Kita semua pernah mendengar situasi kelab lawan negara dalam soal pemilihan pemain untuk kejohanan antarabangsa. Bagi peminat-peminat liga antarabangsa terutama Liga Perdana Inggeris (Premier League), anda pasti sudah biasa mendengar rungutan pengurus-pengurus seperti Jose Mourinho dan Arsene Wenger bila mana pemain-pemain mereka dipilih, lebih-lebih lagi sekiranya dipilih pada waktu yang kurang sesuai.

Di Malaysia sendiri, pertembungan kelab dengan negara menyaksikan kem pasukan bawah 22 tahun negara hanya ada enam orang pemain selepas beberapa pasukan kelab atau negeri enggan melepaskan pemain atas sebab-sebab tertentu sehingga menimbulkan kegusaran jurulatih bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee dan pengurus pasukan merangkap Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusof Mahadi. Persoalannya di sini, mengapa perkara sebegini berlaku?

Figure 2: Pertembungan terbaru kelab lawan negara musim lepas ialah keengganan Liverpool melepaskan Joel Matip kepada pasukan Cameroon. Sumber: http://www.bbc.co.uk/programmes/p04kt3w0

Selalunya, pertembungan kelab lawan negara berlaku disebabkan kelab enggan melepaskan pemain atas sebab-sebab tertentu seperti faktor kecederaan dan keletihan. Walaupun kelab sudah menasihatkan persatuan negara tersebut untuk mencari pemain alternatif tetapi pengurus pasukan sudah pasti mahukan pemain tersebut. Jika kita melihat dari sudut pandangnya, si pengurus melihat pemain tersebut dapat memberi suntikan motivasi dan kemahiran kepada pasukan untuk memenangi perlawanan. Dan atas sebab inilah, perbalahan selalu tercetus antara pengurus pasukan negara dengan pengurus kelab.

Figure 3: Kecederaan yang dialami Vincent Kompany semasa bertugas bersama pasukan Belgium mencetuskan kemarahan Mauricio Pellegrini pada musim 2015-2016. Sumber: http://ghanasoccernet.com/vincent-kompany-at-the-centre-of-club-vs-country-row-after-latest-injury-r

Contoh paling mudah, perbalahan Sir Alex Ferguson dengan bukan seorang tetapi dua bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson dan Fabio Capello berkenaan pemilihan Wayne Rooney pada Piala Dunia 2006 dan 2010. Pada 2006, Fergie menyifatkan pemilihan Rooney ke dalam pasukan ke Jerman sebagai kurang bijak kerana beliau baru saja pulih dari kecederaan metatarsal dan tidak cergas. Sementara pada 2010, pada tahun di mana England menunjukkan prestasi buruk dalam Piala Dunia, walaupun Fergie menafikan kecederaan lutut Rooney menyebabkan prestasinya merosot ketika itu, secara tidak langsung ia juga turut memainkan peranan selain tekanan yang tinggi yang menyebabkan Rooney dan seluruh pasukan England merosot. Selain Fergie, Capello turut berbalah dengan pengurus Liverpool ketika itu, Rafael Benitez yang menuduh England cuai menjaga kecergasan kapten mereka, Steven Gerrard semasa bertugas dengan pasukan kebangsaan.

Selain faktor kecederaan dan kecergasan, sesetengah kelab enggan melepaskan pemain mereka kepada pasukan kebangsaan kerana bimbang tidak ada pemain dalam pasukan yang boleh menggantikan tempat pemain tersebut. Pemain-pemain sebegini dianggap bintang dalam pasukan dan memberi suntikan psikologi kepada pasukan pada hari perlawanan. Sekiranya mereka tiada dalam pasukan dan kelab merosot dalam liga atau terkeluar daripada perlawanan kelab, maka kelab sudah tahu siapa yang patut dipersalahkan tentang kemerosotan mereka.

Persoalan sebegini seharusnya tidak berlaku kerana bagi saya, setiap pemain bersifat boleh digantikan. Tindakan sebegini dilihat bukan saja mementingkan diri tetapi juga memberi isyarat kepada pemain-pemain muda bahawa mereka tidak akan mendapat tempat dalam pasukan utama. Ini satu kegilaan kerana secara tidak langsung, kelab telah membazirkan pelaburan jutaan ringgit dalam pasukan remaja dengan enggan membenarkan mereka beraksi di hadapan penyokong sendiri. Sekurang-kurangnya dengan menurunkan pemain lain, mereka merasakan mereka ada peluang merebut tempat kesebelasan utama dan menambah keyakinan beraksi dengan cemerlang di hadapan penonton. Dan sekiranya pemain gantian tersebut cemerlang sepanjang ketiadaan pemain yang mewakili pasukan kebangsaan, ia pasti mencetuskan dilema pemilihan pemain yang bagus bagi jurulatih atau pengurus kelab.

