Sewaktu aku kecil dahulu, ada seorang pakcik yang sering datang untuk menjual askrim buatannya sendiri di kawasan rumah kami. Setiap kali aku membeli aiskrimnya, aku selalu perasan yang sebelah tangannya akan berbalut dengan sehelai kain. Mulanya aku fikir, dia tak ingin aiskrim tersebut terkena tangannya, dan ingin menjaga kebersihan.

Sehinggalah suatu hari, kain itu secara tidak sengaja terbuka dan memperlihatkan keseluruhan jari jemarinya. Rupanya dia mempunyai enam jari di tangan kanannya! Sungguh, akal kanak-kanak aku waktu itu menganggap keadaan itu sebagai sesuatu yang menakutkan! Dan, aku tidak lagi mahu mendekatinya.

Ini adalah kisah tentang polydactyly, iaitu keadaan seseorang individu yang dilahirkan dengan keadaan jari yang banyak (terlebih) sama ada pada bahagian tangan ataupun kakinya. Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai apa itu polydactyly, rekod sejarah awal tentang polydactyly dan mitos di sebalik kejadian polydactyly ini.

Apa itu polydactyly?

Polydactyly, secara perubatannya, merupakan suatu keadaan kejanggalan genetik pada anggota tangan atau kaki, yang dicirikan oleh jari (tangan atau kaki) yang terlebih. Polydactyly ini juga turut dikenali sebagai hyperdactyly atau hexadactyly, dikaitkan dengan pelbagai morphologic phenotypes sebagai sebahagian daripada sindrom polydactyly atau boleh wujud sebagai keadaan yang terasing (bukan sindrom polydactyly).

Istilah polydactyly itu sebenarnya datangnya daripada perkataan Greek, iaitu ‘poly’ yang bermaksud banyak dan ‘dactylos’ yang bermaksud jari. Pada abad ke-16, Ambrose Parey, iaitu seorang pakar bedah Perancis, telah menggambarkan keadaan ini sebagai ‘superfluous fingers’ atau jari-jari yang tidak diperlukan.

Polydactyly merupakan suatu kejanggalan kongenital yang kebiasaannya akan dapat dikesan serta-merta sewaktu kelahiran, yang meliputi pelbagai keadaan kejanggalan. Kebarangkalian kes ini berlaku adalah 1.6 hingga 10.7 dalam 1000 orang bagi populasi keseluruhan dan lelaki biasanya dua kali ganda lebih mudah terdedah kepada keadaan ini berbanding perempuan. Berdasarkan kajian yang dijalankan, polydactyly ini lebih cenderung melibatkan tangan kanan berbanding tangan kiri, manakala untuk kaki pula, kaki kiri adalah lebih cenderung mengalaminya berbanding kaki kanan.

Polydactyly ini boleh diwariskan dalam keluarga , dan apabila kes ini berlaku, ia dipanggil sebagai familial polydactyly. Dalam hal ini, ia adalah berkaitan dengan keadaan atau sindrom genetik keluarga berkenaan, iaitu ia boleh diwarisi oleh genetik yang sama. Sebaliknya, jika polydactyly ini berlaku bukan kerana warisan keluarga, ia berlaku akibat daripada perubahan yang berlaku dalam gen bayi sewaktu dalam kandungan lagi.

Secara umumnya, polydactyly ini bukanlah semata-mata merujuk kepada enam jari sahaja, malah lebih daripada itu. Dan, ia juga turut melibatkan penggandaan atau kejanggalan bagi bahagian anggota badan yang lain.

Rekod sejarah polydactyly

Rekod paling awal yang mencatatkan keadaan manusia dengan polydactyly ini adalah sewaktu zaman purba Mesopotamia. Pada waktu itu, polydactyly dianggap sebagai keadaan bahagian badan yang berganda, bukan sahaja pada manusia, malah haiwan, yang melibatkan gandaan kepala, lengan, kaki, tanduk dan lain-lain.

