Prince Of Tennis Dalam Realiti Sebenar

1,570

Sekiranya anda merupakan golongan belia yang pernah berpeluang menghabiskan waktu hujung minggu menonton rancangan anime dan kartun di saluran NTV7, anda pastinya pernah menonton siri anime Prince of Tennis. Anime ini yang mengisahkan perjalanan kumpulan Tennis dari sekolah menengah tinggi Seigaku, dalam usaha mereka untuk memenangi kejohanan tenis kebangsaan Jepun (arc The Prince of Tennis).

Dalam tulisan kali ini, penulis berhasrat untuk mengembalikan nostalgia mereka yang pernah menonton anime ini dengan membawa perbicaraan mengenai teknik-teknik yang watak-watak dari Seigaku ini gunakan sepanjang karier tenis mereka di Seigaku, sebelum mereka dinobatkan sebagai juara Kebangsaan.

Sebelum memulakan artikel, perlu dimaklumkan bahawa penulis adalah seorang peminat dan pemain tenis amatur, jadi sebarang kesilapan adalah tidak disengajakan.

Snake Shot/ Kaido Kaoru

Kaido Kaoru merupakan pelajar tahun dua Seigaku. Salah satu killer move Kaido, yang dikenali sebagai Snake Shot, merupakan salah satu teknik istimewa Kaido, dimana bola tenis yang dipukul Kaido akan bergerak dalam keadaan terlencong sewaktu di udara.

Pukulan ini istimewa, dan tidaklah mustahil, namun sukar dilakukan dalam dunia nyata kerana untuk mendapatkan bola yang terlencong seperti “Snake Shot”, pemain tenis perlu menambahkan spin sisi (side spin) dan spin tersebut perlulah besar untuk membolehkan daya emparan (centrifugal force) beraksi dan membolehkan lencongan ala-ala Snake tersebut berlaku.

Antara pemain dalam dunia sebenar yang terkenal kerana menggunakan teknik “Snake Shot” ataupun nama sebenarnya, Banana Shot atau Buggy Whip ini adalah Rafael Nadal, sepertimana dalam video di bawah.

Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=BkSYiW0dX6o

Boomerang Snake/ Kaido Kaoru

Setelah Kaido kalah dalam pertarungan menentukan wakil tenis Seigaku, Kaido sedar bahawa dia tidak boleh terus bergantung harap dengan Snake Shot yang dimilikinya. Justeru, dengan nasihat rakan karibnya, Inui, Kaido mula membuat latihan bagi menambahkan spin kepada bola yang dipukulnya.

Pada perlawanan peringkat daerah sewaktu berlawan dengan Akira Kamio dalam Singles 3, Kaido terpaksa menggunakan senjata rahsianya, Boomerang Snake kerana pukulan Snake Shot yang biasa dia lakukan adalah tidak berkesan melawan Akira.

Prinsip Boomerang Snake adalah hampir sama dengan Snake Shot yang asal, di mana daya emparan yang terjadi akibat spin bola tenis yang dipukul akan menyebabkan bola tersebut melepasi tiang net dan sampai ke gelanggang lawan.

Dalam dunia nyata, pukulan Boomerang Snake dengan lencongan berbentuk Boomerang ini adalah mustahil untuk dilakukan kerana perlunya putaran sisi (side spin) yang tinggi, namun pukulan bola yang melepasi tiang net dan masuk ke gelanggang lawan adalah dibenarkan (dikenali sebagai Over The Pole Shot).

Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=o1QuZDVPbiQ

Hadoukyu/ Takashi Kawamura

Takashi Kawamura merupakan salah seorang senior Seigaku. Memiliki watak pemalu dalam manga namun begitu bertenaga di dalam gelanggang, tagline beliau yang terkenal adalah menjerit “BURNING” sewaktu memukul bola. 

Merupakan seorang anak penjual Sushi, Takashi yang turut dikenali sebagai Taka-san merupakan seorang Power Player – dia tidak mempunyai kelebihan dalam permainan tenis biasa, sebaliknya dia mempunyai kekuatan dalam memukul bola.

