti Philharmonie de Paris di Paris, Perancis dan Royal Albert Hall, London. Dan tahun ini, dia dijemput mengadakan persembahan di Carnegie Hall, Manhattan, New York.

SUMBER

Ryan Raj, Mark. (2019). Six-year-old Malaysian pianist wins first place at International competition in Vienna (VIDEO). Malay Mail. https://www.malaymail.com/news/life/2019/09/25/six-year-old-malaysian-pianist-wins-first-place-at-international-competitio/1794135

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.