Prasasti Plat Tembaga Laguna: Teks Purba Yang Mengubah Persepsi Sejarah Filipina

1,487

https://bit.ky/kombowww

Prasasti Plat Tembaga Laguna merupakan nama bagi sebuah prasasti Filipina yang ditulis pada kurun ke-10 Masehi, era yang sebelum ini dianggap oleh sejarahwan sebagai era di mana Filipina masih terasing dari dunia luar.

TAMADUN-TAMADUN UTAMA DI ASIA TENGGARA PADA KURUN KE-10

Keluasan Empayar Srivijaya pada kurun ke-8M

Pada kurun ke-10 Masehi, banyak kerajaan terkemuka wujud di Asia Tenggara. Antara yang paling masyhur adalah Empayar Khmer yang mendominasi kebanyakan wilayah di daratan besar Asia Tenggara. Di belahan timurnya pula, Vietnam moden dibahagikan antara China di utara dan Kerajaan Champa di selatan. Jauh di selatan tanah besar Asia Tenggara pula, empayar maritim Srivijaya mendirikan kekuasaannya.

Namun, di rantau kepulauan Filipina, tidak banyak maklumat yang diketahui oleh sejarahwan pada kurun tersebut. Kekurangan maklumat ini mendorong sejarahwan untuk menyimpulkan bahawa rantau itu terpencil dari dunia luar. Makanya, kehadiran Prasasti Plat Tembaga Laguna dianggap signifikan kerana ia menggesa sejarahwan untuk menilai-semula sejarah di Asia Tenggara secara umum dan sejarah Filipina secara khusus, pada kurun ke-10M.

CIRI-CIRI PLAT TEMBAGA LAGUNA

Plat Tembaga Laguna berbentuk sekeping tembaga berukuran kira-kira 20×20 cm (7.9×7.9 inci) dan ia ditemui pada tahun 1987. Dilaporkan bahawa artifak ini dijumpai semasa aktiviti-aktiviti pengorekan sedang dijalankan di Sungai Lumbang, Wilayah Laguna. Wilayah tersebut terletak di bahagian timur Manila, ibu negara Filipina.

Namun, Plat Tembaga Laguna hanya meraih perhatian sejarahwan pada tahun 1990, iaitu tahun di mana ia cuba dijual kepada Muzium Kebangsaan di Manila setelahmana sebelumnya ia terlebih dahulu cuba dijual dalam pasaran antik.

PLAT TEMBAGA LAIN SEBAGAI PELENGKAP

Penyelidikan yang dilakukan oleh seorang ahli antropologi Belanda yang bernama Antoon Postma mendapati prasasti Plat Tembaga Laguna tidak sempurna dan terdapat kemungkinan wujud sebuah lagi kepingan plat tembaga lain yang melengkapkan kedua-dua prasasti berkenaan. Dalam sebuah artikel yang diterbitkan pada tahun 1992, Postma menulis:

“Tambahan pula, terdapat beberapa individu yang setelah melihat gambar LCI (Laguna Copperplate Inscription) menyatakan tanpa ditanya bahawa mereka pernah menyaksikan kepingan plat tembaga sekitar waktu yang sama (tahun 1987). Namun, kepentingan plat tembaga berkenaan belum lagi disedari pada masa itu dan makanya, terdapat kemungkinan kepingan kedua LCI berakhir di tempat pembuangan sampah dan hilang tanpa dapat dijejak.”

LATAR BELAKANG PRASASTI PLAT TEMBAGA LAGUNA

Kandungan inskripsi pada plat tembaga ini cukup menarik untuk diselidiki. Misalnya, jenis tulisan yang digunakan pada prasasti berkenaan dikenal pasti sebagai sistem tulisan Kawi Awal, iaitu sejenis sistem tulisan yang berasal-usul dari Pulau Jawa dan digunakan secara meluas di Asia Tenggara pada kurun ke-10M. Sistem tulisan ini sendiri mengambil inspirasi daripada sistem tulisan Pallava yang berasal-usul dari India.

Berkenaan bahasa yang digunakan pada Plat Tembaga Laguna itu pula, didapati ia banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit, Melayu Lama, dan Jawa Lama. Kedua-dua sistem tulisan dan bahasa yang digunakan pada Prasasti Plat Tembaga Laguna membuktikan bahawa Kepulauan Filipina tidaklah terasing dari tamadun-tamadun luar di Asia Tenggara sepertimana yang diandaikan sebelum ini.

Tempat-tempat yang disebutkan dalam Prasati Plat Tembaga Laguna

KANDUNGAN PRASASTI

Kandungan prasasti ini dimulakan dengan pernyataan tarikh:

“Sejahtera! Tahun saka 822; bulan Mac-April, menurut ahli astronomi; hari keempat dari bulan separa yang kelam; hari Isnin.”

Tahun Saka berasal-usul dari India (menandakan penabalan maharaja Kanishka dari Kerajaan Kush). Tahun 822 saka dipercayai bersamaan dengan tahun 900 Masehi dalam kalendar Gregorian. Penggunaan sistem kalendar ini merupakan bukti lanjut tentang wujudnya hubungan kebudayaan antara Kepulauan Filipina dan tamadun-tamadun Asia Tenggara yang lain, yang pada masa itu berada di bawah pengaruh kebudayaan India.

Berkenaan kandungan Prasasti Plat Tembaga Laguna, sejarahwan mendapati prasasti itu adalah ‘sijil separa-rasmi tentang pembebasan hutang yang ditanggung oleh seorang pegawai tinggi, berserta seluruh keluarga, kerabat, dan keturunannya.”

Salinan Prasasti Plat Tembaga Laguna

Pembebasan hutang ini juga disahkan oleh pegawai/pemimpin lain, yang sebahagiannya ada disebutkan nama serta kawasan yang ditadbir oleh mereka. Antara yang disebutkan di dalam prasasti berkenaan adalah ‘Yang Mulia Pentadbir Puliran, Kasumuran; Yang Mulia Pentadbir Pailah, Ganasakti; (dan) Yang Mulia Pentadbir Binwangan, Bisruta.” Perekodan nama-nama ini mengisyaratkan wujudnya organisasi politik dan sosial di Filipina pada kurun ke-10M.

Sebagai kesimpulan, Plat Tembaga Laguna mungkin tidaklah menggamit perhatian khalayak seperti artifak-artifak emas mahupun perak. Akan tetapi, prasasti ini menyimpan signifikan yang sangat besar kerana ia berpotensi untuk menggesa sejarahwan meneliti semula sejarah Filipina pada era pra-kolonial, khususnya pada kurun ke-10M dan meninjau kembali interaksi antara kepulauan itu dan tamadun-tamadun Asia Tenggara yang lain.

RUJUKAN:

Wu Mingren. (20 November 2015). The Laguna Copperplate Inscription: An Ancient Text that Changed the Perception of the History of the Philippines. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/laguna-copperplate-inscription-ancient-text-changed-perception-history-020630

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.