Hadoukyu, salah satu teknik membunuh milik Takashi, merupakan teknik di mana Takashi bertindak “mengecas” bola yang ingin dipukul olehnya dengan sepenuh kekuatan yang dimilikinya, sewaktu bola tersebut sampai ke raketnya.

Hal ini pastinya mustahil untuk dilakukan dalam dunia sebenar, kerana senggang masa bola tersebut sampai ke raket dan bola tersebut dipukul adalah amat laju, dan tiada masa langsung untuk ”mengecas” tenaga kepada bola tersebut. Salah satu masalah dengan Hadoukyu juga adalah kerana ia menambah beban kepada tangan penggunanya, menyebabkan penggunaan Hadoukyu mendatangkan bahaya kecederaan.

Watak Takashi juga merupakan watak yang menarik untuk dilihat. Menganggap dirinya bebanan kepada Seigaku kerana satu-satunya pemain tanpa kemahiran lain selain memukul bola dengan kuat, dia berjanji untuk menjadi pemain Power-Style no 1 di Jepun.

Antara perlawanan hebat yang melibatkan Taka-san adalah perlawanan Taka-san menentang seorang lagi pengguna Hadoukyu yang juga merupakan seorang Power Player, Gin Ishida sewaktu di peringkat Kebangsaan, pada bab 328, dengan judul Creator.

Acrobatic Tennis/ Kikumaru Eiji

Kikumaru Eiji merupakan salah seorang pasangan Seigaku Golden Pair, jaguh regu emas Seigaku. Berperwatakan ceria dan gila-gila, Eiji merupakan salah seorang pemain tenis dengan gaya akrobatik yang menarik, kerana dia menambahkan elemen kejutan di dalam permainannya.

Antara pemain tenis dalam dunia sebenar yang memiliki gaya permainan seperti ini adalah Dustin Brown, pemain professional Jamaika-Jerman. Link: https://www.youtube.com/watch?v=KzerdnnE7iY

Salah satu kebolehan Eiji, mengambil bola dari celah kakinya merupakan taktik yang praktikal dalam dunia tenis sebenar, dan kejutan sedemikian merupakan antara faktor yang mampu memeranjatkan pihak lawan.

Dalam beberapa kes yang lain, oleh kerana ketangkasan yang dimiliki oleh Eiji, penulis manga Prince of Tenis menggunapakai hiperbola dimana Eiji mampu bergerak terlampau pantas sehingga membolehkan dirinya mewujudkan imej bayangan. Hal ini dalam manga Prince of Tennis dipanggil sebagai Seal Step.

Kikumaru Beam/ Kikumaru Eiji

Kikumaru Beam merupakan salah satu pukulan kegemaran Eiji, di mana dia membuat lawannya bergerak ke suatu arah di gelanggang, dan dia menghantar bola ke suatu arah yang lain. Teknik ini merupakan teknik yang biasa digunakan dalam tenis, dan yang membezakan Kikumaru Beam dengan pukulan biasa adalah kelajuan dan gaya pukulan, di mana Eiji selalunya akan melompat secara akrobatik sebelum membuat pukulan.

Moon Volley/ Shuichiro Oishi

Shuichiro Oishi merupakan pasangan regu kepada Eiji, dan mereka dikenali sebagai Seigaku Golden Pair. Memiliki perwatakan yang tenang dan mahir dalam menganalisa permainan, Oishi merupakan pembantu kapten Seigaku, dan sangat disegani oleh anak buahnya.

Salah satu killer move Oishi, yang diberi nama Moon Volley, merupakan pergerakan di mana pemain tenis menghantar bola lambung ke bahagian belakang gelanggang lawan (baseline), selalunya dengan tambahan spin keatas (top spin) yang diberikan kepada bola tenis.

Teknik ini adalah praktikal dalam dunia sebenar, namun perlukan latihan yang lebih kerana kesukaran untuk mengawal arah hala tuju bola, dengan kebarangkalian bola untuk keluar dari gelanggang adalah amat tinggi.

