Pokok Perhiasan Di Rumah Anda Yang Beracun

633

Baru-baru ini, aku terbaca perkongsian salah seorang pengguna Facebook berkenaan satu peristiwa cemas telah berlaku, yang mana anak beliau iaitu seorang kanak-kanak perempuan, mengalami keracunan akibat dari menggigit pokok perhiasan dari genera Dieffenbachia.

Alhamdulillah, kanak-kanak itu dapat diselamatkan setelah menerima rawatan.

Dieffenbachia ini ialah salah satu daripada pokok yang popular dan sering ditanam di kawasan rumah sebagai perhiasan. Tumbuhan ini tergolong dalam keluarga Araceae.

Rumah aku pun ada pokok ni.

Antara sebab mengapa ia sering dijadikan pokok perhiasan sama ada di dalam atau di kawasan rumah, adalah kerana ia tetap mampu hidup dalam keadaan atau persekitaran yang kurang pendedahan terhadap cahaya matahari.

Ciri-ciri pokok Dieffenbachia ini adalah seperti berikut;

– Berketinggian 60 sentimeter – 3 meter.

– Dedaunnya mempunyai tompokan besar yang berlainan warna (putih / kuning / hijau).

– Panjang daun 30-45 sentimeter, dan berkelebaran 15-20 sentimeter.

Walau bagaimanapun, malangnya Dieffenbachia juga antara genera paling bertoksik di dalam keluarga Araceae (keluarga tumbuhan yang terkenal dengan spesies pokok yang beracun). Oleh sebab ini juga lah, terdapat banyak kes keracunan yang telah dilaporkan. Majoriti daripada mangsanya, terdiri daripada kanak-kanak dan haiwan peliharaan.

Walaupun dengan hanya memakan sebahagian kecil daripada daun Dieffenbachia ini, ia akan menyebabkan kesakitan dan iritasi yang teruk pada bahagian mulut, tekak dan kotak suara. Di dalam kes yang serius, seperti berlakunya keradangan pada bahagian lidah dan mulut (stomatitis) akan menyebabkan seseorang individu itu tercekik.

Selain itu, disebabkan stomatitis itu juga, ia boleh menjurus kepada aphonia, satu keadaan yang menyebabkan mangsa keracunan tidak dapat berkata-kata, untuk selama beberapa hari lamanya. Manakala dalam kes lain, ia akan menyukarkan percakapan, membuatkan kata-kata dari mangsa sukar untuk difahami.

Berikut adalah petikan daripada Rujukan (1).

“If one Cut this cane with a Knife, and put the tip of the Tongue to it, it makes a very painful sensation, and occasions such a very great irritation on the salivary ducts, that they presently swell, so that the person cannot speak, and do nothing for some time but void spittle in a great degree, or salivate, which in some time goes off, in this doing in a greater degree, what European Arum does in a lesser, and from this its quality, and being jointed this Arum is called Dumb-Cane”.

Mengenali Racun Dieffenbachia

Kebanyakan daripada tisu tumbuh-tumbuhan, mengandungi sel yang umum dikenali sebagai idioblast. Idioblast ialah sejenis sel yang sangat istimewa. Rupa bentuknya berlainan dan dapat dibezakan dengan mudah daripada sel-sel sekitar lain yang terdapat di dalam tumbuhan tersebut.

Sel idioblast dan kristal Raphide

Sel idioblast mempunyai fungsi yang pelbagai. Sama ada berfungsi sebagai tempat simpanan, bertanggungjawab menghasilkan pigmen dan mineral untuk kegunaannya. Dalam erti kata lain, sel idioblast boleh mengandungi pelbagai bahan organik yang membantunya untuk terus hidup.

Tetapi dalam kes ini, sel idioblast di dalam tumbuhan dari keluarga Araceae yakni Diaffenbachia, ia mengandungi atau turut bertanggungjawab menghasilkan kristal yang diperbuat daripada calcium oxalate.

Kristal ini dihasilkan dan disimpan dalam sel idioblast berbentuk gelendong, dan pada sel ini, terdapat unjuran (bentuk) seakan puting, pada setiap satu bahagian hujungnya yang berkemampuan mengeluarkan kristal calcium oxalate itu tadi.

