Political Correctness: Mengawal Minda Melalui Bahasa

217

Dalam novel George Orwell, Nineteen-Eighty Four, ia mengisahkan watak bernama Winston Smith yang tinggal di sebuah negara totalitarian bernama Oceania, yang mengawal penduduknya dengan mengawal bahasa, dengan mengikis nilai-nilai bahasa dan menjadikan bahasa semakin ringkas iaitu bahasa Newspeak.

Pengawalan bahasa yang dijalankan oleh rejim Big Brother seperti melantik anggota masyarakat menjadi mata dan telinga kerajaan, serta segala bahan bacaan dikawal oleh Thought Police.

Saya sendiri sudah khatam membaca buku ini beberapa kali, dan apabila kali terakhir menghabiskan buku ini pada bulan lepas, ada sesuatu yang sama seperti apa yang berlaku dalam buku ini.

Baru-baru ini, CEO Facebook, Mark Zuckerberg berkata dalam tulisan dalam kolumnya di The Washington Post (1), akan menumpukan empat perkara utama iaitu menghalang kandungan berbahaya (harmful content), integriti dalam mengawal berita pilihan raya (election integrity), data yang mudah alih (data portability) dan privasi (privacy).

Rasa agak kelakar juga bila Mark Zuckerberg berkata akan menjaga privasi pengguna Facebook, tetapi tiga aspek yang lain, langsung tak menjaga privasi orang pun.

Baru-baru ni saya telah membuat ujikaji terhadap akaun Facebook saya sendiri. Antaranya dengan sengaja berkongsi di Facebook saya dengan kandungan (content) dari sayap kanan alternatif (alt-right) dan troll meme, serta cuba memindahkan data saya kepada fail yang lain.

Namun apa yang berlaku, saya telah diberikan amaran beberapa kali, termasuk pernah sekali saya hilang akses dengan akaun Facebook saya.

Persoalan saya, di manakah privasi saya sebagai seorang manusia kalau benda yang saya baca, atau tonton, diketahui oleh mereka yang mengawal Facebook saya?

Political correctness atau nama pendeknya, PC – telah digunakan sebagai senjata oleh neo-liberal bukan baru-baru ni, tetapi ia sudah digunakan sejak Perang Dunia Pertama lagi.

Menurut pelawak Amerika, George Carlin – bahasa Inggeris pada hari ini, terutamanya di Amerika Syarikat kini sudah hilang maknanya ditelan ‘euphemism’ (2). Contohnya, keadaan tentera yang dalam keadaan traumatik di dalam perang, sebelum Perang Dunia Pertama, dipanggil ‘shell-shock’. Ringkas, padat, dan hanya dua patah perkataan.

Pada Perang Dunia Kedua, ia dipanggil ‘battle fatigue’, pada perang Korea ia dipanggil ‘operational fatigue’, dan pada perang Vietnam hingga hari ini, dipanggil ‘post-traumatic disorder syndrome’.

Begitu juga dengan perkataan lain dalam bahasa Inggeris seperti hospital, kini dikenali sebagai ‘wellness center’, atau ‘old people’ menjadi ‘senior citizen’ atau ‘golden citizen’. Semua perkataan ini, menurut Carlin – adalah untuk menipu orang ramai tentang keadaan yang sebenar dengan perkataan yang kedengaran menarik.

Tetapi apa yang menarik, bukan sahaja syarikat gergasi teknologi seperti Facebook, Twitter dan Google sahaja mengawal pemikiran, tetapi mereka yang berada di dalam komuniti media sosial itu sendiri turut menjadi mata dan telinga kepada Big Brother.

Kita sering melihat beberapa akaun media sosial yang bercanggah dengan pendapat neo-liberal serta yang tidak mematuhi syariat third-wave-feminism, akan diserang beramai-ramai dan pihak penjaga media sosial seperti Facebook dan Twitter, dengan pantas memadamkan akaun yang terlibat.

Orang yang memiliki pandangan berbeza akan diserang, akan dikecam, akan dimalukan dan akan diejek beramai-ramai oleh golongan yang selalu berkata tentang hak kebebasan bersuara dan menentang cyber-bullying.

Some people have more free speech than others.

Adalah amat menyeramkan bila kita melihat pada media sosial hari ini. Kita dikawal oleh pemilik syarikat CEO tech gergasi dan kalau kita bercanggah dengan pendapat orang seperti Mark Zuckerberg, maka kita akan dihalang daripada bersuara.

Kalau media sosial nak jadi media yang bebas, ia haruslah bebas dari syarikat konglomerat yang hanya mahu membuat keuntungan ke atas orang yang tidak mampu ada daya berfikir selain mengikut pemikiran yang ditetapkan.

Political correctness adalah satu cara thought police mengawal minda manusia. Dan apabila bercakap tentang soal privasi, bukan hak Mark Zuckerberg atau golongan PC police ini untuk tentukan apa saya nak fikir dan ideologi mana saya nak sokong.

RUJUKAN:

  1. Zuckerberg, Mark. (2019). Mark Zuckerberg: The Internet Needs New Rules. Let’s Start In These Four Areas. The Washington Post.
  2. George Carlin on Euphemisms. https://www.youtube.com/watch?v=qvISFZ7bQcE

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.