Di Mesopotamia, catatan bertulis pertama mengenai polydactyly telah dikesan di Summa Izbu, iaitu sebuah ringkasan (ikhtisar) yang mengandungi 24 tablet dengan lebih kurang 2800 petunjuk secara teratologi.

Pada beberapa tablet tersebut, terkandung banyak petunjuk (omen) yang menggambarkan polydactyly iaitu enam jari di sebelah tangan, dan enam jari di kedua-dua belah tangan. Malah, ada juga tablet yang menggambarkan keadaan enam jari pada bahagian kaki dan pada kedua-dua pasang tangan serta kaki.

Kebanyakan tablet berkenaan menggambarkan kecacatan bentuk pada badan manusia. Setiap petunjuk telah disertakan dengan sepotong ayat, yang dianggap sebagai ramalan atau tilikan terhadap setiap petunjuk yang digambarkan. Antara ayat yang terkandung pada tablet tersebut ialah:

“Jika wanita di istana melahirkan anak dan (anak itu) mempunyai enam jari pada bahagian kaki kirinya – bapanya (anak itu) akan menjadi tua.’

“Jika wanita di istana melahirkan anak, dan (anak itu) mempunyai enam jari pada kedua-dua tangan dan kakinya – sang putera akan menawan tanah milik musuh yang tidak dikenali.”

Masyarakat purba pada waktu itu langsung tidak berminat untuk mengetahui penyebab atau bagaimana untuk menyembuhkan kejanggalan pada anggota badan ini. Setiap petunjuk pada tablet tersebut tidak menceritakan bagaimana kejanggalan itu berlaku, tetapi lebih menceritakan mengenai kesan dan akibat daripada kejanggalan tersebut kepada individu itu, ibunya,bapanya, raja atau lebih ekstrim lagi, keseluruhan sistem politik. Dan kesan ini boleh menjadi negatif atau positif, seperti ayat yang digambarkan di atas.

Manusia sebenar yang paling awal dikesan dengan enam batang jari kaki datangnya dari Ain Ghazal, iaitu sebuah tapak Neolitik di  Jordan, pada sekitar 7500 tahun sebelum Masehi. Selain itu, kesan tapak kaki Sumeria yang turut menunjukkan enam batang jari dipercayai datang dari sekitar 2600 tahun sebelum Masehi.

Kesan serpihan daripada patung yang ditemui berhampiran Acre (atau Akko) dalam Israel pada hari ini, telah menunjukkan gambaran rakyat Mesir purba dengan enam batang jari pada tangan kanannya, dipercayai datang dari abad ke-13 dinasti Mesir purba.

Ahli arkeologi turut menemui kesan dari zaman pra-Kristian di kawasan Deir el-Balah berhampiran Gaza yang melibatkan sebuah patung lelaki (dipercayai dari abad ke-13 sebelum Masehi), yang diperbuat daripada tanah liat dengan keadaan lengannya yang bersilang serta mempunyai enam jari di tangan kirinya. Malah, sebuah patung perempuan dari Olympia, Greece turut ditemui dengan keadaan mempunyai enam jari di tangan kanan serta tujuh jari di tangan kirinya.

Aristotle (384 –322 sebelum Masehi) telah membincangkan mengenai isu polydactyly, melalui hasil kerjanya, iaitu De Generatione Animalium (On the Generation of Animals). Beliau telah menerangkan kedua-dua keadaan, iaitu ‘jari yang banyak’ serta ‘jari yang kurang’, dan membincangkan kepelikan pada kedua-duanya.

Pada zaman pertengahan Eropah, pelbagai kefahaman berkaitan polydactyly telah dikeluarkan. Augustine of Hippo (awal abad ke-5), sebagai contohnya telah menyatakan simbolik yang merujuk manusia yang dilahirkan dengan lebih daripada lima jari pada tangan atau kakinya, sebagai satu sebab ‘yang tidak difahami oleh manusia lain, tetapi hanya difahami Tuhan.’

