PRASASTI atau batu bersurat merupakan salah satu daripada pembuktian sejarah bagi kewujudan sebuah kerajaan lama yang sekarang banyak ditemui di dunia.  Untuk di Pulau Borneo, Prasasti Yupa yang ditemui di Bukit Berubus, Muara Kaman, Kalimantan Timur pada tahun 1879 menjadi bukti agung di dalam membenarkan kewujudan sebuah kerajaan kuno tertua di Pulau Borneo iaitu Kerajaan Kutai Martadipura atau Kerajaan Quwitaire Maraduvur (India) atau Kerajaan Kho-Thay (China).  Kewujudan kerajaan kuno ini disahkan lebih awal daripada Kerajaan Kutai Kartanegara iaitu sekitar abad ke-4 masihi. 

Tulisan yang terdapat pada tujuh batu Prasasti Yupa menunjukkan ianya ditulis dengan menggunakan sistem tulisan yang dikenali sebagai Tulisan Pallava di dalam bahasa sanskrit.  Tulisan Pallava adalah satu sistem tulisan abugida yang mana ia hanya digunakan oleh para Brahman atau sami-sami Brahman pada kurun ke-4 masihi.  Berdasarkan kepada inilah juga dinyatakan bahawa kerajaan terawal yang bertapak di Pulau Borneo ini mempunyai pengaruh Hindu di dalam pemerintahannya. 

Menariknya mengenai prasasti yupa ini adalah bagaimana ketujuh-tujuh batu bersurat yang ditemui sebenarnya menceritakan satu-persatu mengenai letak duduk kerajaan kuno ini dimulai dengan pengasas dan salsilah raja-raja sehinggalah kepada sistem pemerintahannya yang meliputi kehidupan sosial, agama, budaya, ekonomi sehinggalah zaman kegemilangan kerajaan itu sendiri. 

Berdasarkan kepada Yupa ini menunjukkan bahawa pengasas kepada Kerajaan Kutai itu dimulai oleh seorang pembesar dari Kerajaan Champa yang bernama Ga-Dong-Ga atau Kudungga.  Pada peringkat awal tertubuhnya kerajaan ini corak pemerintahannya masih lagi mengamalkan pemerintahan berbentuk kepada suku dengan penglibatan masyarakat tempatan yang mengamalkan animisme.  Sehinggalah apabila Kudungga digantikan oleh puteranya yang bernama Aswawarman baharulah ianya menjadi sebuah kerajaan yang tersusun yang mana legasi pemerintahannya hanya meliputi keluarga Kudungga sahaja.   

Raja Aswawarman dijelaskan turut digelar dengan nama Wangsakerta iaitu yang bermaksud “pembentuk keluarga”.  Digelar sedemikian rupa kerana Raja Aswarmanlah sebenarnya pembentuk kerajaan kuno ini dengan mempunyai pengaruh hindu di dalam pemerintahannya.  Sebagai raja yang pertama pada waktu itu maka tidak hairanlah sekiranya di dalam transkrip yupa turut menggelarnya sebagai Dewa Ansuman atau Dewa Matahari.  Iaitu satu bentuk puji-pujian bagi mengangkat status raja yang disembah oleh rakyat pada masa itu. 

Semasa pemerintahan Raja Aswawarman ini turut diceritakan mempunyai satu upacara yang dikenali dengan nama upacara Aswamedha.  Upacara Aswamedha merupakan satu upacara pelepasan kuda secara besar-besaran bagi menentukan batas-batas sempadan wilayah kerajaan kuno pada waktu itu. 

Penerus legasi Raja Aswawarman adalah seorang yang bernama Mulawarman.  Dikatakan pada zaman pemerintahan Raja Mulawarman inilah kerajaan kuno ini mencapai zaman kegemilangannya.  Empayarnya menjadi semakin luas dan limpahan ekonominya cukup banyak sehingga mampu memakmurkan rakyatnya. 

Selain sebagai raja agung, Raja Mulawarman juga disifatkan sebagai seorang raja yang pemurah dan dermawan.  Dicatatkan raja agung ini pernah menderma 20,000 ekor lembu untuk kegunaan para sami brahman yang mengepalai kuil-kuil suci iaitu yang dipanggil “Vaprakcvara”.  Di kuil suci inilah rakyat kerajaan ini menyembah dewa Siva, salah satu tuhan masyarakat Hindu.

Selepas zaman keagungan Raja Mulawarman, kerajaan kuno ini dikemudi secara legasi oleh keturunannya iaitu seramai 18 orang kesemuanya.  Dan zaman kejatuhannya walau tidak dicatatkan di dalam prasasti yupa sebaliknya direkodkan di dalam satu lagi sejarah kerajaan lama di Borneo iaitu yang dikenali sebagai Kerajaan Kutai Kartanegara. 

Menurut pensejarahannya, kerajaan awal kutai kuno ini mengalami kekalahan perang sewaktu pemerintahan raja yang terakhir iaitu yang dikenali dengan nama Raja Dharma Setia. Raja kutai kuno ini kalah kepada satu lagi kerajaan jiran yang berada di kawasan yang sama iaitu Kerajaan Kutai Kartanegara yakni ketika pemerintahan Aji Pangiran Anum Panji Mendap. 

Sejak itu kutai kuno yang dikenali dengan nama Kutai Martadipura atau Quwaitaire Maraduvur hilang dan menjadi sebahagian pembentuk Kerajaan Kutai Kartanegara yang ibukotanya berada di Tanjung Kute.  Legasi pemerintahannya juga berlainan iaitu tiada kaitan dengan salsilah Ga-Dung-Ga, pengasasnya. 

Sehingga sekarang Prasasti Yupa bukti kewujudan Kerajaan Quwitaire Maraduvur, kerajaan paling tua di Borneo masih lagi terpelihara dan dipamerkan secara ekslusif di Muzium Nasional, Jakarta, Republik Indonesia.

-HB-

#kameksayangSarawakbah!

RUJUKAN:

  1. Sejarah Kutai. https://www.kompasiana.com/zanita/5c98b9f395760e01981b35f2/sejarah-kerajaan-kutai
  2. Kerajaan Kutai – Sejarah, Nama Raja, Sistem Pemerintahan Dan Peninggalan. https://www.ruangguru.co.id/kerajaan-kutai-sejarah-nama-raja-sistem-pemerintahan-dan-peninggalannya-lengkap/
  3. Prasasti Yupa. https://situsbudaya.id/prasasti-yupa/
  4. Tujuh Prasasti Yupa Muara Kaman . https://www.korankaltim.com/arsip/tujuh-prasasti-yupa-muara-kaman
  5. Isi Prasasti Yupa dan Pengertian Lengkap. http://ipospedia.com/pengertian-prasasti-yupa/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.