Tempoh hari ada seorang ahli politik bertweet pasal partinya harus berubah dari “haluan kanan” ke “haluan tengah” kalau tak mahu ditenggelam zaman.

Pasti ramai tak faham apa maksud istilah-istilah “kanan” “tengah” “kiri” dalam politik. Orang yang bertweet tu lepasan jurusan PPE (Philosophy, Politics, Economics) Oxford, istilah-istilah tu makanan harian beliau, tapi tidak bagi majoriti rakyat Malaysia.

“Kiri” (left), “kanan” (right), “tengah” (centre), “kiri melampau” (far left), “kanan melampau” (far right), “kiri tengah” (centre-left) dan “kanan tengah” (centre-right) ni dalam sains politik kita panggil sebagai “posisi politik” (political position) atau posisi dalam “spektrum politik” (political spectrum).

Benda ni wujud dalam semua negara yang mempunyai sistem dua parti atau pelbagai parti. Label-label ni tak sama dengan label “macai” “walaun” “pandap”, tujuannya bukan untuk menghina tapi untuk memberi gambaran kasar tentang haluan politik sesebuah parti atau seseorang ahli politik.

Media luar seperti Al Jazeera dan SCMP pun guna “centre-left” dan “left-leaning” untuk melabel PH dan “right-wing” untuk melabel BN. Orang luar bila dengar pasal “left” dan “right” ni terus mereka boleh bayangkan apa parti-parti ni nak bawa. Orang kita je kurang sedar sebab kita banyak fokus kepada hal picisan.

Dulu masa Emmanuel Macron baru-baru up, media Perancis tak ada cerita pasal dia tu boleh meletupkan ovari atau tidak, yang mereka fokus ialah haluan “centrist” dan “centre-right” Macron sebagai alternatif kepada haluan “far right” Marine Le Pen.

Spektrum politik kiri-kanan ini berasal dari kampung Macron sendiri iaitu Perancis ketika Revolusi Perancis sekitar 1790-an. Waktu tu di dalam Konvensyen Kebangsaan (parlimen) Perancis, Kelab Jacobin iaitu golongan yang radikal, anti-raja dan anti-kapitalis akan duduk di sebelah kiri dewan parlimen, manakala Kelab Feuillant iaitu golongan yang konservatif, pro-raja dan terdiri daripada para bangsawan dan aristokrat akan duduk di sebelah kanan. Maka datanglah istilah kiri dan kanan dalam politik moden.

Dalam isu-isu ekonomi, golongan kiri cenderung kepada campur tangan kerajaan dan pengagihan hasil ekonomi secara samarata, manakala golongan kanan cenderung kepada pasaran bebas.

Dalam isu-isu sosial dan kebebasan individu, golongan kiri sokong kebebasan individu selagi tidak canggah dengan kebebasan orang lain, manakala golongan kanan lebih mementingkan soal ketenteraman awam (public order) berbanding kebebasan.

Dalam isu-isu budaya dan pendidikan, golongan kiri pro “multiculturalism” dan memberi kesamarataan kepada semua budaya, manakala golongan kanan menitikberatkan satu “budaya penakrif” (core culture) sebagai ikutan semua kaum. Di US, budaya WASP. Di Thailand, budaya Thai. Di Malaysia, budaya Melayu-Islam.

Golongan kanan juga lebih kuat menentang kemasukan imigran kerana takut kesannya terhadap budaya, jadi parti-parti populis di Eropah yang menentang kemasukan imigran dilabel sebagai “right-wing”.

Dalam isu-isu kedudukan agama, golongan kiri cenderung kepada sekularisme iaitu memisahkan agama daripada urusan awam, manakala golongan kanan rasa ada perlu peranan agama dalam urusan rasmi.

Fahaman kiri yang paling ekstrim ialah komunisme dan anarkisme yang mahu menghapuskan harta peribadi secara total dan mewujudkan kesamarataan antara manusia. Fahaman kanan yang paling ekstrim ialah fasisme yang mahu menghapuskan kebebasan individu dan meletakkan mereka di bawah kawal selia kerajaan.

Tapi fasis tak semestinya “kanan” dalam ekonomi. Hitler misalnya bercampur tangan dalam ekonomi dan menggelar program ekonominya sebagai “Third Way” iaitu alternatif kepada sosialis dan kapitalis. Fasis yang mengamalkan ekonomi kanan ada dalam sejarah Amerika Latin, misalnya Chile di bawah pemerintahan Augusto Pinochet (1973-1990).

Di US, Democratic Party ialah parti kiri manakala Republican Party ialah parti kanan.

Di UK, Labor Party ialah parti kiri manakala Conservative Party ialah parti kanan.

Di Jepun, Democratic Party of Japan (DPJ) ialah parti kiri manakala Liberal Democratic Party (LDP) ialah parti kanan. Ada juga parti kiri melampau seperti Parti Komunis Jepun dan parti kanan melampau seperti Japan Restoration Party.

Di Indonesia, Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (parti Jokowi) ialah parti kiri yang menyambung legasi kiri Sukarno, manakala Golkar dan Gerindra ialah parti kanan.

Di Turki, Parti Rakyat Republikan (CHP) yang diasaskan oleh Ataturk ialah parti kiri, manakala Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) ialah parti kanan. Dalam pilihanraya baru-baru ini Erdogan punya AKP membentuk pakatan bersama Parti Gerakan Nasional (MHP) yang merupakan parti kanan melampau. AKP dilabel kanan bukan hanya sebab pendiriannya terhadap agama tetapi juga pendiriannya yang sangat pro kepada pasaran dan perniagaan, dengan kata lain, sungguh “kapitalis”.

Spektrum politik ni tidak sentiasa clear cut. Donald Trump walaupun mewakili parti kanan (Republican), tapi dia tak pro pasaran bebas. Nama Tun Abdul Razak walaupun terpaut dengan parti yang dikenali sebagai parti kanan, namun beliau berhaluan kiri dalam ekonomi, malah beliau pernah menyertai Labor Party semasa belajar di UK.

Orang yang mix and match posisi politik ni kita panggil “centrist”, macam Macron yang kiri dalam isu-isu sosial dan budaya, tapi kanan dalam ekonomi. Centrist tak sama dengan “moderate” yang tak mahu ambil posisi dalam apa-apa isu. Sebenarnya sukar nak kekal “moderate” dalam politik, macam tak ada pendirian, melainkan orang itu play safe atau sekadar lalang.

Sempena hari pertama parlimen Malaysia Baharu bersidang, semoga kita lebih terbuka kepada posisi-posisi politik yang berbeza, gantikan gelaran-gelaran hinaan dengan istilah “kiri” “kanan” “konservatif” “progresif” “liberal” (istilah yang paling sering disalahguna) dan sebagainya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.