Pokok Bukan Sekadar Rupa

370

Sekilas pandang pada gambar yang disediakan, penampilan pokok dikenali sebagai Cerbera odollam ini tidak ubah seperti pokok mangga kan? Malah buah yang dihasilkannya juga, mirip buah mangga hijau muda.

Namun di sebalik rupa fizikal yang tampak tidak berbahaya itu, tersembunyi ‘sisi gelap’ pokok ini dari pengetahuan manusia yang tidak pernah mengenalinya.

Pengenalan & Sebaran

Tumbuhan ini merupakan salah satu daripada pokok beracun di dalam genera Cerbera. Dan ia turut termasuk di dalam keluarga tumbuhan Apocynaceae. Anda perlu tahu bahawa, pokok beracun yang dikenali sebagai Nerium oleander juga tergolong dalam ‘keluarga’ Apocynaceae.

Genera Cerbera mempunyai tiga spesies berbeza, dan ia adalah seperti berikut:

– Cerbera odollam
– Cerbera manghas
– Cerbera floribunda

Cerbera odollam berasal dari negara India, dan ia tumbuh meliar dengan jumlah yang sangat banyak dan mudah didapati, terutamanya di negeri Kerala.

Spesies lain dari genera Cerbera, iaitu Cerbera manghas dan Cerbera floribunda, boleh didapati di negara-negara yang terletak di bahagian Asia Selatan, Asia Tenggara, Australia, Papua New Guinea, Kepulauan Pasifik, sehinggalah ke Kepulauan Hawaii.

Ketiga-tiga Cerbera odallam, C.manghas dan C.floribunda, kebiasaannya dapat ditemukan tumbuh di kawasan berhampiran persisiran pantai, sungai dan di hutan paya bakau.

Walaupun secara umumnya biji benih pokok ini diketahui mengandungi kompaun beracun yang sangat ampuh, ia bagaimanapun ditanam di laman rumah sebagai pokok perhiasan. Selain itu, ia turut ditanam sebagai pagar pembahagi semulajadi terutamanya di negara India dan Kepulauan Hawaii.

Toksin

Di India, Cerbera odollam lebih ‘mesra’ dipanggil sebagai “Pokok Bunuh Diri”, berdasarkan fakta bahawa banyak kes kematian direkodkan dan dilaporkan, yang mana seseorang bertindak membunuh diri sendiri dengan memakan biji benihnya yang mengandungi kompaun beracun.

Biji benih pokok Cerbera mengandungi campuran pelbagai kompaun atau molekul aktif toksin glikosida kardiak yang dikenali sebagai cerberin, odollin dan cerberoside. Dengan cerberin menjadi ‘watak’ atau punca utama kepada kematian.

Struktur molekul dan fungsi cerberin juga mirip molekul digoxin, sejenis toksin yang ditemui dalam tumbuhan dari genera Digitalis atau lebih dikenali sebagai “Foxglove”.

Yang mana ia bertindak dalam menghalang saluran ion kalsium di dalam otot jantung, menyebabkan gangguan degupan jantung, seterusnya mengakibatkan kematian.

Toksinnya sangat ampuh, sehinggakan jika seseorang manusia itu hanya memakan sebiji daripada benih pokok ini, ia mampu membunuh dalam masa 1 atau 2 hari sahaja.

Gejala keracunan cerberin adalah seperti berikut:

– Sensasi seakan terbakar di dalam mulut
– Muntah yang teruk 
– Gangguan pernafasan
– Sakit kepala
– Degupan jantung tidak sekata
– Koma dan akhirnya mati.

Selain itu, kompaun glikosida Thivetin (juga bertoksik), turut terkandung di dalam getah yang dihasilkan oleh pokok ini.

Selain daripada “Pokok Bunuh Diri”, spesies pokok lain dari genera Cerbera turut dikenali dengan nama berlainan, mengikut daerah dan negara ia boleh didapati seperti berikut:

1. Othalanga maram (Kerala)
2. Kattu arali (Tamil Nadu)
3. Famentana & Tangena (Madagascar)
4. Pong-Pong & Nyan (Asia Tenggara)

Keracunan Atau Pembunuhan?

Cuba kita berfikir sejenak, sekiranya ia cukup bertoksik dan seseorang itu dapat membunuh diri dengan hanya memakan sebiji daripada benih, bermakna ia turut berpotensi sebagai satu kaedah pembunuhan yang berkesan kan?

Mengambil statistik didapatkan dari negeri yang terletak di Selatan India, Kerala. Kes keracunan Cerbera merangkumi hampir 50% daripada kes kematian akibat bahan beracun.

Seterusnya, pada tahun 1989 sehingga 1999, lebih daripada 500 kes kematian keracunan Cerebra telah didokumenkan di negeri Kerala sahaja. Dan berkemungkinan tinggi, jumlah kematian adalah lebih daripada itu. (Bagi kes keracunan Cerebra yang tidak disedari)

Walaupun biji benih Cerebra mempunyai rasa yang pahit, rasa pahit itu boleh disembunyikan sekiranya ia ditumbuk halus dan dicampurkan ke dalam masakan berempah (“signature” kepada masakan India) dan manis.

Toksin Yang Sukar Dikesan

Namun fakta yang paling menakutkan adalah, toksin cerebrin sukar untuk dikesan dalam ujian toksikologi biasa! Oleh itu, sekiranya seseorang telah dibunuh menggunakan biji benih Cerebra bertoksik itu, kemungkinan tinggi untuk pembunuhan tersebut tidak disedari adalah tinggi.

Seseorang pakar patologi itu, tidak dapat mengesan keracunan Cerebrin, kecuali dengan mengetahui fakta bahawa individu itu telah memakan biji benih Cerebra.

Seterusnya, ahli makmal toksikologi diperlukan untuk mencari toksin cerebrin secara spesifik, bagi mengesan kehadirannya dalam ujian yang dilaksanakan. Dan untuk mengesan toksin cerebrin, ia memerlukan gabungan dua cara dan peralatan berteknologi tinggi seperti berikut:

1. High-performance liquid chromatography
2. Mass spectrometry

Namun, kedua-dua peralatan dan ujian ini sangat mahal untuk dilaksanakan, terutamanya di India.

Bagi pakar toksikologi Barat, toksin cerebrin tidak dapat dikenal pasti dengan mudah. Oleh kerana faktor pokok genera Cerebra ini tiada di kawasan mereka. Selain itu, struktur molekul dan cara bertindaknya juga mirip molekul digoxin dari tumbuhan Digitalis.

Memetik kata-kata pakar toksikologi yang dikenali dengan nama Yves Gaillard, toksin cerebrin adalah “senjata pembunuhan yang sempurna”. Oleh kerana ia sukar untuk dikesan.

Penggunaan Benih Cerebra Dalam Ritual

Biji benih Cerbera yang sangat bertoksik itu mempunyai sejarah pahit yang panjang, terutamanya di Madagascar.

Antara rekod terawal laporan penggunaan biji benih Cerebra adalah pada awal kurun ke-19. Sejak dari zaman purba lagi, penduduk Madagascar terlibat dalam satu bentuk ritual yang dilaksanakan bagi memastikan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak, di dalam kesalahan atau tuduhan yang dilemparkan ke atas mereka.

Masyarakat pada ketika itu percaya bahawa sakit, kematian dan malapetaka lain adalah disebabkan oleh amalan ahli sihir yang tinggal bersama dengan mereka. Dan satu-satunya cara untuk membuktikan ‘tuduhan’ tersebut benar atau tidak, adalah dengan melalui ritual memakan biji benih Cerebra.

Menurut logik masyarakat pada waktu itu, sekiranya individu tersebut mati selepas memakan biji benih Cerebra, maka individu itu bersalah.

Ritual tersebut telah menyebabkan kematian ramai manusia. Dianggarkan bahawa 2% daripada keseluruhan populasi Madagascar pada ketika itu telah menemui ajal dengan ritual ini.

Pada satu kejadian, lebih daripada 6000 orang mati hanya di dalam satu ritual melalui cara memakan biji benih Cerebra. Ritual ini turut digunakan di dalam proses perbicaraan dan kehakiman pesalah berat. Contohnya seperti individu yang merancang untuk merampas kuasa daripada raja, merompak dan sebagainya.

Kemudian pada tahun 1861, ritual menggunakan biji benih Cerebra yang beracun ini akhirnya dimansuhkan oleh Raja Radama II. Namun begitu, upacara ini masih diteruskan secara kecil-kecilan di bahagian-bahagian atau kampung terpencil di negara kepulauan tersebut.

Kebolehan Kasawari

Makanan kegemaran burung kasawari, atau secara spesifiknya kasawari dari spesies Casuarius casuarius, yang boleh didapati di Australia dan Papua New Guinea, adalah buah yang dihasilkan oleh pokok Cerbera floribunda.

Namun yang menariknya adalah, burung kasawari telah imun kepada toksin yang terkandung di dalam biji benih buah tersebut. Ini kerana, burung kasawari telah dilengkapi dengan usus yang pendek. Bermakna biji benih tersebut tidak mengambil masa yang lama untuk dicerna dan dikeluarkan kembali oleh burung kasawari.

Ini adalah adaptasi istimewa, selain daripada hubungan mutualistik di antara kasawari dan pokok Cerbera.

Mutualistik bermaksud, kasawari dapat menikmati buah Cerbera yang beracun tanpa sebarang kemudaratan, manakala biji benih Cerbera dapat disebarkan dengan efisien oleh kasawari.

Kajian saintis turut mendapati bahawa, buah atau biji benih Cerbera floribunda yang dimakan dan dicerna oleh sistem penghadaman kasawari itu, lebih berkemungkinan tinggi untuk bercambah.

RUJUKAN:

Gaillard. Yvan, Ananthasankaran Krishnamoorthyb, Fabien Bevalota.
Cerbera odollam: A ‘Suicide Tree’ And Cause Of DeathIn The State Of Kerala, India. Journal of Ethnopharmacology 95 (2004) 123–126

Menon. M Suraj, Prasantha Kumar, C.I Jayachandran. Clinical Profile And Management of Poisoning With Suicide Tree: An Observational Study. Heart Views : The Official Journal of the Gulf Heart Association

De Maleissye, J., 1991. In: Bourin, F. (Ed.), Histoire du poison. Paris.

Watt, J.M., Breyer-Brandwijk, M.C., 1962. The Medicinal and Poisonous Plants of Southern and Eastern Africa, Second edition.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.