Untuk melakukan Moon Volley seperti Oishi, pemain perlulah membawa lawan untuk bermain di bahagian hadapan net sebelum melakukan volley dengan melambung bola lebih tinggi dari capaian pihak lawan. Hal ini akan memaksa pihak lawan untuk bergerak ke hadapan dan kebelakang, sekaligus mengurangkan stamina mereka, dan Moon Volley dalam dunia sebenar selalunya mampu dikejar dan dibalas.

Moon Volley oleh Andy Murray – https://www.youtube.com/watch?v=-wvCPyFdT60

Australian Formation/ Oishi dan Kikumaru

Australian Formation merupakan formasi yang digunapakai oleh duo Eiji dan Oishi. Sewaktu dalam perlawanan menentang sekolah St. Rudolph, Oishi ingin memulakan servis hantaran dan Eiji pada waktu tersebut berada di bahagian gelanggang yang sama dengan Oishi.

Dalam dunia sebenar, stratergi Australian Formation ini adalah stratergi yang boleh digunakan dalam permainan tenis, dan ia selalunya digunakan oleh pasangan regu yang ingin bermain secara agresif dan terus menyerang sebaik sahaja bola sampai ke bahagian gelanggang mereka, kerana Australian Formation selalunya akan menyebabkan pihak lawan teragak-agak dalam menentukan arah bola yang hendak dituju.

Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=Zqeg3fHaKxQ

Synchronization/ Oishi dan Eiji

Synchronization merupakan salah satu teknik “ghaib” dalam Prince of Tennis. Tiada asas sains, Synchronization merujuk kepada situasi di mana dua orang pasangan regu mampu berdalam dalam keadaan bercantum antara satu sama lain (ala-ala entangle) dan mereka mampu membaca fikiran satu sama lain.

Teknik Synchronization ini pertama kali dipertontonkan kepada umum sewaktu Oishi dan Eiji menentang sekolah Hyotei di peringkat Kebangsaan. Sewaktu mereka mula-mula mendapat “kuasa” ini, mereka sedang dalam keadaan terdesak kerana sedang mengalami kekalahan, sebelum Eiji dan Oishi teringat kembali pengalaman mereka mula bermain bersama sebagai pasangan regu.

Suatu bentuk aura dilihat keluar dari badan mereka dan mencantumkan pergerakan mereka, menyebabkan pergerakan mereka dilihat harmoni. Oh lupa, mata mereka juga bertukar menjadi warna kuning (sebab nama mereka Golden Pair mungkin).

Sewaktu saat akhir pertarungan mereka menentang Hyotei, mereka amat hampir membuat kejutan namun Eiji menghalang Oishi dari memukul bola kerana dapat merasakan bahawa pasangan regunya sudah tidak mampu meneruskan perjuangan, dan kebarangkalian untuk Oishi cedera adalah tinggi.

Data Tennis/ Sadaharu Inui

Sadaharu Inui merupakan salah seorang senior dalam pasukan Seigaku. Pada asalnya merupakan seorang pemain tetap Seigaku, tempat Inui kemudiannya dirampas oleh pemain junior baharu, dan Inui kemudiannya mengambil tempat sebagai pengurus sewaktu kejohanan tenis di peringkat daerah. Salah satu benda menjengkelkan mengenai Inui adalah rejim latihan Inui yang agak kejam, di samping “jus penyeksaan” yang dijadikan hukuman oleh Inui.

Data Tennis merupakan satu bentuk kebolehan yang cuba dibina oleh Inui berdasarkan kepada maklumat yang dia peroleh daripada lawannya. Sebelum bermain di gelanggang, Inui akan terlebih dahulu mengumpul pelbagai maklumat mengenai lawannya, dan berdasarkan maklumat yang dia kumpul, dia akan cuba mengira kebarangkalian untuk dia menang dalam perlawanan tersebut.

Hal ini hampir serupa dengan kru-kru teknikal yang diambil oleh pemain professional sewaktu perlawanan antarabangsa berlangsung, di mana pemain professional akan cuba mengambil data mengenai corak permainan lawan mereka, dalam usaha untuk mendapat upperhand dalam perlawanan.