Isu polydactyly terus dibincangkan secara saintifik menjelang abad ke-19, dengan pelbagai kajian empirikal mula dijalankan oleh pihak universiti dan ahli perubatan. Antara kajian empirikal terawal yang ditulis, adalah oleh Francesco Marzolo, iaitu seorang graduan perubatan di Padova pada tahun 1842. Menariknya, kajian ini adalah mengenai kaitan warisan keluarga terhadap kes polydactyly, yang akhirnya menjadi rujukan bagi kajian seterusnya selepas kematiannya.

Mitos polydactyly

Setiap komuniti dan masyarakat dunia mempunyai mitos dan kepercayaan yang tersendiri berkaitan dengan polydactyly atau kejadian jari terlebih ini. Terdapat satu kepercayaan yang berkait rapat dengan fenomena enam digit (hubungan dengan polydactyly) ini, iaitu berdasarkan kepercayaan tersebut, gergasi yang pernah berjalan di bumi ini mempunyai enam jari tangan.

Selain kepercayaan tersebut, di Ecuador, terdapat satu puak yang dikenali sebagai Waorani. Menariknya, kebanyakan individu dalam puak ini mempunyai enam jari tangan dan kaki, malah mereka turut memiliki ciri-ciri gergasi (waoranis) yang dikenali dengan sikap ganas mereka. Namun, secara luarannya, mereka ini hanyalah manusia normal yang mempunyai fizikal besar dengan masalah kemarahan. Secara perubatannya, puak ini tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang lain, kecuali bersikap ganas dan kuat.

Kebanyakan mitos yang dikaitkan dengan polydactyly adalah sama ada secara positif atau secara negatif. Dari sudut positifnya, kebanyakan individu percaya bahawa memiliki jari lebih pada tangan kanan akan memberikan tuah yang banyak. Sebaliknya, memiliki jari terlebih pada tangan kiri akan memberikan nasib malang. Seperti mana di dalam puak Waorani, memiliki jari terlebih adalah simbol kepada kekuatan dan kuasa.

Dalam mitos masyarakat Hindu, tambahan jari atau tangan ini adalah simbol kekuasaan, manakala dalam mitos Jepun pula, Dewa Laut dan Ribut, iaitu Susanoo, telah digambarkan sebagai mempunyai lengan yang ketiga. Selain itu, dalam mitos masyarakat Hungary, mempunyai enam jari pada mana-mana tangan adalah satu petunjuk kepada kuasa supernatural dalam diri seseorang. Dalam kitab Bible sendiri ada dinyatakan mengenai saudara Goliath yang mempunyai enam jari tangan dan kaki.

Terdapat beberapa nama besar di dunia yang menghadapi polydactyly seperti Hrithik Roshan, yang memiliki enam jari di tangan kanannya, Oprah Winfrey (enam jari kaki) dan Maria Sharapova (enam jari kaki).

Kesimpulan

Polydactyly adalah satu isu dan masalah genetik dalam aspek perubatan dan bukanlah satu petunjuk kepada nasib malang atau tuah seseorang individu. Apa yang penting bukanlah bilangan jari yang dimiliki, tetapi bagaimana seseorang itu dapat memanfaatkan kelebihan yang ada pada dirinya.

RUJUKAN:

Lange, A., & Muller, G. B. (2017). Polydactyly in development, inheritance, and evolution. Quarterly Review of Biology, 92(1), 1–38.

Umair, M., Ahmad, F., Bilal, M., Ahmad, W., & Alfadhel, M. (2018). Clinical Genetics of Polydactyly: An Updated Review. Frontiers in Genetics, 9(November), 1–9.

Wrobel, G. D., Helmke, C., Nash, L., & Awe, J. J. (2012). Polydactyly and the Maya: A review and a case from the site of Peligroso, upper Macal River Valley, Belize. Ancient Mesoamerica, 23(1), 131–142.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.