Kristal-kristal ini juga mempunyai rupabentuk yang unik. Setakat ini 3 pembentukan kristal calcium oxalate yang utama dapat dikenal pasti disimpan dalam sel idioblast Dieffenbachia dan ia dikenali sebagai;

Sel idioblast dan kristal Raphide

– Druse

– Raphide (Kristal berbentuk jarum)

– Prism (Kristal berbentuk prism)

R- Raphide
D- Druse

Kristal druse dan raphide ini dapat ditemui di keseluruhan pokok Dieffenbachia, sama ada pada bahagian batang, daun, dan sebagainya. Manakala kristal prism dapat ditemui pada bahagian debunga tumbuhan ini.

Apakah fungsi sel idioblast ber-kristal ini?

1. Kristal-kristal calcium oxalate boleh menjadi bentuk simpanan kalsium jangka panjang buat tumbuhan. Ini berdasarkan kemampuan pokok untuk menggunakan nutrien kalsium dalam simpanannya, jika kandungan kalsium dalam tanah kurang atau tiada.

Seterusnya, ia juga turut berfungsi sebagai perencat pengambilan kalsium. Dalam bahasa mudah, ia menghalang tumbuhan menyerap kalsium lebih yang dari ia perlu, oleh kerana simpanan kalsium sudah mencukupi.

2. Kristal-kristal di dalam sel idioblast yang ditemui di setiap bahagian tumbuhan ini juga, berfungsi untuk memberikan sokongan kepada struktur (structural support) tisu pokok yang membuatkan ia lebih keras dan tidak mudah lentur. Sama seperti tulang manusia yang diperbuat daripada kalsium kan?

Yang paling penting sekali, sel idioblast yang mengandungi kristal-kristal ini juga berfungsi sebagai mekanisme pertahanan tumbuhan dari haiwan herbivor (pemakan daun) atau dalam kes ini manusia.

Oleh kerana bentuk kristal-kristal ini juga berlainan, mengunyah atau mengigit bahagian yang mengandungi kristal druse akan memberi sensasi seperti sedang mengunyah pasir.

Manakala mengunyah kristal Raphide yang berbentuk jarum itu tadi akan menyebabkan kristal menembusi bahagian mulut haiwan dan manusia yang mengigitnya.

Namun begitu, kristal-kristal calcium oxalate tersebut bukanlah sebab utama keracunan, ini kerana ia hanya berfungsi sebagai wadah atau pembawa kepada bahan bertoksik dan beracun yang terkandung di dalamnya.

*Bayangkan kristal raphide ini seolah sebuah picagari yang mengandungi racun.

Menurut pakar, terkandung di dalam kristal ini, pelbagai bahan-bahan yang bertoksik kepada manusia dan haiwan lain. Contohnya seperti sejenis enzim proteolytic yang dikenali sebagai (dumbcain), cyanogenic glycoside yakni sejenis bahan yang menyebabkan kontraksi pada otot, dan juga protoanemonin yang boleh menyebabkan berlakunya keradangan pada bahagian farinks dan larinks.

Walau bagaimanapun, bahan spesifik atau penyebab utama kepada ketoksikan dimiliki Dieffenbachia ini masih lagi tidak diketahui sepenuhnya.

Sebagai fakta tambahan:

Disebabkan tumbuhan Dieffenbachia ini dikenali beracun, masyarakat Orang Asli Amazon telah menggunakannya cecair yang didapatkan sebagai racun ampuh untuk disapukan pada anak panah mereka.

RUJUKAN:

Arditti, Joseph. and Eloy Rodriguez. 1982. Dieffenbachia: Uses, Abuses And Toxic Constituents: A Review. Journal of Ethnopharmacology, 5, 293 – 302.

Cote, Gary G. 2009. Diversity and distribution of idioblasts producing calcium oxalate crystals in Dieffenbachia seguine (Araceae). American Journal of Botany Volume 96, Issue 7.

Fochtman, F. W., J. E. Manno, C. L. Winek and J. A. Cooper. 1969. Toxicity of the genus Dieffenbachia. Toxicology and Applied Pharmacology.

G. Dore, William. 1963. Crystalline Raphides in the Toxic Houseplant Dieffenbachia.

Franceschi, Vincent R., Harry T. Horner, and Jr. 1980. Calcium Oxalate Crystals in Plants. Botanical Review, Vol. 46, No. 4, pp. 361-427

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.