Cuma, kes Inui adalah sedikit hiperbola kerana Inui berkebolehan untuk merngambil dan menganalisis data sewaktu permainan sedang berjalan, yang pastinya tidak mampu dilakukan oleh manusia biasa.

Waterfall/ Sadahara Inui

Inui pada asalnya merupakan pemain perseorangan Seigaku. Namun, setelah tempatnya diganti oleh Echizen, Inui dan Kaido mula bermain sekali sebagai regu kedua untuk Seigaku, yang juga merupakan pelapis kepada Golden Pair Seigaku.

Waterfall merupakan hasil latihan mereka bersama, di mana waterfall merupakan teknik serve dengan kelajuan yang amat tinggi, dengan kelajuan paling tinggi dicatatkan adalah 212 km/h. Jika dibandingkan dengan rekod dunia, rekod serve paling laju adalah dipegang oleh John Isner pada kelajuan 253 km/h dan diperakui oleh Association of Tennis Professionals.

Dunk Smash/ Momoshiro Takeshi

Momoshiro merupakan pelajar tahun 2 Seigaku, dan merupakan salah seorang pemain Power-Player, sama seperti Takashi dan Kaido. Yang membezakan Momoshiro dengan kedua yang lainnya adalah kerana Momo adalah lebih versetail, mempunyai kebolehan untuk menggunapakai tenaganya dengan baik sewaktu dalam perlawanan, serta tidak bergantung harap pada tenaga pukulannya semata-mata.

Salah satu teknik utamanya, dunk smash, merupakan teknik biasa dalam tenis di mana pemain tenis melompat dan membuat pukulan smash. Namun begitu, mungkin atas dasar komik, lompatan Momo kadangkala tidak masuk akal (terlampau tinggi), menyebabkan pemain lawan tidak mampu mengejar bola tersebut sejurus selepas ia melantun di gelanggang.

Jack Knife/ Momoshiro

Jack Knife merupakan satu bentuk pukulan balas dengan menggunapakai kedua-dua belah tangan, di mana prinsipnya adalah hampir sama seperti Hadoukyu. Pukulan balas dengan dua tangan ini akan membuatkan bola bergerak dengan laju, dan ini merupakan pukulan biasa dalam tenis, Cuma di peringkat Professional, perbezaan kekuatan pukulan akan menentukan tahap “membunuh” Jack Knife tersebut.

Triple Counter/ Fuji Shusuke

Fuji Yuusuke merupakan senior tahun ketiga di Seigaku. Turut dikenali sebagai seorang genius, perwatakan Fuji lebih kepada lemah lembut dan sopan santun, namun dalam gelanggang tenis, beliau merupakan seorang raksasa. Satu-satunya orang yang diketahui mampu mengalahkan Fuji adalah kapten Seigaku, dan kebanyakan ahli Seigaku yang lain turut mengakui kehebatan yang dimiliki oleh Fuji.

Fuji terkenal dengan Triple Counter, teknik membalas pukulan lawan yang tak masuk akal. Counter pertama dikenali sebagai Tsubame Gaishi, di mana bola pihak lawan yang dihantar dalam keadaan top spin, akan di slice oleh Fuji, menjadikan bola tersebut kembali ke gelanggang lawan dengan spin tambahan. Sejurus bola tersebut sampai ke gelanggang pihak lawan, ia akan melantun dalam keadaan rendah, yang pastinya mustahil berlaku dalam dunia sebenar.

Counter kedua oleh Fuji pula dikenali sebagai Higuma Otoshi, suatu bentuk counter yang Cuma boleh wujud di dalam anime. Dengan Higuma Otoshi, Fuji akan memutarkan badannya sewaktu menerima bola, dan daya emparan yang terhasil akan menghapuskan daya yang telahpun diberikan oleh pihak lawan. Teknik ini selalunya digunakan ketika menerima serangan smash dari pihak lawan yang kuat, dan hasil dari Higuma Otoshi, selalunya bola tersebut akan melambung ke bahagian baseline pihak lawan.

Counter ketiga pula adalah Hakugei. Dalam kes ini, Fuji akan membuat slice terhadap bola tersebut, menambahkan backspin yang teramat tinggi ke atas bola tersebut. Sejurus bola tersebut sampai ke gelanggang lawan, bola tersebut akan kembali semula ke gelanggang Fuji, menambahkan efek cool dan macho kepada Fuji.

Drop Shot @ Zero Shiki Shot/ Kunimitsu Tezuka

Tezuka merupakan kapten Seigaku, dan seorang personaliti Tenis yang bukan sahaja dihormati oleh pemain Seigaku, bahkan amat dikagumi di peringkat Kebangsaan. Pernah mendapat peluang untuk menjadi pemain professional, Tezuka berharap sebelum pemergiannya dari Seigaku, dia mampu untuk meninggalkan pelapis yang mampu membawa nama Seigaku, sama gah dengan apa yang dia dan rakan-rakannya bawa.

Sewaktu sesi awal permulaan Prince of Tennis, Tezuka dilihat mempunyai kecederaan di bahagian pergelangan tangan dan bahu, dan hal ini berpunca dari penggunaan drop shot beliau. Tezuka merupakan seorang pemain yang versetail, dan amat terkenal dengan pukulan bola yang tidak melantun

. Dipanggil Zero Shiki Drop (dan Zero Shiki Serve, kalau dilakukan sewaktu serve), Tezuka menambahkan backspin kepada bola tenis beliau, menyebabkan bola tersebut, sejurus sampai ke gelanggang lawan, tidak melantun, sebaliknya berputar di atas gelanggang, kembali ke jaring.

https://www.youtube.com/watch?v=krlcO50rTHw

Pertukaran tenaga daripada tenaga pergerakan menjadi tenaga putaran dan kemudiannya diserap secara penuh oleh lantai gelanggang adalah hampir mustahil untuk berlaku dalam dunia nyata, dan drop shot yang baik juga sebenarnya amat payah untuk dibuat. Antara contoh drop shot cantik yang boleh dilihat adalah seperti video di bawah

https://www.youtube.com/watch?v=uQNX2OC_ttk

Meskipun Zero Shiki Shot ini hampir mustahil dilakukan dalam dunia sebenar, Andy Roddick pernah menunjukkan serve yang hampir serupa di gelanggang tanah liat, dan faktor utama serve tersebut tidak melantun adalah kerana gelanggang tanah liat tersebut membantu menambat tenaga pukulan tersebut.

https://www.youtube.com/watch?v=yXL-gtksKY8

Twist Serve/ Echizen Ryoma

Ryoma merupakan watak utama dalam anime Prince of Tennis. Merupakan anak bekas pemain professional Jepun, satu-satunya tujuan Ryoma bermain tenis adalah untuk mengalahkan ayahnya. Sewaktu baru berpindah dari Amerika Syarikat ke Jepun, Ryoma kembali ke sekolah lama bapanya, Seigaku, yang terkenal dengan pasukan tenis yang hebat.

Dalam pertarungan awal Ryoma untuk mendapatkan tempat sebagai seorang pemain regular, Ryoma menggunapakai teknik Twist Serve, satu teknik serve dengan menambah spin kepada bola tennis. Sejurus bola tersebut sampai ke pihak lawan, ia akan bergerak dalam keadaan bertentangan arah, menyebabkan pihak lawan sukar untuk membalas bola tersebut.

Twist serve merupakan suatu pukulan yang mampu dibuat dalam dunia sebenar, dan mampu dibuat oleh ramai permain professional. Antara twist serve yang penulis minat adalah serve oleh Roger Federer:

https://www.youtube.com/watch?v=mM1P2ej4YtY

Diharapkan peminat Prince of Tennis terhibur dengan artikel ini. Ini bukanlah artikel sains atau sukan, sebaliknya sedikit kolaborasi ringan dari peminat PoT sendiri. Sekiranya ada teknik-teknik yang tidak dinyatakan, boleh ditambahkan di ruangan komen.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.