Ada juga yang enggan melepaskan pemain atas sebab nak menjaga kebajikan pemain. Memang diakui bila mana pemain-pemain ini beraksi di kejohanan besar, peluang untuk mereka cedera adalah tinggi lebih-lebih lagi sekiranya tempo permainan yang diterapkan di peringkat kebangsaan lebih hebat daripada peringkat kelab. Dan sekiranya kecederaan berlaku, walaupun mendapat pampasan insurans oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan persatuan bola sepak benua seperti UEFA dan AFC, ia masih tidak boleh menggantikan kos kerugian yang ditanggung. Dan bagi si pemain, sekiranya kecederaan yang dialami bersifat jangka panjang, ia memberi impak dari segi psikologi selain kehilangan tempat dalam kesebelasan utama.

Walaupun kita memahami risiko yang ditanggung kelab atau pasukan negeri, seharusnya sentimen sebegini patut diketepikan atas nama patriotisme. Bukan mudah bagi mana-mana pemain mendapat panggilan mewakili pasukan kebangsaan kerana ia satu penghormatan tertinggi kepada pemain dalam karier permainan mereka. Bagi yang mendapat panggilan pasukan kebangsaan, mereka seharusnya merasa bangga kerana mereka menjadi sebahagian daripada kumpulan elit yang bermain demi maruah negara. Tidak perlu lihat jauh, lihat Kevin Davies, bekas kapten dan penyerang Bolton Wanderers. Pada usia 33 tahun, beliau mencipta rekod sebagai pemain England tertua melakukan kemunculan pertama selepas Leslie Compton melakukannya pada usia 38 tahun. Bagi peminat Selangor dan Johor Darul Takzim (JDT), anda pasti mengenali Amri Yahyah. Walaupun usia beliau mencecah 35 tahun, itu tidak menghalang beliau untuk terus berbakti sekiranya dipanggil mewakili pasukan kebangsaan. Kelab yang enggan melepaskan pemain atas dasar sebegini patut merasa malu dengan tindakan mereka.

Jika hendak menyalahkan jadual perlawanan persahabatan atau kejohanan besar yang diatur FIFA, persatuan bola sepak benua atau serantau atau penganjur liga, maka tidak bole juga dipersalahkan seratus peratus. Kesemua pihak yang saya sebut ini berusaha keras memuaskan hati semua pihak walaupun ramai cuba lobi untuk berlaku bias kepada kepentingan mereka seperti Persatuan Kelab-Kelab Eropah (ECA). Bagi penganjur liga, mereka mendahulukan kepentingan pasukan kebangsaan mengatasi liga domestik kerana ini memberi peluang kepada pasukan kebangsaan membuat persediaan menghadapi kejohanan besar atau serantau. Walau bagaimanapun, mereka juga patut menanggung serba-sedikit kesalahan ini kerana tidak menyediakan inisiatif untuk membantu kelab-kelab melepaskan pemain seperti rehat musim sejuk atau mengatur perlawanan ke tarikh yang lebih sesuai untuk jaga tahap kecergasan pemain.

Penyiar TV juga patut dipersalahkan atas situasi kelab lawan negara. Ini kerana dengan wang penyiaran TV yang semakin meningkat dari tahun ke tahun, pihak penyiar sesuka hati mengaturkan perlawanan untuk siaran TV walaupun itu bermakna menjejaskan tahap kecergasan pemain dan kualiti permainan yang ditonjolkan pasukan yang dipilih. Dan ini bukan perkara baru kerana ramai pengurus di luar negara seperti Mourinho dan Jurgen Klopp menyeranah penyiar TV yang terlalu mengejar keuntungan tanpa mengambil kira tahap kecergasan pemain. Ini sekaligus menyukarkan pemain mengekalkan tahap kecergasan mereka bila mereka dipanggil mewakili pasukan kebangsaan. Dan atas sebab yang sama juga, akhbar The Guardian dan akhbar-akhbar utama Jerman turut menyelar penyiar TV, pengiklan dan persatuan bola sepak serantau kerana terlalu mengejar keuntungan semasa perlawanan Liga Juara-Juara Eropah musim lepas Borussia Dortmund-AS Monaco walaupun sehari sebelum itu, pasukan Dortmund mengalami trauma selepas bas pasukan mereka diserang dengan bom sehingga mencederakan pemain pertahanan Sepanyol, Marc Bartra.

Sebagai penutup, saya ingin menyimpulkan situasi kelab lawan negara tidak akan berlaku sekiranya wujud tolak ansur antara kedua-dua belah pihak. Pada masa sama, pihak-pihak lain seperti FIFA, persatuan bola sepak benua atau serantau, penyiar TV dan pengiklan juga patut bertimbang rasa tentang situasi ini. Sekiranya ini dibiarkan, yang rugi bukan saja pasukan kebangsaan dan kelab tetapi juga mutu bola sepak sesebuah negara secara keseluruhannya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply