Planet Yatim Di Sistem Suria

0
1475
views

Adakah selama ini anda beranggapan bahawa semua planet-planet di angkasa saling beredar mengelilingi matahari di dalam sistem solarnya sendiri?

Jika anda beranggapan sedemikian, maka ketahuilah bahawa di dalam galaksi bima sakti ini terdapat juga planet yang wujud bersendirian dan tidak terkait dengan sebarang sistem solar. Planet-planet ini dipanggil dengan banyak nama di mana salah satunya adalah planet yatim (orphan planet).

Oleh kerana planet ini tidak berada di dalam sebuah sistem solar, maka planet ini tidak mengorbit sebarang bintang dan wujud secara bersendirian terapung-apung di ruang angkasa. Hanya pusat galaksi sahaja menjadi pemandu arah untuk planet ini mengorbit.

Bagaimana boleh menjadi Planet Yatim?

Seperti juga anak yatim yang pada awalnya mempunyai ibu bapa, planet yatim ini juga pada asalnya berada dalam satu sistem solar dan mengorbit sebuah bintang sebagai matahari (parent star). Namun begitu, planet ini menjadi yatim apabila secara tidak sengaja telah tercampak keluar dari sistem solarnya sewaktu proses awal pembentukan sistem solar tersebut.

Dalam fasa awal proses pembentukan sesebuah sistem solar, keadaan di dalam sistem solar tersebut penuh huru-hara di mana planet-planet yang terbentuk ini bergerak tanpa arah tuju dalam mencari kestabilan graviti dengan bintang/matahari yang menjadi pusat kepada sistem solar tersebut.

Waqaf Saham

Ketika fasa inilah planet-planet saling berlanggar dan berselisih antara satu sama lain. Kejadian ini menyebabkan laluan orbit setiap planet berubah dengan cukup drastik. Bagi planet yang terselamat, mereka akan kekal dan terus mengorbit bintang tersebut. Namun terdapat planet yang malang yang hilang keseimbangan graviti lalu landasan orbitnya tercampak keluar dari sistem solar tersebut.

Kewujudan planet yatim ini sudah lama dibincangkan di kalangan para saintis. Saintis percaya setiap pembentukan sistem solar akan menghasilkan planet yatim ini. Oleh itu kuantiti planet yatim di dalam galaksi bima sakti adalah sangat banyak sehingga menjangkau billion. Namun begitu, proses untuk mencari planet asing di luar sistem solar bukanlah satu proses yang mudah. Para saintis bergantung harap pada dua jenis kaedah dalam mengesan kewujudan planet asing. Satu daripadanya adalah dengan melihat pergerakan sesebuah bintang bagi menentukan samada wujud atau tidak planet yang mengorbit bintang tersebut.

Oleh kerana planet yatim ini tidak mengorbit sebarang bintang maka usaha untuk menjumpai planet yatim ini adalah begitu sukar sekali. Para saintis terpaksa menggunakan kaedah pembelauan graviti. Kaedah pembelauan graviti ini berfungsi apabila calon planet yatim ini berada pada kedudukan tengah-tengah di antara bumi dan sebarang bintang, graviti daripada planet ini akan membelaukan cahaya bintang yang kelihatan di bumi. Dengan kaedah inilah maka saintis dapat mengesan planet yatim tersebut.

Namun begitu, para saintis masih lagi berbincang samada setiap penemuan tersebut adalah benar-benar planet yatim atau tidak. Ini kerana kaedah ini hanya mampu mengesan planet yang bersaiz besar seperti Musytari, atau erti kata lain planet dengan saiz 300 kali ganda dari saiz bumi. Lalu timbul kemungkinan bahawa planet yang dikesan tersebut sebenarnya mengorbit bintangnya sendiri tetapi pada jarak yang sangat jauh atau ianya merupakan bintang bersaiz kecil yang tidak mempunyai tenaga nuklear yang mencukupi untuk terbakar.

Walaupun planet yatim ini terawang bersendirian di angkasa, ia tidak bermakna planet ini mati. Keadaan di planet yatim ini bergantung kepada pembentukan dan saiz planet tersebut. Jika planet yatim itu terhasil dari batu seperti planet bumi, kemungkinan planet tersebut dapat menyimpan haba di pusat planetnya dan haba ini mampu membentuk atmosfera. Tetapi ia hanya berlaku pada planet yang bersaiz besar sedang planet bersaiz kecil tidak akan mampu untuk menyimpan sebarang haba dan wujud dalam keadaan yang sangat sejuk.

Terdapat juga planet yatim ini yang terbentuk daripada mampatan gas dan membentuk planet gas gergasi. Proses pembentukan ini sama seperti proses yang dilalui oleh planet Musytari. Planet-planet yang terbentuk melalui fasa ini kebiasannya akan memiliki bilangan bulan yang banyak. Fenomena ini kelihatan seakan planet yatim tersebut membentuk sebuah sistem solar sendiri berskala miniatur.

Ketiadaan matahari memberi impak yang cukup besar kepada planet-planet yatim. Tanpa ada terbit dan terbenam matahari bermakna tiada siang dan malam, tiada sumber haba semulajadi untuk menyelimutinya dari kedinginan angkasa juga tiada hari atau tahun sebagai penentu masa. Gambar adalah ilustrasi artis bagi sebuah planet yatim, CFBDSIR 2149-0403.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here