PKPB: Hayati Kisah Nabi Sulaiman Dan Sang Semut

550

https://bit.ky/kombowww

Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman, dan keduanya mengucapkan, “Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman.” Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata, “Hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) itu benar-benar suatu kurniaan yang nyata.” (An-Naml: 15-16).

Betapa besarnya anugerah yang diberikan oleh Allah kepada Nabi Sulaiman As yang merupakan anak kepada Nabi Daud As namun tetap juga mereka menjadi hamba yang bersyukur. Bahkan kekuasaan, kedudukan dan kerajaan Nabi Sulaiman adalah yang paling terlengkap sehingga  meliputi manusia, haiwan dan jin.

Kata Ibnu Kathir bahawa Nabi Sulaiman memahami dan mempunyai kelebihan berutur dengan segala burung dan haiwan yang belum pernah diberikan kepada seorang manusia pun sepanjang yang kita ketahui melalui berita yang disampaikan oleh Allah dan Rasul-Nya. Manakala menurutnya lagi, Allah telah mengajarkan kepada Nabi Sulaiman mengenai dialog dan percakapan burung-burung di udara dan ucapan haiwan-haiwan sesuai dengan perbezaan jenisnya.

Kemudian dipimpin bala tenteranya yang luar biasa hebat oleh baginda sendiri dikelilingi manusia manakala jin dan haiwan dalam barisan tersendiri. Burung-burung pula terbang di atas langit sehingga jika keadaan panas maka mereka akan menaungi dengan melebarkan sayap mereka.

Ibnu Kathir meriwayatkan daripada Mujahid bahawa setiap golongan mempunyai komandan atau ketua masing-masing sebagai petunjuk agar tidak saling mendahului. Sayyid Qutb menyebut bahawa bala tentera Nabi Sulaiman meneruskan perjalanannya dalam barisan yang teratur rapi dalam keadaan barisan pertama bersambung-sambung hingga barisan terakhir. Mereka berjalan dalam barisan yang kuat dengan derap langkah kaki yang sama sehinggalah tiba di sebuah lembah yang banyak semut dikenali sebagai wadi al-naml.

Tatkala inilah, semut tersebut menyeru kepada semut yang lainnya dan didengari oleh Nabi Sulaiman As. Firman Allah:

“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml”, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari”.

(An-Naml:18).

Ibnu Kathir berkata di dalam tafsirnya bahawa semut itu bimbang dan takut sekiranya dirinya dan semut-semut yang lain dipijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman As. Maka oleh sebab itulah, seekor semut menyeru rakan-rakannya untuk kembali ke dalam sarang kerana mereka yang kecil itu tidak akan disedari oleh bala tentera yang begitu besar.

Menurut  Dato’ Dr  Haron  Din,  komunikasi  antara  semut tersebut adalah dalam bentuk percakapan kerana istilah “berkata” itu merujuk kepada perkataan  “qaala” yakni komunikasi dalam  bentuk pertuturan  dan  bukanlah isyarat. Ini hanya dapat difahami oleh Nabi Sulaiman As yang dianugerahkan kebolehan untuk memahami pertuturan semut malah haiwan-haiwan lain juga sebagai mukjizat kepadanya.

Maka perasaan kagum mula menyapa dalam diri Nabi Sulaiman lantas tersenyum terhadap keprihatinan dan peringatan semut itu kepada kawan-kawannya. Malahan baginda juga merasa gembira dengan kurniaan Allah yang dimilikinya iaitu dapat memahami maksud bahasa semut itu lalu berdoa. Firman Nya:

“Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah aku dengan limpah rahmatMu  dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”.

(An-Naml:19).

Inilah suatu pelajaran sejarah yang perlu dijadikan pengajaran dalam kehidupan bermasyarakat. Menjadi ibrah buat orang berakal agar dapat memahami keadaan makhluk yang sekecil semut ini pun mereka bersama dalam mengamankan dan melindungi antara satu sama lain daripada diinjak oleh bala tentera.

Maka dalam keadaan PKPB lantaran Virus Covid-19 yang masih wujud di negara kita, amatlah disarankan agar kita kekal di dalam rumah seperti mana perlakuan semut itu menyeru kaumnya untuk kembali ke dalam sarang bagi menyelamatkan diri.

Tetaplah di rumah bersama keluarga sehingga berakhirnya ujian ini jika tiada urusan mustahak dan penting di luar kerana kelonggaran ini bukanlah bermakna perayaan selagi musuh durjana bernama korona belum dilenyapkan.

RUJUKAN:

Abu Fida Ismail Ibn Umar Ibn Kathir, Qisas Al-Anbiya.

Abu Fida Ismail Ibn Umar Ibn Kathir ,Tafsir Ibnu Kathir.

Sayyid Qutb, Tafsir Fi Zilalil Quran.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.